home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	26/10/95 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PAMERAN MENGENAI 
			PENGLIBATAN MALAYSIA DALAM OPERASI 
			PENGAMAN PBB 



           Terlebih  dahulu, saya mengucapkan terima kasih kepada
    pihak  penganjur kerana menjemput saya untuk memberi sepatah
    dua  kata    dan  seterusnya  merasmikan  Pameran   mengenai
    Penglibatan   Malaysia  dalam  Operasi  Pengaman  Pertubuhan
    Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari ini.

    2.    Tidaklah dapat dinafikan bahawa  Pameran  ini  membawa
    erti yang besar kepada negara kita khususnya kepada Angkatan
    Tentera  Malaysia  dan  Polis  DiRaja Malaysia.   Saya telah
    difahamkan  bahawa  pameran  ini  adalah  yang  julung  kali
    diadakan  di negara kita dan ianya bertujuan untuk mengenang
    jasa   sumbangan-sumbangan   yang   telah   diberikan   oleh
    anggota-anggota  tentera  dan  polis kita melalui penyertaan
    mereka dalam  Operasi-operasi  Pengaman  Pertubuhan  Bangsa-
    bangsa Bersatu semenjak pertubuhan dunia itu ditubuhkan lima
    puluh tahun dahulu.

    3.    Semenjak  tamatnya Perang Dunia Kedua lima puluh tahun
    dahulu, dunia masih belum lagi aman dan selamat.    Keamanan
    dan ketenteraman dunia yang diharap-harapkan oleh masyarakat
    antarabangsa  setelah  tamatnya  Perang  Dunia Kedua tinggal
    impian sahaja.  Beberapa konflik yang hebat  telah  tercetus
    di beberapa pelusuk dunia sehinggalah kini.  Konflik-konflik
    tersebut  telah  meragut  nyawa beberapa juta manusia.   Hak
    asasi  manusia  telah   dicabuli,    wanita  diperkosai  dan
    kanak-kanak  yang tidak berdosa telah turut  menjadi  mangsa
    konflik-konflik tersebut.

    4.    Kita  di sini  amatlah bertuah kerana negara kita yang
    rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum  dan  agama  telah
    dapat  hidup  dengan aman damai dan harmoni.  Kerjasama yang
    erat dan keharmonian  yang  terjalin  di  antara  rakyat  di
    negara  ini telah membawa Malaysia ke tahap kemajuan ekonomi
    yang membanggakan.  Kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan
    peratus setahun semenjak  beberapa  tahun  kebelakangan  ini
    telah  membuktikan  hakikat ini.  Dalam hal ini, tidak dapat
    dilupakan juga peranan angkatan tentera dan polis yang telah
    berjuang   menentang   pengganas-pengganas    komunis    dan
    mempertahankan   negara   dari   ancaman-ancaman  subversif.
    Sayugia diingatkan bahawa keamanan, kesenangan dan kebebasan
    yang     sedang     kita     nikmati     kini,     merupakan
    keistimewaan-keistimewaan yang amat berharga yang senantiasa
    perlu dikekal dan dipertahankan.

    5.    Walaupun negara kita  aman dan perkembangan ekonominya
    pesat,  Malaysia   tidak   lupa   kepada   penderitaan   dan
    kesengsaraan  yang dialami oleh rakyat di negara-negara lain
    yang dilanda pergolakan.    Justeru  itu,  Malaysia  sebagai
    sebuah    negara    anggota    PBB   yang   komited   kepada
    prinsip-prinsip dan tujuan-tujuan  piagam  badan  dunia  ini
    menyokong   usaha-usaha  badan  tersebut  terutamanya  dalam
    menjaga keamanan dan keselamatan  dunia.    Dalam  hal  ini,
    Malaysia   telah   memberi  sokongan  penuh  kepada  Operasi
    Pengaman  PBB   yang   Malaysia   percaya   dapat   membantu
    usaha-usaha  antarabangsa untuk mencari penyelesaian ke atas
    pergolakan-pergolakan tersebut.

    6.    Penglibatan  negara  kita  di  Operasi  Pengaman  PBB,
    khususnya  pasukan  tentera kita, bermula 35 tahun yang lalu
    di Kongo.    Sejak  itu,  Angkatan  Tentera  Malaysia  telah
    menyertai  16  Operasi  Pengaman  PBB, manakala Polis DiRaja
    Malaysia pula telah menyertai  enam  Operasi  Pengaman  PBB.
    Antara  Operasi-operasi  Pengaman  PBB  yang  Malaysia telah
    sertai selepas Kongo  adalah  Angola,  Kampuchea,  Iran  dan
    Iraq,  Namibia,  Somalia  dan  Bosnia-Herzegovina.   Sebelum
    pengunduran Operasi Pengaman  PBB  dari  Somalia  pada  awal
    tahun  ini,  Malaysia  merupakan  penyumbang  terbesar  yang
    keenam kepada Operasi Pengaman  PBB  di  kalangan  185  buah
    negara anggota PBB.   Pasukan-pasukan tentera dan polis kita
    telah  ditugaskan  sebagai  anggota  pengawas, pemerhati dan
    pembantu  dalam  memberi  bantuan   perikemanusiaan   kepada
    penduduk  tempatan  yang  terperangkap  dengan pergolakan di
    negara mereka.  Sehingga Mei 1995, difahamkan seramai 14,092
    anggota tentera dan 381 anggota polis telah  terlibat  dalam
    Operasi-operasi    Pengaman   PBB.  Kita  telah   kehilangan
    sembilan orang anggota tentera  kita  yang  terkorban  dalam
    menjalankan  tugas  mereka  di Operasi-operasi Pengaman PBB.
    Malaysia sekarang masih terlibat dalam enam operasi Pengaman
    PBB.

    7.    Perlu dijelaskan di sini bahawa  penglibatan  Malaysia
    dalam   Operasi   Pengaman  PBB  adalah  berteraskan  kepada
    prinsip-prinsip kedaulatan  sesebuah  negara,  keadilan  dan
    perikemanusiaan  dan bukannya didorong semata oleh agama dan
    politik.    Sebagai  anggota  PBB,   Malaysia   juga   telah
    menyumbang  wang  kepada  Operasi-operasi  Pengaman  PBB dan
    tidak pernah berhutang kepada badan dunia itu.

    8.    Masanya  telah  sampai  bagi  masyarakat  antarabangsa
    mengkaji  semula  peranan  Operasi Pengaman PBB.   Kegagalan
    UNPROFOR untuk memberhentikan  keganasan  puak  Serb  Bosnia
    terhadap rakyat Islam dan Croat Bosnia-Herzegovina merupakan
    satu   tamparan   yang  hebat  kepada  keberkesanan  Operasi
    Pengaman PBB.   Tidak ada  gunanya  satu  pasukan  pelindung
    dihantarkan  sekiranya ia tidak dapat melindungi orang ramai
    sepertimana yang telah dimandatkan.

    9.    Adalah tidak munasabah  pasukan  pelindung  PBB  hanya
    membiarkan  pencabulan hak asasi yang amat dahsyat dilakukan
    oleh puak Serb ke atas rakyat Bosnia-Herzegovina yang  tidak
    berdosa  tanpa  melindungi  mereka.    Pasukan Pelindung PBB
    mestilah diberikan kuasa  dan  dibekalkan  dengan  alat-alat
    senjata   yang   dapat  digunakan  untuk  melindungi  rakyat
    Bosnia-Herzegovina.

    10.   Kredibiliti Operasi-operasi  Pengaman  PBB   mestilah 
    dikembalikan    semula    dengan   memberikannya    kekuatan
    untuk menghalang keganasan  yang  berlaku  di  hadapan  mata
    mereka     baik     di     Bosnia-Herzegovina    mahu    pun
    dipergolakan-pergolakan  yang  lain.     Sekiranya   Operasi
    Pengaman  PBB  tidak  dapat  menjalankan  tugas mereka untuk
    melindungi rakyat  yang  menjadi  mangsa  pergolakan  dunia,
    sudah  tiba  masanya  satu  Pasukan  Penguatkuasaan  PBB (UN
    Peace-Enforcement  Force)  ditubuhkan   oleh   badan   dunia
    tersebut  yang  dapat  menghalang berlakunya keganasan dalam
    satu-satu pergolakan dunia.

    11.   Akhir kata, saya amat berbangga  dengan  semangat  dan
    prestasi  yang  telah  ditunjukkan  oleh pasukan tentera dan
    polis   kita   yang   telah   dan   sedang   berkhidmat   di
    Operasi-operasi  Pengaman PBB.  Pengorbanan yang dibuat oleh
    pasukan tentera dan polis bukan sahaja disanjung tinggi oleh
    kerajaan dan rakyat kita bahkan juga masyarakat tempatan  di
    mana-mana pasukan kita berada.  Syabas.

    12.   Dengan  ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran
    Penglibatan Malaysia dalam Operasi Pengaman PBB.

 
 



 
Google