home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : STADIUM DARUL AMAN, ALOR SETAR, KEDAH Tarikh/Date : 01/12/94 Tajuk/Title : PERASMIAN MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-37 TAHUN 1415H/1994M Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya mengucapkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya, kita dapat bersama-sama untuk menjayakan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi kali ke-37 ini. 2. Majlis yang diadakan secara tahunan ini amatlah bermakna kepada umat Islam di negara ini kerana ia menjadi bukti keutuhan agama Islam yang menyumbang ke arah perpaduan umat Islam di seluruh negara. 3. Saya amat berbangga dan bergembira dengan penyertaan yang amat menggalakkan dari semua negeri kerana ia dapat menggambarkan semangat perpaduan dan cintakan al-Quran yang menjadi panduan dan ikutan umat Islam seluruhnya. 4. Al-Quran yang dibawa oleh Rasul terakhir kita Nabi Muhammad s.a.w. mengandungi panduan untuk semua aspek tatacara hidup manusia di dunia ini, sama ada daripada segi akidah, syariah atau perundangan, ekonomi dan pentadbiran, serta juga ibadat dan akhlak, iaitu perkara berkaitan dengan soal sosial atau kemasyarakatan. Panduan-panduan dalam al-Quran mencukupi untuk kita membentuk budaya dan tamadun kita dan usaha kita dalam semua bidang termasuk penciptaan cara dan pendekatan dalam menangani masalah hidup, penerapan dan penerokaan dalam bidang ilmu dan penciptaan alat dan barangan yang boleh menolong memperbaiki kehidupan kita serta amal ibadat kita untuk akhirat. Sementara kita tidak mungkin mencipta pesawat terbang atau alat-alat pertahanan yang canggih yang sesuai untuk zaman ini hanya dengan membaca al-Quran, tidaklah dapat sesiapa menafikan bahawa terdapat dalam al-Quran gesaan supaya kita mencipta dan mengeluarkan barangan-barangan ini. Ini jelas daripada nasihat dalam al-Quran supaya umat Islam bersiap sedia untuk pertahanan dengan kuda dan pedang. Kuda dan pedang adalah alat pertahanan di zaman Nabi yang sama perlunya dengan pesawat terbang tempur, peluru berpandu, roket dan kapal perang di zaman ini. Sementara kita perlu menggalakkan bacaan al-Quran, kita juga harus tahu makna kandungannya dan benar-benar menjadikannya sebagai panduan. Ini bermakna bahawa kita tidak menghadkan diri kita kepada membaca al-Quran sahaja tetapi kita juga perlu menuntut ilmu-ilmu lain dalam usaha kita untuk menghayati ajaran al-Quran. 5. Islam adalah agama yang amat mementingkan nilai akhlak di dalam kehidupan manusia. Ini adalah amat tepat sekali kerana tujuan utama Nabi Muhammad s.a.w diutuskan ke dunia ini adalah untuk membawa mesej akhlak mulia untuk dihayati oleh semua peringkat manusia di dunia ini. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Ahzab ayat 21 bermaksud: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." 6. Kekuatan, keamanan dan kemakmuran sesebuah negara adalah terletak sebahagian besarnya kepada kemantapan dan keutuhan akhlak yang baik dan murni yang dimiliki oleh setiap individu. Tanpa akhlak yang baik sesuatu masyarakat itu akan menjadi kucar-kacir, mengalami hura-hara dan akan rosak binasa. Gejala-gejala sosial yang membimbangkan masyarakat akan timbul seperti jenayah, merompak, membunuh, menagih dadah, wabak AIDS, penyalahgunaan kuasa dan wang, penderaan isteri dan anak-anak, budaya lepak, bohsia dan berbagai-bagai lagi jenis keruntuhan akhlak. Gejala-gejala ini sekiranya tidak ditangani segera akan membawa padah yang buruk kepada negara. 7. Semua fenomena buruk yang disebutkan di atas adalah disebabkan kelunturan keimanan dalam hati seseorang. Justeru itu, wadah yang berkesan di dalam menangani wabak tersebut ialah dengan menghayati isi kandungan dan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang terdapat di dalam al-Quran. Dengan menghayati segala ajaran yang terkandung di dalam al-Quran, gejala-gejala tersebut akan dapat dihapuskan. 8. Memang benar dan tepat sekali bahawa al-Quran adalah panduan dan pembina akhlak mulia, walaupun bagi masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Ini adalah kerana akhlak yang dimuliakan oleh Islam tidak bertentangan dengan konsep yang sama bagi masyarakat bukan Islam, walaupun tekanannya mungkin berbeza. 9. Umat yang maju jaya di dunia dan di akhirat adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai ciri-ciri akhlak mulia dan mereka yang bersifat demikian akan dapat membangunkan tamadun tinggi. Ini dapat dilihat daripada sejarah tamadun Islam di zaman Rasulullah s.a.w. dengan terbentuknya sebuah negara Islam yang tertib, aman dan maju sehingga agama Islam dihormati dan mudah diterima di wilayah-wilayah yang berjauhan dari tempat lahirnya Islam. Tamadun Islam hanya menjadi luntur apabila ajaran al-Quran dibelakangkan atau disalahtafsirkan demi kepentingan pihak- pihak tertentu. 10. Masyarakat sesebuah negara yang menghayati dan mengamalkan ciri-ciri akhlak mulia yang disarankan oleh al-Quran akan hidup di dalam keadaan aman, sejahtera, dan menikmati kestabilan politik, kemantapan ekonomi dan kemajuan negara. Dengan sendirinya ketinggian martabat dan kecemerlangan hidup akan tercapai. 11. Kita amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana negara kita berada di dalam keadaan aman dan sejahtera dan dilindungi daripada berbagai-bagai bencana buruk. Keadaan ini kita nikmati hasil daripada penghayatan seluas mungkin ajaran Islam serta akhlak murni yang berteraskan kepada al-Quran. 12. Tidak ada masyarakat Islam yang mungkin berjaya seratus peratus menghayati ajaran al-Quran dan mengecapi sepenuh nikmat daripadanya. Ini adalah kerana kelemahan manusia. Tetapi setiap masyarakat Islam perlu mencuba. Insya-Allah sedikit sebanyak kita akan berjaya dan mengecapi nikmat yang dijanjikan. Jika hari ini kita menikmati kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi di tahap yang kita boleh berbangga, sebabnya ialah kerana kita cuba menghayati ajaran al-Quran. 13. Umat Islam tidak akan menjadi kucar kacir dan sesat selagi mereka berpegang teguh kepada dua sumber yang ditinggalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Perkara ini difirmankan oleh Allah menerusi ayat 59 Surah An-Nisaa' yang bermaksud: "....Jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." 14. Oleh sebab itu setiap individu muslim diwajibkan mempelajari kedua-dua sumber ini dan memahaminya supaya semua gerak-geri dan tingkah-laku berpandu dan dipengaruhi oleh sumber-sumber ini. 15. Kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat tidak akan tercapai sepenuhnya selagi akhlak kita tidak dipengaruhi oleh ajaran al-Quran. Keruntuhan moral di kalangan generasi hari ini sebahagian besarnya berpunca daripada kurangnya kefahaman mengenai ajaran al-Quran. Oleh itu, saya menyeru semua pihak, terutama sekali ibu bapa, guru-guru dan media massa serta pihak-pihak lain yang berkaitan supaya memberikan keutamaan dan perhatian yang serius kepada penghayatan ajaran Islam berkenaan akhlak. 16. Akhir kata, saya berharap umat Islam akan kembali menghayati dan mempertingkatkan usaha mereka ke arah melaksanakan nilai-nilai murni dan akhlak mulia di dalam kehidupan mereka. 17. Dengan lafaz 'Bismillahirrahmanirrahim' saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-37 ini. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. |