home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN BANDARAYA IPOH, IPOH, PERAK 
Tarikh/Date 	: 	16/09/95 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MIC KE-42 



        Saya  mengucapkan  terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
    MIC kerana menjemput saya untuk merasmikan Perhimpunan Agung
    MIC pada hari ini.  Sudah menjadi kelaziman  pada  tiap-tiap
    tahun,  saya selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dijemput
    untuk merasmikan Perhimpunan Agung parti-parti  komponennya.
    Dengan   cara  ini  kita  dapat  menjalin  perhubungan  yang
    bermakna antara parti-parti komponen BN.

    2.    Bagi saya merasmikan perhimpunan seperti  ini  memberi
    peluang  kepada  saya  untuk  menyampaikan sedikit pandangan
    saya kepada ahli-ahli Barisan Nasional  di  samping  bertemu
    dengan  para  pemimpin  dan  ahli-ahli  parti-parti Komponen
    Barisan Nasional.  Saya percaya perhimpunan seperti ini akan
    digunakan sepenuhnya oleh ahli-ahli  MIC  untuk  mengeratkan
    lagi  hubungan  di  kalangan  mereka  di samping membolehkan
    ahli-ahli parti  bertukar-tukar  pendapat  mengenai  isu-isu
    semasa   yang   melibatkan   kepentingan   masyarakat  India
    khususnya dan kepentingan negara amnya.

    3.    Pilihanraya umum yang diadakan pada  bulan April  yang
    lalu    menunjukkan    bahawa   rakyat,   terutamanya   yang
    berketurunan India, terus menerima MIC  sebagai  parti  yang
    mewakili  masyarakat  India  di  negara  ini.   Dalam sebuah
    negara yang berbilang kaum adalah penting sesuatu  kaum  itu
    mempunyai  sebuah  parti  untuk mewakili kepentingannya.  Di
    negara ini sejak pilihanraya mula-mula  diadakan  masyarakat
    India telah memilih MIC untuk mewakili mereka.  Saya gembira
    masyarakat India terus memberi sokongan yang kuat kepada MIC
    kerana   para   pemimpinnya  terdiri  daripada  mereka  yang
    "moderate",   berkeupayaan   dan    sentiasa    mementingkan
    kepentingan negara.

    4.    Pilihanraya  umum  yang lepas  menunjukkan bahawa  MIC
    adalah sebuah parti yang berwibawa  dan  tetap  berpengaruh.
    Walaupun  calon-calon MIC bertanding di kawasan-kawasan yang
    mana majoriti pengundinya bukan terdiri daripada kaum India,
    namun pengundi keturunan  India  memainkan  peranan  penting
    untuk  kemenangan  calon MIC.  Di samping itu, sokongan oleh
    pengundi  daripada  keturunan  lain  membuktikan  penerimaan
    rakyat  dan konsep Barisan Nasional iaitu kepercayaan bahawa
    semua kaum patut mempunyai perwakilan di  Dewan  Perundangan
    di peringkat negeri dan pusat.  Rakyat juga sedar bahawa MIC
    mampu   menjaga  kepentingan  kaum  India  dengan  berkesan.
    Kesediaan  kaum-kaum  lain  memberi  undi  kepada  MIC  juga
    menunjukkan  bahawa  pada  umumnya  politik  perkauman sudah
    tidak tebal lagi.  Ini adalah satu  perkembangan  yang  amat
    menggalakkan  kerana politik perkauman akan hanya menghalang
    usaha-usaha kita untuk  menjadikan  Malaysia  sebuah  negara
    yang lebih maju dan berjaya.

    5.    Selaku  Pengerusi  Barisan  Nasional saya  juga  ingin
    mengambil kesempatan  ini  untuk  mengucapkan  terima  kasih
    kepada   pemimpin-pemimpin  dan  ahli-ahli  MIC  yang  telah
    bekerja keras bagi  menjamin  kemenangan  cemerlang  Barisan
    Nasional dalam pilihanraya yang lepas.  Tanpa kerjasama erat
    antara  ahli-ahli  parti-parti  komponen  Barisan  Nasional,
    adalah mustahil Barisan Nasional boleh  mencapai  kemenangan
    yang    cemerlang.  Sokongan   kuat   ahli-ahli   MIC  telah
    membolehkan calon-calon  Barisan  Nasional  daripada  parti-
    parti  Komponen  Barisan  Nasional  lain mencapai kemenangan
    terutama di kawasan-kawasan `marginal'.

    6.    Pilihanraya telah pun selesai, tetapi bagi wakil-wakil
    rakyat  yang  telah  dipilih,  tugas  mereka sebenarnya baru
    bermula.   Adalah menjadi tanggungjawab  wakil-wakil  rakyat
    Barisan  Nasional  untuk  menunaikan  janji-janji yang telah
    dibuat  semasa   kempen  pilihanraya. Ini   bagi  menentukan
    rakyat  terus  menaruh  kepercayaan kepada Barisan Nasional.
    Sebagai sebuah parti yang  bertanggungjawab  kepada  rakyat,
    Barisan   Nasional   mahukan  semua  wakil  rakyat  sentiasa
    bersedia untuk berkhidmat dan berbakti kepada  semua  rakyat
    tanpa  mengira  kaum.    Di  samping itu,  ahli-ahli Barisan
    Nasional juga tidak harus berpeluk tubuh kerana  pilihanraya
    telah   selesai.  Mereka   patut   terus    berusaha   untuk
    memperjuangkan nasib  rakyat  supaya  sokongan  mereka  akan
    berterusan.

    7.   Masyarakat India di negara ini kini menaruh kepercayaan
    yang  kuat kepada MIC.  Mereka mempunyai harapan yang tinggi
    terhadap kemampuan MIC untuk menjaga kepentingan  masyarakat
    India  di  samping  memberi  kepimpinan  yang  berkesan  dan
    berwibawa kepada masyarakat India di negara ini.   Dalam hal
    ini, saya ingin mengucapkah  tahniah  kepada  Presiden  MIC,
    Yang  Berhormat  Datuk  Samy Vellu dan pemimpin-pemimpin MIC
    yang   lain   yang   telah   bekerja   keras    bersama-sama
    pemimpin-pemimpin   Barisan  Nasional  untuk  membangun  dan
    memajukan   negara. Tanpa   sokongan  dan   kerjasama   para
    pemimpin  MIC  dan  ahli-ahli  MIC, sudah tentu negara tidak
    akan maju seperti di hari ini.  Peranan yang telah dimainkan
    oleh  MIC  dan  masyarakat  India  telah  menyumbang  kepada
    kestabilan politik negara.

    8.    Dengan kepimpinan  yang penuh  komited untuk memajukan
    masyarakat India,  saya  percaya  MIC  akan  terus  mendapat
    sokongan masyarakat India.  Saya yakin sebarang masalah yang
    dihadapi  oleh  masyarakat  India boleh diatasi melalui meja
    rundingan.   Bahkan prinsip  kerjasama  dan  cara  mengatasi
    masalah   melalui  perundingan  inilah  yang  telah  membawa
    kejayaan kepada BN.  Parti BN adalah parti  demokratik  yang
    berpegang teguh kepada prinsip `musyawarah' dan `consensus'.
    Tidak  ada  paksaan  dalam BN.   Justeru itu dasar- dasar BN
    adalah dasar yang telah direstui oleh semua kaum dan parti.

    9.   Kita baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan negara yang
    ke  38.  Dalam tempoh yang singkat ini kita  telah  mencapai
    pembangunan  dan  kemajuan  yang  amat  pesat sekali.   Yang
    menggembirakan kita ialah semua kaum telah  dapat  sama-sama
    menikmati  faedah  daripada  pembangunan  dan  kemajuan ini.
    Tidak ada mana-mana kaum yang boleh mendakwa  bahawa  mereka
    diketepikan dalam proses pembangunan negara.

    10.   Di sesetengah  negara yang berbilang kaum, pembangunan
    negara  hanya  menguntungkan  pihak-pihak  tertentu  sahaja.
    Tidak  ada  pengagihan  kekayaan yang adil kepada rakyat dan
    biasanya  kaum  minoriti  menderita. Ini  tidak  berlaku  di
    negara  kita  kerana  kepimpinan  parti  BN  bersikap  adil,
    sederhana dan tidak tamak dalam membahagi-bahagikan kekayaan
    negara.

    11.   Di Malaysia  kita  tidak  mengamal  cara  Robin  Hood,
    merampas  daripada  satu  pihak untuk diberikan kepada pihak
    lain.   Cara ini bukan sahaja  tidak  akan  menambah  jumlah
    kekayaan  negara  tetapi  akan  menimbulkan ketegangan dalam
    masyarakat.   Di  Malaysia  kita  bahagi-bahagikan  kekayaan
    daripada  kekayaan  yang ditambah melalui proses pembangunan
    ekonomi.  Cara  ini  lebih  selamat  dan  tidak  menyebabkan
    ketidakstabilan  negara  yang  boleh menjejaskan ekonomi dan
    kemerosotan kek ekonomi kita.

    12.   Sudah tentulah ada pihak yang lebih bernasib baik. Ini
    kerana tidak semua manusia  mempunyai  kebolehan,  keupayaan
    dan  kelayakan yang sama untuk mencari kekayaan.  Yang lebih
    berupaya dan bersedia  bekerja  lebih  kuat  sudah  tentulah
    memperolehi   lebih. Tetapi  pada  keseluruhannya  kaum-kaum
    memperolehi peluang yang sama untuk merebut kekayaan  negara
    dan  turut  sama-sama  menikmati  faedah daripada "expanding
    economic cake" tersebut.

    13.   Kerajaan Malaysia  telah  melaksanakan  berbagai-bagai
    dasar  seperti  Dasar  Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan
    Nasional (DPN) yang menggantikan DEB, Penswastaan dan Konsep
    Persyarikatan Malaysia.  Dasar-dasar yang telah dilaksanakan
    jelas mencerminkan sikap  terbuka  dan  pragmatik  Kerajaan.
    Bahkan  dengan  berlandaskan  kepada  "equity"  dan  "social
    justice",  kesan  dasar-dasar  Kerajaan  telah  memanfaatkan
    semua   kaum. Dengan   pengurusan  pentadbiran  yang  cekap,
    komited dan bertanggungjawab, Malaysia  kini  dikagumi  oleh
    seluruh  dunia,  termasuk  negara-negara berbilang kaum yang
    menghadapi masalah perkauman.  Dalam hal ini, Malaysia telah
    menjadi  model  untuk  dipelajari   daripada   segi   sistem
    politiknya,  dasar-dasar  ekonomi  dan  sosialnya.   Prinsip
    "social justice" bukanlah semata-mata satu "rhetoric" sahaja
    di  negara  kita  malah  ianya  telah  diterjemahkan  kepada
    program-program   yang   berjaya   meningkatkan  mutu  hidup
    rakyat.  Tiap-tiap kaum mempunyai  "share"nya  yang  semakin
    berkembang.    Dan semua ini adalah kerana rakyat negara ini
    sama-sama  berasa   bertanggungjawab   dan   komited   untuk
    menjayakan  Malaysia  sebagai  sebuah negara yang aman, maju
    dan makmur.

    14.  Dengan pertumbuhan ekonomi lebih daripada lapan peratus
    bagi tujuh tahun berturut-turut, kita  boleh  berasa  bangga
    dengan pencapaian kita.  Walau bagaimanapun, tanpa kerjasama
    semua kaum, serta mandat kepada Barisan Nasional untuk terus
    menerajui  negara, negara mungkin tidak akan bergerak semaju
    dan stabil seperti sekarang.

    15.   Satu perkara penting yang telah  dirasai akibat  Dasar
    Ekonomi  Baru  dan  juga DPN ialah pengurangan kemiskinan di
    negara ini.   Pada keseluruhannya insiden  kemiskinan  telah
    berkurangan   setiap   tahun.  Pada   tahun   1993,  insiden
    kemiskinan telah  menurun  kepada  13.5  peratus  berbanding
    dengan  42.4  peratus pada tahun 1976.  Bagi masyarakat kaum
    India khususnya insiden kemiskinan berkurangan daripada 28.5
    peratus pada tahun 1976 kepada 4.7 peratus pada tahun  1993.
    Jelas  sekali  pada  keseluruhannya  masyarakat  India telah
    berjaya memperbaiki taraf hidup mereka dan juga meningkatkan
    pendapatan isi rumah mereka.

    16.   Dalam hal ini, peningkatan  mutu  hidup  rakyat  amnya
    adalah  kerana  pelaksanaan  berbagai-bagai  program melawan
    kemiskinan yang berasaskan pendekatan yang lebih  "holistic"
    dan   "multidisciplinary"   yang  menekankan  kepada  faktor
    peningkatan  produktiviti  dan juga pendapatan.  Di  samping
    itu  juga  berbagai-bagai  agensi  Kerajaan  memberi bantuan
    kepada mereka yang betul-betul hilang upaya.

    17.   Peluang  ekonomi   yang  wujud  di negara  ini  adalah
    terbuka luas  kepada rakyatnya  tanpa  mengira kaum. Justeru
    itu,  adalah  menjadi  harapan Kerajaan supaya setiap rakyat
    berusaha    dengan    bersungguh-sungguh    untuk    merebut
    peluang-peluang   yang   terbuka  ini.  Jika  kita  lihat di
    sekeliling  kita  individu  ataupun  korporat  yang  berjaya
    adalah   mereka  yang  berusaha  dengan  kuat,  berdisiplin,
    sanggup menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan  dan  sanggup
    mengenepikan sikap mahu kaya dengan cepat.  Mereka ini tidak
    banyak  mengharapkan  bantuan daripada Kerajaan.   Sekiranya
    kita sanggup menghadapi risiko dan bersikap berani tidak ada
    sebab   mengapa   kita   tidak    boleh   berjaya.  Kerajaan
    menyediakan  berbagai-bagai peluang melalui pelbagai program
    dan  terpulanglah  kepada  rakyat  negara  ini untuk mencari
    peluang-peluang ataupun "niche" yang sesuai untuk diterokai.
    Malaysia adalah bebas dan mempunyai ruang  yang  luas  untuk
    mencari  rezeki.  Yang  penting  ialah kesanggupan seseorang
    itu bekerja keras dan berani menghadapi cabaran  dan  dugaan
    untuk merebut peluang-peluang ekonomi yang sedia ada.

    18.   Dengan   kata-kata   ini,  saya   dengan   sukacitanya
    merasmikan Perhimpunan Agung MIC yang ke-42.

 
 



 
Google