home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KAMPUNG GAYANG, TUARAN, SABAH Tarikh/Date : 28/11/95 Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN PROJEK PENDARATAN GAS PETRONAS Saya mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS kerana menjemput saya untuk melancarkan projek Pendaratan Gasnya di Kampung Gayang pada hari ini. 2. Pelancaran projek ini menyaksikan satu lagi pembangunan di negeri Sabah yang dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negeri ini. Pelancaran projek ini bukan sahaja menandakan keyakinan terhadap Kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menterinya, YAB Datuk Mohd Salleh Tun Said, tetapi juga adalah wajar dan kena pada masanya memandangkan pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan di negara kita dan juga di rantau ini. 3. Sektor industri dijangka akan terus menjadi nadi utama pembangunan negara bagi mencapai matlamat Wawasan 2020. Industri petroleum adalah antara industri yang dapat terus dipertingkatkan. Manakala di peringkat serantau pula, penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas Asean dan lain-lain kumpulan kerjasama seperti Kawasan Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Singapura, Kawasan Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand dan Kumpulan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), akan menjadi "catalyst" dalam menggalakkan pembangunan perindustrian Malaysia. 4. Pertumbuhan pesat negara yang dialami sekarang dijangka akan berterusan dan berikutan dengan ini permintaan bagi tenaga juga dijangka akan terus meningkat, iaitu pada purata kira-kira 10 peratus setahun sehingga menjelang tahun 2000. Keadaan ini juga menyebabkan penggunaan bahan-bahan sumber untuk mengeluarkan tenaga akan turut meningkat. Justeru itu, selaras dengan strategi Kerajaan untuk mempelbagaikan sumber tenaga, penggunaan gas asli sebagai sumber tenaga utama akan menjadi lebih penting. Alhamdulillah, negara kita dikurniakan sumber gas asli yang banyak dan dengan itu berupaya mengekalkan tahap rezab gas asli yang agak besar bagi menampung keperluan tersebut. Insya-Allah, mengikut perancangannya, gas dapat membekalkan kira-kira 70 peratus daripada jumlah tenaga yang diperlukan bagi kegunaan penjanaan elektrik menjelang tahun 2000, berbanding dengan hanya kira-kira 25 peratus dalam tahun 1990. 5. Penubuhan Kumpulan BIMP-EAGA yang terdiri daripada pulau-pulau Mindanao dan Pahlawan di Filipina Selatan, Sabah, Sarawak dan Labuan di Malaysia Timur, Brunei Darussalam dan Sulawesi Utara dan Kalimantan Barat di Indonesia tidak sahaja akan mempercepatkan proses pembangunan perindustrian negara tetapi juga akan membuka peluang perniagaan dan pelaburan yang lebih besar bagi Kawasan Pertumbuhan Asean Timur atau EAGA. Antara bidang-bidang perniagaan yang mungkin boleh diceburi oleh Malaysia termasuklah penerokaan minyak dan gas selain daripada pembangunan rangkaian dan perkhidmatan telekomunikasi, pengluasan hubungan udara, perniagaan, pertanian dan perikanan, pembalakan, pemprosesan dan pengetinan makanan serta pelancongan. Peluang- peluang tersebut perlulah diceburi oleh pengusaha-pengusaha negeri ini sebanyak mungkin yang dapat. 6. Dalam hal ini Kerajaan pusat dan negeri telah melaksanakan beberapa langkah demi mempercepatkan kadar pertumbuhan ekonomi negeri kita. Antara langkah yang telah dilaksanakan ialah menyediakan peruntukan pelbagai insentif cukai. Memandangkan negeri Sabah terletak di dalam kawasan "koridor industri" maka Sabah juga menikmati insentif-insentif cukai yang disediakan khas untuk kawasan tersebut. Kemudahan-kemudahan seperti ini bertujuan untuk menggalakkan pelaburan domestik dan juga untuk menarik pelaburan asing. Adalah diharapkan usahawan-usahawan tempatan akan melengkapkan diri untuk turut serta dalam era pembangunan perindustrian negara. Mereka boleh bergiat, sama ada menerusi penyertaan dalam konsortium, usahasama atau lain-lain program pembangunan usahawan atau "vendor development programme", terutamanya dalam bidang pembuatan. Satu lagi langkah Kerajaan untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Sabah ialah dengan membangunkan Taman Industri Kota Kinabalu yang sedang giat dijalankan. 7. Usaha pembangunan negeri Sabah juga memerlukan kegiatan-kegiatan sokongan yang lain seperti kemudahan infrastruktur dan prasarana sokongan yang sempurna lagi "reliable". Pelaksanaan Projek Pendaratan Gas PETRONAS umpamanya merupakan antara kemudahan utama yang penting bagi menyokong dan memeransang pertumbuhan sektor industri di Sabah. Di samping itu, Kerajaan juga telah meluluskan penubuhan beberapa buah syarikat penjana elektrik persendirian untuk memenuhi keperluan industri negeri ini. 8. Selain dapat menghasilkan bahan bakar alternatif yang lebih kos efektif dan bersih untuk penjanaan elektrik, projek gas PETRONAS ini juga akan membawa lain-lain kesan positif terhadap ekonomi Negeri Sabah. Khususnya, pelaksanaan projek ini sudah tentu dapat memenuhi objektif Kerajaan untuk membangunkan industri-industri kecil dan sederhana tempatan menerusi penawaran kontrak-kontrak kecil bagi kerja-kerja pembinaan projek. 9. Saya berasa gembira kerana sebuah Jawatankuasa Bersama antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS, yang dipengerusikan oleh YAB Datuk Mohd Salleh, telah ditubuhkan untuk menyelaras serta mengawasi pembangunan industri petroleum di negeri ini. Saya yakin dengan komitmen daripada Kerajaan Negeri dan juga kemampuan serta pengalaman luas PETRONAS, Jawatankuasa ini akan dapat mencapai matlamatnya untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat dan Negeri Sabah. Saya mengucapkan syabas dan berharap kerjasama dan hubungan rapat antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS akan terus terjalin demi kebaikan rakyat dan negara keseluruhannya. 10. Akhir kata, saya suka mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan Projek Pendaratan Gas PETRONAS ini, dan juga atas sokongan pihak-pihak berkenaan, terutamanya penduduk setempat, untuk memastikan kejayaan projek ini. 11. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Projek Pendaratan Gas PETRONAS ini. |