home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA Tarikh/Date : 03/03/95 Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI Bismillahir rahmanir rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilhamd Tuan-tuan dan Puan-puan, Muslimin dan Muslimat sekalian, Alhamdulillah, setelah sempurna berpuasa sebulan Bulan Ramadan kita akan menyambut hari kemenangan kita esok, Hari Raya Aidilfitri, dengan meriah dan gembira. Esok kita akan makan dan minum pada siang hari juadah dan masakan yang telah kita sediakan. Kita akan melawat kawan dan rakan, dan kita orang Islam akan dikunjungi oleh orang Islam dan bukan Islam sebagai bukti dan tanda kemesraan dan keamanan yang terdapat di kalangan penduduk berbagai-bagai kaum dan agama di negara kita. 2. Negara kita yang maju jaya ini tidak kekurangan apa-apa. Makanan dan minuman adalah cukup, pakaian kita bersih dan baru dan tidak ada yang tidak berumah walaupun mungkin berbentuk pondok. Kita tidak kebuluran, tidak terdedah kepada iklim yang terlalu sejuk atau terlalu panas dan lain-lain malapetaka. Pendekata, kita hidup sempurna jika tidak pun serba mewah. 3. Saya percaya di samping kita bergembira dan bersalam- salaman; semasa kita menikmati juadah dan makanan yang lazat; kita tidak akan lupa kepada berjuta-juta umat Islam lain yang tidak dapat merayakan hari yang mulia ini dengan sempurna dan gembira. Mereka akan menderita dengan kebuluran, tiada pakaian yang melindungi tubuh badan daripada iklim yang panas membakar dan kesejukan salji. Ada pula yang terpaksa menghadapi serangan musuh, ada yang akan terbunuh pada Hari Raya, mati terbujur tanpa dikapan dan dikebumikan. 4. Kita boleh salahkan musuh-musuh Islam kerana melakukan semua ini kepada saudara seagama kita. Memang mereka sengaja merebut dan menakluk wilayah-wilayah Islam kerana begitu tamak dan tidak berperikemanusiaan. Dalam merebut wilayah-wilayah ini, mereka sanggup mengganas, menghalau dan membunuh orang Islam. Malangnya tiada siapa, juga tidak ada orang Islam lain, yang dapat menolong orang Islam yang malang ini secara yang berkesan. 5. Kita boleh salahkan musuh-musuh Islam. Tetapi tidak kurang bersalah ialah kita orang Islam, terutama kita yang tinggal di negara-negara di mana orang Islam sendiri memerintah. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita lemah dan ramai di antara kita yang masih dikongkong oleh orang asing. Yang lebih sedih lagi ialah di beberapa negara Islam, rakyat yang seagama, asyik bertelagah sesama sendiri kerana rebutan kuasa. 6. Kita sering menyebut dengan bangganya bahawa orang Islam adalah bersaudara. Kita petik ayat al-Quran yang berkata bahawa orang Islam hendaklah berpegang kepada tali Allah, iaitu agama Islam, dan janganlah bercerai-berai. Tetapi kadang-kadang kita menggunakan ayat ini untuk menghalalkan permusuhan sesama kita. Ada yang memanggil gerakan mereka Persaudaraan Islam atau Ikhwanul Muslimin yang bertujuan mengganas dan membunuh orang Islam lain. Mungkin ada sebabnya, mungkin orang Islam yang mereka musuhi kononnya zalim atau dianggap tidak begitu Islam dan perlu dibetulkan. Tetapi membinasa dan membunuh orang yang seagama tidak kurang zalim. Ia bukan cara menyelesaikan masalah antara kita. 7. Ini adalah kerana permusuhan akan dibalas dengan permusuhan, pembunuhan akan dibalas dengan pembunuhan. Dengan itu masalah hanya akan bertambah dan berterusan. Kebencian dan dendam mendendam akan meningkat dengan tiap kali keganasan dilakukan. Semakin lama semakin buruklah keadaan sehingga tidak mungkin ada penyelesaian lagi. 8. Di zaman Jahiliah permusuhan antara suku-suku kaum Arab tidak pernah putus. Ia berterusan dari satu generasi ke satu generasi. Asal-usul permusuhan mungkin sudah dilupakan kerana berlaku terlalu lama dahulu. Tetapi apabila anggota satu kabilah berjumpa dengan anggota kabilah musuh, mereka membunuh dan berperang hanya kerana mereka adalah musuh. Yang utama kepada kaum Jahiliah ini ialah mereka adalah daripada kabilah-kabilah yang bermusuh. Justeru itu, mereka mesti berperang dan membunuh. 9. Tetapi apabila datang Islam, Rasulullah s.a.w. telah berjaya membendung peperangan dan permusuhan ini. Demikianlah berjayanya Nabi Muhammad s.a.w. sehingga orang Muhajirin dan orang Ansar di Madinah yang tidak ada hubungan persaudaraan dapat hidup bersama dan saling tolong-menolong sesama mereka. Dengan itu masyarakat Madinah telah bersatupadu dan dapat menjayakan perkembangan Islam. Demikianlah berkesannya perpaduan ini sehingga mereka dapat kembali ke Mekah dan mengembangkan Islam di sana. 10. Masyarakat Islam akan lebih ramai jika contoh perpaduan dan persaudaraan yang dicapai di Madinah 1400 tahun dahulu diamalkan oleh orang Islam sepanjang masa. Tetapi dalam sejarah Islam, kita dapati ramai yang membelakangkan persaudaraan dalam Islam dan akibatnya ramai orang Islam dan banyak negara Islam yang menjadi lemah dan dikuasai oleh musuh mereka. Dan ramai yang terpisah dari agama Islam. 11. Satu daripada kelemahan orang Islam ialah mereka mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang dibuat dengan nama Islam. Apabila mereka sudah percaya, mereka kerap menjadi fanatik terhadap kepercayaan ini sehingga sukar bagi umat Islam lain membawa mereka balik ke jalan yang benar. 12. Dalam sejarah Islam telah berkali-kali permusuhan sesama Islam berlaku kerana fanatisme seperti ini. Demikian pada awal abad ke-12 Masihi, Muhammad Ibn Tumart menubuhkan Gerakan Al-Muwahhidun di Maghribi. Pengaruh ajarannya berkembang dan pengikutnya bukan sahaja bertambah tetapi semakin taksub dengan ajaran dan gerakan berkenaan. Demikianlah taksubnya mereka dengan ajaran Ibn Tumart sehingga mereka dakwa ia adalah Imam Mahadi yang kononnya akan mengembalikan umat Islam kepada ajaran yang benar sebelum kiamat yang mereka percayai hampir tiba. 13. Demikian juga dengan kemunculan seorang tokoh di Sudan dalam abad yang lalu yang dipercayai adalah Imam Mahadi yang kononnya datang untuk menyelamatkan umat Islam sebelum kiamat. 14. Kita tahu sekarang bahawa dunia tidak kiamat pada abad ke-12 atau ke-19. Tetapi pengikut yang menerima Ibn Tumart telah berperang membunuh ramai umat Islam di Maghribi dan Sepanyol kerana kononnya hendak menegak agama Islam. Di Sudan pengikut Al-Mahadi percaya mereka kebal dan mendedahkan diri mereka kepada senapang askar General Gordon. Mereka ditembak mati dan Khartoum jatuh ke tangan British. 15. Selain daripada dua contoh ini terdapat ramai orang Islam dalam sejarah yang menjadi fanatik kepada satu-satu ajaran, membentuk berbagai-bagai gerakan dan tarikat yang hanya berjaya memecah-belah dan melemahkan umat Islam. 16. Di zaman ini juga terdapat fanatik Islam di beberapa negara di Afrika Utara dan Asia Barat yang giat membunuh orang Islam lain kerana kononnya mereka ingin mendirikan negara Islam. Mereka ini benci kepada keamanan dan sengaja mencetuskan huru- hara, sesuatu yang dilarang berkali-kali dalam al-Quran. Harapan mereka ialah huru-hara akan melemah dan menggagalkan kerajaan orang Islam di negara mereka dan dengan itu dapatlah mereka merebut kuasa. Sejarah telah membuktikan kejayaan puak fanatik hanyalah setakat melemahkan negara Islam. Jika mereka dapat menjatuhkan Kerajaan sekalipun, pemerintahan mereka biasanya lebih kejam. Akhirnya mereka pula dijatuhkan. Demikianlah dengan puak Al Muwahidun Ibn Tumart. 17. Fanatisme bukan cara Islam. Islam adalah agama yang sederhana yang menghargai akal-fikiran. Paksaan bukan cara untuk mengembangkan Islam. Demikianlah Allah berfirman dalam al-Quran ayat 256 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: "Tidak ada paksaan dalam agama (iaitu agama Islam)" Dalam Surah yang sama, ayat 272, Allah berfirman lagi yang bermaksud: "Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk, akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya" 18. Nabi Muhammad s.a.w. pun tidak disuruh memaksa sesiapa, walaupun untuk menerima agama Islam. 19. Orang yang fanatik tidak boleh berfikir seperti manusia yang siuman. Mereka tidak lagi dapat membeza antara yang benar dengan yang tidak benar, antara yang baik dengan yang buruk. Apabila mereka taksub dengan kepercayaan mereka, atau gerakan mereka atau pemimpin mereka, mereka akan mengikut secara buta tuli. Apa sahaja yang dibuat oleh kumpulan mereka atau pemimpin mereka, mereka terima tanpa soal, tanpa fikir. Jika disuruh membuat sesuatu oleh pemimpin mereka, mereka akan lakukannya walaupun jelas salah. 20. Demikian orang Islam yang fanatik sanggup mengganas dan membunuh orang Islam lain dengan kejam. Mereka sanggup memusnah dan menghancurkan negara Islam. Mereka menolak sebarang perdamaian. Dan sudah tentu mereka tidak akan mengakui bahawa mereka salah, bahawa tindakan mereka adalah salah dan tidak Islam, bahkan bertentangan dengan Islam. Mereka jarangkali dapat dipulih semula dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. 21. Alhamdulillah, baru-baru ini kita berjaya menangani masalah fanatisme di Malaysia. Gerakan Al-Arqam pada mulanya tidak fanatik. Tetapi apabila kepimpinannya berasa sudah begitu kuat pengaruhnya, maka bermulalah percubaan untuk membentuk `personality cult' dengan mendewa-dewakan pemimpin. Ajaran Islam ditafsir untuk menyokong dakwaan pemimpin supaya ajarannya tidak lagi disoal dan dia diterima sebagai orang yang tidak boleh salah dalam apa juga yang dilakukan atau diajar. 22. Jika dibiar, pemimpin mereka akan diterima sebagai Imam Mahadi dan banyak gejala yang tidak sihat akan berlaku. Justeru itu, Kerajaan telah mengambil tindakan untuk merombak gerakan ini dan memulihkan pegangan pemimpin dan pengikut kepada ajaran Islam yang sebenar. 23. Sementara rakyat Malaysia umumnya menyokong tindakan Kerajaan, media Barat mengecam Kerajaan kerana kononnya tidak demokratik dan takut dikalahkan oleh Al-Arqam dalam pilihan raya. Media Barat tahu tentang huru hara yang berlaku di negara-negara Islam yang mempunyai gerakan fanatik. Tetapi mereka sengaja menyokong gerakan fanatisme ini. Apakah sokongan mereka kerana demokrasi atau untuk melihat satu lagi negara yang diperintah oleh orang Islam runtuh? 24. Seperti yang saya katakan, orang Islam boleh menyalahkan orang lain dalam serba serbi tetapi selagi mereka menolak persaudaraan dalam Islam, selagi mereka begitu fanatik sehingga sanggup membunuh dalam masjid di bulan Ramadan, selama itulah mereka akan lemah dan akan dihina oleh musuh mereka; selama itulah mereka akan melihat saudara seagama dengan mereka dibunuh, dihalau dan negara mereka dirampas. 25. Alhamdulillah, di Malaysia, berkat kegigihan dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, serta kewarasan dan kesederhanaan rakyat yang beragama Islam, kita tidak dilanda gejala-gejala fanatisme yang kita lihat di beberapa negara Islam lain. Justeru itu, kita sekarang lebih bebas bersuara dan bertindak baik di dalam mahupun di luar negeri. Sedikit sebanyak dapat juga kita menyumbang kepada mempertahankan keadilan melalui diplomasi dan ketenteraan. Benar kita masih tidak begitu berjaya, terutama dalam menyelamatkan orang Islam yang sedang ditindas. Tetapi kita tidak kaku saperti kebanyakan negara membangun yang lain, termasuk negara Islam. 26. Usaha kita untuk memulih imej negara dan imej Islam masih di tahap yang awal. Untuk meneruskan usaha ini perpaduan kaum dan persaudaraan Islam yang bermakna perlu diteruskan. 27. Perbezaan pendapat dalam sesuatu masyarakat memang perkara biasa. Demikian juga di kalangan orang Islam. Tetapi persaudaraan Islam masih boleh ditingkatkan jika kita tidak fanatik dan menutup mata dan telinga kita kepada yang benar. 28. Pada Hari Raya Aidilfitri, hari kemenangan kita melawan nafsu, hendaklah kita orang Islam membaharui azam kita untuk berpegang kuat kepada ajaran-ajaran Islam yang benar, terutama persaudaraan dalam Islam. Kita hendaklah tolak ajaran-ajaran sesat dan yang berunsur fanatik. Walau apa sekalipun perbezaan pendapat di kalangan kita, janganlah kita lupa bahawa Islam adalah tali yang mesti kita pegang supaya kita tidak bercerai- berai dan menjadi lemah. 29. Esok kita akan Berhari Raya dalam keadaan aman dan tenteram, insya-Allah. Kita tidak akan lupa bersyukur dengan segala nikmat yang kita terima di negara ini, dengan kebebasan beribadat, dengan keamanan dan kemewahan kita. Kita tidak akan lupa kepada mereka yang terpaksa meneruskan tugas walaupun pada Hari raya, terutama pasukan keselamatan kita di dalam dan di luar negeri. Kita ucapkan terima kasih dan Selamat Berhari Raya kepada mereka. Jasa mereka tidak akan kita lupa. 30. Kepada kawan dan rakan yang bukan beragama Islam, datanglah mengunjungi kita pada Hari Raya ini. Perayaan bersama adalah tradisi kita. Kita aman dan makmur kerana tradisi ini. 31. Sempena hari yang mulia ini saya, isteri dan keluarga memohon maaf zahir dan batin terhadap apa juga kesalahan yang kami telah lakukan. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Allahu Akhbar Allahu Akhbar Allahu Akhbar Walillahilhamd. |