home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 27/07/95 Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN MALAM MERAIKAN PERDANA MENTERI MONGOLIA, T.Y.T. PUTSAGIIN JASRAI Bagi pihak Kerajaan Malaysia saya mengucapkan Selamat Datang kepada Tuan Yang Terutama dan Puan Jasrai serta ahli-ahli rombongan dalam lawatan rasmi ke Malaysia. Saya berharap lawatan ini, walaupun singkat, akan memberikan manfaat dan menggembirakan. 2. Saya gembira mengingati kembali pertemuan kita di Copenhagen beberapa bulan lepas di mana hasrat Tuan Yang Terutama untuk berkunjung ke Malaysia pertama kali dibincangkan. Lawatan ini membuka peluang kepada kita memperbaharui perkenalan dan ikatan persahabatan yang terjalin serta berbincang tentang cara-cara dan usaha- usaha yang perlu dilaksanakan bagi mempertingkatkan hubungan kedua-dua negara. 3. Sungguhpun secara relatif tidak berapa jauh dari Malaysia, Mongolia bukanlah sebuah negara yang asing kepada rakyat Malaysia. Kami mengetahui daripada sejarah tentang keberanian dan semangat tinggi rakyat Mongolia yang telah berjaya memperkembangkan Empayar Mongol ke sebahagian besar benua Asia serta juga beberapa kawasan di benua Eropah. Pahlawan-pahlawan termasyur, Genghis Khan dan Kublai Khan, begitu dikenali di kalangan semua peringkat rakyat Malaysia sebagaimananya juga oleh rakyat lain di dunia ini. Zaman pahlawan-pahlawan termasyur ini telah pun berlalu dan negara Mongolia kini sedang melalui satu lagi perubahan, iaitu daripada sistem politik satu parti kepada sistem pelbagai parti bercorak demokratik dan daripada ekonomi terancang berpusat kepada ekonomi pasaran. Sebagaimana pengalaman banyak negara bekas sosialis, proses perubahan ini bukanlah mudah. Saya ingin mengucapkan syabas kepada Tuan Yang Terutama kerana berjaya menangani perubahan-perubahan tersebut dalam keadaan aman dan stabil. Dengan kebijaksanaan dan kepimpinan Tuan Yang Terutama, saya yakin Tuan Yang Terutama akan terus berjaya menerajui Mongolia ke arah keamanan dan kemajuan pada masa akan datang. 4. Kami gembira mengetahui daripada Tuan Yang Terutama dalam perbincangan kita pada pagi ini tentang pelbagai dasar dan langkah yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Tuan Yang Terutama bagi membangunkan Mongolia dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat jelata. Langkah-langkah liberalisasi ekonomi yang telah dilaksanakan serta pembukaan ekonomi Mongolia kepada penyertaan sektor swasta, sama ada dari Mongolia sendiri mahu pun luar negeri, bukan sahaja akan mempergiatkan lagi pembangunan ekonomi Mongolia malahan juga akan membuka peluang-peluang kerjasama antara kedua-dua negara kita. Persefahaman yang telah kita capai bagi memajukan hubungan perdagangan dan pelaburan, termasuk dengan termetrinya Perjanjian Mengelakkan Cukai Dua Kali dan Perjanjian Perlindungan Pelaburan tentunya membolehkan kita mewujudkan asas yang kukuh ke arah kerjasama ekonomi lebih rapat di antara Malaysia dengan Mongolia. 5. Adalah diharapkan sektor swasta dan awam kedua-dua negara akan memperkukuhkan lagi asas yang telah dibina oleh kedua-dua Kerajaan kita dengan melaksanakan kerjasama dan usahasama-usahasama, sama ada di Malaysia mahu pun di Mongolia, demi faedah bersama. Sektor swasta, sebagai penggerak utama pembangunan, memainkan peranan penting dalam menjayakan pelbagai persefahaman kerjasama ekonomi yang telah kita capai. Dalam hubungan ini, saya gembira dimaklumkan sebahagian rombongan Tuan Yang Terutama adalah terdiri daripada usahawan-usahawan penting Mongolia yang berminat memajukan hubungan ekonomi dengan Malaysia. Kami mengalu-alukan kedatangan mereka ke negara ini dan bersedia memberikan apa jua bantuan dan kerjasama yang diperlukan bagi menjalinkan hubungan dengan rakan-rakan sejawatan mereka di Malaysia. 6. Saya juga gembira mengetahui bahawa beberapa buah syarikat Malaysia yang telah mengambil inisiatif menjalankan perniagaan dengan Mongolia, telah menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman dengan usahawan-usahawan Mongolia semasa lawatan ini. Saya berharap langkah sedemikian merupakan titik permulaan kepada lebih banyak usahasama antara sektor swasta kedua-dua negara. 7. Malaysia dan Mongolia adalah negara membangun yang sedang gigih berusaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat masing-masing. Malaysia, setelah mencapai beberapa kemajuan dalam pembangunan ekonominya, kini sedang berusaha pula untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020. Dalam usaha membangunkan ekonominya, Malaysia telah memperolehi pengalaman dalam beberapa bidang ekonomi dan perancangan. Sehubungan itu, Malaysia bersedia berkongsi pengalaman yang diperolehinya dengan negara-negara sahabat termasuk Mongolia. 8. Kami berharap tawaran kami untuk bekerjasama dalam pembangunan sumber manusia dan menyediakan kursus latihan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia, sedikit sebanyak akan membantu usaha-usaha pembangunan Mongolia. Walaupun tawaran bantuan ini kelihatan kecil, tawaran kami mencerminkan keyakinan kami terhadap pentingnya kerjasama Selatan-Selatan. Kami melihat potensi besar dalam kerjasama seumpama itu, bukan sahaja sebagai bantuan dan sokongan untuk pembangunan ekonomi bersama, bahkan sebagai cara berkesan ke arah membebaskan diri kita daripada pergantungan sepenuhnya kepada negara-negara maju dan berkuasa. Peristiwa-peristiwa di beberapa tempat di dunia masa kini jelas memperlihatkan bahawa pergantungan seperti itu, sementara mempunyai tanda harga yang tinggi, selalunya tidak boleh diharapkan. Ianya berkemungkinan diberhentikan jika kita tidak menurut kehendak mereka. Dunia hari ini menyaksikan betapa rendahnya komitmen mereka kepada prinsip-prinsip yang mereka agung-agungkan. Jika mereka tidak mempunyai kepentingan ekonomi mereka bersedia mengenepikan prinsip-prinsip mereka. 9. Sekali lagi, izinkan saya menyampaikan rasa gembira kami menerima kedatangan Tuan Yang Terutama dan Puan Jasrai sebagai tetamu-tetamu kami. Saya yakin lawatan ini akan menyumbang kepada mempereratkan hubungan antara kedua-dua negara. |