home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HICOM GLENMARIE INDUSTRIAL PARK, SHAH ALAM Tarikh/Date : 18/03/95 Tajuk/Title : MAJLIS PEMBUKAAN RASMI KILANG PENGACUAN PROTON DAN PELANCARAN MISI KORPORAT PROTON Saya mengucapkan terima kasih kepada PROTON kerana menjemput saya untuk membuka secara rasmi Kilang Pengacuan atau `casting plant' ini dan melancarkan Misi Korporat PROTON pada masa yang sama. 2. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan seluruh kakitangan PROTON kerana pencapaian yang membanggakan. Kini PROTON telah berjaya meningkatkan penggunaan bahan, kepakaran dan tenaga tempatan yang nilainya adalah hampir 80 peratus daripada nilai kereta PROTON. Jika tidak kerana kenaikan nilai matawang Yen, peratusan ini adalah lebih. 3. Kemampuan PROTON di dalam mencorak dan mengubah kemampuan industri otomotif negara, terutama di dalam perkembangan industri komponen, kejuruteraan dan merekabentuk serta peranannya sebagai penggerak utama telah menjadi contoh kepada negara-negara yang ingin membangunkan industri otomotif. Dalam jangkamasa hanya 10 tahun sejak kereta nasional dilancarkan, terdapat sebanyak 134 pengeluar komponen tempatan yang mengeluarkan lebih daripada 3,000 komponen. Harus diingat bahawa pada mulanya industri otomotif dianggap tidak mungkin diadakan di Malaysia kerana kita tidak mempunyai `supporting component industries'. Jika kita terpengaruh dengan pendapat ini, hari ini tidak akan ada PROTON. Pendekatan kita menjadikan pembuatan kereta sebagai penggerak kepada industri komponen jelas berjaya. Kejayaan ini telah meningkatkan pelbagai teknologi dan kemahiran yang boleh menyumbang kepada industri kejuruteraan yang diperlukan dalam proses pembangunan perindustrian negara. Peluang-peluang adalah terbuka untuk pengusaha-pengusaha memasuki industri kecil dan sederhana (IKS) yang bukan sahaja boleh membekalkan industri otomotif tetapi juga industri-industri kejuruteraan yang lain yang berpotensi untuk eksport ke negara-negara maju yang menghadapi kos yang tinggi kerana beberapa sebab. 4. Sejak PROTON ditubuhkan, ianya telah berjaya meningkat keupayaan dan kemampuannya mengeluarkan model-model baru. Kalau dahulunya kita dapat melihat kereta model SAGA, WIRA, SATRIA kini kita dapat pula melihat PROTON PERDANA yang lebih besar kapasitinya dan lebih canggih yang kesemuanya dikeluarkan untuk memenuhi citarasa pengguna. Di atas usaha ini, saya mengucapkan syabas kepada pengurusan dan kakitangan PROTON. Adalah diharapkan usaha ini dapat diteruskan agar PROTON pada suatu masa nanti dapat berdikari dengan menggunakan sumber-sumber dalaman sepenuhnya untuk mengeluarkan kereta. 5. Pada hari ini kita dapat melihat satu lagi kejayaan PROTON menerajui industri otomotif, terutama dalam bidang pembuatan enjin, dengan tertubuhnya kilang pengacuan ini. Kecekapan dalam bidang `precision casting' merupakan satu asas penting kepada proses perindustrian sesebuah negara. Kesanggupan PROTON memasuki bidang yang mencabar ini membuktikan komitmennya kepada penguasaan industri otomotif secara menyeluruh. 6. Selepas ini PROTON hendaklah memperolehi keupayaan dalam bidang `transmission' dan `engine design' dan `manufacturing'. Saya ucapkan terima kasih kepada Mitsubishi Motors Corporation (MMC) yang telah menyatakan kesanggupan untuk melatih dan menolong PROTON dalam bidang `engine design'. Kita semua maklum bahawa enjin kereta bermotor amatlah canggih dan `improvement' dibuat sepanjang masa. Kita perlu kecekapan untuk berlumba dalam bidang `engine design, testing and manufacturing' jika kita ingin terus berada dalam pasaran kereta penumpang di masa akan datang. Walaupun kita akan terus bekerjasama rapat dengan MMC dan pihak- pihak lain, akhirnya kita mestilah mempunyai keupayaan untuk merekabentuk `design' asas dan mengeluarkan semua `blue print' untuk semua komponen yang diperlukan untuk mengeluarkan enjin kereta penumpang. 7. Di zaman ini proses penguasaan teknologi adalah lebih mudah, terutama dalam bidang `design' dan `manufacturing'. Ini adalah kerana sistem `computer-aided design' dan `computer-aided manufacturing' sudah begitu maju sehingga kita boleh terus memesinkan acuan daripada `design' yang dibuat dalam komputer. `Blue print design' seperti dahulu tidak lagi diperlukan untuk `manufacture design'. Dengan komputer kita boleh bentuk dan lihat `design' daripada apa sudut sekalipun. 8. Saya percaya PROTON sedang melatih kakitangannya dalam bidang 'computer aided-design' yang canggih yang sedang digunakan oleh pengeluar-pengeluar kereta di negara-negara maju. Penguasaan kecekapan ini bukan sahaja akan membantu PROTON dalam bidang `design and manufacturing' tetapi juga dalam industri-industri lain. Proses perindustrian negara akan mencapai tahap yang ditujukan apabila segala teknik baru yang menggunakan komputer dikuasai oleh rakyat Malaysia. Yang diperlukan hanyalah kesanggupan mempelajari teknik ini dan mengulangi berkali-kali sehingga ia diserap sebagai sebahagian daripada seni bangsa. 9. Pengalaman manusia ialah apabila sesuatu seni menjadi sebahagian daripada budaya sesuatu bangsa, kecekapan dalam bidang itu akan diwarisi oleh generasi-generasi yang berikutnya. Demikian kecekapan pengukiran orang Bali, penghiasan ukiran plaster oleh orang Maghribi dan Uzbek, kecekapan tarian ballet orang Russia dan penguasaan dan penciptaan ilmu sains oleh orang Barat. Semuanya diwarisi dengan generasi yang berikut menguasai kecekapan ini. Sesiapa juga boleh menguasai apa juga ilmu dan kecekapan jika ia dan masyarakatnya sanggup mempelajari dengan dedikasi turun temurun. Tidaklah mustahil jika dengan usaha yang dipupuk sekarang, rakyat Malaysia akan datang akan terkenal kerana kecekapan mereka dalam bidang kejuruteraan yang canggih. 10. Saya berasa bangga kerana Syarikat PROTON telah menggubal dan membentuk Misi Korporatnya selaras dengan aspirasi Wawasan 2020. Saya dimaklumkan penggubalan dan pembentukan Misi Korporat ini melibatkan semua lapisan kakitangan dan saya percaya Misi Korporat ini akan disambut baik dan dilaksanakan oleh seluruh kakitangan dan pengurusan. Kejayaan dalam bidang perniagaan dan pembuatan bukan hak milik mana-mana bangsa atau kaum. Ia adalah hak semua yang ingin menumpukan kepada bidang ini. 11. Dengan adanya Misi Korporat ini saya percaya Syarikat PROTON akan terus berjaya mencapai tahap yang lebih cemerlang di segala bidang yang diceburi. 12. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kilang Pengacuan PROTON dan seterusnya melancarkan Misi Korporat PROTON pada hari ini. |