home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL FEDERAL, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	22/07/95 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN 
			PERWAKILAN KE-24 PARTI GERAKAN
 

   
  Saya   ucapkan   terima  kasih  kepada  Presiden   Parti
  Gerakan,  Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik, serta  ahli-ahli
  Jawatankuasa  Kerja  Parti kerana menjemput  saya  untuk
  merasmikan  Persidangan Perwakilan Agung  Parti  Gerakan
  yang  ke-24  pada  hari  ini. Selaku  Pengerusi  Barisan
  Nasional  atau  BN  saya  anggap  jemputan  ini  sebagai
  mencerminkan semangat dan konsep BN, yang telah  menjadi
  asas  penting  bagi keamanan dan kejayaan  negara  kita.
  Selain  daripada itu, perasmian Mesyuarat Agung  seperti
  ini  memberi  kesempatan  kepada  saya  untuk  mengikuti
  perkembangan  Parti  Gerakan dengan lebih  dekat,  untuk
  bertemu  dengan  pemimpin-pemimpin  dan  anggota-anggota
  parti   ini  dan  menyuarakan  pendapat  saya  berkenaan
  dengan   Barisan   Nasional  dan   peranan   parti-parti
   komponennya.
  2.  Saya  masih  ingat semasa saya merasmikan  Mesyuarat
  Agung  Parti Gerakan tahun lalu bahawa ketika itu  demam
  pilihanraya  sudah hangat dan ramai yang menunggu  untuk
  saya  membuat  pengumuman  mengenai  tarikh  pilihanraya
  umum.  Walaupun ramai ahli yang hampa kerana saya  tidak
  mengumumkan tarikh tersebut, ditinjau kembali  atau  `on
  hindsight' ianya ada baiknya. Dengan melengahkan  tarikh
  pilihanraya  tersebut  ianya telah  menguatkan  semangat
  dan   keazaman   ahli-ahli  BN  untuk   lebih   bersedia
  menghadapi  pilihanraya  dan  bekerja  lebih  kuat  bagi
  menjamin  kemenangan besar untuk Barisan  Nasional.  Ini
  jelas  terbukti  apabila  pilihanraya  umum  yang  lepas
  diadakan, BN telah mendapat kemenangan luar biasa.
  3.   Berbagai-bagai  tafsiran  telah   dibuat   mengenai
  kemenangan  cemerlang  BN dalam  pilihanraya  umum  yang
  telah  diadakan. Ada pihak-pihak yang tidak suka  dengan
  kita  mendakwa  bahawa BN menang kerana  ekonomi  negara
   begitu baik dan pihak akhbar tidak memberi liputan  yang
  meluas  kepada parti-parti pembangkang. Pihak-pihak  ini
  termasuk  media  asing  tidak  langsung  memberi  kredit
  kepada  kebijaksanaan  dan  kematangan  atau  `maturity'
  rakyat  Malaysia.  Rakyat Malaysia tentu  dapat  menilai
  prestasi  atau  pencapaian negara ini berbanding  dengan
  negara  membangun yang lain, bahkan dengan negara  maju.
  Sementara  akhbar asing dan pihak-pihak tertentu  sering
  membuat   ramalan  bahawa  kaum-kaum  akan  merusuh   di
  Malaysia,  bahawa  ekonomi  yang  tumbuh  dengan   pesat
  adalah  satu kejadian `fluke' sementara yang  tidak  ada
  kena   mengena  dengan  dasar  atau  kecekapan  Kerajaan
  Malaysia,  dan ramalan-ramalan lain yang buruk  terhadap
  Malaysia,  rakyat sedar dan dapat merasai  dengan  jelas
  kejayaan   dan  keamanan  di  negara  ini  serta   dapat
  menikmati kehidupan yang bahagia dan terselamat.  Rakyat
  Malaysia  bukanlah bodoh dan tidak tahu berbudi sehingga
  tidak   dapat   menilai  sendiri  baik-buruk   kehidupan
   mereka.  Mereka tidak perlu pihak lain membuat penilaian
  dan   analisa  tentang  baik-buruk  keadaan  di   negara
  mereka.  Sudah  tentu  mereka tahu analisa  dan  laporan
  orang  asing mempunyai niat tertentu, niat untuk melihat
  Malaysia  gagal dan hancur kerana Malaysia tidak  segan-
  segan  menegur  dan  mengkritik  mereka  apabila  mereka
  salah.
  4.  Rakyat Malaysia yang berbilang kaum tahu menilai dan
  menghargai sesuatu, memutuskan yang mana yang  baik  dan
  yang  mana  yang  buruk.  Rakyat  Malaysia  tahu  bahawa
  merekalah   yang  boleh  dan  berhak  menentukan   nasib
  mereka,   dan  bukan  orang  asing  atau  pihak-   pihak
  tertentu  dalam negara ini yang berniat untuk  memancing
  dan  begitu  suka untuk dipuji dan disokong  oleh  orang
  asing.
  5.   Rakyat  Malaysia  membuat  pilihan  sendiri   dalam
  Pilihanraya yang lepas, pilihan dengan hati dan  fikiran
  yang   terbuka.   Dan  pilihan  mereka   ialah   Barisan
  Nasional,  sekali lagi Barisan Nasional, dengan  memberi
   sokongan dan mandat yang lebih kuat dan lebih besar.
  6.  Pilihanraya umum yang lepas telah menunjukkan bahawa
  politik  perkauman atau 'communal politics' sudah  tidak
  lagi  mendapat  sokongan sebilangan besar rakyat  negara
  ini.  Rakyat  kini telah sedar bahawa politik  perkauman
  akan  hanya membawa kehancuran kepada negara. Ini  dapat
  dilihat  di  beberapa  negara yang  mengamalkan  politik
  perkauman.  Itulah  sebabnya  parti  lawan   yang   cuba
  memainkan  sentimen perkauman dalam  mengejar  undi  dan
  menawan  sebuah  negeri telah tidak  mendapat  sokongan.
  Jelaslah  bahawa  politik  perkauman  sudah  tidak   ada
  tempat lagi di negara berbilang kaum ini.
  7.  'Religious extremism' atau pelampau agama juga tidak
  ada  tempat di negara ini. `Religious extremism' seperti
  biasa  tidak berpandu kepada ajaran agama yang  sebenar.
  Mereka   membuat  ajaran  mereka  sendiri  dengan   niat
  tertentu.  Apabila agama dikaitkan dengan  politik  maka
  agama  tercemar  dan menjadi kotor. Ajaran  yang  dibuat
   ditafsir  supaya  bertujuan menyokong  dan  menghalalkan
  perbuatan  salah oleh mereka. Inilah bahayanya ekstrimis
  agama.  Kita berasa lega kerana rakyat Malaysia  umumnya
  menolak  `religious  extremism' dan  mengalahkan  mereka
  tiap  pilihanraya dan kali ini juga. 8. Kemenangan  yang
  besar  oleh  Barisan  Nasional  dalam  pilihanraya  yang
  kesembilan  pada  tahun ini adalah  perkara  yang  boleh
  dibanggakan  oleh  kita. Tetapi janganlah  kita  menjadi
  angkuh  dan  sombong kerananya. Janganlah  kerana  tidak
  ada  parti  lawan  yang  kuat  kita  berpuashati  dengan
  pandangan kita sahaja.
  9.  Kita tidak boleh anggap semua yang kita buat  adalah
  betul.   Jika   kita  bertanggungjawab  kita   hendaklah
  sanggup  mengkritik dan menegur diri kita. Kritikan  ini
  harus  dibuat  semasa  kita bermesyuarat  supaya  dianya
  tidak  dipergunakan  oleh parti  lawan.  Janganlah  kita
  membuat  kritik  di  luar daripada  parti  kerana  ingin
  menarik  perhatian kepada diri kita. Ini  adalah  kerana
   kritikan  kita mungkin salah dan sebaliknya  pihak  yang
  dikritik   atau  perbuatan  yang  dikritik   oleh   kita
  sebenarnya  betul.  Tetapi  oleh  kerana  kita   membuat
  kritikan   terbuka,  sukar  untuk  kita   memperbetulkan
  kesilapan  kita  atau  mengakui  secara  terbuka  bahawa
  kritikan kita itu tidak berasas.
  10.  Sebaliknya jika kritikan dibuat secara jelas semasa
  mesyuarat  tertutup, pihak parti, bahkan Kerajaan  boleh
  menjelaskan  dan mempertahankan perkara  tersebut,  atau
  menerima  dan  memperbetulkan kesalahan yang  didedahkan
  oleh  kritik  dari  dalam parti. Cara ini  adalah  lebih
  baik,   walaupun  tidak  begitu  digemari  oleh  akhbar,
  kerana  mereka  tidak ada bahan yang  kontroversi  untuk
  dilaporkan.
  11.  Kita  semua, termasuk pucuk pimpinan  parti,  harus
  bersedia mendengar kritikan atau teguran terhadap  dasar
  atau  urusan  parti  dan  Kerajaan.  Janganlah  pemimpin
  mengecap  pengkritik  dari  dalam  parti  sebagai   sama
  dengan  pembangkang, sebagai bunyi seperti  orang  parti
   lawan,   sebagai  penderhaka.  Pemimpin  mesti   sanggup
  mendengar  teguran yang ikhlas daripada  anggota  parti.
  Jika  ia  salah,  terangkan kepadanya kenapa  ia  salah.
  Jika  tegurannya  baik pemimpin harus terima  tegurannya
  dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
  12.  Kritikan  dari dalam ini amat penting  kerana  yang
  pertamanya  kita  tidak  boleh terlalu  puashati  dengan
  prestasi   kita,  dengan  sokongan  yang  kuat  daripada
  rakyat,  dengan  anggapan  kita  tidak  mungkin   salah.
  Kemenangan  yang besar oleh kita mempunyai  bahaya  yang
  sama  besar, kerana kita anggap kita terlalu pandai  dan
  cekap.
  13.  Di  samping  kritikan dari dalam, kita  juga  tidak
  boleh  tutup  telinga kepada teguran oleh  orang  ramai,
  melalui  media  umpamanya. Semua  teguran  dan  kritikan
  mestilah  diambil berat dan di mana terdapat  asas  yang
  baik  kita perlu bersedia membetulkan diri kita.  Dengan
  itu,  kekuatan  kita  tidak  akhirnya  menyebabkan  kita
  hilang  kepercayaan rakyat dan populariti  kita  menjadi
   pudar.
  14.   Saya  memperingatkan  perkara-perkara  ini  kerana
  dalam  apa  jua perjuangan memang ada `ups  and  downs'.
  Sekarang kita `up'. Kita boleh kekal di tahap ini  hanya
  jika   kita  berjaga-jaga,  bertanggungjawab  dan  tidak
  angkuh  dan  sombong. Jika kita lalai dan  sombong  kita
  tetap  akan  jatuh.  Masyarakat mempunyai  ingatan  yang
  pendek.  Mereka  mudah lupa dan mereka  akan  lupa  jasa
  kita  yang lama jika hari ini kita lakukan sesuatu  yang
  tidak  disukai  oleh mereka. Oleh itu beringat-ingatlah.
  Mandat  kita  adalah untuk berkhidmat dan terus  berjasa
  kepada rakyat. Dan dengan kesedaran ini maka kita  harus
  bekerja lebih kuat untuk agama, bangsa dan negara.
  15.  Barisan  Nasional  dan parti komponennya,  termasuk
  Gerakan, perlu membalas budi kepada rakyat yang  memilih
  kita  dengan kita merendah diri dan memikul tugas dengan
  ikhlas dan penuh tanggungjawab.
  16.  Dengan  peringatan  ini,  saya  dengan  sukacitanya
  merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Yang Ke-
   24. Saya ucapkan selamat bersidang. 
 
 



 
Google