home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PEJABAT PERDANA MENTERI, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	20/07/95 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA MENANDATANGANI PERJANJIAN 
			MENGENAI PENUBUHAN 


   
  Syukur  alhamdulillah, berkat kemakmuran  yang  dikecapi
  oleh  negara  selama  ini, satu  lagi  lembaran  sejarah
  tercipta   apabila  Kerajaan  membuat  keputusan   untuk
  membangunkan   Putrajaya   sebagai   Pusat   Pentadbiran
  Kerajaan   Persekutuan  yang  baru  di  Daerah   Sepang,
  Selangor.
  2.  Keputusan Kerajaan ini sebenarnya telah dibuat  pada
  2  Jun  1993  apabila  Jemaah  Menteri  bersetuju  untuk
  memindahkan  pejabat-pejabat Kerajaan  Persekutuan  yang
  pada  masa  ini berselerak di sana sini di  sekitar  ibu
  negara   ke   satu  kawasan  lain  di  mana  perancangan
  pembangunannya  dapat dibuat dengan  lebih  teratur  dan
  berkesan.
  3.  Beberapa faktor utama telah mendorong pihak Kerajaan
  untuk membuat keputusan tersebut.
   4.   Kuala  Lumpur,  ibukota  Malaysia,  adalah   sebuah
  bandaraya  yang  telah  berkembang  pesat  dan  mencapai
  pelbagai  kemajuan.  Walaupun ia dibangun  sejak  dahulu
  lagi  sebagai  pusat  pentadbiran,  hari  ini  ia  sudah
  menjadi pusat dagangan yang terbesar di Malaysia.  Dalam
  pada  itu  ia  masih perlu berlumba dan bersaing  dengan
  ibukota-  ibukota  negara-negara  jiran  untuk   menarik
  lebih  banyak  syarikat dagangan yang  besar  mendirikan
  `regional headquarters' mereka di sini.
  5.  Memandangkan  bahawa  Kuala Lumpur  sebagai  Wilayah
  Persekutuan mempunyai kawasan yang terhad, adalah  sukar
  baginya  membesar  untuk memberi tempat  dan  keselesaan
  kepada  aktiviti-aktiviti komersil yang semakin  rancak.
  Kualiti hidup di Kuala Lumpur juga akan menurun jika  ia
  terlalu  sesak  dengan bangunan-bangunan dan  kenderaan-
  kenderaan.
  6.  Aktiviti komersil tidak mudah dipindah-pindah kerana
  ini  adalah  bidang swasta. Lagipun Kerajaan berpendapat
  tumpuan   kepada  Kuala  Lumpur  oleh  syarikat-syarikat
   gergasi   adalah  penting  jika  ianya  hendak  mendapat
  pengiktirafan  oleh  dunia  antarabangsa  sebagai   satu
  daripada bandar dagangan terkemuka di Asia.
  7.  Sebaliknya  Kerajaan lebih mudah  membuat  keputusan
  berkenaan  dengan lokasi pejabat-pejabatnya.  Pada  masa
  ini  pejabat-pejabat Kerajaan Pusat berkecamuk di banyak
  lokasi   di  Kuala  Lumpur.  Dan  banyak  pula  daripada
  pejabat   ini   disewa  daripada  swasta.   Dengan   itu
  kementerian-kementerian  umpamanya  terpaksa   berkongsi
  ruang  dengan  penyewa-penyewa lain. Dengan  sensitifnya
  urusan-urusan  Kerajaan,  keadaan  ini  tidaklah  begitu
  baik.
  8.    Pada   tahun   1993,   setelah   beberapa    tahun
  perbincangan,    Kabinet   membuat    keputusan    untuk
  memindahkan  beberapa  aktiviti pentadbirannya  ke  satu
  pusat  khas.  Keputusan  juga  dibuat  untuk  menjadikan
  Kuala  Lumpur sebagai ibukota dagangan atau  `commercial
  capital' bagi Malaysia.
  9.  Daripada beberapa tempat yang dikaji dan ditinjau di
   Selangor,  Negeri  Sembilan dan  Perak,  Kerajaan  telah
  memilih  Perang  Besar kerana ianya dekat  dengan  Kuala
  Lumpur  dan  terletak  di  antara  Kuala  Lumpur  dengan
  Lapangan Terbang yang baru di Sepang, dengan jarak  yang
  lebih kurang sama.
  10.  Perancangan  yang  teliti telah  dibuat  oleh  satu
  konsortium empat belas arkitek Malaysia dengan  diketuai
  oleh  arkitek  Jabatan Kerja Raya.  Ibukota  pentadbiran
  ini   dirancang   untuk   menjadi  sebahagian   daripada
  `Multimedia  Super  Corridor' yang menyambungi  lapangan
  terbang  antarabangsa baru di Selatan dan  Kuala  Lumpur
  di   Utara   dengan  mempunyai  semua   kemudahan   yang
  tercanggih dan terkini.
  11.  Pembiayaan projek ini tidak akan membebankan negara
  kerana   cara-cara   `financing'  yang   tertentu   akan
  digunakan.  Sebahagian  daripada  wang  yang  diperlukan
  sudah  pun  diadakan  kerana  beberapa  projek  bangunan
  Kerajaan  di  Kuala Lumpur telah ditangguh untuk  dibina
  di Pusat Pentadbiran baru ini.
   12.  Pembinaan  Pusat Pentadbiran ini adalah  juga  satu
  pelaburan  yang  besar  oleh  Kerajaan  Pusat  dan  akan
  membawa  banyak manfaat kepada Kawasan Perang Besar  dan
  sekitarnya.    Bersama    dengan    Lapangan     Terbang
  Antarabangsa  Sepang  ia akan membawa  pembangunan  yang
  pesat  kepada wilayah yang terpencil ini. Hari  ini  pun
  penduduk berdekatan sudah menikmati banyak rahmat.
  13.  Memandangkan  bahawa  Putrajaya  adalah  sebahagian
  dari  ibukota  sebuah  negara maka Kerajaan  berpendapat
  ianya   eloklah  diberi  nama  yang  ada  kaitan  dengan
  sejarah   Malaysia  yang  merdeka.  Dengan   itu   pusat
  pentadbiran  Malaysia  ini diberi  nama  Putrajaya  bagi
  mengingati  Bapa Malaysia, Almarhum Tunku  Abdul  Rahman
  Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
  14.  Justeru itu, pada hari ini, 20 Julai 1995 bersamaan
  22   Safar   1416,  segala  hasrat  Kerajaan  ini   akan
  dimetrikan    di   Upacara   Menandatangani   Perjanjian
  Berhubung  Dengan  Penubuhan Pusat Pentadbiran  Kerajaan
   Persekutuan  di Putrajaya di antara Kerajaan Persekutuan
  dengan  Kerajaan  Negeri Selangor. Perjanjian  ini  juga
  merupakan satu detik sejarah yang mana persetujuan  yang
  dicapai   mengikut  Fasa  (8)  perkara  83  Perlembagaan
  Persekutuan, akan membolehkan Putrajaya di dalam  Daerah
  Sepang  di  Negeri  Selangor  diwujudkan  sebagai   satu
  kawasan  Pihak  Berkuasa Tempatan dan Pusat  Pentadbiran
  Kerajaan Persekutuan yang baru.
  15.  Melalui  perjanjian ini juga satu  perbadanan  yang
  diberi  nama  Perbadanan Putrajaya  akan  ditubuhkan  di
  bawah  Akta  Parlimen  untuk mentadbir  dan  menguruskan
  segala  usaha  pembangunan  serta  perkara-perkara  yang
  berkaitan  bagi  pihak Kerajaan Persekutuan.  Perbadanan
  Putrajaya   akan   mempunyai  fungsi-fungsi   eksekutif,
  tanah,  pembangunan,  protokol dan  fungsi-fungsi  pihak
  berkuasa   tempatan  bagi  memastikan  Putrajaya   dapat
  dibangunkan selaras dengan hasrat dan aspirasi  Kerajaan
  untuk  menjadikannya bandaraya terunggul serta  mencapai
   matlamat Wawasan 2020.
  16.  Segala  usaha  untuk memakmurkan negara  memerlukan
  pengorbanan    serta    penggemblengan    tenaga    yang
  menyeluruh.  Untuk itu, Kerajaan Persekutuan  merakamkan
  terima  kasih  yang tidak terhingga serta sembah  takzim
  kepada  Duli  Yang  Maha Mulia Sultan  Salahuddin  Abdul
  Aziz  Shah  Alhaj ibni Almarhum Sultan Hishamuddin  Alam
  Shah  Alhaj, Sultan Selangor Darul Ehsan, atas  kesudian
  Baginda  untuk memperkenankan perjanjian ini dimetrikan.
  Kerajaan  Persekutuan  juga  mengucapkan  ribuan  terima
  kasih  kepada  Kerajaan  Negeri Selangor  serta  seluruh
  rakyatnya   atas   segala   kerjasama   serta   kerelaan
  berkongsi  pelbagai kenikmatan yang bakal  wujud  dengan
  termetrinya    perjanjian   ini    serta    terbangunnya
  Putrajaya.
  17.  Sesungguhnya, majlis yang penuh  makna  ini  adalah
  satu    ukiran    sejarah   yang   akan   merealisasikan
  pembangunan    Putrajaya   sebagai    antara    kemuncak
  pencapaian  negara menjelang abad ke-21 dan  ini  adalah
   bertepatan  dengan  usaha  Kerajaan  ke  arah   memenuhi
  Wawasan 2020. 
 
 



 
Google