home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	RADI0 DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM) 
Tarikh/Date 	: 	31/12/95 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN PERDANA MENTERI SEMPENA 
			TAHUN BARU 1996 



     Assalamualaikum   warahmatullahi   wabarakatuh   dan   salam
    sejahtera.

         Alhamdulillah, saya bersyukur ke-hadrat Allah Subhanahu
    wa  Ta'ala  kerana dengan izin-Nya sekali  lagi  saya  dapat
    menyampaikan  Perutusan Tahun Baru kepada  rakyat  Malaysia.
    Sesungguhnya  kita  rakyat  Malaysia  bernasib  baik  kerana
    sepanjang  tahun  1995  negara kita bukan  sahaja  aman  dan
    stabil,  dengan rakyat berbagai-bagai kaum hidup berharmoni,
    bahkan  kita terus maju, makmur dan selamat.  Malaysia  juga
    bertuah  kerana terus  dijauhi  daripada sebarang malapetaka
    besar dan kejadian yang tidak diingini.

    2.   Kadangkala kita "take for granted" atau lupa akan nasib
    kita  yang  sungguh  baik ini kerana bagi  kita  kestabilan,
    kemajuan dan kemakmuran sudah menjadi perkara biasa.   Hanya
    apabila  kita  lihat melalui televisyen atau akhbar  gambar-
    gambar  penderitaan  rakyat  di negara-negara  lain,  akibat
    peperangan  atau mala petaka, baharulah kita  sedar  sedikit
    akan  betapa baiknya nasib kita.  Jika kita  insaf  tentulah
    kita  akan  banyak   bersyukur  kepada  Tuhan. Mudah-mudahan
    dengan  kita insaf dan bersyukur kita akan terus  dirahmati-
    Nya dengan nikmat yang berterusan.

    3.   Tahun 1995  menyaksikan sekali lagi pertumbuhan ekonomi
    yang  tinggi bagi negara.  Pertumbuhan yang tinggi ini, yang
    diiringi  dengan  inflasi  yang  rendah,  telah  membolehkan
    rakyat  terus  menikmati  taraf  hidup  yang  meningkat. Ini
    dapat dilihat daripada pendapatan per kapita rakyat Malaysia
    yang telah meningkat kepada lebih RM9,900 atau US$3,850 pada
    tahun ini.  Daripada segi daya membeli pula, atau Purchasing
    Power Parity, pendapatan ini adalah lebih tinggi, iaitu sama
    dengan  US$8,800  di Amerika.  Pertumbuhan yang  tinggi  ini
    juga  telah membolehkan Kerajaan terus melaksanakan program-
    program  pembangunan yang memberi faedah kepada  negara  dan
    rakyat keseluruhannya.

    4.   Perkembangan   ekonomi  negara   adalah  begitu   pesat
    sehinggakan   pada   hari   ini  Malaysia   menjadi   negara
    pengeksport  yang ke-13 terbesar di dunia.   Pencapaian  ini
    adalah   sesuatu  yang  boleh  kita  banggakan  memandangkan
    Malaysia  adalah  sebuah negara kecil yang  mempunyai  hanya
    seramai  19  juta  penduduk.  Struktur ekonomi  negara  juga
    sudah  jauh berubah di mana pada hari ini hampir 80  peratus
    daripada   eksport   kita   adalah   barangan   buatan.  Ini
    membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga mempunyai  keupayaan
    dan  kecekapan jika kita betul-betul menumpukan  usaha  kita
    terhadap   penguasaan   sesuatu   bidang. Demikian  kurniaan
    Tuhan,  apabila manusia membuat sesuatu berulangkali  dengan
    tekun dan rajin, tidak dapat tidak mereka akan menjadi lebih
    cekap  sepanjang  masa.  Bahkan kecekapan itu  akan  menjadi
    sebahagian  daripada  budaya yang  diwarisi  oleh  keturunan
    bangsanya.  Tentulah kita tidak boleh ditakrif sebagai orang
    yang  banyak bersyukur jika sifat ini yang dikurniakan  oleh
    Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak dimanfaatkan oleh kita.

    5.   Orang Melayu dan Bumiputera lain tidak kurang keupayaan
    mereka  jika  mereka sanggup menggunakan  sifat  kemanusiaan
    yang  dikurniakan  oleh  Tuhan  kepada  mereka. Jika  mereka
    gagal  atau  lemah, ianya bukanlah kerana  Tuhan  menjadikan
    mereka   sedemikian,  tetapi  adalah  kerana  mereka   tidak
    menghargai dan menggunakan kurniaan Tuhan.  Yang cacat  juga
    mempunyai  kebolehan  tertentu yang mungkin  lebih  daripada
    yang   normal.   Segala  yang  baik  adalah  daripada  Allah
    Subhanahu  wa  Ta'ala, segala yang buruk  dan  salah  adalah
    daripada kita juga.

    6.   Dalam tahun 1995 kita telah mengadakan Pilihanraya Umum
    yang  ke-sembilan.   Pilihanraya ini  telah  diadakan  dalam
    keadaan  aman  dan selamat, syukur Alhamdulillah.   Majoriti
    terbesar  daripada  rakyat Malaysia  telah  memilih  Barisan
    Nasional untuk terus membentuk Kerajaan dan memerintah.

    7.   Sebagai  seorang  daripada pemimpin  Barisan  Nasional,
    saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pengundi-pengundi
    yang  telah mengambil bahagian dalam Pilihanraya ini  dengan
    cara  yang tertib dan baik.  Demokrasi telah dapat diamalkan
    oleh  negara  ini  tanpa  gejala-gejala  buruk  yang  sering
    mengiringinya seperti di kebanyakan negara lain.  Ini adalah
    kerana  rakyat  Malaysia matang dan tahu had  kebebasan  dan
    tanggungjawab  mereka.  Sekali  lagi  kita  harus  bersyukur
    kerana demokrasi kita tidak menjadi satu gejala buruk kepada
    kita.  Alhamdulillah.

    8.   Pada tahun 1996, kita  akan mula melaksanakan Rancangan
    Malaysia Ke-Tujuh.  Kita telah menjadikan negara kita negara
    industri  pembuatan kerana hanya industri  ini  sahaja  yang
    dapat  mewujudkan  peluang kerja  yang  cukup  untuk  rakyat
    Malaysia. Tetapi  demikianlah  kejayaan kita  sehingga  kita
    terpaksa  mengambil  pekerja asing untuk mengisi  kekosongan
    yang  terlalu  banyak.  Pada hari ini jumlah  pekerja  asing
    dengan atau tanpa izin ialah 1.2 juta.

    9.   Bukanlah niat  kita untuk  tidak  mengongsi  kemakmuran
    kita   dengan  orang  lain.   Tetapi  jumlah  pekerja  asing
    dijangka akan meningkat kepada 2.3 juta pada tahun 2000 jika
    kita tidak mengambil langkah mengatasinya.

    10.  Kita boleh  lewatkan pembangunan. Tetapi ini tidak akan
    mengatasi   masalah   kedatangan   pekerja   asing.  Pilihan
    Kerajaan  ialah  untuk  mengurangkan  jenis  industri   yang
    memerlukan banyak tenaga pekerja dan menggantikannya  dengan
    industri  bermodal besar dan berteknologi tinggi.   Industri
    seperti  ini  boleh  memberi pendapatan  yang  lebih  kepada
    pekerja  tanpa  menaikkan  kos pengeluaran  dan  menjejaskan
    dayasaingan  kita.   Tetapi untuk mendapat  pendapatan  yang
    bertambah,  pekerja  mestilah  sanggup  dilatih  semula  dan
    menukar  kerja, tanpa tindakan yang boleh merugikan majikan,
    negara dan pekerja sendiri.

    11.  Pekerja kita, jika sanggup dilatih, mampu membuat kerja
    yang  lebih  canggih  yang  memberi  pendapatan  yang  lebih
    tinggi.   Hasrat  Kerajaan  ialah  supaya  pekerja  Malaysia
    dibayar gaji yang tinggi selaras dengan perkembangan ekonomi
    yang dihasilkan kerana sumbangan mereka.

    12.  Sebagai   satu   lagi   pendekatan  untuk  mengurangkan
    pergantungan  kita kepada pekerja asing, Kerajaan  merancang
    untuk mengambil pesara Kerajaan dan swasta serta suri rumah,
    melatih  mereka di mana perlu dan mencari kerja yang  sesuai
    bagi mereka sama ada sepenuh atau separuh masa.  Dengan ini,
    rakyat  Malaysia  akan mempunyai pendapatan  yang  bertambah
    sementara  kemiskinan  akan dapat dikurangkan.   Kita  tidak
    mahu  berlaku  seperti  kata  pepatah,  "itik  di  air  mati
    kehausan, ayam di kepok mati kelaparan."  Adalah tidak wajar
    rakyat   Malaysia  tidak  berpeluang  bekerja  dan  menambah
    pendapatan  dalam  negara  yang begitu  berkurangan  pekerja
    sehingga terpaksa mengimpot pekerja asing.

    13.  Kerja  adalah  satu jenis ibadat dan kerja  yang  boleh
    menyelamatkan  bangsa,  agama dan  negara  tentulah  menjadi
    ibadat  yang  penting.  Kita tidak harus bekerja semata-mata
    untuk  mendapat pendapatan yang bertambah.  Kita harus sedar
    bahawa  kerja  yang kita buat boleh menolong  mempertahankan
    negara  kita.   Jika orang Islam di negara ini  bebas  untuk
    beribadat dan tidak diburu dan dibunuh seperti yang  berlaku
    di  Bosnia,  Chechnya  dan Somalia dan ditindas  seperti  di
    beberapa  negara maju, di mana orang Islam menjadi minoriti,
    sebabnya ialah kerana hasil usaha pembangunan ekonomi negara
    yang  membebaskan kita daripada meminta-minta dan bergantung
    kepada  kuasa-kuasa  besar  untuk menyelamat  dan  membiayai
    negara  kita.   Jika direnungkan, keadaan kita sekarang  ada
    kaitan  yang  rapat  dengan  kesanggupan dan kemampuan  kita
    bekerja  dalam  bidang  yang  lain  daripada  menanam  padi,
    menoreh getah atau menangkap ikan.

    14.  Kita  tidak   dikehendaki  bekerja  sehingga  melupakan
    ibadat  untuk  akhirat.  Kedua-duanya boleh dibuat  bersama.
    Di  negara Islam yang miskin papa, ibadat untuk akhirat  pun
    tidak  dapat dilakukan dengan sempurna.  Demikian juga  bagi
    orang  Islam  yang  telah merantau  ke  negara  lain  kerana
    kemiskinan,  kadang-kadang mereka bukan sahaja  tidak  dapat
    beribadat  tetapi terpisah daripada agama mereka.   Benarlah
    kemiskinan itu membawa kepada kekufuran.

    15.  Maju mundurnya sesuatu  bangsa tidak bergantung  kepada
    keturunan  kaum  atau  warna kulit.  Sebab  itu  ada  bangsa
    Eropah  yang  amat mundur dan ada bangsa Asia  yang  termaju
    sekali.   Maju  mundurnya sesuatu bangsa  bergantung  kepada
    budaya bangsa itu.  Dan budaya bukan sesuatu yang tetap  dan
    tidak dapat diubah.  Budaya berubah sepanjang masa dan boleh
    dicorak secara sengaja.

    16.  Setiap  kaum di Malaysia boleh memupuk nilai-nilai yang
    baik  dan  mengamalkannya  sehingga  ia  menjadi  sebahagian
    daripada budaya kaum itu turun temurun.  Hari ini pun budaya
    kaum-kaum di Malaysia, terutama Melayu dan Bumiputera  lain,
    sudah  berubah supaya lebih sesuai dengan keadaan di  negara
    yang   pesat  membangun  ini.   Hanya  sedikit  sahaja  lagi
    perubahan  yang  diperlukan  untuk  menjadikan  budaya  kita
    sesuai   dengan   kejayaan. Dan  di  antaranya  ialah  sikap
    terhadap  bekerja  kuat dan rajin.  Insya-Allah  jika  semua
    rakyat sedar dan sanggup, suatu bangsa yang berbudaya mulia,
    yang  berpegang kepada nilai-nilai keagamaan dan Islam  yang
    tulen  dan benar boleh dibentuk dan diwujudkan.  Dengan  ini
    akan kembalilah maruah agama dan bangsa kita.

    17.  Ada  pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan pendekatan
    dan usaha Kerajaan.  Kononnya kita tidak berjaya sebenarnya;
    kononnya kita terlalu taksub dengan kebendaan dan lupa  akan
    kerohanian.  Mereka ini, jika ikhlas dan jujur,  tentu  akan
    akui  bahawa  mereka  juga menikmati banyak  kebaikan  hasil
    daripada  usaha Kerajaan.  Bahawa mereka bebas  menegur  dan
    mencela  adalah  kerana Kerajaan ini begitu toleran.   Namun
    rakyat  tidak  harus dipesongkan oleh hasutan mereka  supaya
    menggagalkan  rancangan dan pendekatan Kerajaan.   Janganlah
    kita  mengikut orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat
    yang mereka terima.

    18.  Demikian juga  dengan hasutan dari luar negara.  Mereka
    hanya berpura-pura bersimpati dengan nasib pekerja kita yang
    didakwa   kononnya  malang. Tetapi sebenarnya  mereka  ingin
    melihat kita gagal dan tidak terdaya menyaingi mereka.

    19.  Sebagai  orang  yang tahu bersyukur kita  bukan  sahaja
    tidak  harus  menidakkan kebaikan yang kita nikmati,  tetapi
    sebagai  bukti  kesyukuran kita, kita haruslah  memanfaatkan
    kebaikan  yang kita terima.  Jika dengan pemberian  daripada
    manusia   biasa  sekalipun,  kita  tidak  harus  menghinakan
    pemberi  dengan  mencampakkan sahaja  pemberiannya,   apatah
    lagi  pemberian  daripada Tuhan.  Tentulah kita  tidak  akan
    mensia-siakannya.

    20.  Sebagai   tanda   kesyukuran  akan   nikmat   keamanan,
    kemakmuran  dan kesejahteraan hidup di negara  yang  bertuah
    ini,  tidak  ada yang lebih baik daripada menggunakan  hayat
    dan tenaga kita serta keamanan dan peluang untuk bekerja dan
    berusaha  supaya  kita  akan dapat  menikmati  lebih  banyak
    nikmat, di samping berdoa kepada Tuhan dan beramal ibadat.

    21.  Selaras dengan  semangat Tahun Baru marilah kita  semua
    mempertingkatkan  azam untuk membawa negara  kita  ke  mercu
    kejayaan  yang lebih tinggi.  Insya-Allah dengan usaha  yang
    lebih gigih, dan disiplin yang tinggi serta dengan berpegang
    kepada  nilai-nilai  hidup  yang  murni,  negara  kita  akan
    mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun hadapan.

    22.  Akhir  kata  saya ucapkan Selamat Menyambut Tahun  Baru
    1996  kepada semua rakyat Malaysia.  Semoga tahun 1996  akan
    merupakan satu lagi tahun yang cemerlang bagi kita semua.

    Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum  warahmattullahi
    wabarakatuh. 
 
 



 
Google