home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	JALAN DATO ONN, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	:	10/11/94 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN MEMORIAL TUNKU 
			ABDUL RAHMAN PUTRA 



 Assalamualaikum   warahmatullahi   wabarakatuh   dan   salam
sejahtera.
   Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak  Jawatankuasa
Memorial Kebangsaan  kerana  menjemput saya untuk merasmikan
Memorial Tunku Abdul Rahman Putra pada hari ini.
2.   Sesuai dengan majlis pada pagi ini,  izinkan  saya juga
mengucapkan setinggi terima kasih kepada  keluarga  Almarhum
Tunku yang  telah  dengan  ikhlas  hati  menyerahkan  segala
khazanah dan bahan-bahan sejarah milik Tunku untuk dijadikan
bahan   pameran  Memorial  ini.    Sumbangan  itu  merupakan
khazanah negara yang  tidak  ternilai daripada segi sejarah.
Tanpa sumbangan ikhlas  daripada  keluarga  Almarhum  Tunku,
tidak mungkin Memorial ini dapat dilengkapkan  seperti  yang
kita saksikan pada hari ini.
3.   Pada 7 Julai 1992 kita telah melancarkan  projek  untuk
mengadakan Memorial Tunku Abdul  Rahman Putra bagi mengenang
jasa dan sumbangan Almarhum kepada bangsa dan negara.   Pada
hari ini kita berkumpul pula untuk perasmian Memorial ini.
4.   Saya  difahamkan  bahawa  Memorial yang tersergam indah
ini dibina dengan harga RM30 juta  di atas tapak seluas lima
ekar.    Perbelanjaan Memorial ini adalah daripada sumbangan
Kerajaan dan orang ramai, terutama syarikat-syarikat swasta.
Memorial ini adalah satu lagi bukti dan contoh kerjasama  di
antara  rakyat  dengan  Kerajaan  yang selaras dengan konsep
Persyarikatan Malaysia.
5.   Malaysia harus berbangga kerana Memorial ini  merupakan
Memorial  yang  terbesar  di  dunia jika dibandingkan dengan
'Presidential  Library'  di  Amerika,  terutamanya   'Ronald
Reagan  Memorial  dan  Richard Nixon Memorial'.   Ini adalah
dilihat daripada segi pengumpulan bahan-bahan yang dikaitkan
dengan Tunku yang  berjumlah  lebih  daripada  80,000  bahan
serta  ruang  pameran  dan bangunan yang seluas 110,000 kaki
persegi.
6.   Sebagai satu bangsa yang dihormati dan berdaulat,  kita
harus  sentiasa  menghargai  sumbangan  mereka  yang berjasa
kepada bangsa dan negara.  Tidak siapa dapat  mempertikaikan
bahawa  Tunku  Abdul  Rahman  Putra-lah  yang begitu berjasa
kepada negara dan merupakan negarawan yang ulung  di  negara
ini.
7.     Almarhum  Tunku,   negarawan   yang   telah   melalui
berbagai-bagai  liku  rintangan  dalam  perjuangannya  untuk
mencapai  kemerdekaan secara aman, telah berjaya membuktikan
bahawa pendekatannya bukan sahaja lebih  sihat  tetapi  juga
boleh   berjaya.      Pada  31  Ogos  1957  maka  merdekalah
Persekutuan  Tanah  Melayu.    Kemudian  pada   tahun   1963
perjuangannya  untuk membentuk Malaysia juga tercapai.  Asas
sistem demokrasi dan perpaduan kaum yang unik  seperti  yang
kita  amalkan  sekarang  telah  diilhamkan dan dibentuk oleh
Tunku Abdul Rahman melalui suatu proses  yang  tidak  mudah.
Semua ini terpapar dalam Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.
8.     Memorial ini juga diharapkan dapat berperanan sebagai
Pusat  Penyelidikan  mengenai  Almarhum  Tunku   bagi   para
penyelidik  dari  dalam  dan  luar  negara.    Memorial  ini
menyediakan   segala   bahan   penyelidikan   bermula   dari
kelahiran, kehidupan harian, sikapnya semasa menjadi anggota
Kedah  Civil  Service,  perjuangannya  mencapai kemerdekaan,
pembinaan bangsa,  kegiatannya  di  dalam  dan  luar  negara
hingga ke saat pemergiannya.  Saya percaya Memorial ini juga
dapat  berperanan sebagai satu daya tarikan  pelawat-pelawat
dari dalam dan luar negara.
9.     Sumbangan Tunku terhadap  bangsa,  agama  dan  negara
bukannya   sedikit.    Almarhum  Tunku  mula  memperjuangkan
bangsanya apabila beliau menjadi  Penolong  Pegawai  Daerah.
Berbagai-bagai  usaha  telah  dilakukan  oleh Almarhum Tunku
untuk menarik perhatian penjajah terhadap  kepentingan  kaum
bangsanya.    Bermula  dari  sinilah  Almarhum Tunku melihat
betapa  perlunya  negara  ini  diperintah   oleh   bangsanya
sendiri, sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat.  Ini
dapat  dilihat  daripada  beberapa kenyataan Tunku berhubung
dengan kedaulatan sesuatu bangsa dan negara.  Sebagai contoh
Tunku pernah mengatakan bahawa "Negara ini diterima daripada
Melayu,  maka  patutlah  diserahkan  balik  kepada   Melayu.
Tetapi  kita  mestilah  ingat  sekiranya kita hendak timbang
menimbang di atas perasaan-perasaan hawa nafsu bangsa-bangsa
asing, apakah yang akan jadi kepada bangsa Melayu  kita  dan
apakah   maknanya   yang   terkandung  di  dalam  Perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu?  Ini negeri hak Melayu dan berilah
kelebihan kepada Melayu."  Keutamaan kepada  kaum  bangsanya
tidaklah  sehingga  menidakkan  hak orang lain.   Hanya yang
dituntut ialah kelebihan  kepada  pemilik  asal  negara  ini
untuk   memastikan  mereka  mempunyai  tempat  dalam  negara
mereka.
10.  Pembangunan yang kita kecapi  hari  ini  tidak  mungkin
kita  nikmati  tanpa  perjuangan  awal  Almarhum Tunku untuk
membebaskan  rakyat   daripada   belenggu   penjajahan   dan
menyatukan berbagai-bagai kaum di Malaysia.  Sikap perkauman
dan  bermusuhan antara kaum dikikis dan diganti dengan sikap
toleransi, kompromi dan saling menghormati antara satu  sama
lain.  Untuk tujuan ini Almarhum Tunku telah membentuk Parti
Perikatan,  yang  menyatukan  tiga  parti yang mewakili tiga
kaum yang terbesar di Semenanjung Tanah Melayu  iaitu  UMNO,
MCA  dan  MIC,  menyatukan mereka sebagai satu bangsa Malaya
dengan menggunakan satu bahasa, iaitu Bahasa Kebangsaan yang
dapat difahami oleh semua kaum  dan  mengurangkan  prasangka
yang  wujud  serta  menyatukan berbagai-bagai bangsa sebagai
satu `Bangsa Malaysia' yang merdeka dan berdaulat.  Walaupun
pada tahun 1969 berlaku rusuhan kaum, tetapi Almarhum  Tunku
telah  terus  berpegang kepada prinsip-prinsip perjuangannya
dan menyumbang  kepada  usaha  membendung  masalah  tersebut
dalam   jangkamasa  yang  singkat.    Prinsip-prinsip  Tunku
jugalah yang membawa kepada pembentukan Barisan Nasional.
11.  Kita beruntung kerana pada hari ini  kita  dapat  hidup
dalam  keadaan  aman  dan makmur, berkat asas perpaduan yang
dimulai  oleh   Almarhum   Tunku   dan   diwariskan   kepada
pengganti-penggantinya.    Di  seluruh dunia, persengketaan,
perang saudara dan permusuhan antara kaum sering  dan  masih
berlaku, dengan meragut ratusan ribu nyawa serta memusnahkan
banyak  harta  benda.   Jika kita tidak mengalami nasib yang
sama, sebabnya ialah adanya  asas  toleransi  dan  perpaduan
kaum yang disemai oleh Almarhum Tunku.
12.    Mewujudkan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra bukanlah
sesuatu yang mudah.  Ia telah dibina hasil daripada gabungan
usaha Kerajaan dan rakyat terutamanya peniaga dan  pengusaha
negara   kita   dengan   tujuan   yang   sama,  iaitu  untuk
memperingati   seorang    bekas    Perdana    Menteri    dan
memperlihatkan   kepada  rakyat  dan  generasi  akan  datang
tentang  perjuangan,  pengorbanan,  harapan  serta  aspirasi
seorang  pemimpin  terhadap  negara,  bangsa  dan agama yang
dicintainya.  Bahan-bahan yang dipamerkan ini merupakan satu
peninggalan sejarah, sejarah yang dicipta  dan  dibina  oleh
seorang  negarawan  yang  berjiwa  besar  yang  tidak  boleh
dilupai atau dipisahkan daripada sejarah negara.
13.  Jika kita ingin jadikan  Memorial  Tunku  Abdul  Rahman
Putra  ini  sebagai  satu monumen yang boleh dibanggakan dan
dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat  dan  pelawat  dari
luar,  ia  perlu  diurus  dengan cekap dan dilengkapi dengan
kepakaran    serta    pembiayaan    yang     cukup     untuk
penyelenggaraannya.      Kita   bersyukur  kerana  sumbangan
daripada rakyat dan sektor swasta  telah  menjayakan  projek
ini.     Mereka  di  kalangan  rakyat  Malaysia  yang  mampu
hendaklah membantu memelihara Memorial ini.   Sumbangan  ini
akan membuktikan bahawa rakyat Malaysia menghargai jasa-jasa
Almarhum  Tunku.    Sumbangan  kepada Tabung Amanah Memorial
Tunku   Abdul   Rahman   Putra    akan    digunakan    untuk
menyelenggarakannya dengan baik.
14.    Walaupun  tidak  semua  bahan mengenai Almarhum Tunku
dapat dipamerkan di Memorial ini kerana ruangan yang terhad,
namun dengan inisiatif dan  kreativiti  pihak  Arkib  Negara
Malaysia,   bahan-bahan  yang  terbaik  dan  menepati  mesej
penting telah dipilih dan dipamerkan.  Mungkin juga khazanah
Almarhum ini akan dipamerkan berganti-ganti.
15.  Saya berharap pameran di  Memorial  ini  dapat  menarik
minat orang ramai terutama generasi muda yang bakal mewarisi
negara.    Semoga  mereka  dapat  mengenal  dan  mempelajari
pengalaman daripada sejarah agar semangat cintakan tanah air
akan tersemai subur.    Dengan  ini  mereka  akan  mempunyai
kesedaran  betapa  pentingnya  peristiwa  sejarah  dijadikan
garis panduan dalam membangunkan bangsa dan negara.
16.   Dengan harapan ini dan dengan  nama  Allah  Yang  Maha
Pengasih   dan   Maha   Pemurah,   saya  dengan  sukacitanya
merasmikan Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.
     Wabillahi    taufik     walhidayah     wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google