home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SHAH ALAM, SELANGOR DARUL EHSAN Tarikh/Date : 09/09/95 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN KILANG WAFER SILIKON S.E.H. (SHAH ALAM) SDN. Saya ucapkan terima kasih kepada syarikat S.E.H. (Shah Alam) Sdn. Bhd. kerana menjemput saya untuk merasmikan pembukaan kilangnya hari ini. Langkah syarikat ini untuk melabur dalam kilang baru ini, di samping beberapa kilangnya yang lain, harus dipuji. Saya difahamkan untuk kilang baru ini sahaja syarikat S.E.H. (Shah Alam) Sdn. Bhd. telah melabur kira-kira RM800 juta dan perbelanjaan besar ini membuktikan bahawa Malaysia amat sesuai untuk penanaman modal jangka panjang. 2. Sejak wujudnya kilang semi-konduktor yang pertama di Pulau Pinang pada tahun 1972, perusahaan elektronik yang berasaskan eksport telah berkembang begitu pesat sehingga menjadi salah satu sektor industri yang terbesar dan penyumbang yang ketara kepada ekonomi negara. Kini Malaysia adalah pengeksport alat-alat semi-konduktor yang terbesar di dunia dan juga pengeluar ketiga terbesar di dunia. 3. Saya difahamkan dengan pelaburan baru ini oleh syarikat S.E.H. (Shah Alam) Sdn. Bhd., Malaysia akan menjadi salah sebuah negara pengeluar wafer silikon yang terbesar di dunia. Perkembangan ini sudah pasti dapat memenuhi cita-cita kita untuk memajukan perusahaan elektronik sebagai industri yang bersepadu sepenuhnya,iaitu yang merangkumi operasi semi-konduktor di kedua-dua peringkat huluan dan hiliran serta keseluruhan bidang aplikasi elektronik mikro. 4. Selepas wafer silikon, kita bercita-cita pula untuk ke peringkat hiliran dengan merekabentuk mikrocip, `wafer fabrication' dan mengeluar barangan pengguna elektronik yang berkualiti tinggi dan kompetitif kosnya. 5. Pengeluaran wafer silikon di peringkat huluan juga mempunyai potensi yang besar. Kita berbangga bahawa S.E.H. (Shah Alam) Sdn. Bhd. telah membina kilang ini yang berotomasi sepenuhnya dan menggunakan teknologi yang tercanggih untuk mengeluarkan wafer yang sudah digilap (polished wafers) dengan ketebalan `submicron' dan saiz lintang yang besar bagi pasaran industri semi- konduktor dunia. Inilah jenis kilang yang diperlukan oleh negara Malaysia yang sekarang kekurangan tenaga pekerja dan perlu tumpu kepada industri yang `capital and technology intensive' dengan pekerja yang mendapat upah yang lebih baik kerana kecekapan yang lebih tinggi. 6. Industri elektrikal dan elektronik pada hari ini masih lagi ditentukan oleh pelaburan langsung asing yang membawa bersama teknologi, pengetahuan dan `network' pasaran mereka. Kerajaan memang menggalakkan syarikat-syarikat asing di negara ini supaya mengadakan rancangan-rancangan tulin bagi pemindahan teknologi kepada anak-anak tempatan untuk faedah bersama. Jika negara kita hendak mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 usaha-usaha pemindahan teknologi yang sebenar di semua peringkat perlu dijalankan. Di masa yang sama pekerja dan jurutera mestilah berusaha kuat mengejar teknologi yang canggih yang berubah sepanjang masa. Proses ini mesti berjalan terus kerana yang canggih pada hari ini tetap menjadi usang dalam jangkamasa yang pendek. 7. Tidak ada suatu ilmu atau kecekapan yang tidak boleh dikuasai oleh pekerja mahir dan jurutera yang betul-betul berminat dan sanggup dilatih dan melatihkan diri berulang kali. Rakyat Malaysia perlu yakin bahawa apa yang boleh dibuat oleh orang lain boleh juga dibuat oleh kita. Yang penting ialah ketekunan dalam mengejar sesuatu kecekapan. Sebenarnya pada suatu masa dahulu rakyat Malaysia dipercayai boleh mengerat padi dan menoreh getah sahaja. Kecekapan mengeluarkan barangan buatan adalah satu misteri bagi kita yang kononnya rakyat Malaysia tidak mungkin boleh menguasai. Hakikatnya ialah apa yang kita mampu dan melakukan pada hari ini tidak dimimpikan oleh rakyat Malaysia hanya dua puluh tahun dahulu. Oleh itu jangan mudah kecewa. Kejayaan akan tercapai akhirnya, insya-Allah. 8. Matlamat negara ialah supaya pendapatan rakyat Malaysia di semua peringkat akan menjadi sama dengan pendapatan rakyat negara yang maju. Tetapi caranya bukanlah dengan mendesak dan mengugut. Caranya ialah dengan meningkatkan kecekapan supaya daya pengeluaran atau produktiviti kita tetap mengatasi rakyat negara maju yang lain dan kita dapat terus bersaing dengan jayanya di pasaran dunia. Jika ada orang asing mengarah kita mengambil tindakan perusahaan, percayalah niat mereka bukanlah untuk menolong kita tetapi untuk menghapuskan daya saing kita supaya mereka akan menguasai pasaran dunia semula. 9. Niat buruk mereka menjadi nyata apabila mereka umumkan akan menarik balik pengecualian cukai ke atas barangan kita walaupun kita belum mencapai taraf Negara Industri Baru (NIC) dan pendapatan per kapita kita hanya US$3,500 dan bukan US$8,000 yang menjadi ukuran taraf NIC. 10. Di sebaliknya pelabur asing yang mempunyai teknologi tidak harus takut jika Malaysia mempunyai teknologi yang diperlukan. Ini adalah kerana teknologi tidak statik atau beku. Apa yang dipindah hari ini akan menjadi usang, tidak lagi `state of the art' pada hari esok. Jika Malaysia menjadi kaya kerana pemindahan teknologi ini, kita akan menjadi pasaran yang besar bagi barangan orang asing. Ini telah pun terjadi kerana hari ini import Malaysia dari Jepun lebih besar daripada eksportnya ke Jepun. 11. Malaysia adalah rakan ekonomi yang jujur dan adil kepada sesiapa yang berdagang atau melabur di sini. Dasar kita tidak berubah dan sudah tentu tidak diubah secara sengaja separuh jalan. Oleh kerana sebab-sebab ini saya harap pelabur seperti S.E.H. akan terus membesarkan pelaburan mereka di sini. Saya yakin pelaburan di Malaysia tetap menjadi pelaburan yang bijak. 12. Akhir kata, saya ucapkan tahniah kepada syarikat S.E.H. (Shah Alam) Sdn. Bhd. atas usahanya mendirikan perusahaannya di Malaysia dan dengan ini dengan sukacitanya saya rasmikan kilang ini. |