home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	JALAN TANDANG, PETALING JAYA, 
Tarikh/Date 	: 	08/12/94 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PUSAT TEKNOLOGI TAYAR 
			SIME DARBY (SDTTC) 


 
    Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak  Sime  Darby
dan  Sumitomo  Rubber Industries kerana menjemput saya untuk
merasmikan pembukaan Pusat Teknologi Tayar Sime  Darby  atau
SDTTC pada hari ini.
2.    Hanya dua tahun yang lepas saya telah menyaksikan satu
majlis menandatangani perjanjian usahasama  di  antara  Sime
Darby  dengan Sumitomo Rubber Industries (SRI) untuk menubuh
dan mengendalikan sebuah pusat teknologi tayar di  Malaysia.
Pada  hari  ini,  saya  berasa  lebih  gembira  kerana dapat
menyaksikan  hasil  daripada  perjanjian  tersebut.     Saya
mengucapkan  tahniah  kepada  Sime Darby dan Sumitomo Rubber
Industries di  atas  penubuhan  kemudahan  Penyelidikan  dan
Pembangunan  (R&D)  sektor  tayar  swasta  yang  pertama  di
Malaysia  dan juga di rantau ini.
3.   Banyak yang telah diperkatakan tentang perlunya negara-
negara yang sedang  membangun  menambahkan  lagi  peruntukan
untuk  R & D.   Namun,  di Malaysia sendiri,  di mana sektor
swastanya memainkan  peranan  yang  pro-aktif  dan  sentiasa
menyokong  rancangan  perindustrian  negara, cuma segelintir
sahaja sektor swasta yang telah  menunjukkan  inisiatif  dan
memberikan  sambutan  dengan  melabur  dalam  R  & D.   Pada
pandangan saya, masalah ini  adalah  kerana  R  &  D  jarang
mendatangkan  keuntungan dalam jangkamasa yang pendek.  Akan
tetapi, jika  syarikat-syarikat  swasta  di  Malaysia  hanya
mempunyai    wawasan    jangkamasa   pendek   yang   terhad,
bagaimanakah mereka boleh mimpikan kejayaan  untuk  mencapai
matlamat  jangkamasa  panjang  Wawasan  2020?    Kini adalah
masanya untuk menanam benih pelaburan di dalam R  &  D  jika
kita   mahu   merasakan   hasilnya  di  tahun  2020  dan  di
tahun-tahun yang akan datang.  Tanpa pelaburan di dalam R  &
D  pada  hari  ini,  syarikat-syarikat  Malaysia  tidak akan
berupaya untuk berdikari di  masa  hadapan  dan  akan  terus
bergantung  kepada  teknologi  asing,  yang  mana  ini  akan
mengurangkan dayasaing kita.
4.     Dalam ertikata lain,  di  dalam  dunia  dagangan  dan
industri  hari  ini,  di  mana  jenama produk yang kukuh dan
terkenal  menguasai  premium  dan  kedudukan   utama   dalam
pasaran,  adalah  penting  bagi  syarikat-syarikat  Malaysia
memajukan    jenama    barangan    mereka    sendiri     dan
memperkenalkannya  ke  peringkat antarabangsa.   Jika mereka
mahukan  penglibatan  yang  bermakna   di   dalam   dagangan
antarabangsa,     syarikat-syarikat     Malaysia    haruslah
mengukuhkan jenama barangan mereka agar diiktiraf di seluruh
dunia dan mempunyai reputasi yang  cemerlang  daripada  segi
kualiti.
5.     Industri kereta Jepun merupakan satu contoh yang baik
mengenai kejayaan dasar seumpama ini.  HONDA, TOYOTA,    dan
NISSAN  bukanlah  jenama  yang terkenal dalam dunia otomotif
dahulu.  Tetapi hasil daripada kegigihan dalam bidang R &  D
dan  peningkatan kualiti keluaran mereka, jenama Jepun dalam
industri otomotif sudah diakui.  Hari ini mereka tidak perlu
sembunyi jenama  mereka  atau  mengaitkannya  dengan  jenama
Eropah  atau  Amerika  yang lebih terkenal.   Saya berharap,
sepertimana  Sime  Darby   telah   merintis   jalan   dengan
menubuhkan  sebuah  kemudahan  Penyelidikan  dan Pembangunan
untuk  tayar,   ia   juga   akan   mempelopori   usaha-usaha
mengukuhkan  lagi  jenama  barangan  mereka  di pasaran luar
negeri dan di masa akan datang memperolehi pengiktirafan  di
peringkat antarabangsa melalui R & D dan peningkatan kualiti
mereka.
6.     Tidak ada negara di dunia ini yang sanggup memberikan
teknologinya secara percuma dan Jepun adalah negara  pertama
yang  menyedari  akan  hakikat ini, setelah mereka dahulunya
banyak membayar yuran bantuan teknikal  atau  royalti  untuk
memperolehi  teknologi  asasnya.   Walau bagaimanapun, kunci
kejayaan, seperti yang telah jelas ditunjukkan  oleh  negara
Jepun,  adalah dengan menggunakan input teknikal ini sebagai
landasan untuk  memperbaiki  dan  memajukan  lagi  teknologi
tersebut.    Di  dalam  dunia  hari ini, sekiranya keupayaan
teknikal  tidak  dikembangkan  ianya  akan  membawa   kepada
kelembapan.    Tanpa  pengembangan teknologi yang berterusan
mana-mana jua syarikat perkilangan  yang  mahu  terus  kekal
bersaing  terpaksa  berulangkali  mengeluarkan  perbelanjaan
untuk membeli teknologi yang terkini.  Ini akan mengurangkan
daya saingan barangan mereka.   Sebaliknya jika  peningkatan
teknologi  adalah  hasil  R  & D sendiri, royalti tidak akan
menjadi beban dan keunggulan produk akan diakui.
7.    Ramai daripada pengusaha Malaysia  kurang  yakin  akan
kebolehan    penyelidik   tempatan   dalam   mencipta   atau
meningkatkan teknologi bagi  barangan  mereka.    Sebenarnya
saintis  dan  penyelidik Malaysia sudah pun terkenal.  Dalam
bidang pertanian  mereka  telah  perolehi  banyak  kejayaan.
Klon  getah  yang mereka hasilkan mengeluarkan 10 kali ganda
lebih banyak susu getah daripada pokok  getah  asal.    Klon
kelapa  sawit juga mengeluarkan lebih banyak buah lebih awal
daripada pokok yang asal.  Dalam satu pameran yang  diadakan
baru-baru ini terdapat inovasi cara memelihara kualiti benih
pokok  getah  yang  dihasilkan  oleh  pekerja pangkat rendah
sahaja.
8.   Mungkin ada pendapat bahawa penyelidikan  dalam  bidang
pertanian  adalah  lebih  mudah.   Sebenarnya pendekatan dan
proses penyelidikan tidak berbeza walau  apa  pun  jenisnya,
sama    ada    'chemical',   'physical',  'electrical'  atau
'electronic'.    Jika   kita   sudah   mempelajari   tentang
'properties'  yang  dimiliki  oleh  bahan atau barangan atau
jentera, tentu tidak menjadi masalah  untuk  mencampur  atau
mengubah sedikit-sedikit campuran atau bentuk secara teratur
dengan  mencatat  semua  `character' atau `performance' yang
dihasilkan.  Jika pertukaran daripada segi `proportion' atau
`performance' sudah dikenali maka  aplikasi  boleh  diteroka
pula.  Lambat laun sesuatu yang baru yang lebih baik mungkin
terjumpa.   Yang diperlukan hanyalah ketekunan untuk mencuba
secara sistematik.  Jika ini sudah  menjadi  budaya  saintis
penyelidik,  apa  juga  bidang  boleh dikaji dan dibangunkan
dengan jayanya.  Tidak ada misteri dalam bidang kajian.  Dan
sudah   tentu   kemampuan   tidak    dianugerahkan    kepada
bangsa-bangsa  tertentu  sahaja.    Siapa juga boleh asalkan
sanggup mencuba tanpa jemu.
9.   Satu perkara yang harus diberi perhatian oleh ahli-ahli
penyelidik ialah hampir semua  barangan  yang  kita  gunakan
dicipta   dan   dikeluarkan   di  negara  `temperate'  untuk
masyarakat yang mempunyai  budaya  yang  berlainan  daripada
kita  di  kawasan  tropika.   Hanya dengan memberi perhatian
kepada keperluan iklim tropika dan  budaya  rakyat  Malaysia
sahaja  pun,  kita akan dapat menyesuaikan barangan-barangan
buatan  yang  kita  gunakan  setiap  hari.     Apabila   ini
disesuaikan   maka  pasaran  yang  luas  akan  terbuka  bagi
keluaran kita di negara-negara  tropika  yang  lain  dan  di
kalangan   masyarakat   yang  berbudaya  sama  dengan  kita,
umpamanya orang Islam.  Penyelidik-penyelidik di  pusat  ini
tentu tahu akan kesan iklim panas ke atas tayar umpamanya.
10.    Interaksi  di antara kakitangan teknikal SDTTC dengan
rakan-rakan   sejawat  di  SRI  di  dalam  usaha  menubuhkan
kemudahan ini dan juga pertukaran kakitangan di antara pusat
ini   dengan  SRI  di  Jepun  akan  dapat  menambahkan  lagi
pengetahuan dan latihan saintifik untuk rakyat  Malaysia  di
dalam  bidang  yang masih banyak lagi yang perlu dipelajari.
Latihan serta  pembangunan  dalam  kemahiran  saintifik  dan
teknikal  akan  memainkan  peranan  yang  penting  di  dalam
menyediakan  keperluan  tenaga  manusia   untuk   menjayakan
matlamat  Wawasan  2020.   Saya mengucap terima kasih kepada
Sumitomo kerana sedia bekerjasama dan membantu  penyelidikan
dalam bidang ini.  Sikap ini menidakkan dakwaan bahawa Jepun
enggan memindah teknologi mereka.
11.  Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan
Pusat Teknologi Tayar Sime Darby.

 
 



 
Google