home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUCHING, SARAWAK Tarikh/Date : 15/03/96 Tajuk/Title : DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN MAJLIS HAKIM-HAKIM MAHKAMAH PERSEKUTUAN/MAHKAMAH RAYUAN/ MAHKAMAH TINGGI Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Hakim-Hakim kerana menjemput saya untuk merasmikan Persidangannya pada hari ini. Saya juga gembira kerana diberi kesempatan untuk pertama kalinya merasmikan Mesyuarat Majlis Hakim-hakim. 2. Sebagaimana termaklum, Perlembagaan telah membahagikan kuasa pentadbiran negara kita kepada Kuasa Eksekutif, Kuasa Legislatif dan Kuasa Kehakiman. Ketiga-tiga pihak ini mempunyai peranannya masing-masing dan sejak negara mencapai kemerdekaan kesemua badan ini telah masing-masing menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan rakyat dan negara. Walaupun ketiga-tiga badan ini mempunyai fungsi yang berbeza dan mengikut Perlembagaan bebas di antara satu sama lain, namun kesemuanya bertanggungjawab menjamin kemakmuran, kebajikan dan kesejahteraan negara dan rakyat. Saya tidak fikir kebebasan mana-mana pihak akan terjejas hanya kerana pendapat dan nilai-nilai yang dipegang, termasuk nilai-nilai berkenaan keadilan dan konsep keadilan, adalah sama. Yang harus berbeza ialah peranan dan pendekatan masing-masing terhadap perkara yang sama. 3. Sementara pihak Legislatif cuba menentukan keadilan melalui pembentukan undang-undang bagi mencegah kejadian atau perbuatan yang dianggap oleh masyarakat sebagai tidak adil, pihak Pentadbiran pula dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas mereka mengikut undang-undang dan peraturan- peraturan. Jika undang-undang yang diluluskan oleh pihak Legislatif didapati tidak dapat mencapai maksudnya kerana apa-apa sebab, badan berkenaan boleh memindanya supaya maksudnya tercapai. Pihak Pentadbiran pula akan meminda cara pelaksanaannya supaya sesuai dengan pindaan yang telah dibuat oleh pihak Legislatif. 4. Jika undang-undang yang dibuat oleh pihak Legislatif dicabul atau dilanggar oleh sesiapa, maka berhaklah pihak yang menjadi mangsa atau Kerajaan merujuk kepada mahkamah untuk mendapat keadilan dan penyelesaian. Hakim berhak mentafsirkan undang- undang berkenaan semasa pengadilan. Untuk ini hakim berpegang kepada perkataan dan susun ayat dalam undang-undang mengikut kefahaman hakim berkenaan. Tetapi kefahaman ini mungkin berbeza di antara satu hakim dengan hakim yang lain. Justeru itu, pihak yang dihukum berhak merujuk kepada mahkamah yang lebih tinggi. Kemudian jika mana-mana pihak masih tidak puas hati dengan keputusan mahkamah berkenaan maka hak diberi untuk merujuk kepada mahkamah yang lebih tinggi. Tetapi proses ini tentulah ada hadnya. Rujukan kepada mahkamah terpaksa ditamatkan di satu peringkat. Di Malaysia kita mempunyai susunan mahkamah tiga peringkat. Namun dalam kes- kes tertentu wujud hak untuk merayu kepada badan pengampunan. 5. Inilah sistem penghakiman kita di Malaysia. Sistem ini adalah ciptaan manusia dan tentulah ia tidak bebas daripada kecacatan. Sistem kita berasaskan kepada sistem British yang dikatakan sesuai dengan demokrasi, tetapi kita tahu bahawa di zaman penjajahan British mereka tidak begitu demokratik. Mereka juga mempunyai `Internal Security Act' dan ahli `Legistative Council' yang tidak dipilih, tetapi hanya dilantik. Demikian juga `Common Law' mereka berasaskan kepada pengalaman dan nilai hidup mereka yang kerap juga tidak sama bahkan bertentangan dengan nilai hidup kita. Lagipun apa yang `common' pada satu zaman menjadi tidak `common' dan tidak sesuai dengan zaman yang lain. 6. Pemisahan antara pihak Legislatif/Eksekutif dengan Kehakiman memang wajar dan baik. Ketua pemerintahan tidak boleh campurtangan dalam urusan kehakiman dan ini juga wajar dan baik. Tetapi kehakiman tidak wujud dalam kekosongan mutlak atau `vacuum'. Kehakiman wujud dalam masyarakat dengan budaya dan nilai hidup yang nyata dan diiktiraf. Keadilan yang diterima oleh masyarakat sepatutnyalah menjadi takrif bagi bentuk keadilan yang dikuatkuasakan oleh kehakiman. Demikian di Britain pada suatu masa dahulu mencuri seekor kambing dianggap jenayah yang besar dan hukumannya ialah digantung sampai mati. Masyarakat ketika itu menerima pandangan ini dan hakim pun menjatuhkan hukuman mati kepada pencuri kambing. Masa telah berubah dan hukuman ini dianggap tidak lagi adil oleh masyarakat di Britain sekarang dan hakim tidak lagi mengenakan hukuman mati kerana mencuri kambing walaupun ada banyak `precedence' dan `authority'. 7. Bukanlah niat saya untuk campurtangan dalam urusan kehakiman tetapi kebebasan hakim adalah sama seperti pihak lain, iaitu terhad juga. Hakim tidak perlu popular seperti ahli politik yang memerlukan sokongan ramai. Hakim perlu menjalankan tugas tanpa `fear or favour'. Namun hakim juga tertakluk kepada undang-undang dan tidak boleh menghukum sesuka hati. Jika undang-undang menghadkan hukuman kepada sekian sahaja tentulah hakim tidak akan menjatuhkan hukuman melebihi had yang telah ditentukan. Hakikatnya ialah kebebasan semua anggota masyarakat adalah terhad. Tidak ada kebebasan mutlak bagi sesiapa. 8. Malaysia yang membangun ini menghadapi masalah yang berlainan dengan negara-negara maju. Justeru itu, undang-undangnya dan penguatkuasaan undang- undangnya perlulah sesuai dengan keadaan dan tahap pembangunan ini. 9. Di sesetengah negara barat konsep keadilan telah banyak berubah. Kerana ingin melindungi hak individu, hak masyarakat mereka ketepikan. Demikan pampasan yang ditentukan oleh mahkamah sudah meningkat begitu tinggi sehingga menimbulkan masalah kepada masyarakat. Umpamanya kecederaan pada tubuh badan atau tekanan jiwa kononnya kerana sesuatu kemalangan ditakrif nilainya berjuta-juta dollar sebagai pampasan. Mungkin ini dianggap sebagai sikap bertimbang rasa kepada yang menjadi mangsa. Tetapi akibat daripada pampasan yang tinggi ini premium insuran meningkat berkali ganda dan kos perubatan juga melambung tinggi. Dengan ini orang ramai terpaksa membayar premium yang tinggi dan bayaran rawatan yang mahal. Sudah tentu ini membebankan orang miskin yang ramai yang tidak mampu membayar premium insuran atau kos perubatan yang tinggi. Kerana ingin melindungi individu, puak yang miskin yang lebih ramai menjadi mangsa. 10. Demikian juga dengan penilaian harga tanah. Jika mahkamah menilaikan harganya terlalu tinggi, yang membayar akhirnya bukan pengusaha pembangunan tanah tetapi pembeli atau penyewa bangunan. Sekali lagi yang miskin mungkin tidak mampu dan menjadi mangsa apa yang dianggap sebagai keadilan kepada tuan punya tanah, yang menjadi kaya-raya `at the expense of the poor'. Apakah ini adil? 11. Kesan daripada pampasan dan penilaian yang tinggi ini ialah kenaikan kos sara hidup bagi masyarakat. Di Barat keadilan bagi majoriti tidak dianggap penting lagi. Yang penting dan yang diutamakan ialah hak individu semata-mata. 12. Kita di Malaysia berpendapat bahawa sementara hak individu perlu dilindungi, hak majoriti masyarakat juga perlu diberi pertimbangan yang seimbang. Bagi kita inilah keadilan. Sebarang penilaian yang berat sebelah kepada mana-mana pihak, miskin atau kaya, tidak boleh dianggap adil. 13. Bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia di mana urusan ekonomi amat penting, segala usaha untuk membendung peningkatan harga barangan dan khidmat, iaitu kos sara hidup, amatlah penting. Ia mempunyai kaitan dengan kebahagiaan hidup semua rakyat, terutama yang miskin yang tentulah lebih ramai daripada yang kaya. Individu dalam masyarakat boleh mencari kekayaan dan memperbaiki nasib tanpa merugikan masyarakat tetapi individu juga boleh mencari kekayaan dengan menganiaya dan merugikan masyarakat. Tentulah kita tidak ingin melihat mana- mana pihak memperbaiki nasib diri sendiri `at the expense of others, particularly at the expense of the poor'. Bagi menentukan keadilan terpelihara, kita perlu melihat jauh sedikit daripada fakta yang dipamerkan di depan mata kita, umpamanya di dalam mahkamah. Inilah konsep keadilan masyarakat kita yang berbeza daripada masyarakat maju di Barat. Kita mengejar kemajuan tetapi bukanlah jenis kemajuan yang memperlihatkan diskriminasi dan penindasan ke atas pihak tertentu semata-mata kerana ingin kononnya mempertahankan pihak yang dikatakan lemah. Konsep Robin Hood mungkin sesuai di zaman penindasan oleh `the Sheriff of Nottingham', tetapi dalam masyarakat bertamadun, berbudaya dan berundangan, konsep Robin Hood sudah tidak sesuai lagi. Di mahkamah semua pihak patut mendapat keadilan, iaitu pertimbangan dan hukuman yang waras dan saksama. Mahkamah kita bukan tempat untuk sesiapa membuang geram, membalas dendam atau untuk `rob the rich to give to the poor' atau menyamun daripada yang kaya untuk diberikan kepada yang miskin. Menyamun walaupun daripada yang kaya atau daripada Kerajaan adalah sama jenayahnya dengan menyamun daripada yang miskin. Kita tidak mahu melihat sesiapa menyamun sesiapa. Dalam masyarakat yang ideal tidak ada samun-menyamun. Tetapi jika ada, tindakan dan hukuman mestilah sama. 14. Walaupun kita tidak menerima nilai-nilai Barat berkenaan dengan hak individu dan hak orang ramai dan Kerajaan, ini tidak bermakna kita menolak semua cara dan pendapat Barat berkenaan keadilan. Sistem yang teratur dalam menjalankan proses penghakiman yang diterokai oleh Barat amatlah baik dan perlu diterima. Demikian juga susunan dan bentuk undang- undang, iaitu `codification of the law' amatlah baik bagi menyeragamkan undang-undang dan proses undang- undang supaya seberapa yang boleh persepsi dan pegangan seseorang hakim terhadap sesuatu perkara tidak terlalu mempengaruhi penghakiman. Tidak ada siapa yang boleh menafikan bahawa penyeragaman dalam penguatkuasaan undang-undang adalah baik dan lebih memungkinkan keadilan berlaku. Cara menyerah segala- galanya kepada budi bicara hakim tetap akan menyebabkan kelainan hukum dan ketidakadilan. Justeru itu, dalam penguatkuasaan undang-undang dan penghakiman, termasuk dalam menjalankan undang- undang syariah, kita di Malaysia mempunyai sistem dan peraturan-peraturan serta undang-undang yang disusun rapi. Namun demikian ada juga kelemahan- kelemahan dalam sistem ini dan ini perlu diperbaiki dari semasa ke semasa apabila didapati tidak begitu berkesan atau sesuai. Kita tidak tolak apa yang datang dari Barat kerana ianya datang dari Barat. Yang jernih tetap kita terima, yang keruh kita buang. 15. Saya ingin menyentuh sedikit tentang masalah penyeludupan dadah. 16. Hari ini terdapat lebih daripada 200,000 penagih dadah di dalam negara. Majoriti daripada mereka adalah pemuda Melayu. Mereka ini menjadi beban dan masalah kepada diri mereka, keluarga mereka, Kerajaan dan masyarakat amnya. Wang yang banyak terpaksa dibelanjakan untuk menangani masalah dadah serta merawat dan menahan mereka. Mereka bukan sahaja tidak produktif tetapi mereka lebih bersifat bangkai yang masih bernyawa. 17. Memandangkan seriusnya masalah ini, pencegahan penyeludupan menjadi amat penting. Sebab itulah Kerajaan memperuntukkan hukuman mati ke atas penyeludup secara mandatori jika didapati bersalah. 18. Soal banyak mana dadah yang dimiliki sebelum hukuman mati dikenakan adalah rumit. Sudah tentu jika hanya mencukupi untuk kegunaan diri sendiri oleh penagih, hukuman mati tidak dikenakan. 19. Tetapi jika jumlahnya banyak dan bukan untuk kegunaan diri sendiri tetapi untuk edaran maka hukuman mati dikenakan. Soalnya ialah apakah kerana lebih sedikit sahaja daripada angka yang ditetapkan, hukuman seberat hukuman mati patut dikenakan? 20. Masalahnya ialah apabila ditentukan `cut-off point' masalah lebih sedikit tetap akan timbul. Jika budi bicara digunakan maka kemungkinan ketidakadilan berlaku adalah besar. Justeru itu, adalah lebih baik jika `cut-off point' yang telah ditetapkan dikuatkuasakan. 21. Dalam soal ini juga hukuman hendaklah sama antara rakyat Malaysia dengan yang bukan rakyat Malaysia, terutama rakyat negara besar atau berbangsa lain. Amatlah tidak adil jika diperbezakan hukuman ke atas penjenayah yang sama tetapi berlainan bangsa atau kulit. 22. Suatu `maxim' dari Barat yang perlu kita terima ialah `Justice delayed is justice denied'. Kita sanggup menerimanya kerana ianya benar. Dengan berlalunya masa yang panjang segala `evidence' dan ingatan pihak-pihak yang terlibat, sama ada yang mendakwa atau didakwa, akan menjadi luntur dan lemah dan tidak tepat lagi. Dengan itu perbicaraan tidak dapat dijalankan dengan betul dan adil. Kadang- kadang saksi sudah meninggal dunia atau yang mendakwa juga sudah tidak ada lagi. Dalam keadaan ini bukan sahaja keadilan tidak tercapai tetapi bagi yang dituduh atau yang menuduh yang sudah meninggal, keadilan tidak didapati sama sekali. 23. Sebab itulah tekanan dibuat untuk mempercepatkan proses penghakiman. Benar jika terlalu cepat, ketidakadilan mungkin berlaku. Yang dimaksudkan dengan pencepatan bukanlah sehingga terlalu gopoh. Tetapi mahkamah, pendakwa dan peguam kerap menangguhkan perbicaraan dengan begitu mudah. Ini tetap melewat dan melambatkan proses penghakiman dan menafikan keadilan. 24. Saya sedar bahawa ada pihak yang tidak senang hati dengan arahan merakam waktu masuk dan keluar kerja yang diarah oleh Ketua Hakim. Surat layang berkenaan perkara ini pun disebarkan. Badan-badan tertentu juga membuat teguran dan membantah langkah mengadakan kad perakam waktu. Kononnya ia menjatuhkan maruah hakim. 25. Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah ada juga hakim yang tidak berada di tempat kerja pada masa yang ditetapkan. Dan ini juga melambatkan proses undang-undang dan menafikan keadilan. 26. Dalam masyarakat kita hakim datang daripada golongan anggota masyarakat, terutama dalam sistem demokrasi amalan kita. Kini tidak ada keluarga atau keturunan hakim yang berhak menjadi hakim hanya kerana keturunan. Sebagai anggota masyarakat biasa, apa yang diterima oleh masyarakat perlulah diterima juga oleh pihak hakim. Jika anggota Kerajaan perlu merakam waktu, bahkan mengguna lencana nama, amalan yang sama tidak boleh dianggap hina oleh mana-mana anggota masyarakat. 27. Hari ini kes-kes yang terbengkalai di Mahkamah sudah banyak berkurangan hasil daripada usaha gigih oleh hakim-hakim dan dengan itu `delayed justice' dan ketidakadilan sudah berkurangan. Saya ucapkan tahniah kepada semua hakim. Namun masih ada banyak lagi kes yang menunggu untuk dibicarakan. Saya percaya perakaman waktu boleh membantu sedikit dalam usaha membawa keadilan kepada masyarakat. Oleh itu janganlah menjadikan perkara ini satu isu yang hangat sehingga berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. 28. Malaysia sedang membangun dengan pesat. Kegiatan perniagaan dan perusahaan semakin bertambah. Dan dengan ini jenis-jenis jenayah yang baru telah banyak muncul. Dalam menangani jenayah komersil ini `speed' menjadi penting. Dalam pada itu ada pula pihak tertentu yang ingin memperalatkan mahkamah untuk menjayakan `boardroom battle' mereka. Hanya dengan mendapat `injunction' boleh memperkayakan seseorang `at the expense of' seterunya. 29. Saya yakin semua hakim sedar akan hakikat ini dan berhati-hati supaya tidak diperalatkan. Namun kadang-kadang mahkamah berjaya diperalatkan juga. 30. Yang jelas ialah dengan perubahan pesat yang berlaku dalam negara kita, pemikiran hakim juga mungkin perlu berubah. Saya percaya dengan adanya persidangan ini perkara-perkara seperti ini dapat dibincang dan penyesuaian dapat dibuat. 31. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Majlis Hakim-Hakim bagi tahun 1996. Selamat bersidang. |