home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	02/06/95 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PELANCARAN HARI PENGGUNA 
			SEDUNIA 1995 DAN KEMPEN 


  
  Assalamualaikum  warahmatullahi  wabarakatuh  dan  salam
  sejahtera.
  Saya  mengucapkan terima kasih kepada pihak  Kementerian
  Perdagangan  Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna  kerana
  menjemput  saya untuk melancarkan Hari Pengguna  Sedunia
  1995  serta  Kempen Anti Inflasi Tahun  1995  pada  hari
  ini.
  2.  Kita  semua adalah pengguna. Sama ada kita mengeluar
  atau  menjual barang atau khidmat, kita tidak dapat elak
  daripada  menjadi  pengguna.  Malangnya  kerapkali  kita
  lupa  memperingati diri kita bahawa kita adalah pengguna
  semasa  kita mengeluar dan menjual barangan atau khidmat
  kita.  Hanya apabila kita membeli barangan atau  khidmat
  barulah kita begitu kuat berlagak sebagai pengguna.
  3.   Sebagai  pengguna  kita  begitu  marah  jika  harga
  terlalu  mahal,  atau khidmat kurang baik  sedikit  atau
   kualiti  tidak  seperti  yang didakwa.  Sebaliknya  jika
  kita  yang menjual mahal atau memberi khidmat yang buruk
  atau  barangan jualan kita tidak berkualiti, kita  tidak
  anggap  perbuatan kita itu tidak baik atau salah. Bahkan
  kita  tidak  faham kenapa orang tidak puas  hati  dengan
  harga  atau  kualiti barangan atau khidmat kita.  Inilah
  masalah  yang  terbesar yang dihadapi  oleh  masyarakat:
  pemisahan diri kita sendiri semasa menjadi pengguna  dan
  semasa   menjadi   pembekal   barangan   atau   khidmat.
  Sementara  sebagai  pengguna kita kecam  kenaikan  harga
  barangan,  di saat yang sama kita menuntut  supaya  upah
  untuk  khidmat  kita  dinaikkan.  Dan  kita  marah  jika
  sesiapa menarik perhatian kepada kontradiksi ini.
  4.  Kita  adakan kesatuan pengguna seolah-olah  pengguna
  tidak  pernah  menjadi  pembekal.  Dengan  itu  kesatuan
  begitu  lantang  mengecam pembekal  tanpa  menyoal  diri
  sendiri,  apakah  kita  sebagai pembekal  prihatin  akan
  kepentingan pengguna?
   5.  Selagi  ada  daikotomi  ini,  selama  itulah  kempen
  mengawal  inflasi  tidak  akan  berjaya.  Jika  pengguna
  ingin  layanan yang baik daripada pembekal, maka  mereka
  tidak  boleh lupa tentang pentingnya layanan  yang  baik
  daripada   mereka   sendiri  apabila   mereka   membekal
  barangan atau khidmat.
  6.  Apabila  kita  mengejar  inflasi  sifar  atau  `zero
  inflation',  kita  harus faham akan  maksudnya.  Inflasi
  sifar  tidak  bermakna bahawa semua barang  dan  khidmat
  tidak  boleh  naik  harga  sama  sekali.  Dalam  keadaan
  tertentu  dan  dengan  barangan atau  khidmat  tertentu,
  kenaikan  harga bukan sahaja tidak dapat  dielak  tetapi
  adalah   perlu   jika  taraf  hidup  masyarakat   hendak
  dipertingkatkan.  Demikian  juga  inflasi  sifar  adalah
  berkenaan   dengan  kos  sara  hidup  asas.   Ia   tidak
  melibatkan sara hidup di peringkat mewah.
  7.  Ini  bermakna bahawa tumpuan kita adalah kepada  kos
  keperluan  asas  purata. Jika kita ingin membeli  barang
   mewah  atau  layanan yang istimewa, kita  perlu  sanggup
  membayar  harga  yang  tinggi dan meningkat.  Jika  kita
  ingin  membeli  kereta  mewah  atau  rumah  mewah   atau
  tambang  kelas satu, kita mestilah sanggup  bayar  harga
  yang  tinggi  dan yang meningkat sepanjang masa.  Tetapi
  bagi  khidmat  atau  barangan biasa, harga  tidak  harus
  naik  selagi  tidak ada kenaikan daripada segi  kualiti.
  Demikian   minuman  yang  dijual  dalam   hotel   mewah,
  harganya  lebih tinggi daripada minuman yang  sama  yang
  dijual  di  kedai kopi biasa. Harga yang  dibayar  bukan
  untuk  minuman  itu  sahaja tetapi untuk  bangunan  yang
  indah,  layanan  yang selesa oleh pelayan  yang  bergaji
  tinggi  dengan  pakaian seragam yang  mahal.  Jika  kita
  tidak  sanggup  membayarnya kita boleh pergi  ke  tempat
  yang  lebih  murah. Apabila hotel mewah  tidak  mendapat
  langganan  yang  cukup oleh orang yang sanggup  membayar
  dengan  harga  yang tinggi mereka sudah  tentu  terpaksa
  menurunkan  harga.  Jika hotel mewah  masih  juga  dapat
   pelanggan  yang cukup yang sanggup membayar  harga  yang
  mahal, maka mereka berhak menjual mahal.
  8.  Kadang-kadang  kita terpaksa  terima  kesan  inflasi
  yang  diimport  daripada negara asing.  Oleh  itu  harga
  perlu  dinaikkan. Tetapi kesan ini tidak seratus peratus
  kerana  barangan yang diimport mungkin hanya seperatusan
  kecil  sahaja  daripada kos. Justeru itu pembekal  tidak
  harus  naikkan harga dengan peratusan yang  sama  dengan
  kenaikan  harga  barangan import. Ada kos  dalam  negeri
  yang  tidak  naik  dan  ini patut menolong  mengurangkan
  kenaikan harga jualan.
  9.  Yang  menjadi masalah ialah pembekal suka  mengambil
  kesempatan   daripada  kenaikan  harga   bahagian   yang
  diimport  untuk  menaikkan harga tempatan  dengan  paras
  yang  sama. Tetapi apabila barangan yang diimport  turun
  harganya,   penjual  berdiam  diri  sahaja   dan   tidak
  menurunkan harga.
  10.  Pengguna dan kesatuan-kesatuan mereka perlu memberi
  pertimbangan  secara adil dan memahami  mekanisma  harga
   ini.  Kesatuan  pengguna  yang mudah  mengecam  kenaikan
  harga  tanpa  membuat  penelitian yang  mendalam,  bukan
  sahaja tidak adil tetapi mungkin merosakkan ekonomi.
  11.  Kesatuan pengguna mestilah bertanggungjawab. Mereka
  tidak  harus terlibat dengan politik. Mereka juga  harus
  berhati-hati  apabila  membuat satu-satu  dakwaan.  Jika
  tidak  mereka  akan merugikan penjual tanpa  sebab.  Dan
  penjual bukan semuanya kaya raya. Ramai daripada  mereka
  adalah  penjaja.  Apabila didakwa kononnya  daging  yang
  diimport  tidak  halal, bukan sahaja  pengimport  daging
  yang  rugi,  tetapi penjaja karipap di tepi  jalan  juga
  turut  rugi. Apabila kemudian didapati dakwaan itu tidak
  berasas,  pengimport  mungkin  hidup  semula,  sementara
  perniagaan penjaja mati terus.
  12.  Kadang-kadang  kesatuan pengguna  menghasut  supaya
  tuan   punya   tanah   umpamanya  menjual   mahal   atau
  menghalang    pembangunan.   Ini    dengan    sendirinya
  menyebabkan  kos meningkat yang mana pemilik  tanah  itu
   sendiri akan menanggung tekanan kenaikan sara hidup.
  13.  Strategi  Kerajaan Malaysia ialah  mengekalkan  kos
  sara  hidup yang rendah untuk membolehkan kita  bersaing
  menarik   pelaburan  dan  mengekalkan   dayasaing   atau
  `competitiveness'  barangan  buatan  kita   di   pasaran
  antarabangsa.  Kita tidak mempunyai banyak  `competitive
  advantage'. Kita kekurangan modal, teknologi dan  `know-
  how',   pasaran  tempatan  yang  mewah  dan  besar   dan
  `network'  atau  jaringan pemasaran  di  seluruh  dunia.
  Yang  ada  pada kita ialah kos pengeluaran  yang  rendah
  kerana kos sara hidup kita yang rendah.
  14.  Demikianlah  kos sara hidup kita sehingga  walaupun
  pendapatan  per kapita kita pada 1994 dihitung  sebanyak
  US$3,500,  tetapi  kuasa membeli pendapatan  per  kapita
  ini  ialah sama dengan US$8,500 di Amerika Syarikat. Ini
  bermakna bahawa walaupun gaji kita sekian banyak  tetapi
  kita  boleh membeli hampir tiga kali ganda banyak barang
  atau  khidmat berbanding dengan rakyat Amerika  Syarikat
   yang  mendapat  gaji yang sama. Dengan  perkataan  lain,
  gaji  pekerja  di  Amerika  Syarikat  sebanyak  US$9,000
  hanya  sama dengan gaji US$3,000 di Malaysia. Ini adalah
  perhitungan purata dan bukan pendapatan sebenar.
  15.  Sebabnya  kuasa membeli kita lebih tinggi  daripada
  di  negara maju ialah kerana kos sara hidup kita rendah.
  Selagi  kos  sara  hidup  kita  rendah  kos  pengeluaran
  barangan dan khidmat kita juga akan menjadi rendah.  Ini
  bukan  bermakna  upah  sahaja  yang  menyumbang,  tetapi
  pengangkutan,  bahan-bahan,  api,  air  dan  lain-  lain
  lagi.  Dengan  ini, kita boleh bersaing  dengan  jayanya
  dalam pasaran antarabangsa.
  16.  Eksport kita akan meningkat dan aliran  wang  masuk
  akan  bertambah dan rakyat kita akan lebih kaya,  kerana
  wang  yang banyak ini akan dibelanjakan oleh mereka yang
  dapatinya. Tiap kali seseorang itu berbelanja  di  dalam
  negeri, ada orang lain yang akan mendapat keuntungan.
  17.  Demikian apabila orang kaya membuat mahligai  untuk
   dirinya,   pekerja  mendapat  pendapatan  yang   tinggi,
  pembekal  bahan binaan mendapat pendapatan, pemilik  dan
  pemandu    lori   untung,   penjual   minyak   bertambah
  pendapatan  dan  seterusnya. Kerajaan  juga  akan  dapat
  berbagai-bagai  jenis cukai untuk membiayai  pentadbiran
  dan projek-projek untuk rakyat.
  18.   Sebaliknya  jika  kerana  pembekal  barangan  atau
  khidmat  menaikkan harga maka kos sara hidup  akan  naik
  dan  kos  pengeluaran  barangan juga  akan  turut  naik.
  Dalam negara, kenaikan ini akan menaikkan lagi kos  sara
  hidup   yang   akan  menaikkan  lagi  kos   pengeluaran.
  Pendapatan  rakyat mungkin bertambah tetapi  `purchasing
  power'  atau  daya beli mereka akan turun. Mereka  tidak
  jadi  lebih  kaya.  Mereka menjadi lebih  miskin  kerana
  wang  yang  banyak boleh membeli hanya sedikit  barangan
  atau  khidmat.  Inflasi dengan kejatuhan nilai  matawang
  adalah  perkara yang sama. Jangan fikir kita kaya kerana
  duit  kita bertambah. Duit kita yang bertambah kerapkali
   mempunyai nilai yang kurang daripada dahulu.
  19.  Di  luar  negara, kenaikan kos  dalam  negeri  akan
  menjejaskan  kemampuan  barangan  kita  bersaing   dalam
  pasaran.  Pendapatan kita daripada eksport  akan  turun.
  Pelabur  tempatan  dan pelabur asing akan  hilang  minat
  untuk  melabur  di  negara  kita.  Peluang  kerja   akan
  berkurangan.  Upah  akan turun  dan  kita  akan  menjadi
  bertambah   miskin  kerana  akhirnya  pendapatan   turun
  sedangkan  kos  sara  hidup  naik.  Kita  menjadi  lebih
  miskin  kerana pendapatan kita tetap tidak dapat membeli
  barangan dan khidmat sama seperti dahulu.
  20.  Justeru  itu, pembekal barangan atau  khidmat  (dan
  ini  termasuk  siapa  juga yang menjual  khidmat  mereka
  untuk  mendapat  upah)  harus  elak  daripada  menaikkan
  harga  jualan mereka melainkan ada peningkatan  daripada
  segi  kualiti  atau kuantiti -- iaitu  peningkatan  daya
  pengeluaran atau produktiviti.
  21.  Jika  harga barangan atau khidmat tinggal kekal  di
   paras  lama  kita  akan capai inflasi  sifar.  Dan  kita
  semua  tetap  akan  mendapat  manfaat  daripada  inflasi
  sifar  yang menjadi sasaran kempen kita. Tidak ada siapa
  yang  akan  rugi kerana inflasi sifar. Sebaliknya  semua
  akan  memperolehi  nikmat. Sudah  tentu  ekonomi  negara
  akan  tumbuh dengan lebih pesat, yang mana ini juga akan
  menguntungkan kita semua.
  22.  Oleh  kerana  kita semua adalah pengguna  dan  kita
  semua  juga  adalah pembekal, maka kawalan  inflasi  ini
  adalah tanggungjawab bersama kita semua. Pengguna  tidak
  boleh  menyalahkan  pembekal dan  pembekal  tidak  boleh
  menyalahkan pengguna. Jika inflasi meningkat,  kedua-dua
  adalah  bersalah. Sebaliknya jika inflasi sifar tercapai
  kedua-dua  perlu  disanjung kerana kedua-dua  menyumbang
  kepada pencapaian ini.
  23.  Apakah pula peranan Kerajaan? Sudah tentu  Kerajaan
  mempunyai   peranan   dan  tanggungjawab   yang   besar.
  Kerajaan  ini  ingin melihat rakyat hidup  sempurna  dan
  makmur  kerana rakyat yang makmur, tenteram dan  bahagia
   akan   memilih  parti  Kerajaan  semula.  Tetapi   lebih
  daripada  itu balasan yang ternilai dan bermakna  kepada
  Kerajaan  ialah  melihat rancangan-rancangannya  berjaya
  dan  negara  dihormati oleh dunia. Kerajaan  juga  perlu
  kepada  `job satisfaction', iaitu kepuasan hati  melihat
  pentadbirannya  berjaya.  Tentulah  Kerajaan,   terutama
  anggota  yang dipilih oleh rakyat akan berasa malu  jika
  kerana    mereka    kurang    kecekapan    atau    tidak
  bertanggungjawab, ekonomi negara ini  runtuh  dan  dunia
  menghinakan negara ini.
  24.  Tanggungjawab  Kerajaan  adalah  menyeluruh.  Lebih
  daripada   pihak-pihak   lain,  Kerajaan   perlu   faham
  mekanisma  ekonomi  dan kesan inflasi  terhadap  ekonomi
  negara,  kewangan negara, dan kehidupan rakyat. Memahami
  ini,  Kerajaan  berkepentingan mengawal  harga  barangan
  dan  khidmat supaya tidak melambung naik. Kawalan  harga
  akan  diteruskan  dan  jika  perlu  jenis  dan  bilangan
  barangan yang perlu dikawal harganya akan ditambah.
   25.  Sepatutnya  Kerajaan  tidak  mengawal  harga  dalam
  sistem  ekonomi  pasaran.  Harga  sepatutnya  ditentukan
  melalui   `market  forces',  iaitu  kesanggupan  pembeli
  membeli  dan penjual menjual. Tetapi ramai manusia  yang
  tamak  dan akan menaikkan harga jika tidak ada  kawalan.
  Justeru  itu  di  Malaysia penjual tidak  boleh  terlalu
  bebas  menentukan  harga.  Jika  mereka  enggan  menjual
  mengikut  harga yang ditetapkan, tindakan  akan  diambil
  terhadap mereka.
  26.  Kemasukan  barangan  dari luar,  cukai  import  dan
  eksport  dan beberapa cara lain digunakan oleh  Kerajaan
  untuk  mengawal  harga dan membendung inflasi.  Malaysia
  belum  menjadi negara maju dan kawalan harga dan inflasi
  adalah  penting  untuk  kita  terus  berdayasaing  serta
  menentukan  pendapatan yang rendah di negara kita  tidak
  bermakna taraf hidup kita turut rendah. Kita tidak  mahu
  menjadi  negara di mana upah beratus ribu unit  matawang
  tetapi  harga sekilo daging adalah berpuluh  ribu  unit,
   iaitu sama dengan upah untuk dua atau tiga hari.
  27.  Pengguna,  pembekal dan Kerajaan mempunyai  peranan
  dan  tanggungjawab masing-masing. Ingatlah Hari Pengguna
  bukanlah  hari  untuk satu kumpulan  anggota  masyarakat
  mengecam  kumpulan lain. Kita semua adalah pengguna.  Di
  masa  yang  sama kita jugalah pembekal. Kempen  mengawal
  inflasi  tidak  akan berjaya selagi kita  bersikap  lain
  semasa  mengguna  dan lain pula bila  menjadi  pembekal.
  Jika  kita semasa menjadi pembekal sedar dan insaf  akan
  kepentingan  pengguna,  iaitu  kita  sendiri,  dan  kita
  tidak  membuat sesuatu yang membebankan pengguna, insya-
  Allah  kita  akan mendapat nikmat daripada  kempen  anti
  inflasi  sebagai  pengguna  tanpa  merugikan  diri  kita
  sebagai  pembekal.  Jangan  asyik  mendesak  orang  lain
  menurunkan harga sedangkan kita menuntut kenaikan  harga
  untuk barangan dan khidmat yang kita bekalkan.
  28.  Hari  Pengguna  dan  Kempen  Anti  Inflasi  bermula
  dengan  penyedaran  bahawa  kita  tidak  boleh  pisahkan
   pengguna  daripada  pembekal.  Orang  yang  sama  adalah
  pengguna dan pembekal.
  29.  Oleh itu, kita semua perlu menyumbang kepada  usaha
  menyelamatkan  pengguna  daripada  diri   kita   sebagai
  pembekal. 30. Untuk menjayakan kempen Anti Inflasi  yang
  akan  membawa kebahagiaan kepada kita semua, kita  perlu
  faham  akan mekanisma inflasi. Kita tidak boleh mengawal
  sesuatu  jika  kita tidak kenal apa dianya  yang  hendak
  dikawal.
  31.  Jika kita dapat faham dua perkara ini, insya-Allah,
  Hari  Pengguna  dan  Kempen Anti  Inflasi  akan  membawa
  kebaikan kepada kita.
  32.  Dengan  ini,  saya  dengan sukacitanya  melancarkan
  Hari  Pengguna  Sedunia  1995 dan  Kempen  Anti  Inflasi
  1995.
  
 

 



 
Google