home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN 
			MALAYSIA (RTM) 
Tarikh/Date 	: 	31/12/94 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN Y.A.B. PERDANA MENTERI 
			SEMPENA TAHUN BARU 1995 



 Assalamualaikum   warahmatullahi   wabarakatuh   dan   salam
sejahtera.
   Alhamdulillah.    Tahun 1994 telah berlalu tanpa apa-apa
malapetaka yang besar yang menimpa  negara  kita,  Malaysia.
Memang benar rakyat, pada tahun 1994, mula menyedari tentang
gejala  lepak  dan  'bohsia'.    Memang  masalah dadah masih
berada dengan kita.   Tetapi umumnya negara  Malaysia  terus
aman  dan  maju,  dengan  ekonomi  berkembang sebanyak lebih
daripada lapan peratus.  Kita rakyat Malaysia daripada semua
kaum perlu banyak bersyukur  atau  'grateful'  kerana  nasib
kita yang baik.  Namun masalah yang saya sebutkan tadi tidak
boleh dibiarkan begitu sahaja.  Kerajaan dan rakyat daripada
semua  kaum  dan  lapisan perlu berganding bahu dan berusaha
untuk mengatasi masalah-masalah ini.  Kita percaya dan yakin
bahawa kita boleh mengatasi masalah-masalah ini.    Kerajaan
boleh  merancang  dan  mengadakan  tindakan  seperti program
'Rakan Muda' untuk membendung,  jika  tidak  pun  menghapus,
budaya  lepak,  'bohsia'  dan penyalahgunaan dadah.   Tetapi
Kerajaan  semata-mata,  walau  seberapa   banyak   sekalipun
peruntukan  disediakan,  tidak mungkin berjaya mengatasinya.
Ini adalah kerana gejala ini berasaskan kepada bentuk budaya
kita  dan  pembentukan  budaya  bermula   dari   rumah   dan
melibatkan semua anggota masyarakat.
2.   Kita  bernasib baik kerana institusi kekeluargaan belum
luput dalam masyarakat kita seperti yang telah berlaku dalam
masyarakat Barat.   Tetapi  tanda-tanda  menunjukkan  bahawa
peranan   ibu  bapa  dalam  mendidik  anak-anak  sudah  agak
berkurangan.  Mungkin ini disebabkan oleh kedua-dua ibu bapa
bekerja.    Tetapi  belia  yang  terlibat   bukan   semuanya
mempunyai  ibu bapa yang bekerja sepanjang hari.  Hakikatnya
ialah ramai ibu bapa tidak memberi perhatian  serius  kepada
pendidikan  anak-anak  mereka.    Kawalan terhadap kebebasan
anak-anak mereka juga lemah.    Ibu  bapa  harus  mengetahui
siapa kawan anak-anak mereka dan di mana mereka bersiar-siar
dan menghabiskan masa.
3.    Sekolah juga memainkan peranan penting dalam membentuk
budaya.    Justeru  itu,  latihan  dan  teladan  di  sekolah
hendaklah  ditumpukan  kepada  pembentukan  budaya dan nilai
hidup yang mulia.   Bagi anak-anak  orang  Islam,  sementara
mereka  perlu  mempelajari  tentang  ibadat yang diwajibkan,
mereka juga perlu diberikan didikan akhlak  dan  nilai-nilai
hidup  yang  dituntut  oleh  agama Islam.   Kita tidak boleh
memejam mata akan hakikat bahawa kebanyakan daripada  mereka
yang  terlibat  dengan kegiatan-kegiatan yang tidak diingini
terdiri daripada belia Islam.
4.   Untuk menangani  masalah-masalah  ini,  Kerajaan  telah
melancarkan  program  'Rakan  Muda'.    Tujuan kita bukanlah
untuk    menghapuskan    keinginan    para    belia    untuk
berseronok-seronok   tetapi  kita  ingin  menyalurkan  minat
mereka kepada kegiatan-kegiatan yang lebih sihat dan membina
yang juga boleh menghiburkan hati mereka.
5.   Sekali  lagi  untuk  menjayakan  program  'Rakan  Muda'
sokongan dan penyertaan seluruh masyarakat terutama para ibu
bapa   adalah   penting.     Sementara  anak-anak  hendaklah
digalakkan menyertai kegiatan  'Rakan  Muda',  tanggungjawab
ibu  bapa  di  rumah  tidak  boleh diabaikan.   Kawalan yang
berpatutan  hendaklah  dilakukan.    Demikian  juga  didikan
akhlak  dan semaian budaya bangsa hendaklah diberi perhatian
yang lebih serius.
6.  Jika  ibu bapa yakin mereka boleh, maka  tidaklah  sukar
untuk  meyakinkan anak-anak mereka bahawa mereka juga boleh.
Ingatlah  bahawa  bangsa  yang  berjaya  ialah  bangsa  yang
memiliki  dan mengamalkan budaya yang membina.  Hanya bangsa
yang berjaya sahaja yang akan dihormati dunia.  Bangsa  yang
hanya   pandai   bercakap  tetapi  tidak  mempunyai  apa-apa
kejayaan yang jelas akan diketawa  dan  dihina  oleh  orang.
Bagi yang beragama Islam, penghinaan terhadap mereka samalah
dengan penghinaan terhadap Islam.  Apabila ini berlaku tidak
ada  gunanya  kita menyalahkan orang lain.  Salahkanlah diri
sendiri.
7.    Dalam  bidang  ekonomi  kita  boleh  berbangga  dengan
pertumbuhan  yang  masih  tinggi.    Tetapi kita harus ingat
bahawa  negara  yang  maju  seperti  Jepun  sekalipun  boleh
mengalami  kemorosotan  dengan  tiba-tiba.   Janganlah fikir
bahawa pertumbuhan ekonomi negara boleh  kekal  dan  berlaku
secara  kebetulan  dan dengan sendirinya.  Tanpa perancangan
dan dasar yang sesuai serta usaha yang gigih ekonomi  negara
tidak boleh terus sihat.
8.    Bahaya yang selalunya mengancam negara yang maju ialah
inflasi, yang akan menyebabkan pendapatan yang tinggi hilang
nilainya.  Ini adalah kerana pendapatan yang  tinggi,  dalam
keadaan  inflasi  yang  meningkat  tinggi,  akan menyebabkan
pendapatan yang telah bertambah tidak berupaya membeli lebih
banyak  barangan  atau  khidmat.    Apalah  gunanya  membeli
barangan  yang  sama  dengan  wang  yang  lebih banyak hanya
kerana kita  memiliki  wang  yang  sudah  bertambah?    Jika
pendapatan  bertambah,  kita  sepatutnya boleh membeli lebih
banyak barang atau khidmat.
9.  Hakikat yang jelas ini nampaknya begitu  sukar  difahami
oleh  ramai  anggota  masyarakat.    Kebanyakan  berpendapat
bahawa memiliki wang yang banyak bermakna kaya dan  memiliki
wang  yang  sedikit  bermakna  miskin.    Justeru itu, semua
mengejar pendapatan yang bertambah tanpa  menghiraukan  daya
membeli  wang  ini.    Dengan  ini, tuntutan kepada tambahan
pendapatan dibuat sepanjang masa  tanpa  mempedulikan  kesan
terhadap  kos  sara hidup yang meningkat iaitu inflasi.
10. Yang malang sekali ialah kos sara hidup  yang  meningkat
merugikan  mereka  yang  berpendapatan  rendah dan sederhana
lebih daripada yang berpendapatan  tinggi.    Tanpa  memikir
akan  asas-asas  inflasi, mereka ini biasanya mendesak untuk
mendapatkan upah dan  gaji  yang  bertambah  bagi  menampung
kemerosotan  daya  membeli  mereka.   Hasilnya ialah inflasi
bertambah dan daya membeli tidak juga dapat  mengejar  harga
barangan  yang  terus meningkat.  Mereka tidak menjadi lebih
kaya, bahkan  di  sesetengah  negara  mereka  menjadi  lebih
miskin   dan   terus  menganggur  kerana  mengejar  tambahan
pendapatan.  Ini adalah kerana  negara  perdagangan  seperti
Malaysia  tidak  akan  dapat  bersaing di pasaran dunia jika
harga barangan keluarannya menjadi tinggi.   Semua  industri
dan  perniagaan  akan merosot.   Pelaburan akan berkurangan.
Pekerja  akan  dibersarakan  dan   yang   menganggur   terus
menganggur.  Inilah yang menyebabkan negara Eropah mempunyai
pengangguran  sebanyak  10  hingga 20 peratus.   Upah mereka
terlalu tinggi dan mereka  tidak  sanggup  untuk  menurunkan
upah.
11.  Hari ini di Malaysia ramai eksekutif menuntut gaji yang
amat tinggi dan akan berpindah ke syarikat lain  jika  tidak
dilayani.  Demikian juga para pekerja menuntut kenaikan gaji
dan bayaran bonus tanpa mengambilkira untung rugi perusahaan
atau perniagaan mereka.  Kenaikan upah tidak menjadi masalah
asalkan  daya  keluaran atau produktiviti meningkat.  Tetapi
biasanya tuntutan dibuat kerana orang lain mendapat kenaikan
upah atau bonus tanpa mengambilkira produktiviti sendiri.
12.  Percayalah  bahawa   kenaikan   upah   tanpa   kenaikan
produktiviti akan menyebabkan inflasi meningkat dan akhirnya
kehilangan  daya  saing  dan pengangguran.   Apabila ekonomi
sudah merosot, pemulihan amatlah  sukar  dibuat.    Lihatlah
nasib beberapa negara maju.
13.  Kerajaan tidak mempunyai sebarang niat buruk apabila ia
bertindak untuk mengawal inflasi.    Kawalan  inflasi  tidak
boleh  dihadkan  kepada  kawalan  harga barangan yang dijual
sahaja.  Punca kenaikan harga juga mesti dikawal.   Dan  ini
termasuklah  kawalan  ke atas upah, baik bagi jawatan tinggi
atau rendah.   Eksekutif yang  menuntut  gaji  puluhan  ribu
ringgit turut menyumbang kepada inflasi sama seperti pekerja
yang menuntut upah dinaikkan tanpa sumbangan kepada kenaikan
produktiviti.      Upah   patut   dinaikkan  bersama  dengan
pertumbuhan ekonomi tetapi tidaklah ke paras yang sama  jika
kita  ingin  mengelak inflasi.  Kenaikan sehingga 20 peratus
yang diberikan baru-baru ini kepada  satu  kumpulan  pekerja
iaitu  jauh  lebih  tinggi daripada pertumbuhan ekonomi yang
hanya lapan peratus tetap akan memburukkan ekonomi.  Mungkin
perusahaan berkenaan mampu tetapi ini akan menyebabkan  yang
tidak  mampu juga didesak supaya memberi kenaikan yang sama.
Dan  untuk  melayan  tuntutan,  harga  jualan  khidmat  atau
barangan terpaksa dinaikkan dan kesannya ialah inflasi.
14.  Justeru  itu,  saya ingin merayu kepada pegawai-pegawai
eksekutif, kesatuan sekerja dan pekerja-pekerja supaya tidak
memikirkan  tentang  hari  ini  sahaja.    Ingatlah,  bahawa
sedikit  sebanyak  kemakmuran dan harga barangan yang rendah
sekarang adalah hasil daripada pelbagai dasar dan pendekatan
yang diambil oleh   Kerajaan.   Kerajaan telah  mengurangkan
cukai dan membentuk berbagai-bagai pendekatan untuk mengawal
inflasi  dan  membangunkan  negara.    Tujuan Kerajaan ialah
supaya sara hidup kita tidak meningkat.    Tetapi  janganlah
balasan   kita  ialah  menuntut  tambahan  upah  yang  boleh
menjejaskan usaha Kerajaan mengawal inflasi.
15. Marilah kita memulakan hari pertama  tahun  1995  dengan
beringat  bahawa  keamanan dan kemakmuran bukan kekal dengan
sendirinya.   Kemakmuran dan  kebahagiaan  hidup  bergantung
kepada pegangan kepada nilai-nilai yang mulia, kepada budaya
yang  sesuai  dan  tindakan yang waras yang boleh memelihara
kebahagiaan dan kemakmuran secara yang lebih kekal.
16. Pada hari yang bahagia  ini  marilah  kita  bersama-sama
insaf dan bersyukur, dan dengan itu sanggup membendung nafsu
untuk kebahagiaan yang lebih kekal.
17.   Selamat  menyambut Tahun Baru 1995.   Moga-moga negara
kita akan terus maju dan berjaya dan kita  akan  hidup  aman
damai, makmur dan bahagia.
    Wabillahitaufik        walhidayah       wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google