Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DI HOTEL CITY BAYVIEW
LANGKAWI, KEDAH
Tarikh/Date : 11/04/96
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN KONVENSYEN
SUKAN KEBANGSAAN
1. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
penganjur, Kementerian Belia dan Sukan kerana
menjemput saya pada hari ini untuk merasmikan
Konvensyen Sukan Kebangsaan.
2. Sukan sentiasa mendapat tempat dalam masyarakat
di negara ini sejak dari dulu lagi. Kita berjaya
menjadi juara dunia dalam sukan badminton dalam
tahun-tahun empat puluhan dan lima puluhan.
Bolasepak, kriket, sepaktakraw juga popular di
kalangan rakyat di kampung atau di bandar. Sukan
diuruskan oleh kelab-kelab dan persatuan yang
semuanya bergerak secara sukarela. Dalam hal
badminton, banyak kelab ditubuhkan untuk menguruskan
latihan dan pertandingan di antara kampung atau di
antara kelab. Semua ini bergerak di atas daya
usaha individu dan kumpulan yang bergabung secara
sukarela kerana tujuan yang sama. Pada masa itu
tidak ada bantuan daripada Kerajaan kerana
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hanya
ditubuhkan pada tahun 1964. Tidak ada pun syarikat-
syarikat yang menaja seperti Program Rakan Sukan
sekarang ini. Namun kekurangan ini dapat diatasi
melalui komitmen yang ikhlas daripada semua yang
terlibat tanpa mementingkan kedudukan masing-masing
sama ada dalam kelab atau persatuan masing-masing.
Tidak ada perebutan jawatan di antara mereka yang
terlibat, malah kerapkali ramai yang mengelak
daripada dipilih untuk memimpin kelab atau persatuan
masing-masing.
3. Negara kita semakin maju di bidang ekonomi.
Tetapi tahap kemajuan sukan kita belum boleh
disamakan dengan kemajuan kita dalam bidang-bidang
yang lain. Kita hanya mampu memenangi semula Piala
Thomas setelah 25 tahun berlalu. Kita juga hanya
mampu memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik
pada tahun 1992 apabila acara badminton dijadikan
acara rasmi. Kita belum mampu menjadi juara sukan
SEA dan masih tertinggal di kalangan negara-negara
jiran kita. Pendek kata kejayaan atlit-atlit negara
di arena antarabangsa masih belum boleh dibanggakan
lagi. Demikian juga dengan kegiatan sukan dan
rekreasi yang melibatkan rakyat terbanyak masih
terhad perkembangannya. Sukan belum lagi merupakan
satu kegiatan rakyat yang menyeluruh dan ia belum
lagi menjadi budaya masyarakat kita.
4. Dasar Sukan Negara yang telah digubal dan
diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 20 Januari 1988
telah menetapkan supaya sukan mendapat
pengiktirafan, penghormatan dan penggalakan yang
sama sebagaimana yang diberikan kepada keperluan
asasi sosial yang lain. Dasar ini merupakan garis
panduan menyeluruh yang merangkumi sukan prestasi
tinggi serta sukan massa yang menggalakkan
penyertaan yang meluas di semua peringkat. Kedua-
dua bidang ini hendaklah dibangunkan serentak
walaupun dengan penekanan yang berlainan.
5. Di samping itu Dasar Sukan Negara juga telah
menggariskan dengan jelas peranan semua pihak yang
terlibat dengan pembangunan sukan di negara ini
seperti sektor awam, swasta, badan sukarela,
organisasi bukan kerajaan dan sebagainya. Sudah
hampir 10 tahun Dasar tersebut diluluskan, namun
kedudukan sukan negara secara keseluruhannya tidak
juga menunjukkan kemajuan yang dapat membanggakan
kita semua.
6. Apa yang kerap berlaku ialah pergeseran di
antara pemimpin-pemimpin persatuan, kurang komitmen
para atlit serta berbagai-bagai masalah yang
menunjukkan bahawa terdapat kelemahan kepada sistem
dan struktur pengurusan yang ada sekarang ini di
samping sistem nilai yang mungkin sudah berubah.
7. Pelaksanaan program masih tidak begitu
meyakinkan. Saban hari kita didedahkan dengan
berbagai masalah yang sentiasa melanda persatuan
atau pertubuhan sukan di negara ini. Pergeseran
antara pegawai, jurulatih serta atlit tidak putus-
putus berlaku yang mana akhirnya akan menjejaskan
sukan masing-masing. Sikap berpuak-puak dan
politiking begitu ketara diamalkan di dalam
kebanyakan badan-badan sukan. Ini sudah tentunya
akan membawa kepada kemerosotan pencapaian mereka.
8. Kemajuan sukan negara juga mesti
berorientasikan kepada sistem dan nilai yang wajar.
Sukan tidak akan maju dan berkembang sekiranya masih
terdapat golongan yang sentiasa mengambil kesempatan
serta mementingkan diri. Atlit-atlit jangan terlalu
memikirkan soal insentif dan ganjaran yang boleh
memesongkan arah serta perjuangan mereka. Mereka
perlu lebih komited dan meletakkan nama negara di
atas segala-galanya. Sejarah pencapaian gemilang
atlit-atlit negara pada masa dahulu telah
membuktikan bahawa yang penyumbang kepada kejayaan
adalah komitmen yang tinggi dan semangat juang yang
tidak ada batasannya.
9. Sukan adalah sama pentingnya dengan sektor-
sektor lain seperti ekonomi, pelajaran dan
pertahanan dalam memajukan negara. Kita telah
menerima hakikat bahawa sukan mampu memberi
rangsangan ke arah pembentukan rakyat Malaysia yang
bersatupadu. Ini jelas ditunjukkan daripada
pengalaman kita ketika memenangi semula Piala Thomas
pada tahun 1992. Sukan juga mampu menaikkan imej
negara melalui kejayaan-kejayaan atlit kita di
pertandingan antarabangsa. Oleh yang demikian, sukan
memang mempunyai peranan di negara ini.
10. Kita perlu melihat bahawa sukan bukan hanya
semata-mata untuk sukan tetapi mempunyai peranan
yang lebih daripada itu khususnya dalam konteks
negara menuju ke arah tahun 2020. Sukan juga mampu
memberi sumbangan ke arah pembentukan rakyat
Malaysia yang menepati ciri-ciri Wawasan 2020. Kita
semua tahu sukan dipertandingkan melalui peraturan-
peraturan yang dipersetujui oleh semua pihak yang
bertanding. Ada pula pihak yang memastikan supaya
peraturan ini dipatuhi dan mereka ini dikenali
sebagai pengadil. Mereka yang melanggar peraturan
akan dihukum mengikut peraturan yang dipersetujui.
Di samping itu di dalam sukan terdapat juga konsep
`fair play', persefahaman, disiplin, taat, daya
saing, perjuangan, persediaan melalui latihan dan
kesempurnaan dalam melaksanakan segala gerak geri ke
arah memenangi satu-satu pertandingan.
11. Apa yang disebutkan itu tadi ialah nilai-nilai
murni yang terdapat dalam sukan. Sekiranya nilai-
nilai ini dapat dilahirkan oleh setiap anak muda dan
juga pentadbir yang terlibat dalam sukan sudah tentu
usaha kita untuk membentuk rakyat Malaysia yang
berkualiti dan berhemah tinggi akan menjadi lebih
mudah lagi. Dan sekiranya sukan berjaya diamalkan
oleh sejumlah besar rakyat Malaysia maka proses
pembentukan rakyat Malaysia yang kita idamkan
mungkin lebih cepat dicapai. Apa yang perlu
ditekankan di sini ialah sukan boleh digunakan
untuk pembentukan akhlak yang mulia dan melahirkan
nilai-nilai dan sifat-sifat positif di kalangan
kita. Memang benar ada banyak cara lain untuk kita
membentuk peribadi dan sikap setiap individu tetapi
sukan adalah landasan yang baik bagi tujuan itu
kerana ia dapat menarik minat sebahagian besar anak
muda kita. Dengan demikian sukan adalah satu
pendekatan yang harus digunakan dengan baik.
12. Kejayaan-kejayaan atlit yang gemilang juga
sering dikaitkan dengan komitmen yang jitu daripada
pegawai-pegawai yang mengendalikan persatuan ataupun
pertubuhan sukan. Amalan nilai-nilai yang murni,
sikap saling memahami, bertolak ansur dan, paling
penting, ialah semangat kesukarelaan (volunteerism)
yang tinggi perlu ada di kalangan pentadbir dan
pemimpin sukan. Setiap sumbangan atau khidmat yang
diberikan adalah ikhlas tanpa berlandaskan kepada
niat untuk menerima balasan, imbuhan atau insentif.
Bagaimanapun sekarang ini, nilai-nilai murni ini
tidak lagi ketara diamalkan di kalangan pemimpin
sukan. Semangat kesukarelaan tersebut semakin
luntur dan saya khuatir sedikit masa lagi ianya akan
terhapus sama sekali. Sekiranya ini berlaku apa
sahaja sumbangan yang perlu diberikan, mesti dibayar
dengan wang ringgit. Maka tentulah kita dapat
bayangkan apakah yang akan terjadi kepada aktiviti
sukan di mana ianya menjadi satu aktiviti komersil
semata-mata.
13. Oleh yang demikian, langkah yang drastik dan
tegas haruslah diambil agar semangat tersebut dapat
digerakkan semula dan dikekalkan supaya ianya
sentiasa segar dan menjadi tunjang utama dalam
gerakan kesukanan. Saya yakin sekiranya ketulusan
jiwa dan nurani di dalam proses kesukarelaan ini
dapat disemaikan, maka tahap pencapaian serta kadar
kegiatan akan melonjak semula ke tahap yang lebih
tinggi.
14. Tabiat menyediakan perancangan jangka panjang
di kalangan Persatuan Sukan bukan merupakan suatu
yang lumrah meskipun ianya merupakan suatu yang
penting. Pelaksanaan program yang tidak tersusun dan
dibuat secara `adhoc' tentunya tidak memberikan
pulangan yang bermakna.
15. Program pembangunan yang menyeluruh perlu
dirancang dan dilaksanakan supaya dari semasa ke
semasa dan di dalam jangka waktu yang panjang negara
akan sentiasa mempunyai atlit yang berkaliber untuk
mengisi kekosongan atlit yang telah bersara. Ini
juga pasti akan dapat mengatasi masalah setengah-
setengah sukan yang terlalu bergantung kepada
seorang atau dua atlit sehingga ada kalanya atlit
yang sudah melampaui zaman gemilangnya masih lagi
diperlukan khidmat mereka kerana kita ketandusan
jaguh.
16. Kita haruslah mencontohi sesetengah negara yang
mempunyai sistem yang begitu tersusun sehingga dapat
melahirkan begitu ramai atlit yang berpotensi yang
dapat diketengahkan sepanjang masa.
17. Walaupun begitu kita perlu mengakui hakikat
bahawa tidak semua sukan mampu mencapai kejayaan ke
peringkat yang paling tinggi. Ada sukan yang
membataskan kemampuan atlit negara ini untuk maju ke
peringkat dunia kerana bentuk fizikal kita. Ada
yang memerlukan belanja yang tinggi dan masa yang
lama untuk sampai ke tahap yang paling cemerlang.
Namun demikian, ianya tidak bermakna sukan-sukan ini
tidak perlu diperluaskan penyertaannya. Kita perlu
selektif dalam usaha memajukan jenis-jenis sukan
mengikut tahap keupayaannya. Apa yang dimaksudkan
di sini ialah ada sukan yang patut dimajukan di
setiap peringkat hingga ke tahap yang tertinggi
termasuk menjadi jaguh dunia. Kebanyakan sukan pula
perlu dimajukan di kalangan rakyat negara ini supaya
ianya menjadi sebahagian daripada Program Sukan
Untuk Semua.
18. Kita perlu mengadakan program-program supaya
budaya sukan boleh diwujud dan dikembangkan di
kalangan rakyat negara ini. Sudah tentu melalui
program sukan yang lebih luas, kemungkinan munculnya
jaguh-jaguh akan lebih cerah. Aktiviti yang meluas
juga akan dengan sendirinya membentuk sokongan yang
kuat terhadap sukan tersebut. Sukan tidak
seharusnya dianggap milik segolongan masyarakat
sahaja. Peluang mesti diberi supaya mereka yang
berminat dapat menceburkan diri dalam aktiviti sukan
dan rekreasi. Peratus mereka yang layak ke tahap
yang tinggi amat terhad. Ini bermakna kebanyakan
daripada mereka yang menceburkan diri dalam sukan
adalah untuk kecergasan fizikal dan faktor sosial
yang lain. Ini bermakna Persatuan Sukan juga tidak
terhad batas tugasnya bagi aktiviti sukan prestasi
tinggi tetapi juga perlu melaksanakan program untuk
golongan yang lebih ramai bagi memenuhi Program
Sukan Untuk Semua.
19. Kita akan menjadi tuan rumah Sukan Komanwel
1998. Pihak Kerajaan sememangnya berazam untuk
menjadi tuan rumah yang cemerlang seperti juga
ketika kita menjadi tuan rumah acara-acara lain pada
masa yang lalu. Meskipun SUKOM NINETY EIGHT BHD
telah ditubuhkan untuk menganjurkan acara ini tetapi
Kerajaan telah komited untuk menyediakan
infrastruktur sukan yang baru di samping menaiktaraf
tempat pertandingan yang sedia ada. Peruntukan yang
banyak juga disediakan untuk melatih atlit dan
pegawai-pegawai teknik. Penglibatan agensi-agensi
Kerajaan dan penubuhan Majlis Sukan Komanwel
menunjukkan betapa seriusnya usaha dan tekad
Kerajaan untuk membuktikan kemampuan negara ini
sebagai negara Asia dan negara membangun pertama
menganjurkan dengan cemerlangnya sukan yang kedua
terbesar selepas Sukan Olimpik.
20. Kita semua sedar bahawa kemampuan atlit kita di
Sukan Komanwel `98 yang akan datang adalah terhad.
Kita mungkin memenangi beberapa pingat melalui
beberapa sukan seperti badminton dan angkat berat
seperti yang telah dibuktikan sebelum ini. Tetapi
apa yang penting bagi kita ialah cara kita
merancang, berlatih dan bertanding menghadapi lawan
kita meskipun ianya lebih besar dan lebih tinggi
daripada kita. Cara kita mempersembahkan diri kita
di atas gelanggang menjadi ukuran sama ada kita
seorang atlit yang tulen atau sebaliknya. Sekiranya
kita bersetuju dengan pendapat ahli sosiologi sukan,
bahawa apa yang ditunjukkan oleh atlit di gelanggang
permainan mencerminkan sifat-sifat peribadi dan
bangsanya, maka kita perlu menentukan supaya atlit
kita berlatih dengan penuh disiplin dan bertanding
dengan bersungguh-sungguh tanpa mengaku kalah awal-
awal lagi.
21. Oleh sebab itu, saya berharap semua pihak
menjadikan latihan untuk Sukan Komanwel `98 sebagai
tapak dan titik permulaan untuk merubah konsep dan
falsafah sukan negara supaya ianya dapat memainkan
peranan yang sesuai. Sama ada kita akan memenangi
pingat yang banyak atau tidak, tidak harus
mempengaruhi usaha kita untuk melahirkan sekumpulan
rakyat Malaysia yang berdaya saing yang dapat kita
tonjolkan di mata dunia. Sekiranya usaha ini
berterusan sudah tentu atlit kita akan dapat
menjuarai dalam beberapa sukan termasuk di peringkat
dunia.
22. Perubahan dalam memahami dan mempraktikkan
konsep dan falsafah sukan supaya ianya secocok
dengan dasar-dasar dan matlamat negara ini bukan
sahaja terhad kepada atlit-atlit kita tetapi juga
meliputi pemimpin, pengurus, jurulatih dan pegawai-
pegawai teknik sukan. Kelemahan kita melahirkan
atlit yang berjaya adalah kerana kepimpinan yang
kurang berkesan. Saya percaya antara kelemahan yang
terdapat ialah kurang kemampuan kepimpinan sukan di
negara ini untuk merubah pendekatan dan gaya ke arah
melahirkan atlit dan pengurusan yang berjaya.
Kelemahan ini bukan kerana tempoh mereka menerajui
organisasi masing-masing sangat terbatas kerana
ramai daripada mereka telah memegang jawatan lebih
daripada sepuluh tahun. Kelemahan kepimpinan yang
saya maksudkan ialah kerana kurang wawasan untuk
membawa kemajuan kepada organisasi pimpinannya
sehingga tidak jelas perubahan dan kemajuan yang
berlaku kepada sukannya.
23. Pihak Kerajaan ingin melihat supaya sukan terus
diuruskan oleh tenaga sukarela melalui persatuan-
persatuan dan kelab-kelab sukan. Ini termasuk usaha
mencari punca kewangan kerana seperti yang
ditunjukkan oleh Rakan Sukan, banyak syarikat swasta
berminat untuk menjayakan program sukan. Saya
sendiri kadang-kadang kurang faham di atas sikap
setengah-setengah pihak yang menerajui dan memimpin
sukan. Di satu pihak mereka ingin kebebasan seperti
yang disarankan oleh Badan Olimpik Antarabangsa
(International Olympic Committee), tanpa
campurtangan daripada mana-mana pihak termasuk
pengaruh atau tekanan politik. Namun demikian, di
pihak yang lain pula mereka meminta bantuan Kerajaan
sepenuhnya seolah-olah menjadi tanggungjawab
Kerajaan untuk membantu semua kegiatan mereka. Saya
yakin Kerajaan mempunyai peranannya dalam
membangunkan sukan seperti juga persatuan-persatuan.
Saya juga yakin kebanyakan persatuan sukan di negara
ini khususnya di peringkat kebangsaan akan lumpuh
atau hampir lumpuh sekiranya Kerajaan tidak memberi
bantuan kewangan atau membantu mencarikan penaja
masing-masing. Oleh yang demikian, kita perlu
melihat sukan daripada perspektif kita sendiri dan
bukan dengan membuta tuli mengikut apa yang orang
lain buat. Saya tidak percaya pihak IOC akan datang
membantu persatuan-persatuan sukan negara ini dalam
usaha untuk memajukan diri masing-masing. Saya juga
tidak percaya mereka begitu prihatin di atas
prestasi atlit negara di Sukan Olimpik.
24. Kita di Malaysia mempunyai cara kita sendiri.
Maka sesuai dengan hasrat untuk meletakkan sukan di
atas landasan yang paling sesuai, pihak Kerajaan
akan terus memainkan peranan khususnya dalam membina
infrastruktur dan melaksanakan program-program yang
sesuai. Untuk itu satu akta iaitu Akta Pembangunan
Sukan sedang digubal supaya setiap pihak yang
terlibat dalam sukan akan faham peranan masing-
masing dan melaksanakannya mengikut apa yang
dipertanggungjawabkan ke atas mereka.
25. Saya percaya Konvensyen yang diadakan ini akan
dapat mencari penyelesaian kepada masalah-masalah
yang dihadapi oleh sukan negara ini. Kita perlu
belajar dari negara yang lebih maju dalam usaha
untuk bersaing dengan mereka. Dalam kita
mempelajari segala kebaikan dan keburukan daripada
mereka, kita perlu juga menyedari bahawa sukan di
negara ini mempunyai peranan yang lebih, khususnya
untuk membentuk rakyat Malaysia yang bersatupadu,
berkualiti dan memenuhi ciri-ciri negara maju dalam
semua aspek.
26. Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan
Konvensyen Sukan Kebangsaan ini.
|