home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HILTON HOTEL, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	11/12/95 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN 
			PEGAWAI TADBIR & DIPLOMATIK 
			(PPTD) 1995 



           Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Pegawai
    Tadbir  dan  Diplomatik  kerana menjemput saya dan isteri ke
    Majlis Makan Malam Tahunannya pada malam ini.

    2.    Kita  rakyat   Malaysia   telah   diberikan   limpahan
    kemewahan,   kemakmuran   dan   keamanan. Tiap   hari   kita
    mendengar, terbaca atau melihat  melalui  TV  berbagai-bagai
    malapetaka  seperti  gempa  bumi,  banjir,  kemarau panjang,
    letupan gunung berapi, kebuluran atau  bencana-bencana  lain
    menimpa   rakyat   negara  lain  di  serata  pelusuk  dunia.
    Walaupun bencana alam berlaku di negara kita, seperti banjir
    atau kejadian  tanah  runtuh,  kesannya  adalah  kecil  jika
    dibandingkan  dengan  malapetaka  yang menimpa negara-negara
    asing.  Bencana alam yang sering berlaku  ini,  bagaimanapun
    bukanlah penyebab utama kepada kemelaratan, kesengsaraan dan
    penderitaan  yang  dialami  oleh  berjuta-juta rakyat dunia.
    Jika kita menyingkap kembali sejarah, malapetaka yang  lebih
    dahsyat  adalah  dimulakan  sendiri oleh manusia.   Fenomena
    peperangan,  keganasan,  pemberontakan,   fahaman   fanatik,
    kebencian  perkauman  dan  lain-lain bentuk kekacauan adalah
    contoh bagaimana manusia  berbunuhan  atau  bertindak  kejam
    menjahanamkan  insan dan hartabenda sesama sendiri.  Setakat
    ini, dengan limpahan nikmat dan keamanan yang  berpanjangan,
    serta  ekonomi  yang  maju,  rakyat Malaysia harus bersyukur
    kerana  kita   lebih   bernasib   baik   berbanding   dengan
    bangsa-bangsa lain.

    3.    Apa  yang  kita  capai  dan  perolehi  pada  hari  ini
    bukanlah  hanya warisan.  Ia adalah hasil titik peluh, kerja
    kuat dan pengorbanan yang telah kita curahkan  sebelum  ini.
    Memang benar, bumi kita Malaysia dikurniakan oleh Tuhan Yang
    Maha  Esa  dengan  pelbagai  limpahan  kekayaan  semulajadi.
    Kekayaan tersebut bagaimanapun jika tidak diurus dengan baik
    dan sempurna, belum tentu  akan  memberikan  pulangan  untuk
    kita  kecapi  hasilnya. Satu  masa  dulu, negara  kita  amat
    bergantung kepada  beberapa  barangan  komoditi. Turun  naik
    harga  barangan  tersebut tidak sahaja menjejaskan kelicinan
    belanjawan tahunan yang kita rancangkan, malah lebih  teruk,
    ia   kerap  memberi  kesan  buruk  terus  kepada  pendapatan
    petani-petani serta peladang-peladang.

    4.    Kini negara mencapai pembangunan  ekonomi  yang  pesat
    dengan  kadar  pertumbuhan  melebihi  lapan  peratus setahun
    sejak tujuh  tahun  berturut-turut.  Pencapaian  ini  antara
    lain  disebabkan  oleh  keberkesanan  dan  kelicinan jentera
    pentadbiran Kerajaan khususnya  Perkhidmatan  Awam.    Ianya
    merupakan  nadi  yang penting dalam menggerakkan keseluruhan
    jentera Kerajaan.  Golongan pentadbir adalah pelaksana dasar
    dan  rancangan  Kerajaan  dan  bertanggungjawab   memastikan
    projek-projek     serta    perkhidmatan-perkhidmatan    yang
    disalurkan berjalan dengan baik.    Walaupun  dari  masa  ke
    semasa,  masih ada rungutan terhadap perkhidmatan awam, saya
    percaya   ianya   sedang   diperbaiki   menerusi    pelbagai
    pembaharuan   dan   inovasi   yang  sedang  dibuat  ke  arah
    memastikan birokrasi kita prihatin,  bersifat  proaktif  dan
    cekap.  Jika dibandingkan dengan perkhidmatan awam di negara
    membangun  yang  lain,  saya  percaya  perkhidmatan  awam di
    negara  ini   jauh   lebih   profesional   dan   sistematik.
    Barangkali  kerana  keberkesanan yang telah ditunjukkan itu,
    `The World Competitive Report' meletakkan Perkhidmatan  Awam
    Malaysia  di tangga keempat terbaik di dunia.  Dalam konteks
    ini,  saya  berharap  semoga  cita-cita   untuk   menjadikan
    Perkhidmatan  Awam  Malaysia sebagai yang terunggul di dunia
    bukanlah merupakan satu impian, malah  ianya  boleh  menjadi
    kenyataan  sekiranya sektor awam terus berusaha dengan penuh
    dedikasi, berdisiplin, cekap dan produktif.

    5.    Pada akhir-akhir ini, ada  kalangan  yang  berpendapat
    bahawa   peranan   Perkhidmatan   Awam   telah  berkurangan,
    menguncup  dan tidak lagi  penting. Perkhidmatan Awam  masih
    dan  akan  terus  memainkan   peranan   yang   penting, cuma
    fungsinya   harus   berubah    mengikut   peredaran    masa.
    Perkhidmatan  Awam  harus  menjadi  fasilitator  yang  dapat
    memenuhi kehendak rakyat terutamanya pihak swasta.  Kerajaan
    banyak  meluluskan  undang-undang dan dasar-dasar yang perlu
    diselaraskan   oleh   anggota-anggota   Perkhidmatan   Awam.
    Undang-undang  atau peraturan-peraturan yang sebegitu banyak
    mungkin sebahagiannya telah lapuk dan tidak lagi bersesuaian
    dengan  keadaan  sekarang.    Dalam  konteks  ini,  golongan
    pentadbir  perlu  mengkajinya  untuk  dipinda,  dibatal atau
    ditokok-tambah.

    6.    Dalam urusan seharian, Kerajaan  berharap perkhidmatan
    yang  diberi  kepada pelanggan, yang terdiri daripada rakyat
    jelata ini dibuat dalam  bentuk  yang  mudah,  lebih  cepat,
    telus dan tidak membebankan. Borang-borang yang diguna pakai
    oleh jabatan-jabatan Kerajaan sekarang harus dikaji dan jika
    perlu,  dipinda  ke  arah  mempertingkatkan  lagi  kelicinan
    pentadbiran Jabatan-jabatan Kerajaan.  Seberapa yang mungkin
    Perkhidmatan  Awam  harus  beralih  kepada  automasi  kerana
    dengan  automasi  kerja-kerja  akan  dapat dipercepatkan dan
    penggunaan kertas dapat dikurangkan.   Perkara penting  yang
    diperlukan  dari  Perkhidmatan  Awam  sekarang adalah supaya
    dapat  melahirkan  sesuatu  dengan  kos  yang   minima   dan
    mengambil masa yang singkat.

    7.    Jika kedudukan  Perkhidmatan Awam Malaysia berada pada
    tahap yang kukuh  dan  terbaik  sekarang,  sedikit  sebanyak
    ianya  adalah  sumbangan  terus daripada Perkhidmatan Tadbir
    dan   Diplomatik. Perkhidmatan  ini   mengepalai    berbagai
    jawatan penting dalam sektor awam sama ada bagi sektor dalam
    negeri   mahupun  untuk  sektor  luar.  Sebagai  salah  satu
    perkhidmatan tertua yang bermula sejak zaman penjajah  lagi,
    Perkhidmatan  PTD mengepalai perkhidmatan- perkhidmatan lain
    dalam  urusan  pertadbiran,  penggubalan,  pelaksanaan   dan
    penilaian  dasar-dasar  dan  projek-projek  utama  Kerajaan.
    Skop yang dirangkumi adalah luas, iaitu meliputi pembangunan
    ekonomi,  tenaga  manusia,  sosial,  kewangan,  keselamatan,
    Pentadbiran   Daerah   dan  Kerajaan  Tempatan  serta  lain-
    lainnya.  Memandangkan pentingnya perkhidmatan  ini,  adalah
    amat   penting  satu  sistem  pengambilan  yang  ketat  atau
    "selection process" digunakan supaya hanya calon-calon  yang
    sesuai  sahaja  dipilih  untuk  memasukinya.    Langkah  ini
    penting untuk memastikan  prestasi  Perkhidmatan  PTD  terus
    berada   pada   tahap  terbaik  sesuai  dengan  peranan  dan
    tanggungjawab besar  yang  dipertanggungjawabkan  kepadanya.
    Bagi  pegawai-pegawai  yang  sedia ada, mereka perlu mencari
    ruang dan cara terbaik  untuk  terus  memperbaiki  kecekapan
    diri.

    8.    Dalam konteks ini, Pegawai PTD harus sentiasa mengorak
    inisiatif baru atau mengeluarkan  ide-ide  bernas.    Mereka
    yang ingin berjaya perlu sentiasa mencari jalan dan berusaha
    untuk memperkayakan minda, pemikiran dan tingkah laku supaya
    tidak terperangkap dalam budaya "complacence".

    9.    Kekayaan   alam   semulajadi   bukanlah   satu-satunya
    prasyarat untuk  menjadi sesuatu  negara itu makmur.  Banyak
    negara  Selatan  yang mempunyai "biodiversity" yang melimpah
    tetapi terus hidup melarat kerana gagal  menguruskan  sumber
    dengan  baik.    Peranan  sumber  tenaga  manusia  di  dalam
    membangunkan  negara  sedemikian  juga.    Walaupun  peranan
    tenaga  manusia  ini  penting,  jika  kita  tidak melatihnya
    supaya  lebih  produktif,  berkemahiran,   berdisiplin   dan
    bertanggungjawab,  ada  kemungkinan kejayaan yang kita capai
    pada hari ini akan luntur dan lenyap esok hari.  Kita  perlu
    mengurus  kejayaan  kita dengan cara terbaik agar kita terus
    meningkatkan   kemajuan   kita.  Jika   kita   ingin   terus
    mengekalkan  prestasi,  semua  warga  Malaysia  tidak  harus
    dibuai dan berkhayal dengan kejayaan yang lalu.  Kita  perlu
    terus   bertungkus-lumus  dan  jangan  sekali-kali  berhenti
    kerana berpuas hati dengan apa yang kita capai setakat  ini.
    Banyak  peradaban  serta negara-negara yang maju sebelum ini
    runtuh atau mengalami krisis kerana kelalaian rakyatnya  dan
    banyak  juga  syarikat  gergasi  mati  kerana  tidak berjaya
    mengurus kejayaan.  Ini adalah antara pengajaran yang  perlu
    diambil iktibar oleh kita.

    10.   Dalam suasana dunia yang dinamik dan sentiasa  berubah
    pantas  ini, kita  perlu   harungi  cabaran  dalam   konteks
    mengubah  paradigma  lama,  dari batasan dalam negeri kepada
    tiada  sempadan atau "borderless". Masyarakat  Wawasan  2020
    harus  mampu berfikiran secara global di samping memperteguh
    struktur  dan  sistem  dalaman  dan  nilai-nilai  masyarakat
    tempatan.  Di  samping  itu,  kita   harus   sedar   tentang
    perkembangan teknologi, komunikasi yang canggih  dewasa  ini
    yang   menjadikan   dunia  semakin  sempit.  Kemajuan sistem
    pengangkutan udara, laut dan darat membolehkan kita  beredar
    di  merata  pelusuk  dunia  dalam masa yang singkat.  Dengan
    adanya sistem telefon, fax dan  "video  conferencing",  kita
    boleh  berhubungan  dan berunding dengan rakan-rakan di luar
    negara dengan jelas dan cepat.  Dalam "environment"  seperti
    inilah,  sektor  awam  harus  bekerjasama dengan lebih rapat
    dengan  rakan-rakan di sektor swasta bagi  membolehkan  kita
    bukan  sahaja  merebut  peluang ekonomi yang terbuka luas di
    dunia luar, tetapi juga mampu bersaing dengan  mereka  dalam
    jangka masa panjang.

    11.   Sebagaimana    saya    tegaskan   awal   tadi,  rakyat
    berkehendakkan perkhidmatan yang berkualiti.   Setakat  ini,
    saya   percaya   beberapa  pembaharuan  telah  dilaksanakan,
    umpamanya  yang  terbaru  adalah  pengenalan  konsep  piagam
    pelanggan   (client   charter).    Saya   percaya   walaupun
    pengenalan apa-apa program baru adalah penting,  kejayaannya
    adalah bergantung kepada setakat mana kita sanggup melakukan
    "follow-up"'  dan  "follow-through"  untuk memastikan  ianya
    memberi hasil seperti yang diharapkan.

    12.   Kita sering mendengar bagaimana kejadian pecah  amanah
    meruntuhkan  institusi kewangan.   Kita juga mungkin terbaca
    laporan  mengenai  gejala-gejala  buruk  yang  lain  seperti
    penyelewengan,  rasuah  dan  penipuan yang datang dari sifat
    tamak   haloba   individu-individu   yang    rakus.  Amatlah
    menyedihkan  apabila  perbuatan-perbuatan ini dilakukan oleh
    golongan-golongan  yang  cerdik  serta  berjawatan   tinggi.
    Walaupun  setakat  ini,  peratusan  golongan  yang  terlibat
    dengan  gejala-gejala  buruk  ini  tidaklah  tinggi,   namun
    program  serta  tindakan  pencegahan  yang berterusan adalah
    perlu.   Dalam konteks ini, usaha-usaha  untuk  memupuk  dan
    memantapkan   nilai-nilai   murni  yang  sedia  ada  seperti
    integriti,   akauntabiliti,   nilai-nilai   ketakwaan    dan
    keikhlasan  perlu  diberi keutamaan.   Nilai-nilai murni ini
    perlu dipupuk dalam konteks yang menyeluruh,  iaitu  bermula
    dari  institusi  kekeluargaan, alam persekolahan, masyarakat
    setempat,   kejiranan    sehinggalah    kepada    organisasi
    perkhidmatan awam.

    13.   Akhir  sekali,  saya  mengambil  kesempatan  ini untuk
    mengucapkan selamat bersara kepada Tan Sri Dato' Mahmud  bin
    Taib, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang secara kebetulan
    akan  bersara dari Perkhidmatan Awam pada esok hari.  Kepada
    PPTD, saya sekali lagi  mengucapkan  terima  kasih  di  atas
    kesudian menjemput saya pada malam ini. 
 
 



 
Google