home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : JENGKA, PAHANG Tarikh/Date : 28/11/94 Tajuk/Title : SEMPENA HARI PERHIMPUNAN DESA WAWASAN Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar kerana menjemput saya untuk merasmikan Hari Perhimpunan Desa Wawasan 1994 pada hari ini. 2. Saya berasa terharu melihat begitu ramai peserta termasuk pemimpin-pemimpin tempatan yang telah datang dari seluruh negara untuk menghadiri perhimpunan ini. Hari Desa Wawasan ini adalah satu peristiwa bersejarah bagi kita membulatkan tekad dan menggemblengkan tenaga menentukan arah dan tujuan strategi pembangunan luar bandar pada masa hadapan selaras dengan wawasan negara dan memastikan sektor luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. 3. Di zaman sebelum merdeka, apabila kita menyebut perkataan 'kampung' tergambar kepada kita tentang betapa daifnya penghuni-penghuni yang tinggal di dalamnya. Keadaannya serba kekurangan. Kemudahan asas tidak mencukupi dan punca pendapatan adalah terhad. Ketika itu kita dicengkam kemiskinan. Sikap masyarakat kampung dikatakan tidak positif, tidak berminat bekerja kuat dan mudah berpuashati dengan apa yang ada semata-mata. Ini adalah kesan corak pentadbiran penjajah yang hanya mengutamakan kepentingan mereka dalam mengekploitasikan sumber negara tanpa mempedulikan kepentingan penduduk. Hanya setelah negara merdeka, barulah pembangunan desa diberi perhatian sewajarnya oleh pemerintahan yang diketuai oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra. Tun Razak yang ditugaskan untuk membangunkan kawasan luar bandar telah begitu berjaya sehingga Allahyarham diberi gelaran `Bapa Pembangunan'. Usaha pembangunan luar bandar ini diteruskan di bawah Allahyarham Tun Hussein Onn. Di bawah Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional tumpuan diberi untuk membasmi kemiskinan dan menaikkan kualiti pendidikan sehingga corak masyarakat kampung berubah dan bilangan penduduk berkurangan. 4. Pembangunan luar bandar kita merangkumi aspek pembangunan fizikal dan pembangunan kerohanian bagi meninggikan tahap sosio-ekonomi penduduk luar bandar. Dalam bidang pembangunan tanah sahaja FELDA telah membangunkan hampir 900,000 hektar dan menempatkan 116,400 peneroka, sementara FELCRA telah menyatu dan memulihkan 259,200 hektar tanah dengan melibatkan hampir 100,000 peserta. RISDA pula telah melaksanakan penanaman getah seluas 1.18 juta hektar yang melibatkan kira-kira 575,400 pekebun kecil, sementara Lembaga-Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) telah dapat menarik pihak awam dan swasta membangunkan seluas 863,400 hektar tanah di kawasan masing-masing termasuk seluas 70,600 hektar yang dibangunkan sendiri oleh LKW-LKW berkenaan. Jumlah tanah yang dibuka untuk berbagai-bagai jenis perusahaan estet adalah sebanyak empat juta hektar atau sembilan juta ekar. Tidak ada negara membangun lain yang berjaya membuka kawasan luar bandar yang sebegitu luas dan lengkap dalam proses pembangunan desa. 5. Kejayaan ini boleh dibanggakan oleh kita. Tetapi ia juga membawa masalah kerana peneroka dan peladang yang asal sudah meningkat umur sementara anak mereka mendapat pelajaran yang baik dan tidak lagi berminat untuk menjadi peladang. Hari ini kawasan luar bandar menjadi lengang kerana penduduk di antara 15 tahun hingga 45 tahun sudah berhijrah ke bandar untuk bekerja dalam kilang atau perniagaan-perniagaan lain. Masalah kekurangan tenaga kerja di luar bandar menjadi begitu serius sehingga ada ladang getah dan kelapa sawit yang tidak dapat mengeluarkan hasil kerana tidak ada pekerja. 6. Namun kita tidak dapat menafikan pentingnya pertanian dalam ekonomi negara. Jika dinaikkan upah sehingga dapat menarik balik pekerja ke ladang-ladang dan sawah kita, mungkin kos keluaran kita akan meningkat sehingga keluaran tidak lagi akan berdayasaing di pasaran. Kita boleh menggunakan jentera untuk mengurangkan tenaga kerja. Tetapi jentera tidak dapat mengganti dan membuat semua jenis kerja dalam bidang pertanian. Untuk mengekalkan kos yang rendah tetapi di masa yang sama meningkatkan juga pendapatan penduduk luar bandar, pendekatan yang baru diperlukan. 7. Pendekatan yang difikirkan sesuai ialah perusahaan sampingan. Pertanian biasanya memberi banyak kelapangan masa kepada petani. Jika perusahaan sampingan dapat diadakan maka masa lapang boleh mendatangkan hasil. Dengan kerja sampingan ini pendapatan penduduk luar bandar boleh ditambah tanpa menjejaskan pertanian sebagai satu daripada keperluan negara. 8. Memandangkan kepada masalah inilah maka Kerajaan baru-baru ini telah meningkatkan lagi usaha untuk memperkenalkan industri kecil yang sesuai dengan keadaan di kampung. Konsep 'satu kampung satu pengeluaran' yang diterokai dengan jayanya di Jepun telah diperkenalkan kepada beberapa negeri di Semenanjung. Industri yang dimaksudkan bukanlah seni kerjatangan semata-mata, walaupun pulangan daripada industri ini masih baik tetapi juga industri yang lebih canggih seperti membuat paku dan barangan daripada 'fibreglass', iaitu sejenis plastik yang diguna dengan meluas dalam berbagai-bagai jenis barangan moden seperti tangki air, 'cooling tower' dan 'bot'. 9. Percubaan yang telah dibuat membuktikan kemampuan penduduk luar bandar mengeluarkan barangan yang canggih dengan kualiti yang tinggi dan harga yang berpatutan. Pendapatan yang diperolehi amatlah baik jika usaha yang bersungguh-sungguh dibuat. Soal kecekapan tidak menjadi masalah bagi mereka yang sanggup dilatih dan sanggup bekerja. Umur dan jantina juga bukan halangan. 10. Industri-industri ini pula boleh diperluaskan walaupun tidaklah sehingga menjadi perusahaan gergasi. Tetapi untuk mencapai tahap kemajuan ke peringkat ini, penduduk kampung dan pekerja estet perlu menyesuaikan diri dengan cara-cara bekerja dalam industri yang lebih teratur daripada bekerja dalam bidang pertanian. 11. Disiplin kerja dalam bidang pertanian dikuasai oleh iklim. Masa menanam, masa mengerat, masa menoreh getah dan mengait buah ditentukan oleh musim dan cuaca hujan atau panas. Disiplin pertanian lebih longgar kerana masa yang panjang ada untuk membuat sesuatu kerja. Justeru itu kerja tidak perlu menepati masa yang tetap. 12. Dalam industri, disiplin ditentukan oleh pasaran. Bekalan yang terhenti-henti, tidak tetap, tidak dijadualkan secara tertib, tidak berkualiti, harga tidak ditentukan awal-awal dan diikat dengan kontrak dan janji, dan bermacam-macam lagi keperluan pasaran mesti diamal dan dipatuhi dalam usaha menjayakan industri. Persaingan yang hebat tidak dapat dielakkan dalam industri pembuatan. Peningkatan mutu dan kecanggihan barangan keluaran perlu diusaha sepanjang masa. Jika pun perusahaan kecil tidak dapat membuat R & D atau penyelidikan dan pembangunan bagi barangan yang dikeluarkan, sekurang-kurangnnya perkembangan terkini dalam bentuk atau cara pengeluaran perlu diikuti dan di mana boleh dipergunakan. 13. Oleh kerana keperluan-keperluan pasaran yang telah disebut tadi, maka industri pembuatan perlu diusaha secara lebih tertib dan tersusun. Kerja mesti dibuat mengikut jadual yang tetap. Biasanya selain daripada hari cuti atau hujung minggu, pengusaha dan pekerja mesti bekerja pada masa yang ditentukan. Masa untuk berehat dan berhenti makan mestilah tetap. Masa bekerja mestilah ditumpukan kepada kerja dan kerja tidak harus terhenti kerana ada sesiapa datang atau urusan sambilan yang lain. Urusan-urusan lain mesti dijadualkan di luar masa tetap untuk bekerja dalam perusahaan. Apa juga cara untuk meningkatkan pengeluaran tanpa menjejas mutu barangan yang dikeluarkan mestilah diamalkan. 14. Semua ini jelas berbeza daripada budaya pertanian yang turun-temurun menjadi budaya penduduk luar bandar. Di kebanyakan negara yang mundur, tabiat yang terburuk ialah tabiat berjalan-jalan atau 'walkabout'. Bangsa dan kaum yang mundur akan berhenti kerja untuk berjalan-jalan ke sana sini sehingga semua wang upahan atau pendapatan dibelanjakan. Kemudian mereka balik untuk bekerja dan berusaha. Tabiat ini menyebabkan pengeluaran barangan menjadi tidak tetap dan terhenti-henti. Pelanggan tidak dapat menentukan sama ada akan mendapat bekalan atau tidak. Sudah tentu pembeli juga kurang yakin akan bekalan. Mereka akan mengalih pembelian mereka kepada pengeluar yang lain atau berhenti membeli sama-sekali. Dengan itu perusahaan dan perniagaan akan terhenti. 15. Tidak hairanlah kenapa kaum yang mundur yang tidak berdisiplin semasa bekerja, yang suka pergi berjalan-jalan apabila sahaja mendapat upahan hujung bulan atau hujung minggu, tidak mungkin maju. Mereka sentiasa dipandang rendah dan tidak dihormati. 16. Sebaliknya bangsa dan kaum yang tertib dan berdisiplin semasa bekerja, menghormati jadual kerja dan mutu hasil kerja, tetap akan menjadi bangsa yang berjaya, dihormati dan disegani. Hanya bangsa ini sahaja yang dapat mempertahankan kemerdekaan mereka dan berpengaruh dalam masyarakat antarabangsa atau masyarakat berbilang kaum. 17. Pembentukan budaya kerja yang sesuai dengan industri adalah penting. Sebenarnya kejayaan bangsa-bangsa perindustrian yang maju bukanlah disebabkan oleh penerokaan mereka dalam ilmu seperti kejuruteraan dan teknologi. Ini boleh dipelajari oleh sesiapa atau dibeli. Tetapi kejayaan mereka sebenarnya disebabkan oleh budaya kerja mereka iaitu berdisiplin, bertanggungjawab, rajin, tekun, menitikberatkan mutu pengeluaran dan mengelakkan daripada sebarang kecacatan. Memang benar, manusia tidak mungkin bebas daripada kecacatan. Tetapi usaha ke arah ini mesti dibuat, walaupun masih belum berjaya. Yang diharapkan ialah pengurangan kecacatan seberapa yang boleh. 18. Saya ingin menekankan sekali lagi akan pentingnya budaya kerja dalam menjayakan peralihan petani kepada pengusaha industri sampingan walaupun industri yang dimaksudkan itu adalah industri kecil untuk menambah pendapatan mereka sahaja, bukan untuk menjadikan mereka pengusaha sepenuh masa. Namun penerapan budaya kerja ini boleh menjadikan mereka pengusaha yang berjaya yang akan berhenti daripada menjadi hanya pengusaha sampingan. 19. Saya yakin di masa akan datang bilangan petani dan penduduk luar bandar akan berkurangan lagi. Anak-anak mereka akan berhijrah ke bandar. Mereka sendiri akan berumur dan tidak lagi dapat bekerja. Sebaliknya negara tetap akan memerlukan pertanian, sekurang-kurangnya untuk membekal keperluan makanan semasa darurat, di waktu mana kita tidak dapat mengimport barangan makanan dari luar. 20. Kita mungkin berpendapat bahawa masa itu adalah jauh lagi dan kita tidak perlu memikirkannya. Tetapi pengurangan bilangan penduduk luar bandar dan petani, kekurangan pekerja di ladang getah dan kelapa sawit, termasuk yang dimiliki oleh FELDA dan agensi-agensi lain, sudah pun berlaku dengan begitu cepat selepas kita membangunkan industri sehingga kita tidak dapat menangani masalah ini dengan jayanya. 21. Hari ini kita terpaksa menggunakan pekerja asing atau membiarkan sahaja pohon getah tidak ditoreh dan buah kelapa sawit tinggal di pokok. Kerugian kita amatlah tinggi. Tetapi oleh kerana pendapatan daripada pertanian begitu rendah dan kerja pula tidak selesa, kita tidak dapat memujuk rakyat kita sendiri untuk bekerja di sawah dan ladang. 22. Jika kita dapat menaikkan industri pembuatan di luar bandar kepada yang sederhana, jika keselesaan pekerja diperbaiki, maka penduduk luar bandar tidak akan terlalu berkurangan. Dan jika kita tingkatkan penggunaan jentera yang lebih canggih, kita mungkin dapat menggunakan sebilangan yang kecil daripada pekerja kilang bekerja secara sambilan dalam bidang pertanian. Dengan perkataan lain, jika pada mulanya kita mengadakan pekerja ladang dan sawah bekerja secara sambilan sebagai pekerja kilang kecil, kita akhirnya akan mempunyai pekerja-pekerja kilang sederhana di luar bandar yang akan bekerja sebagai petani atau peladang. Upah mereka bolehlah dinaikkan dan pelaburan untuk alat canggih ditingkatkan melalui `cross-subsidy' daripada kilang. Hasil pertanian juga akan memperolehi harga yang lebih tinggi. 23. Dengan ini penduduk di luar bandar akan menikmati cara dan taraf hidup yang tidak jauh berbeza daripada penduduk bandar. Impian kita ialah ladang-ladang yang besar milik petani yang mengusahakannya secara industri pertanian dan bukan sebagai petani yang "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang". 24. Pada hari kita merayakan Desa Wawasan, kita perlu memikirkan masa depan penduduk desa. Lebih penting lagi ialah kita perlu merancangkan bentuk cara hidup yang akan dinikmati oleh penduduk desa di masa-masa akan datang. Sudah tentu kita tidak ingin mereka kekal seperti keadaan sekarang, sudah tentu kita ingin membaiki cara hidup dan keadaan di desa, jika tidak sama dengan keselesaan hidup di bandar, sekurang-kurangnya tidak terlalu ketinggalan seperti sekarang. 25. Dalam negara yang maju, semua rakyat, di bandar dan di desa, harus menikmati keselesaan dan kebahagiaan hidup secara adil dan saksama. Sementara kita merancang dan memperkenalkan caranya, mereka yang tinggal di luar bandar juga harus tahu peranan mereka. Tidak ada sesuatu yang lebih mulia dalam masyarakat manusia daripada mendapat sesuatu melalui titik peluh sendiri. Mereka yang mendapatnya dengan cara ini tidak akan terpisah daripadanya dengan mudah. Maruah mereka akan terpelihara. 26. Dengan harapan setinggi gunung ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Hari Perhimpunan Desa Wawasan 1994. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. |