home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KOMPLEKS PUSAT ISLAM, JOHOR BHARU 
Tarikh/Date 	: 	20/01/95 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN KONGRES PENDIDIKAN 
			ISLAM KEBANGSAAN 



 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
    Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat  Ilahi,  kerana
dapat  kita  berhimpun  di  Majlis  Kongres Pendidikan Islam
Kebangsaan  ini.     Kongres  ini  besar   maknanya   kepada
pembangunan  negara  memandangkan pendidikan Islam merupakan
salah satu asas bagi membentuk umat Islam di Malaysia  untuk
menghadapi cabaran hidup di dunia moden dengan jayanya.
2.      Kini  kita  sedang menghadapi satu gejala keruntuhan
akhlak di kalangan sebahagian besar anak-anak  remaja  kita.
Yang  menyedihkan  kita sebagai orang Islam ialah kebanyakan
daripada  muda-mudi  yang  terlibat   dengan   gejala-gelaja
penyalahgunaan  dadah,  lepak,  bohsia dan kegiatan-kegiatan
lain yang salah adalah daripada yang beragama Islam.   Sudah
tentu  keruntuhan  moral ini bukan kerana agama yang dianuti
oleh mereka.  Agama Islam sepatutnya  menjadi  benteng  yang
boleh  menyelamatkan anak-anak muda kita daripada terjerumus
ke dalam angkara-angkara ini.   Tetapi  hakikat  yang  nyata
tidak  boleh kita nafikan.  Anak-anak muda Islam lebih lemah
moral mereka daripada anak-anak muda bukan Islam.
3.     Justeru itu, kita  harus  mencari  dan  mengenalpasti
sebab-sebabnya  ini  berlaku.   Kita  harus  mengkaji kenapa
agama Islam tidak  menjadi  benteng  yang  diharapkan.
4.  Kajian yang cetek sekalipun akan  menunjuk  bahawa  anak
muda  kita  tidak  berpegang  kuat,   jauh  sekali  mengamal
ajaran-ajaran  Islam.    Pengetahuan  mereka mengenai ajaran
Islam tidak mendalam.  Iman mereka juga lemah.   Demikianlah
terpisahnya  mereka  daripada  ajaran  Islam sehingga mereka
tidak sedikit pun berasa segan silu dengan kejahilan mereka.
5.    Tidak dapat tidak, kelemahan  pengetahuan  mereka  dan
sikap  mereka  mempunyai  kaitan dengan penyampaian apa yang
ditafsir  sebagai  ajaran  agama  kepada  mereka.    Mungkin
terdapat  kelemahan  daripada  segi  tekanan atau `emphasis'
yang menyebabkan kurang berkesannya  pengajaran  Islam  yang
diadakan di sekolah-sekolah.
6.    Sepertimana kita maklum didikan agama bermula di rumah
oleh  ibu  bapa.    Tetapi  jika  ibu  bapa  sendiri  kurang
pengetahuan   dan   mereka   tidak   faham   akan  cara-cara
menyampaikan  didikan   agama,   mustahil   peranan   mereka
berkesan.    Lagipun adat resam berkeluarga sekarang berbeza
daripada dahulu kala, di mana anak  begitu  takut  dan  taat
kepada  ibu  bapa.    Pendedahan  kepada  cara  hidup  asing
sekarang menyebabkan sukar bagi ibu bapa untuk menanam sikap
gerun ini di kalangan  anak-anak  mereka.    Anak-anak  muda
lebih  bebas dan lebih cerdik daripada zaman ibu bapa mereka
membesar.
7.   Jika ibu bapa diharap memainkan peranan  yang  berkesan
maka   mereka   sendiri   harus   dilatih   sebelum   mereka
berumahtangga.    Dalam  menasihati  pasangan   yang   ingin
mendirikan  rumahtangga,  tekanan  yang  diberikan  sekarang
bukanlah  mengenai  soal  'parenting   skills'   atau   soal
tanggungjawab  ibu  bapa  tetapi  lebih tertumpu kepada soal
nikah-kahwin, hak suami dan hak isteri.   Ada pendapat  yang
menekankan   bahawa  isteri  mestilah  melayan  suami  dalam
segala-galanya  tanpa   menekan  mustahaknya  suami  melayan
isteri.    Soal  didikan  anak-anak  tidak  mendapat  banyak
perhatian.      Jika   adapun   tekanan   hanyalah    kepada
perkara-perkara ibadat seperti sembahyang, puasa dan membaca
al-Quran  dalam Bahasa Arab yang dipercayai boleh menentukan
keIslaman anak.
8.    Pengajaran  agama Islam di sekolah  diberi  masa  yang
kian  bertambah.    Namun  kesan  pengajaran  daripada  segi
mencegah kegiatan yang tidak diingini tidak begitu terlihat.
Justeru  itu,  isi  kandungan  didikan  agama  perlu  diberi
perhatian,   dikaji  dan  dianalisa  sedalam-dalamnya  bukan
sahaja oleh pakar-pakar agama  tetapi  juga  oleh  ahli-ahli
pedagogi dan ahli-ahli psikologi, lebih tepat lagi ahli-ahli
psikologi kanak-kanak.
9.      Setakat  yang diketahui di mana-mana sahaja, tumpuan
ajaran agama  ialah  kepada  ibadat-ibadat  tertentu  dengan
tekanan  kepada pahala, dosa, syurga dan sebagainya.  Adalah
dipercayai bahawa dengan cara ini orang  Islam,  terutamanya
kanak-kanak  dan anak muda, akan berasa takut melakukan dosa
dan ingin mendapat ganjaran daripada pahala sehingga  mereka
akan patuh kepada ajaran Islam.
10.   Bagi yang kuat iman, memanglah benar mereka akan takut
berbuat dosa.   Tetapi jika pengajaran  Islam  tidak  begitu
berkesan,  iman akan lemah dan perasaan takut tidak dirasai.
Kerana  tidak  takut,  ajaran  Islam  tidak  dihiraukan  dan
perbuatan  yang dilarang dilakukan.  Penentuan supaya ajaran
agama  lebih  berkesan  adalah  perlu  sebelum  kita   dapat
membentuk manusia yang takut membuat dosa.
11.    Kepercayaan  dan  keyakinan kepada ajaran Islam tidak
harus bergantung hanya kepada perasaan takut.  Islam sebagai
agama yang terbaik hendaklah  diterima  kerana  kebaikannya,
bukan sahaja untuk akhirat tetapi juga untuk dunia.  Sebagai
contoh,  larangan  terhadap  arak  bukan  sahaja kerana dosa
tetapi kerana arak akan menghilangkan maruah dan  kehormatan
seseorang,   melemahkannya,   menyebabkannya   tidak   mampu
berjaya,  menjadikannya  miskin   dan   merana,   menderita,
melumpuhkan  moral, mungkin menyebabkan ia melakukan jenayah
dan seterusnya memendekkan umur dan  membawa  penyakit  yang
dahsyat  seperti sakit jantung, sakit hati dan bermacam lagi
jenis penyakit yang membawa maut.  Bagi mereka  yang  kurang
kuat    iman,    balasan  di  akhirat  bagi  yang suka minum
araksukar digambar kan.  Tetapi kesan meminum  arak  semasa
hidup di dunia lebih mudah dijelas dan digambarkan.
12.    Demikian  jugalah  dengan kegiatan-kegiatan lain yang
tidak  diingini  seperti  penyalahgunaan  dadah,  mengadakan
hubungan seks di luar nikah dan melepak sepanjang masa.
13.    Sebenarnya larangan terhadap minum arak adalah kerana
antara  lain  orang  yang  mabuk  tidak   dapat   menunaikan
sembahyang  dengan sempurna.   Ini adalah bukti bahawa bukan
sahaja dosa yang ditekankan tetapi  juga  kesan  minum  arak
terhadap ibadat.
14.   Semua ibadat yang wajib boleh menolong mencegah gejala
yang buruk yang melanda muda-mudi  Islam.    Tetapi  tekanan
diberi  hanya  kepada  fardu  ain  dan  tidak  kepada  fardu
kifayah, seolah-olah fardu kifayah adalah  tanggungan  orang
lain.    Siapakah orang lain ini?  Jika kita semua mengharap
orang lain dan kita semua adalah  orang  lain  kepada  orang
lain  ini,  dan  mereka  mengharapkan  kita menunaikan fardu
kifayah sementara kita mengharapkan  mereka,  maka  akhirnya
tidak   akan   ada   sesiapa  dalam  masyarakat  Islam  yang
menunaikan fardu kifayah.   Sekali lagi  bukan  sahaja  kita
akan  berdosa  tetapi  segala  urusan  yang diperlukan dalam
masyarakat Islam tidak akan dilakukan.  Dan ini sudah  tentu
akan  menjadikan  masyarakat Islam lemah dan tidak sempurna.
Sementara fardu ain tidak  boleh  diabaikan,  fardu  kifayah
juga  perlu ditekankan untuk menentukan supaya benteng Islam
cukup kuat untuk mencegah perbuatan yang tidak diingini.
15.   Di  sini  maksud  ibadat  patutlah  dijelaskan  dengan
terang.    Suatu  hadis  telah diriwayatkan berkenaan dengan
seorang yang berada di masjid sepanjang hari  dan  sepanjang
malam  untuk bersembahyang dan beribadat.  Rasulullah s.a.w.
telah bertanya kepada orang itu  siapakah  yang  membekalkan
makanan   baginya.    Beliau  menjawab  bahawa  ada  anggota
keluarganya yang menghantar  makanannya  pada  setiap  hari.
Maka  Rasulullah  s.a.w.  telah  bersabda  bahawa orang yang
membekalkan makanan itulah yang mendapat pahala.  Jika  kita
fikir  akan  hadis ini maka tentunyalah kita akan menganggap
bahawa ibadat yang mendatangkan pahala tidak  terhad  kepada
amalan  ibadat  tertentu sahaja.   Jika pembekal makanan ini
mendapat pahala, tentulah petani yang  bercucuk  tanam  atau
menternak  binatang  juga mendapat pahala.  Tentulah penenun
kain dan penanam kapas  untuk  membuat  pakaian  orang  yang
bersembahyang juga mendapat pahala.
16.    Pendek  kata  setiap  usaha  dan  setiap  kerja  yang
membekalkan keperluan hidup, setiap peniaga dan pekerja yang
bekerja untuk menjaya dan memajukan masyarakat supaya mereka
dapat hidup sebagai orang Islam yang  berjaya  dan  bahagia,
semuanya membuat ibadat dan mendapat pahala juga.  Jika pada
masa yang sama mereka menunaikan ibadat tertentu yang diberi
tumpuan  oleh  masyarakat Islam, maka tentulah pahala mereka
bertambah.  Sebaliknya jika semua orang Islam memilih  untuk
membuat ibadat hanya untuk dirinya sahaja, maka mereka tentu
akan  merana kerana tidak ada wang, tidak ada makanan, tidak
ada pakaian, tidak ada rumahtangga, tidak ada  pemerintahan,
polis  dan    tentera yang semuanya perlu untuk kesempurnaan
hidup.
17.  Tetapi masyarakat Islam sekarang masih memberi gambaran
bahawa selain  ibadat-ibadat  yang  disebutkan,  kerja-kerja
lain  tidak  dihargai  oleh  Islam  dan mungkin bertentangan
dengan ajaran Islam.  Dengan itu agama Islam  tidak  menarik
kerana dianggap terlalu sempit oleh anak muda.  Mereka tidak
mendapat  apa-apa  pahala  jika  menjalankan  tugas  mereka.
Tidak perlulah mereka berusaha untuk memperbaiki  pencapaian
mereka.    Dan  tidak perlulah mereka mengelak daripada yang
dilarang kerana mereka sudah "seluk pekasam".
18.  Memang menjadi naluri manusia, terutama di  masa  muda,
untuk   mengejar   keseronokan.     Tetapi  ada  pihak  yang
menganggap keseronokan sebagai  tidak  diingini  oleh  agama
Islam.  Orang Islam harus seronok dengan membuat amal ibadat
sahaja.
19.   Sekali lagi ajaran ini menekan jiwa anak muda.  Mereka
berasa agama dan  amalannya  terlalu  berat  untuk  dipikul.
Mereka  rasa  terkongkong  dan muram.   Yang menerima ajaran
Islam merasai marah  kepada  orang  lain  yang  tidak  hirau
larangan  agama.    Yang lain menolak ajaran agama dan tidak
lagi merasa terhalang oleh agama apabila mengikut nafsu.
20.  Sebaliknya keseronokan boleh  disalur  kepada  kegiatan
yang  sihat.    Bersukan,  bersyair,  menyanyi secara sopan,
mempelajari dan memain  alat  muzik,  menulis  dan  membaca,
mendaki  gunung dan seribu satu aktiviti lagi boleh memenuhi
masa  dan  menyeronokkan  hati  anak   muda   dengan   tidak
menjejaskan  pegangan  mereka  kepada agama atau menyebabkan
mereka terjerumus ke dalam kegiatan yang tidak bermoral.
21.   Tokoh-tokoh agama sepatutnya  menyokong  kuat,  bahkan
memainkan  peranan yang aktif dalam menjayakan program Rakan
Muda.  Buktikan bahawa agama Islam  adalah  mudah,  bukannya
satu  beban,  dan  ianya sesuai dengan iklim dan zaman, maka
dengan sendirinya generasi muda dan pelajar  akan  mendekati
diri mereka dengan agama.  Dibantu oleh kepercayaan dan iman
mereka,  maka  usaha  menyekat keruntuhan akhlak di kalangan
anak muda akan lebih cepat berjaya.
22.  Semua ini boleh dilakukan di  sekolah.    Tetapi  sudah
tentu  tekanan di sekolah adalah untuk penerapan ilmu, iaitu
pelajaran.  Tidak ada agama yang lebih menekankan  pelajaran
daripada  agama  Islam.    "Iqra"  "baca"  adalah  perkataan
pertama dalam ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah
s.a.w.   Kemudian daripada itu banyak  ayat  dalam  al-Quran
yang  menyuruh  umat  Islam melihat segala-gala yang dicipta
oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.  Jika kita  disuruh  melihat
tentulah  ia  tidak  terhad kepada melihat sahaja.   Manusia
adalah makhluk yang berfikir.   Tidak dapat  tidak,  sesuatu
akan   dipelajari  dengan  melihat.    Jika  kita  berpegang
bersungguh-sungguh  kepada  keutamaan  yang  diberikan  oleh
agama  Islam  kepada  pelajaran,  maka pelajaran yang dibuat
akan meliputi kajian secara mendalam, secara  saintifik  dan
berilmiah.
23.    Jika  pandangan  ini  ditekankan sebagai sesuatu yang
bukan sahaja secocok dengan  Islam  tetapi  sebagai  suruhan
agama  maka  penuntut-penuntut  Islam,  terutama  yang  kuat
imannya,    tetap    akan    mengejar    pelajaran    dengan
bersungguh-sungguh.           Sebaliknya     kita     dapati
penuntut-penuntut  Islam  tidak   begitu   berminat   dengan
pelajaran  selain  daripada  pelajaran  agama.   Mereka yang
tidak berminat dengan agama  akan  terus  tidak  mempelajari
apa-apa  secara  serius  dan sebaliknya mereka akan mengejar
kelapangan dan keseronokan sehingga terlibat dengan kegiatan
yang memalukan masyarakat Islam.
24.  Perkara-perkara yang saya sebutkan ini mungkin dianggap
sebagai pandangan  seorang  yang  tidak  arif  dalam  bidang
pendidikan.    Tetapi  saya yakin bahawa jika pandangan yang
lebih  luas  diberikan  kepada  skop  pelajaran  agama   dan
tafsiran  yang  tidak kurang tepat tentang apa yang dituntut
oleh agama, kita akan dapat  menarik  minat  anak-anak  muda
kepada  pelajaran  agama dan membentuk sifat-sifat yang akan
membolehkan mereka dengan sendirinya menolak  kelakuan  yang
tidak  bersopan di samping menjadikan mereka umat yang lebih
berilmu dan terpelajar.
25.  Pendidikan Islam amatlah luas.  Ia tidak terhad  kepada
mempelajari  ibadat  dan  hukum-hakam  tertentu sahaja.   Ia
meliputi panduan hidup  dalam  semua  aspek,  panduan  untuk
menjadikan  Islam  sebagai Ad-din.  Kemajuan negara dan umat
yang  boleh  menentukan   kesejahteraan   hidup   memerlukan
penguasaan secara mendalam berbagai-bagai ilmu termasuk ilmu
hisab,   sains,  teknologi  dan  ilmu-ilmu  yang  lain  yang
ditakrifkan sebagai ilmu duniawi -- semua  ini  tidak  boleh
ditinggalkan  jika  kita  inginkan umat Islam menerima Islam
sebagai Ad-din, atau cara hidup, `a way of life', yang  kita
dakwa dengan bangganya.
26.    Apakah  kita  boleh  mentakrifkan  nasib  malang  dan
kehinaan  yang  dialami  oleh  umat  Islam  sebagai  Ad-din?
Apakah   Ad-din  bermakna  orang  Islam  diserang,  dibunuh,
dirogol dan dihalau dari negara mereka seperti yang  berlaku
di  Bosnia-Herzegovina  atau  di  Chechnya atau di Palestin?
Apakah Ad-din bermakna negara-negara Islam dikepong sehingga
umat Islam kebuluran,  sehingga  mereka  tidak  bermaya  dan
terpaksa  tunduk kepada penyiksa mereka, seperti di Iraq dan
Libya?  Apakah Ad-din bermakna umat  Islam  dipaksa  menjaga
kandang  babi  dan  memakan babi dan menolak agama Islam itu
sendiri seperti yang terjadi  di  Kemboja?    Apakah  Ad-din
bermakna  umat  Islam harus melihat orang Islam yang disiksa
ini dengan mata putih kerana  tidak  dapat  membuat  apa-apa
pun, kerana lemah dalam segala-galanya, kerana diperalat dan
dipermainkan oleh musuh Islam?
27.   Tidakkah semua ini berlaku kerana kita kekurangan ilmu
pengetahuan yang diperlukan untuk melengkapkan  kita  dengan
segala   alat  senjata  pertahanan,  yang  diperlukan  untuk
memasuki   dan   berlumba   dalam   bidang   industri    dan
penyelidikan,  kajian  ilmu  dan  lain-lain  lagi yang boleh
menguatkan kita.   Tidakkah kelemahan kita  disebabkan  oleh
kekurangan  pengetahuan dibidang pentadbiran dan pembangunan
negara, dibidang pengurusan harta kekayaan diri dan  negara?
Tidakkah  kita lihat bagaimana negara Islam yang dikurniakan
kekayaan yang tidak terhingga tetapi masih miskin, lemah dan
dikongkong oleh orang asing?
28.  Segala-galanya disebabkan oleh pendidikan  yang  terhad
dan sempit, pendidikan yang tertumpu kepada kepentingan diri
di  akhirat,  yang tidak mengambilkira Ad-din di dunia, yang
tidak menekan fardu kifayah, yang  mentafsir  fardu  kifayah
secara yang terhad dan sempit.
29.    Agama  tidak boleh disalahkan.  Islam tidak salah dan
tidak boleh disalahkan.  Yang salah ialah  umat  Islam  yang
menghadkan pendidikan kepada perkara-perkara yang terhad.
30.  Saya harap Kongres ini dapat membincang dan menganalisa
Pendidikan Islam bukan sahaja berkenaan fardu ain dan hukum-
hakam,  tetapi juga secara menyeluruh untuk mengenalpasti di
mana duduknya  kesalahan  ummah  sehingga  kita  tidak  lagi
menjadi  umat yang   cemerlang   dan  sempurna, bahkan telah
menjadi  umat   manusia yang   malang   se   kali   walaupun
dikurniakan  oleh  Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan kekayaan
dan kesempatan yang begitu besar.
31.  Akhirnya dengan lafaz  "Bismillahirrahmanirrahim"  saya
dengan   sukacitanya  merasmikan  Kongres  Pendidikan  Islam
Kebangsaan ini.
     Wabillahitaufik       walhidayah       wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google