home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT ISLAM MALAYSIA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	08/01/95 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN SEMINAR AL-QURAN 
			ANTARABANGSA KALI KE-5 



 Assalamualaikum   warahmatullahi   wabarakatuh   dan   salam
sejahtera.
    Alhamdulillah,  segala  puji dan syukur ke hadrat Allah
Subhanahu wa Ta'ala, selawat dan  salam  ke  atas  junjungan
besar  Nabi  Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat
Baginda seluruhnya; dan doa kesejahteraan  dipohonkan  untuk
kita  semua  serta  seluruh  muslimin  dan  muslimat di mana
sahaja mereka berada.
2.    Saya mengucapkan terima kasih kepada  pihak  penganjur
kerana  memberi  peluang kepada saya untuk berucap di majlis
ini dan seterusnya  merasmikan Seminar Al-Quran Antarabangsa
Kali Yang Ke-5 ini.
3.   Al-Quran adalah kitab suci yang  menjadi  pegangan  dan
panduan  utama kepada umat Islam.  Hal ini tidak sedikit pun
diragui, malah dipercayai  dengan  penuh  keyakinan.    Jika
terdapat  kesangsian  tentang  kepercayaan  kepada  al-Quran
walaupun sedikit, maka terjejaslah  kedudukan  kita  sebagai
orang  Islam yang beriman.  Ini adalah kerana percaya kepada
kitab suci sebagai salah satu daripada Rukun Iman memerlukan
pegangan yang mutlak.
4.   Percaya kepada kitab suci al-Quran bukan  setakat  kita
mempercayai  bahawa segala isi kandungannya itu kalam Allah,
tetapi bersedia mengamalkan segala  ajaran  yang  terkandung
dalam  wahyu-wahyu  tersebut.    Pengamalan  ini  merangkumi
aplikasi terhadap urusan individu dan urusan  kemasyarakatan
atau  disebut  juga  dengan  istilah  fardu  ain  dan  fardu
kifayah.
5.    Kita yakin  panduan-panduan  yang  dijelaskan  melalui
al-Quran  memberi  jaminan kepada kehidupan yang bahagia dan
sejahtera sama ada di dunia atau di akhirat.  Dalam hubungan
ini, Rasulullah s.a.w. juga telah mengingatkan  bahawa  jika
dalam  urusan  hidup  kita,  kita  berpegang dan berpandukan
kepada al-Quran dan Sunnah, maka perjalanan hidup kita tidak
akan sesat pada bila-bila masa.
6.    Kita semua percaya kepada  al-Quran  dan  tidak  ingin
dengan  sengaja  engkar  akan  ajaran al-Quran.   Dengan itu
semua umat Islam sepatutnya  hidup  sejahtera  dan  bahagia,
bebas  daripada kehinaan, ditindas dan didera oleh mana-mana
pihak.   Tetapi hakikatnya  ialah  umat  Islam  tidak  hidup
bahagia  dan  selamat  sejahtera.    Sebenarnya  umat  Islam
seramai lebih seribu juta hidup dalam keadaan tertindas  dan
merana,  dipermain  dan  diperalatkan oleh siapa sahaja yang
berkepentingan.  Apakah ini disebabkan oleh pegangan  kepada
al-Quran  atau  kerana umat Islam tidak sebenarnya berpegang
kepada ajaran al-Quran?
7.   Manusia semuanya mempunyai kelemahan.  Dan orang  Islam
tidak   terkecuali.    Mereka  yang  percaya  kepada  ajaran
al-Quran pun ada  juga  yang  tidak  mengamalkan  ajarannya.
Mereka  tahu  apa  yang disuruh mereka lakukan tetapi mereka
tidak  lakukannya.    Justeru  itu,  mereka  tidak  mencapai
kebahagiaan hidup yang dijanjikan.
8.    Tetapi kegagalan umat Islam mencapai kebahagiaan hidup
bukanlah disebabkan oleh keengganan  mengamal  ajaran  Islam
sahaja.    Kebanyakan  daripada  kegagalan mereka disebabkan
oleh  salah  faham  mereka  mengenai  ajaran  al-Quran  yang
sebenar  dan kerana salah faham ini amalan mereka juga turut
salah dan mereka tidak dapat mengecap kehidupan yang bahagia
dan mulia.
9.   Kenapakah salah faham berlaku?  Sebabnya ialah walaupun
orang yang fasih dalam Bahasa Arab mampu membacanya,  tetapi
kefahaman  mengenai  makna  dan maksud yang terkandung dalam
ayat-ayat al-Quran  tidaklah begitu  mudah  difahami  dengan
membaca  sendiri.    Justeru  itu, biasanya orang Islam yang
ingin memahami isi kandungan  al-Quran  terpaksa  bergantung
kepada      tafsiran-tafsiran      yang      dibuat     oleh
pentafsir-pentafsir yang diiktiraf.  Dalam usaha menjelaskan
isi  kandungan  al-Quran  seperti  yang  difahami   olehnya,
pentafsir   terpaksa   menggunakan   bahasanya  sendiri  dan
menambah kepada ayat-ayat al-Quran  bagi  menjelaskan  makna
dan  maksud  ayat-ayat  berkenaan.    Sudah tentu bagi orang
Islam yang tidak memahami Bahasa Arab,  mereka  hanya  boleh
membaca  terjemahan  daripada  tafsiran  yang  dibuat  dalam
Bahasa Arab,  atau  terjemahan  ke  dalam  bahasanya  secara
langsung   daripada  al-Quran.    Dengan  itu  bukanlah  isi
kandungan al-Quran yang  diterima  sebagai  ajaran  al-Quran
tetapi  tafsiran  dan  terjemahan  tafsiran yang dibuat oleh
pentafsir atau penterjemah.
10.  Jika kefahaman pentafsir atau penterjemah  salah,  maka
kefahaman  mereka  yang  mengikutinya juga akan salah.  Jika
tepat, tentulah mereka yang mengikutinya akan  dapat  maksud
ayat  al-Quran  secara  tepat.    Tetapi  kita tahu terdapat
perbezaan   antara   pentafsir-pentafsir   yang   berlainan.
Kadang-kadang  perbezaan  ini  tidak ketara dan tidak banyak
mengubah maksud ayat al-Quran.  Tetapi ada masanya perbezaan
ini begitu ketara sehingga umat Islam  yang  berimam  dengan
pentafsir  yang membuat tafsiran-tafsiran  dan terjemahannya
ini berpecah kepada mazhab-mazhab yang bertentangan.   Agama
Islam yang diwahyukan kepada Rasulullah hanyalah satu sahaja
tetapi  hari  ini  terdapat  beberapa kumpulan yang mendakwa
diri mereka Islam pada hal  amalan  dan  kepercayaan  mereka
berbeza  dan  mereka menolak amalan orang lain yang mendakwa
mereka juga Islam.  Dengan ini, selain  daripada  puak  Suni
dan  Syiah  dengan  mazhab-mazhab  masing-masing  wujud puak
Alawait dan Druze dan lain-lain.  Perbezaan antara puak-puak
ini begitu ketara sehingga ada  kemungkinan  yang  puak-puak
tertentu  sebenarnya  tidak  Islam.    Semua  mereka merujuk
kepada al-Quran yang satu tetapi tafsiran,  dan  dengan  itu
kefahaman  serta  pegangan  mereka bukan lagi satu dan sama.
Besar kemungkinan ada pentafsir yang salah dan ajaran mereka
menyeleweng.  Dalam sejarah Islam hingga ke hari ini perkara
ini sering berlaku.  Dan baru-baru ini ia berlaku di hadapan
mata kita.
11.  Apabila umat Islam menerima dan mengikuti tafsiran yang
salah dengan kepercayaan bahawa  inilah  ajaran  dan  maksud
al-Quran  yang  sebenar,  maka sudah tentu mereka tidak akan
mencapai kebahagiaan hidup.    Lebih  daripada  itu,  mereka
mungkin  akan  gagal dan menderita.  Keadaan yang sedih yang
menimpa  umat  Islam  sekarang   mungkin   disebabkan   oleh
kepercayaan kepada tafsiran yang salah.
12.   Perkara ini harus kita ingati sepanjang masa.  Apabila
kita bertelagah mengenai  ajaran  Islam,  kita  harus  ingat
bahawa  pertikaian  kita  bukanlah berkenaan dengan al-Quran
atau ayat-ayat yang terkandung di dalamnya yang tidak pernah
salah dan tidak pernah berubah.  Yang kita  bertelagah  atau
berbahas ialah tafsiran pentafsir yang, walau bagaimana alim
sekalipun,    mereka    adalah    manusia    biasa    dengan
kelemahan-kelemahan yang ada pada manusia.  Alangkah ruginya
umat Islam  jika  kita  berpegang  dengan  begitu  kuat  dan
mempertahankan  mati-matian  bukan  ajaran  al-Quran  tetapi
pendapat manusia biasa yang mana sudah  tentu  pendapat  ini
tidak  setaraf  dengan  wahyu  daripada  Allah  Subhanahu wa
Ta'ala.
13.    Apakah  tidak  mungkin  yang  kemunduran  umat  Islam
disebabkan  oleh  tafsiran  yang salah oleh pentafsir?  Yang
pasti ialah ia bukan disebabkan oleh al-Quran yang  mengajar
dan  memandu  umat Islam.   Jika kita akui hakikat ini, maka
kita tidak akan  bersalah  jika  kita  mengkaji  semula  dan
menolak tafsiran tertentu.  Dan kita juga tidak harus berasa
terhalang  akan  saranan  bahawa pintu ijtihad sudah ditutup
dan kita tidak lagi boleh mengkaji semula tafsiran dan  juga
isi  kandungan  al-Quran.   Sekatan terhadap ijtihad mungkin
akan  mengekalkan  tafsiran  yang   salah   dan   meletakkan
tafsiran-tafsiran  ini  sebagai  setaraf  dengan wahyu Allah
Subhanahu wa Ta'ala  dalam  al-Quran,  iaitu  tidak  mungkin
cacat dan tidak boleh diubah.
14.    Pendapat  dan  tafsiran  al-Quran  yang  jelas  salah
tersebar luas  dalam  alam  Islamiah  sejak  berkurun-kurun.
Antaranya ialah ajaran bahawa pelajaran dan pengetahuan yang
utama  dan  penting  hanyalah berkenaan dengan agama.  Lebih
khusus dan mendalam pengetahuan  agama  ini,  lebih  baiklah
lagi  seseorang  umat  Islam.    Ia dipercayai akan mendapat
pahala dan ganjaran yang banyak  dan  tempatnya  di  akhirat
adalah syurga.
15.   Tidak ada siapa yang akan menafikan bahawa pengetahuan
agama adalah penting dan baik bagi seseorang individu Islam.
Tidak ada siapa yang akan mempertikaikan bahawa seorang yang
alim dalam bidang agama dan membuat ibadat  yang  diwajibkan
adalah seorang yang berpegang kuat kepada agama Islam.  Bagi
orang  Islam,  orang  yang  menumpukan  sepanjang  masa  dan
bersungguh-sungguh kepada agama  daripada  segi  pengetahuan
dan  amalan  tetap dianggap baik dan mulia dan harus diikuti
tanpa soal.
16.   Orang yang mempelajari  dan  mengkhusus  dalam  bidang
agama  tetap  akan  percaya  bahawa  apa yang dilakukan oleh
mereka menepati kehendak agama.   Oleh kerana  hampir  semua
daripada  pentafsir dan guru agama dan penyebar ajaran Islam
terdiri daripada orang yang mengkhusus dalam ilmu keagamaan,
maka sudah tentu tekanan mereka  adalah  kepada  mempelajari
bidang  agama.  Bidang-bidang lain tidaklah dianggap penting
dan mereka biasanya tidak akan mendesak orang  Islam  supaya
menuntut  ilmu-ilmu  lain  bahkan  membuat kerja-kerja lain.
Adakalanya mereka memberi pendapat bahawa orang  Islam  yang
bergiat  atau terpelajar dalam bidang-bidang lain tidak akan
mendapat pahala atau apa-apa ganjaran di  akhirat.    Mereka
ini dianggap sebagai tidak kuat Islam mereka.
17.   Dengan tersebarnya pemikiran seperti ini maka majoriti
umat  Islam  tidak  begitu  berminat  untuk  mengejar   ilmu
pengetahuan  yang tidak khusus berkenaan dengan agama Islam.
Jika hari  ini  terdapat  umat  Islam  begitu  mundur  dalam
berbagai-bagai  ilmu  dan  kecekapan  sehingga  tidak  dapat
memelihara maruah mereka, mempertahankan umat Islam daripada
diserang, ditakluk dan dianiaya, tidak dapat mengeksploitasi
sendiri kekayaan sumber yang dikurniakan oleh  Tuhan  kepada
negara  mereka; jika hari ini umat Islam membuat kerja-kerja
yang dilarang oleh  Islam,  bahkan  meninggal  agama  Islam,
sebabnya  ialah kerana mereka kecewa dengan kelemahan mereka
dan rasa terhinanya mereka.
18.   Bahawa al-Quran bukan  sahaja  menekankan  pengetahuan
ajaran  Islam  tetapi  beratus-ratus  perkara  lain yang ada
kaitan dengan kehidupan dan kebahagiaan umat,  tidak  diberi
tumpuan  oleh  ramai pentafsir dan ulama.  Sebenarnya mereka
telah memilih hanya sebahagian kecil sahaja daripada  ajaran
al-Quran.  Walaupun  kita  disuruh  dalam  al-Quran  melihat
ciptaan Tuhan seperti langit dan bumi, awan dan hujan, tanah
yang subur, bukit-bukau dan haiwan, kita tafsirkan ayat-ayat
ini  sebagai  bukti  kebesaran  Tuhan  sahaja.    Jika  kita
betul-betul perhatikan semua ini secara mendalam, iaitu kita
kaji  secara  ilmiah,  kita  bukan  sahaja  akan lebih kagum
dengan ciptaan Tuhan tetapi  kita  akan  memperolehi  banyak
ilmu  yang  boleh  menolong  kehidupan  kita.    Sudah tentu
pertanian akan lebih maju dan kebuluran yang lebih  terdapat
di negara-negara Islam akan dapat dihindarkan.
19.   Demikian juga kita disuruh menyediakan kuda dan pedang
untuk pertahanan ummah.   Tetapi kita  tidak  hiraukan  soal
keselamatan  ummah.    Jika kita betul-betul menerima ajaran
al-Quran tentulah kita akan mempelajari berbagai-bagai  ilmu
yang   akan   membolehkan  kita  mencipta  dan  mengeluarkan
berbagai-bagai alat  pertahanan  moden  untuk  menyelamatkan
umat Islam daripada nasib malang yang menimpa mereka seperti
di   Bosnia,   di   Nagorno   Karabakh,   Chechnya   dan  di
negara-negara lain.
20.  Ini adalah hanya dua daripada ajaran al-Quran yang kita
tidak mengambil berat.  Ada ratusan lagi ajaran  yang  boleh
menjayakan  kita tanpa menjejaskan kedudukan kita di akhirat
yang juga kita tidak memberi perhatian secara serius.
21.  Apabila orang Islam menjadi  mundur  dan  tertindas  di
dunia,   ada   pihak  yang  mendakwa  bahawa  memang  inilah
kehendak agama Islam, iaitu orang Islam  akan  menderita  di
dunia  sementara  menunggu  kebahagiaan di akhirat.  Justeru
itu, terima sahajalah segala kesengsaraan,  penderitaan  dan
kehinaan  di  dunia.   Ini adalah sementara.  Akhirat adalah
kekal  dan  dengan   itu   orang   Islam   akan   berbahagia
selama-lamanya.
22.  Selagi kefahaman ini diterima dan disebar selama itulah
orang  Islam  tidak  akan  membuat apa-apa untuk memperbaiki
kehidupan mereka dan agama Islam  di  dunia.    Mereka  akan
menerima  bahawa kemunduran mereka adalah suatu kebahagiaan,
kerana ia  mengingati  mereka  akan  akhirat  dan  kedudukan
mereka  yang  lebih  baik  di  akhirat.    Jika  orang Islam
ditindas, ditakluk dan dipisahkan daripada agama Islam,  itu
tidak  mengapa.  Jika orang Islam kecewa dengan nasib mereka
sehingga menolak agama Islam itu juga tidak mengapa.  Tunggu
sahajalah,  kita telah dijanjikan syurga di akhirat.  Mereka
tidak sedikit pun berasa ganjil dengan doa mereka  sepanjang
masa supaya diberi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.  Ini
hanyalah lafaz di mulut.
23.    Semua  ini  mungkin  kerana kita salah faham dan kita
memilih-milih  ajaran  al-Quran  dengan   menumpukan   hanya
kepada  beberapa  ayat  sahaja.    Walaupun  kita tidak akan
mengakui bahawa kita menolak atau memperkecilkan  sebahagian
yang  besar  daripada ajaran al-Quran tetapi pada hakikatnya
inilah yang dilakukan oleh kita.  Dan dengan itu umat  Islam
tidak  mencapai  kebahagiaan  di dunia.   Sama ada kita akan
mendapat kebahagiaan di akhirat pun belum tentu.  Balasan di
akhirat bukan hanya kerana ibadat yang kita  kerjakan  untuk
diri  kita  sahaja, iaitu fardu ain, tetapi juga ibadat bagi
masyarakat,  iaitu fardu  kifayah.   Jika  kita  benar-benar
berpegang   kepada  ajaran  al-Quran,  kita  mesti  tunaikan
kedua-dua fardu ain dan fardu  kifayah.    Insya-Allah  akan
sempurnalah   orang  Islam,  akan  bahagialah  mereka,  akan
tertebuslah maruah umat dan agama Islam.
24.  Saya harap Seminar al-Quran Antarabangsa Yang Ke-5  ini
akan  membincangkan  al-Quran  dengan  hati yang terbuka dan
dengan berani  untuk  mencari  panduan  dan  jawapan  kepada
masalah-masalah  dan  soal-soal  yang  menghadapi masyarakat
Islam hari ini.  Mudah-mudahan  akan  berhasillah usaha ini.
25.          Dengan     ini,     saya      dengan      lafaz
`Bismillahirrahmanirrahim'   dengan  sukacitanya  merasmikan
Seminar Al-Quran Antarabangsa Kali Yang Ke-5 ini.
     Wabillahitaufik       walhidayah       wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google