home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : UNIVERSITI MALAYSIA SABAH Tarikh/Date : 28/11/95 Tajuk/Title : UPACARA MELETAK BATU ASAS KAMPUS UNIVERSITI MALAYSIA SABAH Saya mengucapkan terima kasih kepada Universiti Malaysia Sabah kerana menjemput saya untuk melakukan upacara meletak batu asas bagi kampusnya pada hari yang bersejarah ini. 2. Universiti Malaysia Sabah adalah universiti yang ke-sembilan dan yang termuda di negara kita. Atas kesedaran bahawa sebuah universiti di Sabah akan dapat mencetuskan perubahan bukan sahaja pada ekonomi, sosial dan politiknya, tetapi juga pada kemajuan pendidikan, kebudayaan dan paras keilmuannya, maka Kerajaan Barisan Nasional menunaikan janjinya kepada rakyat Sabah yang dibuat pada pilihanraya umum dahulu untuk membina universiti ini. 3. Malaysia adalah negara berbilang kaum yang pada hari ini telah menempuh pelbagai kejayaan dan kemajuan. Kita telah berjaya dalam banyak bidang, terutama dalam meningkatkan prestasi ekonomi negara. Kejayaan ini bukanlah datang bergolek. Kejayaan kita adalah atas usaha yang gigih dan ketabahan serta keberanian semua pihak untuk menghadapi cabaran dan membawa perubahan yang mendatangkan kemajuan. 4. Namun kita tidak harus berpuashati dengan pencapaian dan kejayaan kita setakat ini. Apa yang kita perolehi hasil kerja keras semua golongan rakyat perlulah diteruskan. Ini ialah kerana semangat berdaya saing terutama dengan negara-negara yang maju hendaklah terus dijadikan budaya yang mesti kita tanamkan dalam hati sanubari rakyat. 5. Kemampuan berdaya saing ini bukan sahaja penting dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga dalam mengejar kemajuan dalam sistem pendidikan kita. Pendidikan adalah satu pelaburan yang besar dan sangat penting pada negara. Kita lihat negara-negara yang maju dan kaya pada umumnya membuat pelaburan yang besar untuk memajukan sumber tenaga manusianya. Kemampuan sesebuah negara menerokai dan meneruskan semua kemajuan dan kejayaan yang telah dicapainya sangat bergantung kepada nisbah anak-anak mudanya di dalam institusi pendidikan tinggi. 6. Pendidikan tinggi di Malaysia sedang berkembang dengan pesat tetapi tidak sepantas dengan kemajuan ekonomi negara. Justeru itu, peranan universiti dalam mengisi keperluan melahirkan tenaga kerja yang terlatih dan terpelajar menjadi semakin penting dan rumit. Bukan sahaja siswazah yang terpelajar yang diperlukan tetapi siswazah yang berkualiti, berwibawa, berani dan mampu menghadapi cabaran dalam dunia realiti. Jika Malaysia ingin maju ke hadapan, ingin tingkatkan daya saing dengan negara-negara maju yang lain, tenaga kerja kita mestilah terdiri daripada mereka yang cukup terlatih dan mahir di samping terpelajar. Tenaga kerja yang mahir dan terpelajar akan memastikan kecekapan, kepandaian dan kemampuan melaksanakan apa saja kerja yang ditugaskan. 7. Untuk melahirkan siswazah yang terpelajar dan berkualiti, universiti di negara ini mestilah sanggup membuat perubahan- perubahan. Perubahan-perubahan ini bukan sahaja perlu dilihat daripada sudut perubahan struktur dan bentuknya sebagai sebuah badan pendidikan tinggi, tetapi juga daripada segi kurikulum dan pengajaran ilmu yang relevan bagi menghadapi cabaran abad ke-21. 8. Universiti-universiti di Malaysia mestilah berani menerokai bidang baru dengan mengambilkira keperluan negara kini seperti bidang pengurusan, perindustrian dan teknologi. Kursus-kursus yang bersifat "science-based" dan "technology-based" seperti kejuruteraan automobil, kejuruteraan angkasa lepas dan teknologi pembinaan kapal yang boleh mengukuhkan kemampuan berdaya saing Malaysia dengan negara-negara maju, mestilah difikirkan oleh universiti untuk diterokai melalui program-program pengajiannya yang berani. 9. Para pemimpin universiti, baik di bidang akademik mahupun pengurusan, mestilah berani menangani sebarang perubahan. Perubahan sikap dan strategi juga perlu ditangani dalam mencari sumber kewangan untuk membiayai program-program ataupun projek-projek yang boleh membawa pulangan yang menguntungkan kepada universiti itu sendiri dan juga negara. 10. Sudah tiba masanya universiti meningkatkan kerjasama dengan sektor korporat untuk mencari dana bagi menampung keperluan membiayai penyelidikannya. Usahasama pihak swasta dengan universiti perlu digalakkan dan dipertingkatkan. Salah satu tujuan Kerajaan mengkorporatkan universiti adalah untuk memberi laluan kepada universiti mengatasi masalah kewangan untuk penyelidikan dan program pengkajian di universiti. 11. Perubahan juga harus difikirkan daripada segi kaedah pengajaran. Seluruh kakitangan akademik universiti perlulah menilai kembali kaedah dan cara-cara pengajaran dan pembelajaran di universiti. Misalnya, masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Bumiputera di bidang sains dan matematik amat perlu diatasi segera. Keciciran pelajar Bumiputera di bidang pengajian bahasa Inggeris, sains dan matematik harus mendapat perhatian dan ditangani oleh semua pihak. Ketinggalan kaum Bumiputera dalam bidang-bidang ini akan menyulitkan mereka untuk bersaing dengan orang lain yang sudah jauh lebih maju. Wawasan 2020 tentulah tidak akan bererti apa-apa jika pencapaian kaum Bumiputera tidak setara dengan pencapaian kaum-kaum lain di negara kita seperti di bidang profesional iaitu kejuruteraan, perubatan, perakaunan pengurusan dan komunikasi. Cara-cara menyampaikan ilmu kepada Bumiputera mestilah disesuaikan dengan sifat- sifat yang ada pada mereka. Cara-cara yang "orthodox" mungkin tidak sesuai dan cara-cara yang baru perlu diterokai. Penggunaan komputer dan animasi perlu dikaji untuk memudahkan penerapan ilmu oleh Bumiputera. 12. Bagi kaum Bumiputera di Sabah, Universiti Malaysia Sabah tentulah akan menjadi tunggak harapan dan lambang aspirasi rakyat Sabah untuk mendapatkan bimbingan dan dukungan bagi pembangunan negeri ini. Sabah yang kaya dengan hutannya, keunggulan khazanah marinnya dan keindahan alam serta kekayaan budaya kaum-kaum Bumiputeranya boleh menjadi tempat yang paling ideal untuk penyelidikan para ilmuan. 13. Mungkin juga di sinilah peluang untuk Universiti Malaysia Sabah menempa kecemerlangan dalam penyelidikan yang tulen sifatnya. Mungkin juga di sinilah dapat diusahakan penyelidikan yang boleh melihat bagaimana proses integrasi berlaku antara kaum-kaum Bumiputera dengan bukan Bumiputera dan juga antara suku-suku kaum di kalangan kaum Bumiputera itu sendiri. Proses integrasi etnik yang berlaku di Sabah ini amat unik dan kajian mengenainya boleh membantu Kerajaan dalam usaha membina suatu bangsa Malaysia yang mempunyai pengalaman sejarah bersama, nilai-nilai yang dikongsi bersama, perasaan kekitaan dan pemilikan jatidiri yang sama yang mengatasi ikatan-ikatan etnik tanpa menggugat identiti suku kaumnya sendiri. 14. Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan flora dan faunanya, Sabah mempunyai keunggulan daripada segi alam sekitar. Sebagai sebuah negara yang amat prihatin terhadap kesejahteraan dan keaslian alamnya, Malaysia telahpun menandatangani Konvensyen Kepelbagaian Hidupan atau "Biodiversity Convention" dan kita telah juga mengesahkannya, demi untuk menjamin pemuliharaan hidupan negara kita. Saya dimaklumkan bahawa Universiti Malaysia Sabah yang mempunyai unit penyelidikan mengenai kajian biologi tropika akan membina sebuah muzium hidupan semulajadi yang bukan sahaja berfungsi untuk mendidik masyarakat tentang warisan alam negara ini tetapi juga turut berperanan sebagai pusat penyelidikan biosistemik di negara ini. Langkah ini adalah selaras dengan usaha negara untuk meningkatkan penyelidikan dan pendidikan terhadap rahsia hidupan di muka bumi ini, bukan sahaja untuk menambah pengetahuan kita tentang alam semula jadi negara tetapi juga menyedarkan kita tentang peranan memelihara alam. 15. Kita menaruh harapan usaha universiti ini menumpukan perhatian kepada penyelidikan alam semulajadi Sabah dan juga penyelidikan hidupan lautnya yang dibuat melalui unit penyelidikan marinnya akan mendapat galakan dan sokongan semua yang berkenaan terutama Kerajaan Negeri. Bantuan dalam apa bentuk pun pasti boleh membantu Universiti Malaysia Sabah menjayakan kerja-kerja penyelidikannya di bidang tersebut. 16. Sebuah universiti seperti Universiti Malaysia Sabah bukan semata-mata sebuah gedung ilmu yang menyampaikan ilmu-ilmu akademik yang bersifat "hard sciences" sahaja tetapi juga menyumbang terhadap pembangunan negara dan pengembangan nilai-nilai budaya dan intelek bangsa. Universiti bukan sahaja patut melahirkan siswazah yang mahir, cekap dan terpelajar, tetapi juga berhemah tinggi, berakhlak mulia, berdisiplin, beramanah dan berjiwa patriotik terhadap negara dan masyarakatnya. Nilai-nilai luhur inilah yang akan mengimbangi naluri kemanusiaan dan sifat-sifat dalam diri seseorang siswazah. 17. Tanpa dilengkap atau dibekalkan dengan nilai-nilai ini adalah dikhuatirkan kita akan mempunyai lebih ramai anggota masyarakat yang rendah maruah diri, yang rakus, angkuh, korup dan tidak bertanggungjawab kepada negara. Saya berharap siswazah yang dikeluarkan bukan sahaja terpelajar dan mahir dalam bidang ilmunya tetapi juga berbudi, penyayang dan bertanggungjawab terhadap sesama manusia dan juga kepada alam sekitarnya. 18. Saya percaya Universiti Malaysia Sabah bukan sahaja dapat mengisi keperluan untuk membantu pembangunan negara tetapi juga memberikan khidmat baktinya kepada Sabah dan rakyatnya. Kerajaan berharap kampus ini akan dapat dimulakan pembinaannya secepat mungkin supaya menjelang 1998 nanti Universiti Malaysia Sabah akan memiliki kampusnya sendiri di kawasan Teluk Likas yang indah ini. 19. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanyai merasmikan upacara meletak batu asas bagi pembinaan Kampus Universiti Malaysia Sabah. |