home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:	DEWAN BESAR IKIM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	17/08/95 
Tajuk/Title 	: 	PERSIDANGAN PEMERINTAHAN DALAM 
			MASYARAKAT MAJMUK 



      Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
    
              Saya  mengucapkan  terima kasih  kepada  IKIM
    kerana  menjemput  saya  untuk  merasmikan  Persidangan
    Pemerintahan  Dalam Masyarakat Majmuk  anjurannya  pada
    hari ini.

    2.    Pemerintahan  masyarakat majmuk  bukanlah  terhad
    kepada  Kerajaan  Islam  sahaja tetapi  Kerajaan  bukan
    Islam juga kerap memerintah masyarakat majmuk.  Dan  di
    antara  anggota  masyarakat berbilang  kaum  di  negara
    bukan  Islam terdapat juga orang Islam.  Di  zaman  ini
    terutamanya,  terdapat  ramai daripada  rakyat  negara-
    negara  bukan Islam yang terdiri daripada  orang  Islam
    sehingga mereka menjadi kumpulan minoriti yang terbesar
    di antara rakyat negara-negara berkenaan.

    3.    Memandang  kepada keadaan ini  kita  tidak  boleh
    ketepikan masalah masyarakat Islam dalam negara  majmuk
    yang  bukan  Islam.  Jika kita berbuat  demikian,  maka
    kita  akan gagal memberi panduan kepada mereka.  Dengan
    ini  orang  Islam mungkin melakukan sesuatu yang  boleh
    membinasakan diri mereka.

    4.    Teladan  penting yang didapati  dari  zaman  Nabi
    Muhammad s.a.w. ialah apabila sekumpulan daripada orang
    Islam  pengikut  Nabi  pergi ke Habsyah  untuk  mencari
    perlindungan  daripada  musuh-musuh  Islam  di   Mekah.
    Mereka  ini diterima dan diberi perlindungan oleh  Raja
    Habsyah   yang   beragama   Kristian.   Baginda   telah
    menolak  tuntutan  Quraish supaya  pelarian  Islam  ini
    dikembalikan ke Mekah.

    5.    Orang  Islam  kerap  mengulangi  cerita  ini  dan
    menghargai sikap pemerintah Kristian Habsyah.  Tentulah
    rakyat  Islam  yang pergi ke negara Habsyah  ini  tidak
    membuat  sesuatu  yang  melanggar undang-undang  negara
    Habsyah.   Tentulah mereka menghormati pentadbiran  dan
    budaya   orang   tempatan.    Tentulah   mereka   tidak
    mencetuskan  huru-hara  di  negara  tumpangan   mereka.
    Dengan  itu, terselamatlah mereka dan agama Islam  yang
    mereka anuti.

    6.        Demikian jugalah di zaman ini.  Apabila orang
    Islam terpaksa bermastautin di negara bukan Islam, maka
    tentulah  mereka  perlu  menghormati  pemerintahan  dan
    penduduk  negara  tersebut.  Mereka  tentu  tidak  suka
    ditindas  atau dipisahkan daripada agama mereka  secara
    paksa.   Selagi  mereka dibenar untuk  terus  menganuti
    agama  Islam  dan  selagi mereka tidak  diusik,  mereka
    tidak harus menimbulkan masalah kepada negara tumpangan
    mereka.

    7.    Seperti  juga  dengan  orang  Islam yang menjadi
    minoriti di negara bukan Islam, orang bukan Islam  yang
    menjadi minoriti di negara Islam patut menerima layanan
    yang sama.  Hanya kerana orang Islam menjadi pemerintah
    dan  majoriti  tidak bermakna yang  orang  bukan  Islam
    tidak berhak.  Contoh layanan baik terhadap orang bukan
    Islam  dalam  masyarakat majmuk  yang  diperintah  oleh
    orang Islam berlaku di Madinah semasa pemerintahan Nabi
    Muhammad s.a.w.  Cara mentadbir masyarakat majmuk  yang
    mengandungi  orang  Muhajirin dan Ansar  Islam  bersama
    dengan  orang Yahudi dan Nasrani telah ditentukan  oleh
    Perlembagaan  atau Sahifah Madinah.  Orang  Yahudi  dan
    Nasrani  tidak  dipaksa memeluk  agama  Islam.   Bahkan
    undang-undang yang dikuatkuasakan ke atas mereka  ialah
    undang-undang  agama mereka sendiri.  Demikian  apabila
    sepasang  orang  Yahudi melakukan  zina,  hukuman  yang
    dikenakan  adalah  `rejam dengan batu'  yang  merupakan
    hukum yang terdapat dalam Kitab Taurat.
 
    8.   Dalam    hal   ini,  Allah  Subhanahu   wa  Ta'ala
    telah  berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat  256  yang
    bermaksud "Tidak ada paksaan dalam Islam".  Dalam surah
    Al-Kaafiruun ayat 6 dijelaskan bahawa bagi orang  bukan
    Islam  agama  mereka,  tetapi bagi  orang  Islam  agama
    Islam.  "Lakum dinukum waliadin".
 
    9.   Selain  daripada   itu,  hukum-hukum   yang   sama
    berat  dikenakan ke atas orang Islam dan  bukan  Islam.
    Tidak ada bukti bahawa dalam pemerintahan Madinah orang
    bukan  Islam dikenakan tanggungjawab atau hukuman  yang
    lebih berat daripada orang Islam.
 
    10.    Keadilan  dalam  Islam  tidak  berbeza  daripada
    konsep  keadilan yang universal.  Jika penindasan  atau
    ketidaksamaan hukum dianggap tidak adil dalam pandangan
    universal,   demikian  jugalah  dalam  Islam.    Tetapi
    tekanan kepada keadilan lebih jelas dalam agama  Islam.
    Dalam al-Quran dan juga hadis yang sahih, beratus-ratus
    kali  disebut tentang betapa Allah menyuruh umat  Islam
    berlaku  adil dan melarang perbuatan yang zalim.   Jika
    ada  perbuatan yang tidak adil dan zalim yang dilakukan
    oleh  orang  Islam atau Kerajaan Islam  ianya  bukanlah
    kerana Islam atau disuruh oleh agama Islam tetapi ianya
    adalah  oleh  kerana orang Islam dan  Kerajaan-Kerajaan
    Islam tidak menghiraukan ajaran Islam dan suka mengikut
    nafsu.   Malangnya  apabila orang Islam  atau  Kerajaan
    orang Islam membuat sesuatu yang tidak adil mereka suka
    mengaitkannya  dengan ajaran Islam  untuk  menghalalkan
    perbuatan  mereka.  Bahkan mereka kerap memaksa  ulama-
    ulama suruhan dan ketua-ketua agama seperti mufti  atau
    Sheikh-ul-Islam  untuk membuat fatwa yang  menghalalkan
    kezaliman mereka.
 
    11.  Dalam   sejarah  manusia  sejak  dari zaman Firaun
    lagi  terdapat  pemerintahan yang zalim terhadap  orang
    yang  bukan  daripada  agama  atau  bangsa  pemerintah.
    Kedatangan Islam dan pemerintahan Nabi Muhammad  s.a.w.
    di   Madinah  dan  kemudian  di  Mekah  telah   membawa
    pemerintahan  yang  adil dan bertimbangrasa.   Demikian
    hamba-hamba  abdi yang biasanya daripada  bangsa  bukan
    Arab  diberi  layanan yang adil dan  saksama.   Layanan
    yang  adil  daripada Pesuruh Allah yang  membawa  agama
    Islam  inilah  yang  menyebabkan ramai  daripada  orang
    kulit hitam yang menjadi hamba menerima agama Islam dan
    mempertahankan  agama ini dengan  gigih.   Contoh  yang
    utama   ialah   Bilal,  yang  menjadi   orang   pertama
    melaungkan   azan.   Tekanan  terhadap   Bilal   kerana
    menerima agama Islam amatlah berat tetapi beliau  kekal
    dengan pegangannya kepada Islam.
 
    12.   Sekali  lagi  dibuktikan  bahawa  bukan  paksaan
    yang  menjayakan Islam di zaman Nabi, tetapi  keadilan,
    keadilan yang diberi bukan selepas memeluk agama  Islam
    tetapi sebelum penerimaan agama Islam oleh orang  bukan
    Islam.
 
    13.  "Rahmah"  (kasihan)  dan  ihsan  (gemar  melakukan
    kebaikan) kepada orang lain adalah sesuatu yang disuruh
    oleh agama Islam.
    Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 134 bermaksud:
    "Dan   (ingatlah)  Allah  mengasihi  orang-orang   yang
    berbuat perkara-perkara yang baik."
    Firman  ini  menjadi  panduan yang jelas  apabila  kita
    menangani  masalah  masyarakat yang  mengandungi  orang
    Islam dan bukan Islam.

    14.    Namun    demikian,   selepas    wafatnya    Nabi
    Muhammad  s.a.w.  dan  selepas  pemerintahan  khalifah-
    khalifah Al-Rasyidin, terdapat banyak pemerintahan yang
    zalim   di   dalam  negara  Islam.   Adil  atau   zalim
    pemerintahan   Islam   di  Al-Andalus   atau   Sepanyol
    bergantung  kepada siapa yang menjadi raja.   Ada  raja
    yang  memberi layanan yang saksama kepada orang  Yahudi
    dan Kristian yang tinggal di negeri-negeri mereka.   Di
    waktu  ini  ramai  yang memeluk  agama  Islam.   Tetapi
    kemudian  apabila  raja yang zalim  memerintah,  mereka
    bukan sahaja tidak adil kepada orang bukan Islam tetapi
    juga  kepada  orang  yang  telah  memeluk  agama  Islam
    walaupun sudah beberapa generasi.
 
    15.   Akhirnya  semua   wilayah   Islam   di   Sepanyol
    ditakluk semula oleh orang Kristian.  Di waktu ini juga
    dilancarkan  `Spanish Inquisition'  yang  begitu  kejam
    terhadap  orang  Islam  dan juga  orang  Kristian  yang
    disyaki menyeleweng daripada ajaran Katolik.
 
    16.   Orang   Islam  dan Yahudi  dipaksa  memeluk agama
    Katolik.   Dengan  itu ramai orang Islam  berhijrah  ke
    Maghribi  diikuti  dengan  orang  Yahudi  yang  percaya
    mereka   tidak   akan  dizalimi  oleh  Kerajaan   Islam
    Maghribi.
 
    17.   Di  Turki  juga   ada   Kerajaan Islam yang  adil
    dan  yang  zalim  kepada penduduk yang  bukan  beragama
    Islam.   Gereja-gereja  di wilayah  Eropah  Timur  yang
    ditakluk   oleh   Turki  tidak  dimusnah.    Sebaliknya
    dijadikan  masjid.   Apabila  Empayar  Turki   ditakluk
    semula  oleh  orang  Eropah, mereka  dapat  menggunakan
    balik  gereja-gereja mereka.  Sebaliknya hari ini  puak
    Serb meruntuhkan semua masjid orang Islam Bosnia.
 
    18.   Hari   ini,  di merata  negara  di dunia terdapat
    masyarakat  majmuk  yang  menganuti  agama-agama   yang
    berlainan.   Di satu negara satu bangsa yang  menganuti
    agama  tertentu  memerintah masyarakat  yang  mempunyai
    minoriti   yang  terdiri  daripada  bangsa  lain   yang
    menganuti  agama lain.  Sebaliknya di negara lain  pula
    bangsa  yang memerintah di negara pertama tadi  menjadi
    puak minoriti di bawah pemerintahan bangsa yang menjadi
    minoriti di negara mereka.
 
    19.   Jika   di  negara   pertama  pemerintahan   tidak
    adil kepada puak minoriti, di negara kedua, mereka yang
    menjadi   puak   minoriti  tentulah   terdedah   kepada
    kezaliman oleh kerajaan puak yang dizalimi oleh  mereka
    di negara mereka.
 
    20.   Jika   mana-mana   kaum   atau   penganut   agama
    tertentu  tidak  suka  mereka dizalimi  apabila  mereka
    menjadi   minoriti,  maka  apabila  mereka   memerintah
    janganlah  mereka  menzalimi orang  lain.   Jika  orang
    Islam  di negara orang bukan Islam tidak suka dizalimi,
    maka  di  negara orang Islam janganlah mereka  menindas
    dan  berlaku tidak adil kepada kaum atau penganut agama
    lain yang tinggal di negara mereka.
 
    21.   Sebenarnya  kerajaan  negara   Islam  atau   yang
    dikuasai oleh orang Islam, tetapi mempunyai rakyat  dan
    penduduk  daripada berbagai-bagai bangsa dan  menganuti
    agama  yang  bukan Islam, jika mereka mengikuti  ajaran
    Islam  tetap  tidak akan menindas penduduk bukan  Islam
    mereka.  Tidak ada di mana-mana dalam ajaran Islam yang
    sebenar,  sama  ada daripada al-Quran atau  Hadis  yang
    sahih   yang  menyuruh  pemerintahan  Islam   melakukan
    ketidakadilan ke atas rakyat bukan Islam.  Yang ditekan
    berulang kali oleh Islam ialah supaya berlaku adil  dan
    membuat  yang  baik, menolak sebarang bentuk  kezaliman
    dan keburukan.
 
    22.    Hanya  jika   orang    lain    bermusuh   dengan
    Kerajaan  orang  Islam baharulah  disuruh  orang  Islam
    memerangi  mereka.  Namun tidak juga  disuruh  Kerajaan
    Islam  berlaku  zalim kepada mereka, walaupun  ke  atas
    mereka yang ditawan.
 
    23.   Agama   Islam   menyuruh   orang   Islam    tidak
    memaksa   sesiapa  untuk  memeluk  agama   Islam   atau
    memerintah  orang  bukan Islam secara  yang  zalim  dan
    tidak  adil.  Dengan itu Kerajaan Islam, atau  Kerajaan
    orang Islam tentulah Kerajaan yang bertimbangrasa, adil
    dan  baik.   Jika ianya zalim dan tidak baik,  jika  ia
    menindas  rakyat sama ada Islam atau bukan Islam,  maka
    Kerajaan itu bukanlah Kerajaan Islam atau Kerajaan yang
    berpandukan kepada ajaran Islam.  Bahawa yang  berkuasa
    dalam   Kerajaan  ialah  orang  Islam  tidak   bermakna
    pemerintahan  mereka  ialah  pemerintahan  Islam   atau
    pemerintahan  yang  berpandukan  kepada  ajaran  Islam.
    Hanya  apabila  pemerintahan oleh mereka  berpandu  dan
    mengikut lunas-lunas Islam baharulah Kerajaan itu boleh
    dianggap Islam.
 
    24.   Di  zaman   moden  ini  terdapat   berbagai-bagai
    bentuk   pemerintahan.   Tidak  ada  satu  pun   sistem
    pemerintahan   yang  bebas  seratus  peratus   daripada
    penyelewengan daripada nilai-nilai mulia yang universal
    dan  nilai-nilai  mulia  yang  disarankan  oleh  agama.
    Adanya  kecacatan ini adalah disebabkan oleh  kelemahan
    manusia.
 
    25.   Tetapi  kadangkala   di negara-negara    tertentu
    terdapat  pemerintahan yang terkenal bengis dan  zalim,
    dan  juga  tentangan terhadap Kerajaan oleh orang  yang
    tidak  kurang  bengis dan zalim.  Di Bosnia-Herzegovina
    hari ini kita melihat Kerajaan yang diketuai oleh orang
    Islam   ditentang  oleh  orang  Serbia  yang  melakukan
    `ethnic  cleansing' iaitu pembunuhan  kerana  kaum  dan
    agama.
 
    26.   Mengikut  prinsip  keadilan  dalam  Islam hukuman
    mestilah  sama  dan  setimpal dengan  jenayah.   Tetapi
    Allah   Subhanahu   wa  Ta'ala  menyukai   orang   yang
    bertimbangrasa  dan  sanggup  memaafkan.    Oleh   itu,
    walaupun  puak  Serb  melakukan jenayah  yang  dahsyat,
    membalaskan  dengan  `ethnic  cleansing'   juga   bukan
    dimestikan.   Hanya  yang  salah  sahaja   yang   mesti
    dihukum.   Jika  bangsa  Serb  dibunuh  kerana  jenayah
    beberapa orang Serb, mungkin mereka yang tidak terlibat
    juga   akan  menjadi  mangsa.   Ini  bukanlah  keadilan
    mengikut ajaran Islam.
 
    27.   Persidangan   ini   akan    membincangkan   suatu
    tajuk  yang  amat relevan di zaman ini  dan  di  negara
    kita.
 
    28.   Malaysia  adalah  negara  majmuk  dengan penduduk
    dan   rakyat   yang  menganuti  berbagai-bagai   agama.
    Kerajaan  Malaysia diterajui oleh orang  Islam,  bahkan
    Malaysia mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi.
 
    29.   Apa   yang   dilakukan   oleh  Kerajaan  Malaysia
    dalam  menguatkuasakan  undang-undang  tetap  mempunyai
    pengaruh  terhadap persepsi dunia mengenai pemerintahan
    orang  Islam.   Jika  pemerintahan  Malaysia  dipandang
    sebagai  tidak  adil,  maka agama Islam  akan  terpalit
    juga.   Sebaliknya jika pemerintahan Kerajaan Malaysia,
    terutama  daripada segi keadilan kepada  kaum-kaum  dan
    penganut-penganut  agama-agama  bukan  Islam   didapati
    adil,  maka sudah tentu imej dan kebersihan agama Islam
    akan terpelihara.
 
    30.   Dalam  membincangkan  tajuk  ini  janganlah  kita
    membenarkan emosi mempengaruhi kita atau kita berpegang
    kepada  pandangan  yang  sempit atau  tafsiran-tafsiran
    yang tidak mempunyai asas yang kukuh.
 
    31.   Agama  Islam  telah   dicemar kerana kepentingan-
    kepentingan  lain,  kepentingan yang  bukan  sebenarnya
    Islam.  Janganlah kita benarkan kepentingan-kepentingan
    lain  ini  mempengaruhi pendapat  kita  terutama  dalam
    membahas   dan   mencari  panduan   bagi   pemerintahan
    masyarakat majmuk.
 
    32.   Dengan  harapan   ini,  saya  dengan  sukacitanya
    merasmikan  Persidangan  Pemerintahan  Dalam Masyarakat
    Majmuk.
   
    Wabillahitaufik       walhidayah       wassalamualaikum
    warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google