home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 29/10/94 Tajuk/Title : PERHIMPUNAN GERAKAN KEPENGGUNAAN SEMPENA KEMPEN ANTI INFLASI Saya berterima kasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana menjemput saya untuk merasmikan Majlis Perhimpunan Gerakan Kepenggunaan pada hari ini. 2. Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana negara kita bukan sahaja aman dan stabil tetapi juga pesat membangun. Adalah jelas bahawa hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang pesat ini rakyat juga telah turut menikmati peningkatan di dalam pendapatan kasar mereka. Oleh kerana kadar inflasi kita adalah rendah maka rakyat negara ini pada keseluruhan nya tidak menghadapi masalah seperti yang dihadapi oleh rakyat sesetengah negara di mana oleh kerana inflasi melambung tinggi mereka sentiasa mendapati pendapatan mereka tidak mencukupi untuk membeli barang-barang keperluan. Kita di negara ini adalah bernasib baik kerana harga barang keperluan boleh dianggap stabil. 3. Bagaimanapun ini tidaklah bermakna kita boleh berpeluk tubuh dan berpuas hati. Rakyat perlu dimaklum dan dididik mengenai pentingnya kita mencegah inflasi. Rakyat harus sedar bahawa sebarang peningkatan pendapatan yang diperolehi tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat jika tambahan pendapatan tersebut hanyalah untuk menampung peningkatan harga barangan ataupun perkhidmatan yang perlu dibayar oleh pengguna-pengguna. Dalam lain perkataan, mungkin daripada segi pendapatan kasar kita telah memperolehi pertambahan tetapi sebenarnya pengguna kebanyakannya berada di tahap yang sama atau mungkin menurun daripada tahap sebelum mendapat tambahan pendapatan. Oleh yang demikian, peranan gerakan kepenggunaan pada hari ini adalah lebih mencabar kerana boleh memainkan peranan penting dalam membantu menangani masalah 'inflasi' dengan memberi maklum balas kepada Kerajaan serta mengadakan program- program pendidikan mengenai bahayanya inflasi dan mempelajari cara-cara membanteraskannya. Pengguna, iaitu kita semua, akan memperolehi nikmat daripada usaha-usaha ini. 4. Walaupun pendapat umum ialah peningkatan harga atau inflasi adalah perkara biasa yang tidak boleh dielakkan, terutama apabila ekonomi tumbuh dengan pesatnya, tetapi sebenarnya inflasi boleh dibanteras sehingga ke tahap sifar atau 'zero inflation'. Memang benar ini tidak mudah dilakukan tetapi kita tahu di sesetengah negara inflasi sebanyak 1,000 peratus setahun adalah perkara biasa sama ada ekonomi tumbuh atau tidak, sedangkan di negara-negara lain, termasuk negara kita, inflasi hanya di paras empat peratus setahun. Tentulah ada sesuatu yang salah yang dilakukan di negara yang inflasinya tinggi atau sesuatu yang baik di negara yang inflasinya rendah. Jika kita dapat pastikan apa dianya yang salah dan apa dianya yang betul dalam membanteras inflasi, tentu ada kemungkinan kita dapat menurunkan lagi inflasi kita hingga keparas sifar, atau lebih rendah daripada itu. 5. Perkara yang pertama ialah permintaan untuk sesuatu khidmat atau barangan yang lebih dariPADA bekalan. Jika khidmat atau barangan ini tidak penting untuk kehidupan, dengan hanya tidak membeli, pengguna boleh mengurangkan permintaan dan dengan itu harga. Jika barangan itu penting, pengguna boleh mengurangkan penggunaannya, atau mencari barangan ganti. Umpamanya, jika harga sesuatu barangan itu mahal kita boleh kurangkan memakan barangan itu atau memakan barangan lain. Pengguna mesti sanggup mendisiplinkan diri dalam menangani masalah ini. 6. Yang keduanya kita harus tahu kenapa harga meningkat. Kenaikan kos pengeluaran tentulah menaikan harga. Sekali lagi jika harga ayam umpamanya naik, mungkin ia disebabkan oleh upah pekerja meningkat tanpa kenaikan produktiviti, atau kos makanan ayam meningkat, atau kos pengangkutan meningkat atau penyakit ayam merebak, atau penternak, pengangkut, pengedar dan peruncit cuba meraih keuntungan yang berlebihan. Mungkin juga cukai Kerajaan yang menyebabkan kenaikan harga. Semua sebab ini jika dapat dikenalpasti akan dapat membantu kita mengurangkan kenaikan harga tersebut, jika tidak sepenuhnya sekurang-kurangnya separuh. 7. Jika pengguna tidak awasi betul-betul, kenaikan sebahagian daripada kos pengeluaran akan disusuli dengan kenaikan harga pada paras yang sama, iaitu jika upah naik 10 peratus penjual akan menaikkan harga sebanyak 10 peratus juga, walaupun upah pekerja mungkin hanya 10 peratus sahaja daripada kos keluaran. Sebaliknya apabila cukai diturun penjual jarang sekali menurunkan harga, walaupun mereka menyalahkan cukai yang menyebabkan harga mereka tinggi. 8. Yang jelas ialah kerjasama semua pihak untuk mengenalpasti sebab-sebab kenaikan harga adalah mustahak. Soalnya kenapakah semua pihak harus bekerjasama dalam usaha ini? Sebabnya ialah semua yang terlibat dengan apa-apa khidmat atau barangan yang dijual yang telah naik harga adalah juga pengguna. Mereka mungkin mendapat pendapatan yang lebih daripada kenaikan harga khidmat atau barangan mereka, tetapi kenaikan harga itu juga tetap akan menaikkan harga khidmat dan barangan-barangan lain. Ini adalah oleh kerana orang lain perlu menambah pendapatan mereka untuk membeli barangan yang sudah naik harga. Dengan itu mereka yang memulakan kenaikan harga untuk mendapat tambahan pendapatan bagi diri mereka akan mendapati tambahan itu tidak berguna kerana mereka perlu membayar bayaran yang lebih untuk khidmat dan barangan orang lain yang diperlukan oleh mereka. Jelas sekali daripada ini bahawa tidak ada sesiapa yang untung secara kekal daripada menaikkan harga, iaitu daripada inflasi. 9. Memang benar kadang-kadang kenaikan harga tidak dapat dielakkan. Kenaikan harga barang-barang yang diimport dari negara asing yang menghadapi inflasi biasanya sukar dielak. Tetapi sekali lagi kita boleh kurangkan penggunaannya atau kita boleh membeli dari negara lain. Jika barangan yang diimport ini diguna untuk mengeluarkan barangan tertentu dalam negara, kenaikan harga barangan berkenaan boleh dikurangkan dengan mengambilkira peratusan barang ini yang diguna dalam proses pengeluaran. Umpamanya, jika bahan berkenaan menyebabkan hanya lima peratus daripada kos pengeluaran, kenaikan kos barangan ini sebanyak sepuluh peratus bermakna tambahan kos sebanyak 0.5 atau setengah peratus sahaja. Malangnya jika kos sesuatu bahan naik sepuluh peratus, harga barangan yang dikeluarkan dinaikkan sebanyak sepuluh peratus juga. Ini adalah perbuatan yang tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab. Orang yang berbuat demikian patut didedahkan kepada orang ramai. 10. Sebaliknya kenaikan harga barangan yang diimport mungkin boleh diatasi dengan mengimport dari negara lain atau diganti dengan barangan dalam negeri atau meningkatkan efisiensi pengeluaran. Jika semua ini gagal, pengguna boleh mengurangkan permintaan. 11. Satu daripada cara mengurangkan kos dan membendung inflasi ialah dengan menaikkan produktiviti. Kita semua ingin supaya rakyat Malaysia menikmati kenaikan pendapatan sepanjang masa. Tetapi jika kenaikan ini tidak disertai dengan peningkatan produktiviti ia tetap akan menyumbang kepada inflasi. Dan inflasi, perlu diulangi, akan menidakkan kesan kenaikan pendapatan. Justeru itu, semua pekerja harus meningkatkan daya pengeluaran atau produktiviti setiap kali upah meningkat. Ingatlah setiap seorang daripada kita adalah pengguna. Sebagai pekerja kita tidak boleh menyebabkan harga meningkat, dan kemudian sebagai pengguna kita mendesak supaya barangan atau khidmat orang lain dijual dengan harga yang murah, atau kekal pada paras yang lama. 12. Negara kita adalah negara dagangan. Kekayaan kita datang daripada keupayaan kita mengeksport barangan pembuatan. Kita hanya boleh mengeksport jika barangan kita boleh bersaing di pasaran dunia. Untuk ini kita perlu kawal dengan rapi kos pengeluaran kita. 13. Kos kita boleh dikurangkan dengan menurunkan nilai matawang kita. Tetapi ini akan menjadikan kita miskin kerana semua barangan kita yang perlu diimport, termasuk makanan, akan naik harga secara menyeluruh. Apabila ini berlaku maka semua rakyat akan menuntut kenaikan upah atau peniaga menambah peratusan keuntungan. Semua ini akan menyebabkan inflasi berlaku. 14. Sebaliknya pendapatan pekerja harus ditingkatkan selaras dengan tahap kemajuan negara. Jika tidak kemajuan negara tidak bermakna bagi mereka. Kita tetap akan dapat bersaing di pasaran dunia jika produktiviti dapat ditingkatkan selaras dengan peratusan kenaikan upahan kita. Tidak ada sesuatu yang lebih buruk daripada kenaikan upahan hanya kerana untuk mengejar paras inflasi. Di sebuah negara di Amerika Selatan, upahan diikat secara langsung kepada kenaikan inflasi. Jika inflasi naik, upah secara otomatik, naik bersama. Kesannya ialah inflasi di negara itu mencatat angka lebih seribu peratus tiap-tiap tahun -- iaitu barangan yang pada bulan Januari berharga satu unit matawangnya meningkat menjadi sepuluh unit pada bulan Disember dan seratus unit pada bulan Disember tahun yang berikut. Fikirlah apa akan terjadi kepada kita jika tahun ini satu liter petrol berharga RM1 dan tahun yang berikutnya RM100. Upah tidak boleh mengejar paras inflasi kerana ia akan menghancurkan ekonomi negara. 15. Jika inflasi yang tinggi tidak terdapat di negara kita, satu daripada sebabnya ialah kita tidak cuba mengejar inflasi dengan kenaikan upah atau kenaikan keuntungan. Sebaliknya kita menekankan produktiviti sebagai cara mengawal inflasi dan mengekalkan daya saingan kita. Malangnya masih ada pihak-pihak yang menuntut kenaikan upahan walaupun tidak ada inflasi dan tidak ada pertambahan produktiviti. Mereka ini menuntut hanya kerana mereka anggap menuntut kenaikan upah adalah tugas mereka untuk menjadi lebih popular dengan orang yang memilih mereka. Lagipun mereka percaya kebolehan mereka menyebabkan kerosakan ditakuti oleh majikan. 16. Kenaikan produktiviti bukanlah bergantung semata-mata kepada pekerja dan upahan. Peningkatan kecekapan pengurusan, pelaburan dalam jentera pengeluaran yang lebih efisien dan lain-lain faktor boleh menolong produktiviti. Tetapi jika produktiviti masih di tahap lama, sebarang kos tidak boleh dinaikkan. Jika kita faham segala ini, kita sebagai pengguna tidak akan menjadi mangsa inflasi. 17. Sebenarnya kita boleh mengurangkan kos kita secara terancang dan menolong kejayaan persaingan kita di pasaran dunia. Sudah tentu jika kita lebih berdayasaing maka eksport kita akan bertambah dan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi kita juga akan meningkat dengan peratusan yang tinggi. Kita sudah pun berpengalaman bagaimana ekonomi yang tumbuh dengan tinggi, seperti yang kita alami sekarang menguntungkan semua pihak. Kita adalah antara sebilangan yang kecil negara-negara yang tidak ada pengangguran melainkan bagi yang tidak mahu bekerja. Di samping itu upahan bagi pekerja naik tanpa tindakan perusahaan. Justeru itu jika kita berusaha mengurangkan kos kita melalui apa cara sekalipun, kita semua akan mendapat nikmat dan keuntungan. 18. Kita harus faham bahawa yang penting bukan jumlah wang yang kita perolehi tetapi jumlah barangan dan perkhidmatan yang boleh kita beli dengan wang kita. Sama ada kita membayar dengan satu Ringgit Malaysia atau sepuluh Ringgit Malaysia untuk sesuatu barang, tidak penting jika semasa kita membayar sepuluh Ringgit Malaysia pendapatan kita adalah sepuluh kali ganda atau seribu peratus lebih daripada semasa kita membayar satu Ringgit Malaysia untuk barangan yang sama. Demikian juga jika pendapatan kita turun sepuluh kali ganda, iaitu menjadi sepuluh peratus daripada pendapatan dahulu, ia tidak akan mengubah dayabeli kita jikabarangan yang hendak kita beli juga turun sebanyak sepuluh kali ganda, iaitu daripada satu Ringgit Malaysia kepada sepuluh sen. 19. Demikian juga kita tidak akan menjadi sepuluh peratus lebih miskin jika pendapatan kita turun sepuluh peratus, iaitu daripada RM100 kepada RM90 jika semua barangan dan khidmat turun harga sebanyak sepuluh peratus juga di seluruh negara. 20. Jika secara terancang kita turunkan harga segala-galanya sebanyak sepuluh peratus, termasuk cukai Kerajaan, harga barangan, bayaran untuk semua khidmat dan semua upahan, maka bukan sahaja kos pengeluaran kita akan turun dengan peratusan yang sama atau hampir sama, tetapi kita tidak akan rugi apa-apa. Jika tukaran asing tidak berubah maka semua barangan kita akan menjadi lebih murah dan dayasaing kita di pasaran luar akan meningkat. Dengan itu kita akan dapat mengeksport lebih banyak. Pertumbuhan ekonomi kita tetap akan naik, mungkin lebih daripada sepuluh peratus, yang mana ini akan menguntungkan kita semua secara langsung atau tidak langsung. 21. Saya sebutkan perkara ini bukan kerana kita ada rancangan untuk melakukannya tetapi untuk membuktikan bahawa kita boleh menguasai proses inflasi jika kita berhajat untuk menguasainya. Inflasi bukan binatang yang buas yang tidak boleh dijinakkan dan diperalatkan. Yang diperlukan ialah kefahaman tentang mekanisma inflasi oleh semua pihak, termasuk pekerja dan kesatuan sekerja dan kesanggupan mendisiplinkan diri semasa bertindak mencegah atau menurunkan inflasi. Sebenarnya tindakan ini biasa dilakukan oleh negara-negara yang matawang mereka jatuh harga kerana inflasi terlalu tinggi. Pada tahun 1962 Perancis menggugurkan dua sifar daripada nilai matawangnya, menjadikan F100 hanya F1 sahaja. Gaji F10,000 menjadi F100 sahaja. Tiada siapa yang rugi kerana semua khidmat cukai dan barangan turun dengan paras yang sama. 22. Pelajaran yang kedua tetapi tidak kurang penting ialah kefahaman bahawa memiliki wang yang banyak tidak bermakna kaya dan memiliki wang yang sedikit tidak bermakna miskin. Di sebuah negara Eropah semua rakyatnya adalah multibillionaire, iaitu tiap seorang diupah dan memiliki berbillion unit matawangnya, tetapi semuanya miskin. Apakah kita ingin menjadi billionaire jenis ini? 23. Pelajaran yang ketiga ialah kita semua mempunyai 'split personality'. Sementara kita semua adalah pengguna yang menyokong usaha untuk mengawal harga, tetapi kita juga adalah pengeluar dan peniaga/pekerja, dan sebagai penjual hasil usaha kita, kita dengan senang hati menaikkan harga yang mana ini menyumbang kepada inflasi. 24. Jika kita ikhlas untuk mengawal inflasi kita harus bersikap sama di masa kita menjadi pengguna dan di masa kita menjadi pembekal. Sementara kita tidak mahu inflasi sebagai pengguna, kita juga jangan menolong menaikkan inflasi dengan tindakan kita. Jika kebenaran bahawa pengguna dan penyumbang kepada inflasi adalah orang yang sama difaham dan diingati oleh kita semua, bukan sahaja inflasi boleh dikawal, bahkan ia boleh diturunkan. 25. Kerajaan juga tidak boleh mengecualikan dirinya daripada kebenaran ini. Cukai boleh menaikkan inflasi sama seperti lain-lain tambahan kos. Sebab itu Kerajaan Barisan Nasional telah menghapus dan menurunkan cukai sejak beberapa tahun yang lepas. Dan Kerajaan mesti menyertai rakyat dalam mengawal inflasi. 26. Pendek kata pengawalan inflasi adalah tugas dan tanggungjawab semua rakyat dan semua pihak dalam negara. Keuntungan daripada kejayaan mengawal inflasi akan dinikmati oleh semua rakyat, semua pihak dan negara keseluruhannya. Justeru itu, semua rakyat harus menyertai kempen melawan inflasi, sama ada sebagai pengguna dengan kesatuan-kesatuan pengguna ataupun sebagai pembekal barangan dan khidmat atau sebagai orang perseorangan. 27. Ingatlah wang yang banyak tidak bermakna kaya, dan wang yang sedikit tidak bermakna miskin. Yang penting bukan jumlah wang tetapi `purchasing power' atau kuasa membeli wang ini. Orang yang miskin daripada segi jumlah wangnya tetapi kaya daripada segi kuasa membelinya adalah lebih kaya dan lebih bahagia daripada orang yang kaya daripada segi jumlah wangnya tetapi rendah kuasa membelinya. 28. Bagi pihak Kerajaan dan negara dan bagi pihak pengguna, iaitu semua rakyat Malaysia, saya ingin menggesa semua rakyat memahami, menyertai dan menjayakan kempen anti inflasi ini. 29. Dengan harapan dan doa supaya kita memperolehi kejayaan dalam kempen mencegah inflasi, saya dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Gerakan Kepenggunaan. |