home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/BY		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	30/08/95 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN 



            Assalamualaikum  warahmatullahi wabarakatuh  dan
     salam   sejahtera.
    
                    Alhamdulillah,  kita  bersyukur  kerana
    negara  kita  telah pun genap 38 tahun  merdeka.   Bagi
    sebuah negara, 38 tahun bukanlah satu jangka masa  yang
    panjang.   Namun dalam tempoh yang singkat ini,  negara
    telah  membangun  dengan  amat  pesat  serta  mengalami
    banyak  perubahan di samping mencapai kejayaan-kejayaan
    yang boleh dibanggakan.

    2.    Pada hari ini kita bukan sahaja merupakan  sebuah
    negara  yang aman tetapi juga maju dan makmur.  Ekonomi
    negara   adalah  kukuh  dan  terus  berkembang   pesat.
    Daripada  sebuah negara yang bergantung kepada  eksport
    komoditi  utama seperti getah dan bijih timah,  eksport
    barang-barang  perkilangan kini menyumbang  78  peratus
    daripada  jumlah  nilai eksport  negara.   Taraf  hidup
    rakyat  bukan sahaja jauh lebih tinggi daripada  semasa
    kita baru merdeka, bahkan kita menikmati berbagai-bagai
    kemudahan yang setaraf dengan negara maju.
    
    3.    Tidak banyak negara yang telah merdeka pada waktu
    yang  sama  dengan kita atau lebih awal  daripada  kita
    telah  mencapai kejayaan seperti kita.  Malaysia  telah
    membangun  begitu pesat sekali sehingga ianya diiktiraf
    oleh   badan-badan  antarabangsa  sebagai  model  untuk
    pembangunan bagi negara-negara membangun.
    
    4.    Bukanlah  kita hendak mendabik dada,  tetapi  ini
    adalah satu kenyataan.  Rakyat Malaysia boleh berbangga
    dengan  kejayaan dan pencapaian negara setelah merdeka.
    Setiap  rakyat  negara ini berhak berasa bangga  kerana
    semua  kejayaan  ini  adalah  hasil  usaha  gigih   dan
    pengorbanan  mereka  sendiri.   Walaupun  kita  terdiri
    daripada  penduduk  berbilang  kaum  dan  agama,  sikap
    toleransi  dan  kerjasama di antara  satu  dengan  lain
    telah  membolehkan Malaysia terus stabil dan  membangun
    dengan pesat.
    
    5.    Kejayaan memanglah baik dan sesuatu yang  diimpi-
    impikan  oleh  semua orang.  Negara yang tidak  berjaya
    bukan  sahaja  tidak dihormati oleh orang  lain  tetapi
    juga membawa banyak masalah.
    
    6.    Namun kejayaan juga mempunyai kos dan masalahnya.
    Kita telah melihat bagaimana ada pihak-pihak yang tidak
    senang  dengan  kejayaan kita dan cuba menghalang  kita
    daripada  terus  maju dan menjadi pesaing  kuat  kepada
    mereka.   Mereka cuba mengenakan berbagai-bagai sekatan
    ke  atas  negara-negara membangun yang berjaya  seperti
    Malaysia  atas  alasan kononnya kita tidak  demokratik,
    kita  melanggar hak asasi manusia, kita  tidak  menjaga
    alam   sekitar  dengan  baik  dan  kita  tidak  memberi
    kebebasan  kepada  pekerja  untuk  mengambil   tindakan
    perusahaan.
    
    7.    Selain  daripada tindakan pihak asing  menghalang
    kemajuan  kita,  mereka  juga mengancam  menarik  balik
    Sistem  Keutamaan Am atau GSP umpamanya  dengan  alasan
    bahawa  kita  sudah mencapai taraf negara maju.   Dalam
    perkara   ini  kita  harus  terima  bahawa  lambat-laun
    kemudahan  ini akan ditarik balik.  Yang  perlu  dibuat
    oleh  kita  ialah  mempertingkatkan  produktiviti  kita
    supaya  jika  dikenakan cukai sekalipun  barangan  kita
    akan berdaya saing.
    
    8.    Kekurangan tenaga buruh telah menyebabkan tekanan
    ke   atas   upah   dan  meningkatkan  kos  pengeluaran.
    Walaupun  pengambilan buruh asing telah dapat  memenuhi
    keperluan  tenaga kerja negara, langkah ini menyebabkan
    pengaliran keluar tukaran wang asing yang besar  setiap
    tahun.
    
    9.    Kejayaan  juga  telah menimbulkan  berbagai-bagai
    masalah sosial seperti kegiatan tidak sihat di kalangan
    belia  kita  termasuk menghisap dadah, melepak,  bohsia
    dan  lain-lain lagi.  Masalah ini mungkin timbul  sebab
    ramai  ibu bapa kini mengenepikan tanggungjawab  mereka
    sebagai   ibu   bapa  kerana  terlalu  sibuk   mengejar
    kemewahan.  Kesannya, anak-anak ini terbiar  dan  tidak
    mendapat pedoman dan tunjukajar yang diperlukan.
    
    10.   Walaupun  masalah ini belum  begitu  rumit,  jika
    tidak  dibendung  dari  sekarang  ianya  boleh  menjadi
    serius.   Dengan munculnya TV satelit dan  `information
    superhighway', penerimaan maklumat mungkin tidak  dapat
    dikawal  dan  disekat lagi.  Anak-anak muda  kita  akan
    terdedah kepada berbagai-bagai maklumat dan nilai hidup
    yang   tidak  sihat.   Jika  kita  tidak  berhati-hati,
    masalah keruntuhan moral di kalangan belia yang  sedang
    menghantui Barat akan muncul di hadapan pintu kita.
    
    11.   Inilah antara kos dan masalah yang terpaksa  kita
    hadapi  hasil daripada pembangunan ekonomi  yang  pesat
    ini.   Kita  tidak boleh memandang ringan gejala-gejala
    ini.  Mengurangkan pertumbuhan ekonomi bukanlah caranya
    untuk mengelak daripada masalah kerana kemiskinan  juga
    mempunyai banyak masalah.
    
    12.    Langkah-langkah  perlu  diambil  untuk  menjamin
    matlamat  kita  menjadi sebuah negara maju  yang  tidak
    tercemar seperti negara-negara maju lain akan tercapai.
    Kita  mempunyai lebih kurang 25 tahun sahaja lagi untuk
    mencapai  Wawasan  2020.  Kita tidak boleh  berpuashati
    dengan  prestasi  dan  bentuk kejayaan  kita  sekarang.
    Masih   banyak  yang  perlu  dilakukan  demi   menjamin
    rupabentuk  dan kualiti negara maju yang  kita  idamkan
    akan tercapai.
    
    13.   Tercapai  atau tidaknya Wawasan  kita  adalah  di
    tangan  kita sendiri.  Rakyat Malaysia mesti  mempunyai
    keyakinan diri yang tinggi untuk maju.  Apa yang  boleh
    dibuat  oleh orang lain, boleh juga dibuat  oleh  kita.
    Hanya  yang diperlukan ialah kesanggupan untuk berusaha
    bersungguh-sungguh  dan  keberanian  menghadapi   semua
    cabaran.   Tidak  ada  kuasa yang  istimewa  dan  ajaib
    kepada orang lain.  Mereka adalah manusia biasa seperti
    kita   juga.    Hanya  mereka  percaya   mereka   lebih
    berkebolehan   memandangkan  kepada   kejayaan   mereka
    sehingga kini.
    
    14.  Dalam dunia yang penuh saingan ini rakyat Malaysia
    mesti melengkapkan diri dengan pelbagai teknologi baru.
    Yakinlah  bahawa  kita boleh menguasai semua  teknologi
    dan  insya-Allah  kita bukan sahaja  akan  menguasainya
    tetapi  juga  akan meneroka dan mencipta kemajuan  baru
    bagi   teknologi  berkenaan.   Perkara   ini   bukanlah
    mustahil.
    
    15.   Sumber-sumber yang kita ada tidak akan kekal buat
    selama-lamanya.   Melainkan kita  tingkatkan  keupayaan
    kita  dengan menguasai teknologi baru, kita tidak  akan
    dapat  menggunakan  sumber-sumber yang  ada  pada  kita
    dengan   lebih  efisien.   Untuk  membangunkan   sebuah
    ekonomi   yang  moden,  mampu  bersaing  dan   dinamik,
    ketekunan  dan  kesanggupan perlu ada  bersama.   Dalam
    dunia  yang  dibentuk  oleh teknologi,  kegagalan  kita
    untuk   melengkapkan   diri  dengan   segala   kemajuan
    teknologi  akan  menjejaskan  usaha-usaha  kita   untuk
    menjadi negara maju.
    
    16.  Bagaimanapun kita tidak harus lupa akan pentingnya
    kestabilan  dan  keamanan yang kita  nikmati  sekarang.
    Jika  negara  tidak stabil adalah mustahil  kita  dapat
    membangunkan negara kita.  Yang diperlukan dan  penting
    bagi pelabur ialah kestabilan yang terjamin buat jangka
    masa   panjang.    Dan  kitalah  yang  boleh   menjamin
    kestabilan dan keamanan ini.
    
    17.    Negara   tidak  menjadi  stabil  kerana   sistem
    Kerajaan,  kerana  demokrasi atau  feudalisma.   Negara
    menjadi  stabil  kerana  rakyat  dan  pemimpin-pemimpin
    mereka sederhana, bertanggungjawab dan tidak tamak  dan
    mengejar  cita-cita masing-masing dengan  mengambilkira
    kepentingan  masyarakat dan negara.   Jika  rakyat  dan
    pemimpin  terlalu berebut-rebut untuk mendapat  sesuatu
    bagi diri sendiri dengan tidak mengambilkira akan kesan
    kepada  pihak  lain atau kesan jangka panjang maka huru-
    hara  akan  berlaku  dan akan tamatlah  kestabilan  dan
    keamanan yang sedang kita nikmati sekarang.
    
    18.   Pendekatan dan landasan yang kita  terokai  jelas
    mampu membawa kebahagiaan kepada kita.  Janganlah  kita
    dengan  sewenang-wenangnya menggugurkan apa yang  sudah
    mendatangkan  hasil yang baik kepada kita.   Ini  tidak
    bermakna  pembaikan  tidak  boleh  dibuat  lagi  tetapi
    hendaklah  kita  berhati-hati dalam  memperbaiki  jalan
    yang telah kita terokai dan kita gunakan ini.
    
    19.   Asas  dan ukuran kejayaan kita ialah  pertumbuhan
    yang  tinggi yang diiringi dengan inflasi yang  rendah.
    Kedua-dua  ini  boleh  diurus dan  dicapai  oleh  kita.
    Hanya  yang  diperlukan ialah disiplin dan  kesanggupan
    melakukan  yang  baik dan menghindar yang  buruk  untuk
    jangka panjang.
    
    20.  Kerajaan akan terus memperkenalkan langkah-langkah
    yang  boleh membantu pertumbuhan ekonomi dalam  suasana
    yang  aman  dan stabil.  Kerjasama swasta dan  Kerajaan
    dalam   konsep  Persyarikatan  Malaysia  menjadi   satu
    daripada  asas  urusan negara.  Anggapan dahulu  bahawa
    bukanlah  menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk menolong
    swasta  mencapai  kejayaan adalah  cetek.   Hasil  yang
    dikutip  oleh  Kerajaan  untuk  membiayai  perbelanjaan
    pengurusan  dan  pembangunan datang  daripada  kegiatan
    pihak swasta.  Sudah tentu jika mereka gagal tidak  ada
    cukai  yang  boleh  dikutip.   Sebaliknya  jika  mereka
    untung  besar lebih 30 peratus daripada keuntungan  ini
    adalah  hak  Kerajaan.  Justeru itu,  apabila  Kerajaan
    menolong  swasta,  sebenarnya  Kerajaan  menolong  diri
    sendiri dan juga rakyat.
    
    21.  Demikian juga dengan penswastaan.  Tujuannya ialah
    untuk  membantu Kerajaan dan juga rakyat.   Pertumbuhan
    ekonomi  yang tinggi di Malaysia adalah hasil  daripada
    konsep Persyarikatan Malaysia dan penswastaan.
    
    22.   Rakyat  harus  faham  bahawa  tiap  sesuatu  yang
    diperkenalkan  oleh Kerajaan adalah  untuk  bangsa  dan
    negara  kita.  Justeru itu, bekerjasama dan  jayakanlah
    langkah-langkah yang diperkenalkan oleh  Kerajaan  demi
    kebahagiaan  dan kesejahteraan bangsa dan  negara  kita
    Malaysia.

 
 



 
Google