Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : STADIUM TERTUTUP MAJLIS BANDARAN JOHOR BAHRU, JOHOR Tarikh/Date : 21/01/95 Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN YAYASAN BANDARAYA JOHOR BAHRU Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala di atas limpah perkenan-Nya jua, dapat kita berkumpul pada hari ini bersama-sama barisan pemimpin, pentadbir dan sebahagian besar daripada wargakota Johor Bahru, yang gigih berusaha untuk membangunkan bandaraya ini. 2. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, yang telah sudi menjemput saya pada hari ini untuk melancarkan Yayasan Bandaraya Johor Bahru, iaitu satu lagi kejayaan wargakota Johor Bahru setahun selepas menikmati taraf sebagai sebuah bandaraya. 3. Sesungguhnya wargakota Johor Bahru amat bertuah kerana mempunyai barisan pemimpin dan pentadbiran yang berpandangan jauh. Kepesatan pembangunan Johor Bahru adalah amat membanggakan. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada seluruh rakyat negeri Johor khususnya wargakota Johor Bahru yang telah begitu gigih membangunkan bandaraya ini. 4. Namun dalam kita mengejar kejayaan itu, tidak dinafikan terdapat segelintir golongan yang tidak berupaya mengikut arus pembangunan yang begitu pantas. Tidak semua daripada kita dapat melangkah dalam nada dan irama yang serupa. Pastinya akan ada yang ketinggalan di belakang, akibat rentetan-rentetan masalah yang perlu ditempuh. Ada antaranya yang dapat melepaskan diri daripada kongkongan tersebut, namun ramai yang terpaksa tercicir di tengah jalan. 5. Akibat daripada keadaan kehidupan yang serba kekurangan ini, maka timbullah masalah-masalah; ayah dan ibu terpaksa keluar bekerja, anak-anak terbiar dan sesetengahnya tercicir dalam pelajaran, kerana keadaan kehidupan yang terlalu mendesak. Sementara anak-anak yang sudah boleh bekerja, disuruh bekerja untuk mengurangkan beban atau menguruskan rumahtangga seperti memasak, mengemas serta menjaga adik-adik. Inilah hakikat, antara rentak kehidupan sesetengah golongan miskin dan kurang bernasib baik di negara-negara di dunia ini. 6. Namun berbanding dengan negara-negara tersebut, kita amat bertuah kerana masalah kemiskinan di negara ini tidaklah begitu serius. Kita juga amat bertuah kerana mempunyai barisan pimpinan, pentadbiran serta rakyat yang sentiasa peka dan prihatin terhadap nasib serta kebajikan golongan-golongan yang tidak bernasib baik ini. Sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita tidak harus melupakan nasib saudara- saudara kita yang malang. Sebagai anggota masyarakat serta jiran yang terdekat, mereka mempunyai hak untuk dibela. 7. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman dalam satu ayat, dalam surah al-Maidah yang bermaksud:- "...dan tolong menolong dalam mengerjakan kebaikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan." Dalam beberapa hadis, Rasulullah s.a.w. menggesa umat Islam supaya tidak jemu-jemu berusaha memberi simpati dan membantu orang lain. 8. Inilah matlamat sebenar kita berkumpul pada hari yang berkat ini, iaitu untuk menyatakan komitmen serta keprihatinan kita untuk meringankan segala kesulitan seterusnya membebaskan mereka daripada belenggu keperitan hidup yang ditanggung sekian lama. 9. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, kebanyakan masalah kemiskinan yang wujud pada hari ini adalah kemiskinan yang diwarisi, ada antaranya disebabkan oleh kehilangan tempat pergantungan seperti kematian ayah akibat kemalangan atau mala petaka atau kerana kecacatan dan kehilangan anggota menyebabkan mereka tidak berupaya untuk bekerja. 10. Harapan saya ialah agar Yayasan Bandaraya Johor Bahru ini dapat mengenalpasti satu bentuk bantuan yang menekankan kepada aspek-aspek fizikal dan kerohanian. Ini adalah penting agar tidak ada sifat-sifat pergantungan kepada bantuan yang berterusan. Pendekatan yang digunakan hendaklah sesuai supaya mereka boleh berdikari di masa akan datang. Keberkesanan bantuan yang diberikan hendaklah yang berpanjangan dan bukan sekadar untuk tempoh setahun dua sahaja. 11. Kajian-kajian yang telah dilakukan baik di dalam negeri mahu pun di negara-negara luar jelas membuktikan bahawa masalah-masalah sosial yang lazimnya berlaku seperti penagihan dadah, ketagihan arak, penderaan kanak-kanak, pelacuran, keciciran adalah akibat daripada kemiskinan serta kekurangan ilmu, pendidikan serta keimanan. Kebanyakan daripada kawasan-kawasan mundur dan terpencil menjadi sarang kepada penagih-penagih dadah yang tinggal berdekatan. Keadaan persekitaran rumah yang sempit menyebabkan anak-anak terpaksa keluar rumah untuk mendapat ketenangan dan hiburan. 12. Dalam usaha kita membanteras masalah kemiskinan, secara tidak langsung kita juga mengurangkan masalah-masalah sosial yang wujud. Justeru itu, adalah diharapkan dapat diwujud penyelarasan antara bantuan-bantuan yang diberikan oleh berbagai-bagai agensi Kerajaan serta badan-badan sukarela yang ada di negara ini. Bantuan yang menye luruh serta penyelarasan yang jitu amatlah penting jika masalah kemiskinan ini hendak dihapuskan. 13. Di sini sukalah saya menyeru semua pihak yang terlibat agar dapat berpadu tenaga, berganding usaha dan idea, agar cita-cita murni ini berjaya. Golongan korporat juga hendaklah memainkan peranan penting dalam memberi peluang kepada golongan ini untuk menunjukkan kebolehan mereka. 14. Saya yakin dengan kebijaksanaan barisan pimpinan Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Kerajaan Johor dapat melaksanakan wadah perjuangan ini demi kesejahteraan wargakota Johor Bahru. 15. Dengan lafaz `Bismillahirrahmanirrahim', saya dengan sukacitanya melancarkan Yayasan Bandaraya Johor Bahru.