home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PAKA, TERENGGANU 
Tarikh/Date 	: 	31/10/94 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN LOJI YTL POWER GENERATION 


 
  Saya mengucapkan terima kasih kepada YTL Power Generation
yang   telah  menjemput   saya  untuk  merasmikan  loji  gas
tarbinnya pada hari ini.
2.   Pertumbuhan ekonomi negara yang pesat sejak lapan tahun
yang lalu telah menyebabkan permintaan yang meningkat tinggi
bagi kuasa elektrik.  Dalam tempoh tersebut, permintaan bagi
tenaga elektrik telah meningkat pada kadar purata 11 peratus
setahun.    Kadar  pertumbuhan  yang tertinggi dicatat dalam
tahun 1993, iaitu sebanyak 15.8 peratus.   Pertumbuhan  yang
pesat  ini  telah  mengakibatkan  masalah kapasiti penjanaan
yang serius.
3.   Keadaan ini adalah  antara  sebab  terputusnya  bekalan
elektrik hampir ke seluruh Semenanjung pada bulan  September
1992.  Bagi mengatasi masalah ini,  Kerajaan telah mengambil
beberapa langkah untuk mempercepatkan  penambahan  kapasiti.
Ini  bukan  sahaja  dilaksanakan melalui penambahan kapasiti
oleh pihak utiliti, malah Kerajaan juga telah memperkenalkan
'Independent Power  Producers'  (IPP)  untuk  turut  menjana
kuasa  elektrik di negara ini.  Dengan terlaksananya program
ini, bermulalah satu era baru dalam sektor  penjanaan  kuasa
elektrik, di mana satu bentuk persaingan telah diwujudkan.
4.  Setakat ini, di Semenanjung Malaysia,  sebanyak lima IPP
telah diberi lesen dengan jumlah kapasiti penjanaan sebanyak
4,070 mw.  Ini merupakan 54 peratus daripada jumlah kapasiti
tambahan di Semenanjung Malaysia dalam tempoh sehingga tahun
2000.   Tiga  daripada  IPP  berkenaan dilaksanakan di bawah
program  'fast  track'.    Pada  masa  ini  Kerajaan  sedang
mengadakan   perundingan  dengan  beberapa  IPP  lagi  untuk
menambah kapasiti penjanaan di beberapa  kawasan tertentu di
negara ini termasuk di Sabah.
5.   YTL Power Generation merupakan IPP yang pertama  diberi
lesen untuk menjana kuasa elektrik.  Kapasitinya ialah 1,212
mw, dijana di dua lokasi, iaitu Paka dan Pasir Gudang.  Loji
di  Paka  ini  mengandungi  548  mw jenis 'open cycle', yang
kemudiannya  akan  ditambah  sebanyak  260  mw  lagi  dengan
menggunakan  'steam  turbine'.    Loji di Pasir Gudang pula,
mengandungi 274 mw jenis  'open  cycle'  dan  130  mw  jenis
'steam  turbine'.    Penggunaan  'steam  turbine'  ini  akan
menambah kecekapan loji ini, di  samping  menjadikan  stesen
janakuasa ini lebih 'environmentally friendly'.
6.      Saya  mengucapkan syabas kepada YTL Power Generation
kerana telah berjaya menyiapkan loji tarbin gas pertama bagi
projek ini tujuh bulan lebih awal daripada  jadual  kontrak,
walaupun   menghadapi  berbagai-bagai  masalah  sebagai  IPP
perintis di negara ini.  Saya difahamkan bahawa  keseluruhan
projek  ini  dijangka siap pada November 1995.  Namun begitu
dengan prestasi yang telah ditunjukkan oleh pihak YTL,  saya
percaya projek ini mungkin dapat disiapkan lebih awal lagi.
7.      Dengan  penambahan kapasiti yang sedang dilaksanakan
sekarang, insya-Allah, negara  tidak  perlu  khuatir  dengan
masalah  bekalan  elektrik lagi.  Namun demikian, kita harus
berwaspada  untuk  memastikan  bahawa   keseluruhan   sistem
bekalan  elektrik  berjalan  dengan  baik.   Pihak transmisi
kuasa, iaitu Tenaga Nasional  Berhad  sedang  memperkukuhkan
sistem  penghantaran  dan  pengagihan  elektrik  di  seluruh
negara,    terutamanya   di   kawasan-kawasan   yang   telah
dikenalpasti  sebagai  pusat  pertumbuhan  ekonomi.   Sistem
bekalan elektrik yang efisien dan berkualiti,  iaitu  dengan
`voltage'  yang  stabil  adalah penting dalam usaha Kerajaan
untuk membangunkan industri,  terutama  bagi  industri  yang
berteknologi  tinggi  dan  yang  menggunakan tenaga elektrik
yang banyak dan berkualiti.
8.    Dengan bermulanya penjanaan  oleh  'Independent  Power
Producers'  seperti  YTL  Power  Generation  ini,  kedudukan
'reserve  margin'  akan  bertambah  kukuh.      Ianya   akan
menjangkau  melebihi  paras  35  peratus,  berbanding dengan
'reserve  margin'  yang  amat  rendah  dalam   tahun   1993.
Memandangkan  kedudukan  kapasiti penjanaan yang agak tinggi
pada masa ini, saya ingin mencadangkan  supaya  usaha  terus
diambil   untuk  menggalakkan  penggunaan  tenaga  elektrik,
terutama bagi tujuan meningkatkan produktiviti dalam  sektor
ekonomi.    Langkah  ini  adalah  wajar  memandangkan  kadar
penggunaan elektrik per kapita bagi Malaysia  adalah  rendah
iaitu  1,380  kilowatt  jam  seorang berbanding dengan 5,659
kilowatt jam seorang bagi Singapura.
9.     Saya juga berharap  supaya  pihak  berkuasa  tempatan
menggunakan  tenaga  elektrik ini di waktu 'off-peak hours',
seperti menyalakan lampu-lampu jalan  raya  dan  papan-papan
iklan  di  waktu malam untuk mencantikkan lagi suasana malam
di  bandar-bandar di negara ini.  Sesuatu  yang  menarik  di
negara-negara  maju  ialah  kedai-kedai menghiaskan bahagian
hadapan kedai atau 'shop windows' mereka dengan  mempamerkan
barangan-barangan  cantik yang hendak dijual. 'Shop windows'
ini dipasang  lampu  sepanjang  malam.    Di  Malaysia  kita
menutup  hadapan  kedai  dengan  pintu  besi yang amat tidak
menarik.   Dengan itu, bandar-bandar kita  tidak  cerah  dan
tidak menarik.
10.   Penyertaan sektor swasta dalam industri elektrik telah
dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung  oleh  TNB
sebagai  'public  utility.'    Walaupun  TNB adalah syarikat
swasta,  tetapi  permintaan  untuk  elektrik  begitu   besar
sehingga  tidak  mungkin  TNB  membangunkan stesen janakuasa
dalam  jangkamasa  yang  singkat.    Sebab  itulah  Kerajaan
memberi peluang kepada pihak lain memasuki dalam bidang ini.
Ini adalah selaras dengan dasar penswastaan Kerajaan.
11.     Dengan   wujudnya  'Independent   Power  Producers',
Kerajaan  juga  telah  mengukuhkan  aspek 'regulatory' untuk
memastikan  kepentingan  pengguna  terpelihara   dan   wujud
efisiensi  dalam  sektor elektrik.  Kerajaan telah mengambil
langkah-langkah untuk  melengkapkan  lagi  persaingan  dalam
sektor  ini.  Baru-baru ini Kerajaan telah melancarkan 'grid
code' untuk mengawal operasi sistem bekalan elektrik  supaya
lebih  efisien  dengan  kos  terendah.   Saya percaya dengan
terlaksananya 'grid code' ini, sistem  bekalan  elektrik  di
negara ini akan lebih stabil dan terjamin.
12.  Satu perkara yang dilihat semasa pelaksanaan projek IPP
ini  adalah  pergantungan  kepada kepakaran dan perkhidmatan
dari luar negeri.   Saya yakin  perkara  ini  boleh  diatasi
melalui   program  latihan  dan  pemindahan  teknologi  yang
sistematik.
13.   Pelaburan dalam  pembangunan  sumber  manusia  melalui
latihan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan seperti ini perlu
dilakukan  secara  berterusan.    Walau bagaimanapun, banyak
syarikat enggan melakukannya kerana pelaburan  dalam  bidang
ini  adalah  'intangible'  dan pulangannya memakan masa yang
lama.    Bagi  memperkukuhkan  persaingan  syarikat-syarikat
Malaysia  secara  global,  pelaburan  dalam bidang ini perlu
diberi tumpuan.  Hanya dengan memiliki harta  intelek,  kita
akan  mampu  menangani cabaran masa akan datang yang semakin
kompleks.       Justeru    itu,    saya    ingin    menggesa
syarikat-syarikat  asing  yang  terlibat  dalam  pelaksanaan
projek-projek IPP memberi perhatian yang serius kepada usaha
memindahkan kepakaran mereka kepada  rakyat  tempatan  dalam
masa sesingkat mungkin.
14.    Dengan  pembangunan  sektor elektrik di negara ini ke
tahap yang lebih matang, sudah  sampai  masanya  bagi  pihak
swasta  berusaha  untuk  menceburi bidang pembuatan komponen
bagi industri bekalan elektrik ini.    Saya  menyeru  kepada
syarikat-syarikat  yang  berhasrat  untuk  melabur  di dalam
sektor ini supaya menumpukan kepada pengeluaran komponen.
15.    Sememangnya,   bidang    pengeluaran    komponen  ini
adalah  lebih  rumit  dan  mencabar, tetapi pulangannya juga
adalah besar sekiranya barangan komponen yang berkualiti dan
setanding dapat dikeluarkan.
16.  Bagi menjayakan bidang ini, semangat keusahawanan  yang
wujud  di  kalangan  sektor  swasta  perlu  ditingkatkan dan
langkah-langkah yang strategik perlu  diatur.    Bagi  pihak
Kerajaan,  usaha yang bersungguh-sungguh sedang dibuat untuk
melahirkan  usahawan   melalui   program   'vendor'   dengan
kerjasama   Perbadanan   Usahawan  Nasional  Berhad  (PUNB),
Bank-bank Perdagangan, Kementerian Kewangan dan  Kementerian
Perdagangan  Antarabangsa  dan  Industri.    Saya  berharap,
usahawan-usahawan yang berkebolehan akan tampil segera untuk
merebut peluang yang diwujudkan oleh Kerajaan.
17.  Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Loji YTL
Power Generation di Paka.

 
 



 
Google