Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KOLEJ TAFE, SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN Tarikh/Date : 10/12/94 Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MIC Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat MIC kerana menjemput saya sekali lagi untuk merasmikan Perhimpunan Agung MIC tahun ini. Ini memanglah tradisi kita di dalam Barisan Nasional di mana Pengerusi BN merasmikan Perhimpunan Agung parti-parti komponennya. 2. Saya turut berbangga melakukan perasmian ini kerana ini merupakan satu peluang yang baik untuk bertemu serta berucap kepada ahli-ahli MIC dan juga wakil-wakil parti komponen BN. Saya percaya Perhimpunan Agung MIC pada tahun ini bukan sahaja akan berjalan lancar dan teratur tetapi lebih penting akan berjaya menghasilkan resolusi-resolusi yang pragmatik dan yang mengambilkira kepentingan masyarakat berbilang kaum di Malaysia amnya. Saya juga yakin resolusi-resolusi yang dikemukakan akan dapat membantu MIC untuk memperkukuhkan imejnya sebagai parti komponen yang memperjuangkan nasib masyarakat India dan mempertingkatkan perpaduan kaum di dalam masyarakat Malaysia. 3. Sungguhpun MIC merupakan parti komponen yang kecil di Semenanjung berbanding dengan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain, ianya tetap berperanan penting dalam mewujudkan kestabilan politik dan kesejahteraan di negara kita. MIC telah banyak menyumbang kepada kemajuan negara dengan peranannya sebagai penggerak masyarakat India di negara ini. Dengan komitmen yang tinggi serta semangat kerjasama yang ikhlas, MIC telah bersama-sama memupuk semangat harmonis di kalangan rakyat. Dengan kepimpinan yang berwibawa dan dinamik, MIC telah menyumbang kepada Barisan Nasional dalam mengurus pembangunan negara ke tahap pembangunan ekonomi yang membanggakan. Rakyat Malaysia termasuk masyarakat India kini mengecapi kualiti hidup yang amat selesa berbanding dengan negara-negara majmuk yang lain. Namun, seperti juga dengan masyarakat yang lain di Malaysia, ada yang masih tertinggal. Ini lebih disebabkan mereka tidak sanggup berusaha atau menukar cara hidup mereka, kerana di negara yang mempunyai lebih satu juta pekerja asing, tidak ada sebab kenapa penduduk tempatan tidak mendapat peluang kerja dan pendapatan yang baik. 4. Ekonomi negara kini telah bertumbuh di paras lebih daripada lapan peratus setahun selama tujuh tahun berturut-turut. Dengan wujudnya pertumbuhan ekonomi yang pesat ini, semua rakyat Malaysia termasuk masyarakat India telah sama-sama mendapat manfaat daripada kemewahan negara ini. Banyak peluang terbuka untuk semua rakyat mengubah nasib mereka asalkan yang penting ialah adanya kemahuan dan kesediaan mereka untuk bekerja dan berusaha. Melalui program-program `privatisation', Kerajaan telah banyak membuka laluan bagi rakyat Malaysia dan pertubuhan mereka mencuba bidang-bidang baru atau melabur. Ada dakwaan yang menyatakan bahawa penswastaan memberi manfaat hanya kepada segelintir golongan iaitu syarikat-syarikat besar dan mereka yang rapat dengan pemimpin negara sahaja. Saya telah menjelaskan perkara ini di beberapa forum yang lalu dan sukalah saya tegaskan sekali lagi bahawa ini adalah satu tuduhan yang tidak benar. Ingin saya tegaskan di sini bahawa program penswastaan telah berjaya membantu usaha pembangunan yang tidak mungkin dibuat oleh Kerajaan. Sehingga kini sebanyak 120 projek telah pun diswastakan. Penswastaan projek-projek ini telah menghasilkan peningkatan kecekapan dan produktiviti. Ini dapat disaksikan daripada kejayaan yang telah dicapai oleh semua entiti yang terlibat. Penswastaan telah menghasilkan tambahan modal dalam pasaran saham sebanyak RM10.8 billion. Sebanyak RM5 billion perbelanjaan mengurus dan RM40.6 billion perbelanjaan pembangunan telah dapat dijimatkan dengan penswastaan entiti-entiti tersebut. Sementara itu, 92,700 kakitangan Kerajaan telah berpindah ke sektor swasta dan mendapat upahan yang lebih tinggi. Hasil daripada penjimatan ini Kerajaan boleh menyalurkan sumber yang ada kepada usaha lain, terutamanya dalam bidang pendidikan dan kesihatan serta program membasmi kemiskinan. Kerajaan Barisan Nasional tidak membuat dasar melainkan ia boleh menguntungkan rakyat dan negara. 5. Dasar Kerajaan seperti Dasar Pembangunan Nasional (DPN) jelas merupakan pendekatan yang penting dan strategik bagi menentukan keadilan sosial benar-benar berlaku. Ianya adalah hasil perancangan Kerajaan Barisan Nasional untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang maju dan sejahtera. Di negara ini tidak wujud kebuluran seperti di sesetengah negara lain. Kemiskinan mutlak telah banyak berkurangan. Dalam hal ini Kerajaan juga telah berjaya mengatasi masalah menyusun semula masyarakat. Rakyat Malaysia mempunyai tempat berlindung dan juga kemudahan untuk mendapat pendidikan asas, peluang-peluang pekerjaan dan bermacam-macam lagi. Keutamaan akan sentiasa diberi kepada peningkatan mutu kehidupan rakyat daripada segi keperluan asas atau `basic needs'. Pembasmian kemiskinan akan sentiasa menjadi teras utama program-program pembangunan tanpa mengira kaum. 6. Pencapaian kita ini bukan sahaja tertumpu kepada bidang ekonomi malahan di bidang-bidang lain juga seperti di dalam aspek pendidikan dan pembangunan sosial. Semua ini telah dapat kita lakukan kerana Kerajaan Barisan Nasional dapat mempraktikkan falsafah demokrasi yang berteraskan keadilan. Konsep Barisan Nasional telah terbukti berjaya dalam menyatukan parti-parti komponen dan seterusnya merapatkan perhubungan antara kaum hinggakan mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat. Yang penting di sini ialah rakyat menaruh kepercayaan yang tinggi kepada kemampuan Barisan Nasional dalam mengurus dan mentadbirkan negara dengan baik. Barisan Nasional memang merupakan satu ikatan parti yang mengambilkira kepentingan berbagai-bagai kaum. Justeru itu, kita mestilah berusaha untuk memperkukuhkan institusi politik yang unik ini agar negara kita akan terus menikmati keharmonian kaum dan seterusnya pembangunan yang pesat. 7. Kita ketahui bahawa kekuatan Barisan Nasional adalah juga disebabkan sokongan yang kuat daripada MIC. MIC pula jelas mendapat mandat daripada majoriti masyarakat India di negara ini untuk memelihara kepentingan mereka dan masa depan anak cucu mereka. Generasi masyarakat India yang akan datang mempunyai prospek yang cerah. Kita tidak dapat menafikan bahawa masyarakat India telah banyak menikmati faedah daripada kekayaan negara. 8. Sehubungan dengan ini kita harus berbangga kerana Malaysia berjaya mencapai pertumbuhan di samping mewujudkan pengagihan kekayaan yang saksama. Rakyat daripada berbagai-bagai kaum tidak ketinggalan menikmati hasil kekayaan negara. Rakyat daripada berbagai-bagai kaum bersama-sama berjaya merebut peluang-peluang yang wujud hasil daripada `the expanding economic cake'. Pendapatan per kapita rakyat Malaysia dianggarkan melebihi RM9,000. Jika diukur daripada segi kuasa membeli ataupun `purchasing power', nilai sebenar pendapatan ini adalah jauh lebih tinggi iaitu melebihi sekali ganda. 9. Dalam kita menikmati kejayaan ini, kita harus terus berhati-hati menggunakan sumber yang ada. Peningkatan pendapatan hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang tinggi perlu digunakan sebaik mungkin. Paras tabungan negara yang tinggi merupakan sumber dana yang penting untuk membiayai pelaburan dalam negeri memandangkan aliran masuk modal asing dijangka terjejas akibat meningkatnya persaingan dengan negara membangun yang lain, terutamanya daripada negara yang baru muncul. 10. Analisis Bank Dunia menunjukkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara di mana pertumbuhan ekonominya adalah hasil daripada peningkatan pelaburan atau `investment-driven economy'. Walaupun negara perlu meningkatkan sumbangan yang lebih besar daripada penggunaan teknologi dan kecekapan pengurusan, namun kita harus meneruskan usaha mewujudkan iklim pelaburan yang baik untuk pelabur asing, di samping menggalakkan pelaburan dalam negeri serta pelaburan di luar negeri iaitu `reverse investment'. 11. Keteguhan ekonomi negara yang dicapai setakat ini telah menyumbang kepada kedudukan kewangan negara yang lebih baik. Justeru itu, Kerajaan telah mengurangkan beban cukai kepada orang ramai seperti yang berlaku dalam beberapa belanjawan yang lalu. Namun kedudukan kewangan Kerajaan terus teguh kerana Kerajaan mengamalkan dasar berjimat-cermat. 12. Salah satunya yang menjadi kunci kepada perpaduan ialah rakyat daripada segenap lapisan dan daripada berbagai-bagai kaum dapat bersama-sama menikmati kemewahan negara. Atas sebab inilah maka adalah penting rakyat di negara ini termasuk masyarakat India berusaha dengan lebih gigih dalam mempertingkatkan lagi kerjasama dan perpaduan kaum demi kemajuan negara. 13. Dalam usaha kita untuk terus membangunkan negara selaras dengan Wawasan 2020 adalah penting rakyat Malaysia yang berbilang kaum termasuk kaum India di bawah pimpinan MIC terus bersatu padu di samping hormat menghormati di antara satu dengan yang lain dan antara kaum. Ini adalah penting kerana kekuatan MIC akhirnya akan bererti kekuatan Barisan Nasional keseluruhannya dan kekuatan Barisan Nasional pula akan mampu memperkukuhkan kestabilan politik. 14. Saya berbangga dengan pencapaian MIC kini kerana sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional ianya telah menunjukkan kematangan dalam pimpinannya, terutama sekali dalam usaha-usahanya mempertingkatkan tahap sosio-ekonomi masyarakat India di negara ini. Perhubungan atau interaksinya dengan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain juga mencerminkan hubungan yang begitu ikhlas dan mesra serta padu yang boleh membawa kepada perpaduan yang lebih mampan. Keadaan seperti ini tentu sekali akan terus menyumbang kepada satu masyarakat Malaysia berbilang kaum yang dihormati dunia luar sebagai satu masyarakat yang unik, maju serta berupaya membangun dengan begitu pesat tanpa mengira kaum. 15. Asas-asas kukuh yang telah dibina oleh Kerajaan membolehkan ekonomi Malaysia terus berkembang walaupun mungkin menghadapi beberapa masalah dan kesulitan ekonomi yang timbul daripada kejayaan ekonomi itu sendiri. Kita menjangkakan pertumbuhan pada kadar lebih daripada lapan peratus setahun boleh dicapai untuk beberapa tahun akan datang. Keadaan ekonomi dunia yang bertambah cerah akan juga menyumbang dan memperkukuhkan prestasi ekonomi Malaysia. Matlamat Kerajaan ialah supaya pertumbuhan ekonomi yang tinggi ini dapat dikekalkan tanpa menimbulkan tekanan ke atas harga dalam negeri. Dengan ini kita terus akan dapat bersaing dengan jayanya dengan negara-negara lain. 16. Dalam hubungan ini, adalah perlu semua pihak termasuk sektor swasta, ahli-ahli politik dan orang ramai bersama-sama meningkatkan kecekapan dan produktiviti pengeluaran mereka ke arah mengurangkan kos pengeluaran. Hanya dengan cara ini dapat kita menjamin supaya negara akan terus mencapai pembangunan ekonomi yang boleh sama-sama dinikmati oleh semua lapisan rakyat Malaysia. 17. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung MIC ini.