Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN TUN DR ISMAIL, PWTC, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	12/01/96 
Tajuk/Title  	: 	PELANCARAN KE ARAH KECEMERLANGAN 
			ORANG KURANG UPAYA 



            Saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada  Kementerian
    Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat kerana menjemput
    saya untuk merasmikan satu majlis yang penuh bermakna khusus
    bagi   mereka   yang  kurang  upaya.   Kita  akan   meninjau
    pencapaian  dan kecemerlangan yang ditunjukkan  oleh  mereka
    dalam  pelbagai  bidang  kehidupan semasa  mengharungi  arus
    kemajuan negara.

    2.    Syabas  dan  tahniah  saya  ucapkan  kepada  penganjur
    majlis,  khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat  yang  telah
    selama  lima  puluh tahun menjalankan pelbagai aktiviti  dan
    program untuk mereka yang kurang upaya dan meletakkan mereka
    pada tempat yang hak dan mulia.

    3.    Saya  yakin  kehadiran kita semua di sini  membuktikan
    kesungguhan serta komitmen tinggi kita untuk membawa bersama
    - sama  orang  kurang upaya menuju ke era  kegemilangan  dan
    kecemerlangan   di   samping   memantapkan   tindakan   kita
    mewujudkan sebuah masyarakat penyayang dan prihatin terhadap
    semua golongan masyarakat.

    4.   Sebagai sebuah negara yang prihatin kepada kehendak dan
    keperluan  semua  lapisan  anggota  masyarakatnya,  Kerajaan
    melalui   Kementerian  Perpaduan  Negara   dan   Pembangunan
    Masyarakat  telah menetapkan 3 Disember setiap  tahun  mulai
    1994   sebagai   Hari   Orang   Kurang   Upaya   Kebangsaan.
    Pengisytiharan ini dibuat selaras dengan Resolusi Pertubuhan
    Bangsa-bangsa Bersatu yang mengisytiharkan setiap 3 Disember
    sebagai  Hari  Orang  Kurang Upaya  Antarabangsa.   Semangat
    pengisytiharan tersebut antara lainnya adalah bertujuan:

         i)   Memberi kesedaran di kalangan orang ramai bahawa
              orang  kurang   upaya  sebagai  individu   dalam
              sesebuah  masyarakat  juga  mempunyai  hak  yang
              sama  di dalam  masyarakat tersebut  dan  mereka
              tidak  seharusnya  dilihat  sebagai  satu  beban
              kepada masyarakat;

         ii)  Meningkatkan    kesedaran   masyarakat   tentang
              tanggungjawab  mereka  kepada  orang yang kurang
              upaya    atau    "disabled"    dan    seterusnya
              menggerakkan   komuniti    untuk   mengambilkira
              masalah mereka ini dengan  mengadakan  kemudahan
              sesuai   dengan keupayaan mereka;

        iii)  Memperhitungkan    kebolehan,    keupayaan   dan
              kemahiran  mereka  dalam  usaha mengintegrasikan
              mereka dalam masyarakat;

         iv)  Merapat serta mengukuhkan lagi hubungan diantara
              Kerajaan,  badan-badan  Sukarela,  agensi-agensi
              kerajaan dan juga  pihak swasta dalam memberikan
              pelbagai  khidmat   dan  kemudahan  untuk  orang
              kurang upaya; dan

         v)   Mendedah serta  memaklumkan  kepada  orang ramai
              akan pelbagai  perkhidmatan dan  kemudahan  yang
              disediakan   oleh   Kerajaan   dan   badan-badan
              sukarela untuk orang kurang upaya.

    5.    Pada  hari  yang bersejarah ini kita akan bersama-sama
    bukan sahaja menghayati semangat dan matlamat pengisytiharan
    tersebut,  malah  memperakui  realiti  pencapaiannya   dalam
    konteks program dan aktiviti pembangunan untuk orang  kurang
    upaya  di  negara ini.  Usaha ke arah penyertaan  penuh  dan
    penyamaan  peluang  dalam pelbagai  bidang  kehidupan  untuk
    orang  kurang upaya adalah berteraskan falsafah bahawa orang
    kurang  upaya  mempunyai hak yang sama  dengan  warganegara-
    warganegara   lain;  terdapatnya  peluang   pekerjaan   yang
    menyeluruh; penyertaan sama dalam membuat sesuatu keputusan;
    normalisasi   dan  sosialisasi;  perluasan  kemudahan   khas
    (accessibility)  dan  juga wujudnya kemudahan  rekreasi  dan
    aktiviti kebudayaan untuk orang kurang upaya.

    6.    Sesungguhnya  perkembangan   negara  pada   masa   ini
    memungkinkan kita mencapai matlamat serta falsafah  tersebut
    dan  membawa  golongan mereka yang kurang upaya  pada  tahap
    yang  sukar  untuk dipertikaikan kecemerlangan mereka  dalam
    bidang-bidang  tertentu.   Pencapaian  ini  adalah   sejajar
    dengan  kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah negara  yang
    menandatangani  Proklamasi Penyertaan  yang  Menyeluruh  dan
    Penyamaan Peluang Bagi Orang Kurang Upaya pada 16  Mei  1994
    bersama-sama anggota ESCAP yang lain.

    7.    Kecacatan seseorang bukanlah penghalang untuknya  maju
    dan   bergerak  sama  dalam  membangunkan  sesebuah  negara.
    Kurang  upaya  bukan dan tidak perlu dilihat  sebagai  suatu
    masalah  dalam  konteks pembangunan sosial ataupun  ekonomi.
    Iklim  serta  suasana  keliling  masyarakat  yang  mempunyai
    dinamisma  positif kepada orang kurang upaya  daripada  segi
    penerimaan dan sokongan yang diberi serta memahami keperluan
    dan  kehendak mereka yang kurang upaya memungkinkan pelbagai
    potensi  pencapaian yang kita sendiri tidak menduganya  pada
    suatu masa dahulu.

    8.    Apakah  kita pernah menduga pada tiga dekad yang  lalu
    bahawa negara ini dapat melahirkan cendekiawan dan juga para
    profesional  di kalangan mereka yang kurang  upaya?   Apakah
    kita  terbayang dua atau tiga dekad yang lalu bahawa  negara
    ini  dapat  melahirkan  para atlit di kalangan  mereka  yang
    kurang upaya?  Apakah juga pernah kita fikirkan bahawa anak-
    anak  kita  yang  kurang upaya pendengaran dapat  menghayati
    irama  lagu  bersama anggota masyarakat  lain  yang  normal?
    Penggemblengan   usaha   di  antara  Kerajaan,   badan-badan
    sukarela kebajikan, pihak swasta dan juga orang perseorangan
    sejak  beberapa  tahun  yang lalu telah  menghasilkan  bukan
    sahaja  cendekiawan dan profesional di kalangan mereka  yang
    kurang  upaya, malah kini terdapat para atlit, usahawan  dan
    juga  pelukis yang terdiri daripada mereka yang kurang upaya
    yang  berjaya  dalam bidang masing-masing.  Walaupun  jumlah
    mereka  masih  kecil namun ianya merupakan  suatu  permulaan
    yang  kukuh  ke  arah  pencapaian kecemerlangan  yang  lebih
    tinggi dan meluas lagi pada dekad-dekad yang akan datang.

    9.    Saya  percaya  melalui  perancangan  yang   rapi   dan
    penyusunan program dan aktiviti yang menepati keperluan  dan
    kehendak  mereka  yang kurang upaya beserta dengan  komitmen
    semua   pihak  ke arah  pembentukan  sebuah  masyarakat yang
    benar-benar  penyayang, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk
    negara  ini  menjadi  model  bagi kecemerlangan orang kurang
    upaya  di rantau  ini   dalam  tempoh  yang   singkat.  Saya
    percaya  dan yakin  bahawa   tuan-tuan  dan  puan-puan  yang
    terlibat dan hadir pada hari ini boleh melakukannya.
 
   10.   Pada  masa ini terdapat kira-kira 55,700 orang  kurang
    upaya  yang  berdaftar  dengan Jabatan Kebajikan  Masyarakat
    dengan  sebilangan besarnya iaitu kira-kira  19,360  terdiri
    daripada  mereka  yang kurang upaya anggota,  15,700  kurang
    upaya  akal,  10,460  kurang upaya  pendengaran  dan  10,150
    kurang  upaya penglihatan.  Jumlah orang kurang  upaya  yang
    berdaftar di negara ini adalah jauh kurang daripada anggaran
    satu  peratus  penduduk negara sebagaimana  yang  diandaikan
    oleh  Pertubuhan  Bangsa-Bangsa  Bersatu.   Namun,  semenjak
    dilancarkan Tahun Antarabangsa Orang Kurang Upaya pada tahun
    1981  dan  diikuti  pula dengan Dekad Bangsa-Bangsa  Bersatu
    Untuk   Orang  Kurang  Upaya,  Malaysia  telah  melaksanakan
    pelbagai dasar dan program untuk meningkatkan kualiti  hidup
    di  kalangan  mereka  yang kurang  upaya.   Antara  program-
    program  yang  dijalankan termasuklah  aktiviti  pencegahan,
    pendidikan   khas,  rancangan  latihan  dan  pemulihan   dan
    berbagai-bagai lagi kemudahan yang boleh memanfaatkan  orang
    kurang upaya.

    11.   Walaupun banyak kemajuan telah dicapai selaras  dengan
    "World  Programme  of  Action"  namun  masih  terdapat  lagi
    pelbagai isu yang perlu ditangani dalam usaha Kerajaan untuk
    merealisasikan  sepenuhnya penyertaan dan penyamaan  peluang
    di kalangan mereka yang kurang upaya.  Sememangnya pengisian
    program  ini memperlihatkan penyertaan semua pihak di  semua
    peringkat  pelaksanaan.   Pengisian  satu  peratus   peluang
    pekerjaan  bagi  mereka yang kurang  upaya  di  sektor  awam
    perlulah  dilaksanakan dengan lebih agresif lagi dan  sektor
    swasta  juga harus mencontohinya.  Adalah dipercayai  dengan
    wujudnya  peluang pekerjaan di kalangan mereka  yang  kurang
    upaya   dan   pengambilan  mereka  bekerja  tanpa   sebarang
    prasangka  negatif bukan sahaja memungkinkan taraf kehidupan
    yang  lebih  baik dan selesa malah memberikan  jaminan  masa
    depan  yang lebih meyakinkan bagi generasi yang akan  datang
    di kalangan orang kurang upaya khususnya.

    12.   Sehubungan itu, keprihatinan Kerajaan terhadap  mereka
    yang  kurang  upaya  jelas  terbukti  menerusi  pembentangan
    Belanjawan   1996   yang   memberikan   pengecualian   cukai
    pendapatan kepada keluarga yang mempunyai anak kurang  upaya
    daripada  RM1,600 seorang kepada RM5,000 seorang.  Pelepasan
    cukai  juga  diberikan kepada pembelian  alat  bantuan  asas
    daripada  maksimum  RM3,000 kepada  RM5,000  serta  potongan
    cukai bayaran perubatan daripada RM1,000 kepada RM5,000.  Di
    samping   itu   terdapat   juga   kemudahan-kemudahan   yang
    disediakan oleh Kerajaan selaras dengan semangat "The Agenda
    For  Action  for  the Asian and Pacific Decade  of  Disabled
    Persons, 1993-2003" dalam konteks penyediaan "access" kepada
    kemudahan di tempat-tempat kerja, kediaman dan bangunan awam
    serta  sistem  pengangkutan  awam  yang  bersifat  "Disabled
    Friendly".   Usaha ke arah ini telah pun dijalankan  apabila
    pindaan dibuat ke atas "Uniform Building By-Laws 1984"  yang
    antara lainnya menepati ciri-ciri yang terdapat dalam  "Code
    of  Practice  for  Access  for  Disabled  People  to  Public
    Buildings" diluluskan pada tahun 1990 dan diterimapakai oleh
    Kerajaan-Kerajaan Negeri.

    13.   Namun,  saya difahamkan bahawa "Code of  Practice  for
    Disabled  People Outside Building 1993" masih  dalam  proses
    untuk   dilaksanakan  dan  saya  mengharapkan  ianya   dapat
    dilaksanakan    sewajarnya.    Semuanya   ini    membuktikan
    kesungguhan Kerajaan untuk meningkatkan lagi martabat mereka
    yang  kurang  upaya sejajar dengan Wawasan  2020  yang  kita
    semua  secara gigih dan sedar berusaha menjayakannya.   Saya
    juga   percaya   bahawa  orang  kurang  upaya   sedar   akan
    tanggungjawab   mereka  sebagai  warganegara   untuk   terus
    memberikan  sumbangan mereka yang sewajarnya dalam  pelbagai
    bidang  yang  melibatkan  mereka.   Peranan  Kerajaan  dalam
    konteks  ini  adalah  jelas untuk  memberikan  sokongan  dan
    panduan  kepada usaha-usaha semua golongan masyarakat  untuk
    berdikari  serta  mengamalkan budaya ikram yang  berteraskan
    pembangunan  insan  dan  sekaligus  mengimbangi  pembangunan
    ekonomi dan kebendaan yang begitu pesat dan rancak pada masa
    ini.

    14.   Sekali  lagi saya mengucapkan berbanyak  terima  kasih
    kepada  semua  pihak  yang telah berusaha  untuk  menjayakan
    Majlis  hari  ini dan saya berdoa semoga segala  usaha  yang
    disumbangkan itu akan membawa manfaat kepada kita semua  dan
    diberkati  Allah  Subhanahu wa  Ta'ala.   Dan  dengan  lafaz
    "bismillahir rahmanir rahim" sukacita saya merasmikan Majlis
    Kecemerlangan Orang Kurang Upaya 1996. 
 

 



 
Google