Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN 
			DUNIA PUTRA 
Tarikh/Date 	: 	11/05/96 
Tajuk/Title  	: 	KONVENSYEN ULANGTAHUN UMNO KE-50 



          Bagi  pihak  UMNO atau United Malays  National
    Organisation  atau  Pekembar, Pertubuhan  Kebangsaan
    Melayu  Bersatu, saya ingin mengalu-alukan kehadiran
    tetamu-tetamu  kehormat kita dan ahli-ahli  UMNO  ke
    Konvensyen  Istimewa  menyambut  ulang  tahun  ke-50
    parti  kita  ini.  Mudah-mudahan dengan  izin  Allah
    Subhanahu  wa Ta'ala dan berkat doa yang telah  kita
    aminkan,  sesuatu  yang  baik  dan  bermanfaat  akan
    dihasilkan  daripada  konvensyen  ini  bukan  sahaja
    untuk  kita  daripada UMNO tetapi juga untuk  bangsa
    dan negara dengan penduduk berbilang kaumnya.

    2.    Alhamdulillah,  segala puji  bagi  Tuhan  yang
    menguasai  sekalian alam, selawat dan  salam  kepada
    junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.  Kita puji Allah
    Subhanahu  wa Ta'ala dan kita bersyukur kerana  hari
    ini  kita  menyambut ulang tahun  yang  ke-50  Parti
    kita,  UMNO.   Kita sambut hari ini dengan  gembira,
    gembira  bukan  secara keterlaluan  dengan  membakar
    mercun  atau  bunga api atau menari-nari  di  tengah
    jalan.   Gembira  kita ialah gembira yang  sederhana
    kerana  tidak  akan bermakna kita  bersyukur  dengan
    sesuatu yang tidak menggembirakan.

    3.   Lima puluh tahun bagi sesebuah parti politik di
    Malaysia  adalah satu usia yang panjang.   Dalam  50
    tahun  ini  sudah banyak parti politik yang  muncul,
    bergerak  buat  beberapa tahun dan  kemudian  luput,
    hilang  dari bumi Malaysia kita.  Tetapi UMNO  masih
    berada  dan  bukan sahaja berada tetapi masih  sihat
    dan   masih  dapat  menghasilkan  perjuangan   kita.
    Sekali lagi kita bersyukur.  Alhamdulillah.

    4.    Pada  hari lahir ini, sebagai tanda kesyukuran
    selain  daripada bergembira, kita harus  menoleh  ke
    belakang   untuk  meneliti  sejarah  kita,   sejarah
    perjuangan kita, sejarah  pencapaian kita, liku-liku
    dan jalan-jalan yang telah kita lalui, sama ada yang
    beranjau atau yang tidak, semua ini harus kita ingat
    dan  kita renung semula, mudah-mudahan akan  menjadi
    pengajaran dan panduan kepada kita.

    5.    Kita perlu renung kerana mereka yang lupa akan
    sejarah   akan   didera  dengan  mengulangi   segala
    kesalahan berkali-kali.  Dan sudah tentu kita  tidak
    ingin mengulangi sejarah yang buruk, yang hitam.

    6.    Banyak  perkara dalam sejarah kita yang  harus
    kita  teliti.   Antaranya ialah sistem politik  yang
    kita telah pilih.

    7.    UMNO tidak diasaskan kepada `palace coup' atau
    rebutan kuasa dalam istana.  Ia bukan gerakan elitis
    yang  diterajui oleh golongan intelek  yang  sedikit
    atau  revolusi  tentera atau oleh puak  revolusioner
    yang berideologi tertentu.

    8.    UMNO  sejak mulanya lagi ialah gerakan  massa,
    `mass   movement'   yang  mendapat   kedudukan   dan
    `legitimacy' kerana sokongan rakyat, sokongan  massa
    yang  tidak  bersenjata  apa-apa,  hanya  bergantung
    kepada jumlah bilangan mereka.

    9.    Dengan  perkataan lain, UMNO sejak  mula  lagi
    diasaskan  kepada  demokrasi dan  memilih  demokrasi
    bukan  sebagai  ideologi yang ketat  tetapi  sebagai
    pendekatan   yang  terbaik  bagi  perjuangan   UMNO.
    Sebagai  gerakan  massa, siapa  juga  daripada  kaum
    Melayu    berhak   menganggotainya.    Hanya    yang
    dikehendaki  daripada ahli ialah  penerimaan  secara
    ikhlas  perjuangan  dan  matlamat  UMNO  dan  segala
    peraturan   pentadbirannya   yang   terdapat   dalam
    Perlembagaan UMNO.

    10.   Benar  Perlembagaan UMNO bukan  ideologi  atau
    manifesto politik.  Ia boleh dipinda dan memang  pun
    telah dipinda berkali-kali.  Tetapi pindaan mestilah
    dibuat   mengikut   peruntukan   perlembagaan   yang
    berkuatkuasa semasa pindaan disyorkan.

    11.   Oleh  kerana  UMNO memegang kepada  demokrasi,
    amatlah penting kita sebagai ahli-ahli dan pemimpin-
    pemimpin UMNO memahami kekuatan dan kelemahan sistem
    demokrasi.   Mudah-mudahan  dengan  itu  kita  tidak
    sesat  dan  membinasakan  diri  kita.   Ramai   yang
    kononnya  menerima demokrasi sebagai sistem politik,
    tetapi  kerana  tidak  faham apa  dianya  demokrasi,
    mereka  telah menjadi mangsa demokrasi tanpa sedikit
    pun  memperolehi manfaat.  Harus diingat juga bahawa
    demokrasi  bukan  agama  Tuhan.   Demokrasi   adalah
    ciptaan  manusia  dan sudah tentu ia  jauh  daripada
    sempurna.  Bangsa-bangsa Barat cuba mendakwa  bahawa
    demokrasi tidak cacat dan menganggapnya sebagai satu
    sistem  yang  tidak siapa boleh mempertikaikan  atau
    mengubahnya.  Mereka menciptakan slogan `Vox Populi,
    Vox  Dei'  iaitu  suara ramai  adalah  suara  Tuhan.
    Tetapi  percayalah demokrasi bukan suara  Tuhan  dan
    jauh  daripada  sempurna,  bahkan  ia  penuh  dengan
    kecacatan  yang  boleh membinasakan pengamalnya  dan
    menjadikan  mereka mangsa kezaliman  demokrasi  yang
    tidak  kurang  buruknya  daripada  kezaliman  sistem
    feudal atau diktator.

    12.    Demikian  kerana  inginkan  demokrasi,  orang
    Afghan  menjatuhkan Kerajaan beraja mereka.   Tetapi
    hari ini Kabul hancur dan beratus ribu rakyat Afghan
    terbunuh   dan  dibunuh.   Negara-negara  demokratik
    Barat  yang  berdakwah  berkenaan  dengan  demokrasi
    hanya   membekalkan  senjata  untuk   orang   Afghan
    membunuh orang Afghan.

    13.   Di  sebuah  negara Asia, Kerajaan  ketenteraan
    dijatuhkan untuk menegakkan demokrasi.  Tetapi sejak
    itu negara tersebut tidak pernah tenteram.  Kerajaan
    yang  dipilih  tidak dapat memerintah  kerana  parti
    lawan mengadakan tunjuk perasaan dan mogok sepanjang
    masa.   Ramai   juga  yang  terbunuh   dalam   usaha
    meleraikan puak-puak yang berkonfrantasi.  Dan sudah
    tentu  jika  parti lawan pula menang dan  mendirikan
    Kerajaan,   parti  Kerajaan  yang  lama  pula   akan
    mengadakan  tunjuk  perasaan dan  mogok  umum  untuk
    menjatuhkan  Kerajaan.   Dengan  itu,  negara  tidak
    mungkin stabil sampai bila-bila.

    14.    Di  sebuah  negara  demokratik  Barat,   puak
    minoriti Yahudi yang kaya dan amat berpengaruh dapat
    menguasai Pemerintahan secara tidak langsung melalui
    kekayaan   dan   kedudukan  mereka.   Kerana   takut
    minoriti  ini  mengalahkan  mereka  dalam  pemilihan
    Presiden, kepimpinan negara menyokong keganasan  dan
    tindakan  yang tidak demokratik yang dilakukan  oleh
    Israel.

    15.   Di  sebuah  lagi negara Barat yang  demokratik
    terdapat  55  Kerajaan dalam jangka masa  50  tahun.
    Buat  berbulan-bulan tidak ada Kerajaan sama sekali.
    Kerajaan   sementara  pula  memerintah  lebih   lama
    daripada   Kerajaan   yang  dipilih.    Dengan   itu
    pilihanraya membazir dan tidak bermakna.

    16.   Demikian  juga di Bosnia yang  telah  menuntut
    kemerdekaan  kerana  percaya  kepada  demokrasi  dan
    sokongan  oleh negara-negara demokrasi yang kononnya
    tidak  akan membenar sesiapa mencabul demokrasi  dan
    hak  asasi manusia.  Kemudian apabila pengganas Serb
    menyeksa  dan  membunuh  ratusan  ribu  orang  Islam
    Bosnia,  pemimpin negara-negara Barat, kerana  takut
    jika   askar   mereka   terkorban   sedikit   kerana
    melindungi  rakyat Bosnia maka pengundi mereka  akan
    mengalahkan  parti  mereka,  telah  membiarkan  Serb
    membunuh  ratusan  ribu orang Bosnia  dan  mengganas
    dengan bebas terhadap orang Islam.

    17.   Negara-negara demokrasi yang sama juga sanggup
    mengepung  dan  mengawal bekalan  makanan  dan  ubat
    kepada  rakyat  yang lemah dan tidak terdaya  kerana
    mahu  memaksa mereka menjatuhkan pemerintahan negara
    mereka.   Kerana mereka gagal, anak mereka,  pesakit
    dan  orang tua menderita dan menjadi mangsa  sekatan
    makanan dan ubat-ubatan oleh negara demokratik.

    18.   Baru-baru  ini  Israel  membedil  Lebanon  dan
    menyebabkan  beratus orang awam di Lebanon  terbunuh
    dan   cedera  semata-mata  kerana  Perdana   Menteri
    Israel,  Shimon Peres, dikatakan mahu mendapat  undi
    daripada  rakyat Israel dalam pilihanraya yang  akan
    diadakan.    Nyawa   manusia   dikorbankan    kerana
    kepentingan demokrasi Israel.

    19.   Demikian  suara ramai dan amalan demokrasi  di
    satu  negara boleh menjadi penindasan dan penyeksaan
    di  negara  lain.   Dan di negara demokrasi  sendiri
    rakyat  tidak dapat hidup aman, stabil dan  tenteram
    kerana  demokrasi  melumpuhkan  siapa  sahaja   yang
    dipilih  untuk  memerintah.   Di  waktu  yang   sama
    apabila  dalam  demokrasi  rakyat  berbelah  bahagi,
    bukan   suara  ramai  yang  menentukan  siapa   yang
    memerintah  tetapi  puak  minoriti  yang  menentukan
    siapa yang sebenarnya berkuasa dengan memihak kepada
    satu  pihak atau pihak lain asalkan tuntutan mereka,
    iaitu puak minoriti ini, diutamakan.

    20.   Contoh-contoh  ini  perlu  diambilkira  supaya
    kepercayaan  kepada demokrasi tidak keterlaluan  dan
    fanatik.   Tetapi  contoh-contoh  ini  tidak   harus
    menyebabkan  kita  menolak sistem  demokrasi  secara
    total.

    21.   Kebaikan  sistem demokrasi  yang  dibawa  oleh
    Revolusi  Peranchis bukan kerana ia  dapat  menjamin
    pemerintahan  yang  baik  tetapi  ia  lebih  mungkin
    menjamin pemerintahan yang menghargai pandangan  dan
    pendapat   rakyat.   Dalam  sistem  demokrasi   yang
    penting dan utama ialah rakyat berhak memilih  siapa
    yang  akan  menerajui Kerajaan.  Jika  rakyat  sudah
    tidak  suka,  cara  menukar Kerajaan  atau  pemimpin
    tidak  melibatkan perang saudara atau revolusi  atau
    keganasan.   Hanya dengan mengundi segala pertukaran
    boleh  dibuat. Dengan perkataan lain,  rakyat  boleh
    menaikkan sesiapa sahaja sebagai pemimpin dan  boleh
    menurunkannya  jika  ia  dianggap  gagal  memerintah
    dengan baik.

    22.   Prinsip  ini  menjadi  teras  kepada  falsafah
    demokrasi.   Tetapi  untuk mengamalkannya  berbagai-
    bagai  cara  dibentuk.  Ada sistem yang  membolehkan
    banyak  parti  politik ditubuh dan ada  yang  secara
    tidak  langsung membolehkan hanya dua  parti  sahaja
    bergerak.   Ada  yang  memilih  Presiden  berasingan
    daripada  ahli dewan-dewan perundangan dan  Presiden
    diberi  kuasa  eksekutif dengan hak  memilih  Jemaah
    Menterinya  daripada  siapa  sahaja  yang  ia  suka,
    termasuk  keluarga dan kawan, tanpa  menghirau  sama
    ada  Menteri  menjadi  anggota dewan  undangan  atau
    tidak.

    23.    Ada  pula  yang  mengasingkan  kepala  negara
    daripada  pemerintahan dengan  kuasa  diberi  kepada
    Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya, yang semuanya
    mesti  terdiri  daripada anggota  badan  perundangan
    yang telah dipilih oleh pengundi.

    24.   Ada  yang  memberi  kuasa  membentuk  Kerajaan
    berasas  kepada  parti  yang memenangi  kerusi  yang
    terbanyak  dan ada yang mengagihkan kerusi  mengikut
    jumlah  undi  yang  didapati oleh  parti-parti  yang
    bertanding.   Sistem  yang  memberi  hak   membentuk
    Kerajaan  kepada  parti yang memenangi  kerusi  yang
    terbanyak  lebih mungkin menghasilkan Kerajaan  yang
    bermajoriti  yang  cukup  untuk  memerintah   dengan
    stabil   dan   berkesan.   Sebaliknya  sistem   yang
    mengagihkan   kerusi  mengikut  jumlah   undi   yang
    diperolehi    oleh   parti-parti   biasanya    sukar
    menghasilkan  Kerajaan  bermajoriti.   Yang   sering
    berlaku   ialah  Kerajaan  minoriti  atau   Kerajaan
    campuran  yang dibentuk dengan tergesa-gesa  selepas
    pilihanraya.   Kedua-dua jenis  Kerajaan  ini  tidak
    mungkin stabil.

    25.   Namun  sistem memberi kuasa kepada parti  yang
    memenangi  kerusi yang terbanyak juga mungkin  tidak
    dapat  melahirkan  Kerajaan  yang  bermajoriti  jika
    berpuluh  parti yang bertanding dan tidak  ada  satu
    parti  pun yang mendapat cukup bilangan kerusi untuk
    membentuk  Kerajaan majoriti.  Dengan itu,  Kerajaan
    minoriti  atau Kerajaan campuran terpaksa ditubuhkan
    juga.  Dan, kedua-dua ini seperti disebut tadi tidak
    berwibawa  dan pemerintahan secara berkesan  mungkin
    tidak dapat diadakan.

    26.   Dalam  sistem  dua parti, kadang-kadang  parti
    yang  menang mempunyai majoriti yang terlalu  kecil.
    Jika   penyokong   Kerajaan  tidak  mahu   menyokong
    Kerajaan  atau lompat ke parti lawan, maka  jatuhlah
    Kerajaan. Tindakan melompat ini boleh dibuat berkali-
    kali  dan  Kerajaan  akan bertukar  sekejap-sekejap.
    Kerajaan yang berkesan tidak akan wujud.

    27.   Sekarang  ini pula ada pendapat yang  Kerajaan
    tidak  boleh  diberi  apa-apa kuasa  mutlak.   Pihak
    orang  ramai, badan-badan bukan Kerajaan  dan  media
    massa  akan menentukan pendirian yang harus  diambil
    oleh  Kerajaan yang telah dibentuk.  Proses menjatuh
    atau  melumpuhkan Kerajaan dimulakan sejurus selepas
    ia ditubuhkan.  Dalam pada itu pihak kehakiman boleh
    menyoal  dan mengharamkan segala keputusan  Kerajaan
    melalui proses `Judicial Review' yang boleh diadakan
    atas  pilihan hakim sendiri.  Akibatnya ialah proses
    pemilihan   oleh   rakyat  hilang  maknanya   kerana
    Kerajaan  yang dipilih oleh rakyat diletak di  bawah
    berbagai-bagai   badan  yang  tidak   dipilih   atau
    mewakili   rakyat.  Badan  penghakiman   pun   tidak
    bertanggungjawab secara langsung kepada rakyat  atau
    sesiapa.   Konsep pemerintahan oleh majoriti  rakyat
    dalam  demokrasi sudah tidak wujud lagi,  sebaliknya
    `autocracy'     atau    `oligarchy'     menggantikan
    `democracy'  dengan sebilangan kecil orang  tertentu
    berkuasa menentukan dasar pemerintahan oleh Kerajaan
    pilihan rakyat.

    28.   Yang  jelas ialah demokrasi, atau pemerintahan
    oleh majoriti rakyat, terdedah kepada berbagai-bagai
    tafsiran  dan  boleh dilaksanakan melalui  berbagai-
    bagai  cara.  Sekarang ini cara yang menidakkan  hak
    majoriti  rakyat  pun  boleh ditafsir  dan  diterima
    sebagai  demokratik  dan diamalkan.   Demikian  juga
    pegangan   kepada   cara  yang  lebih   mengutamakan
    pendapat  individu  sehingga  suara  majoriti  boleh
    dibelakangkan  pun  dikatakan  demokratik.    Inilah
    keadaan di Barat sekarang, yang begitu bangga dengan
    demokrasi mereka dan percaya hanya demokrasi  mereka
    sahajalah  yang  tepat dan patut diterimapakai  oleh
    seluruh  dunia. Taksub dengan pegangan mereka,  maka
    mereka  lupa akan erti demokrasi.  Dengan itu mereka
    mengguna kekerasan untuk memaksa negara-negara  lain
    menerima  demokrasi jenis mereka.   Mereka  sudahpun
    lupa  bagaimana  mereka dahulu  menentang  kekerasan
    kerana    ia  adalah  bertentangan  dengan   prinsip
    demokrasi.   Apa bezanya penggunaan kekerasan  dalam
    penyebaran  ideologi Komunis atau  `fascist'  dengan
    kekerasan dalam penyebaran demokrasi?

    29.   Dalam  keadaan yang mana amalan  yang  terang-
    terang  menidakkan  hak  majoriti  dianggap  sebagai
    demokratik,   seperti  kata   orang   Inggeris,   `a
    contradiction  in terms' atau pertentangan  daripada
    segi  makna, sudah tentu banyak kekeliruan  berlaku.
    Keadaannya  adalah sama dengan dakwaan bahawa  orang
    Islam  adalah bersaudara dan dengan kerana itu  puak
    ekstrimis  Islam menyerang dan membunuh orang  Islam
    lain untuk mewujudkan persaudaraan dalam Islam, atau
    mereka  memulaukan  orang Islam  lain  kerana  ingin
    mencapai perpaduan dalam Islam.

    30.  Kita di Malaysia telah memilih demokrasi kerana
    kita  percaya  rakyat  lebih tahu  bagaimana  mereka
    harus  diperintah.  Bahawa mereka  berasal  daripada
    masyarakat   feudal   terbukti   dengan   pengekalan
    perkataan `Kerajaan', iaitu pemerintahan oleh  Raja,
    sebagai nama untuk institusi pemerintahan.  Walaupun
    di Malaysia kita masih kekalkan sistem beraja tetapi
    raja  tidak  lagi  memerintah atau  mempunyai  kuasa
    mutlak.   Bahawa kita mengamalkan demokrasi  menjadi
    jelas  kerana  badan yang memerintah,  iaitu  Jemaah
    Menteri,  dianggotai oleh wakil-wakil  yang  dipilih
    oleh rakyat.

    31.  Raja diletak sebagai kepala negara.  Sistem ini
    yang  diambil  daripada sistem Raja  Berperlembagaan
    atau   `Constitutional  Monarchy'  British,  memberi
    tempat kepada Raja tanpa menidakkan hak rakyat.

    32.  Namun demikian bukan sistem yang penting tetapi
    kesanggupan semua pihak rakyat mengamalkan demokrasi
    mengikut  semangatnya dan tidak semata-mata mengikut
    konsep  dan  peraturan-peraturannya yang  menentukan
    sama ada demokrasi diamalkan atau tidak.

    33.   Rakyat  sepatutnya  memilih  wakil  yang  akan
    membentuk  Kerajaan  mengikut keupayaan,  dasar  dan
    program  yang secara ikhlas dijanjikan  oleh  parti-
    parti  yang  bertanding.  Sudah  tentu  jika  rakyat
    menggunakan  kuasa  pemilihan mereka  dengan  bijak,
    wakil dan Kerajaan akan terdiri daripada mereka yang
    betul-betul   berkeupayaan,   cekap,    jujur    dan
    bertanggungjawab.

    34.   Tetapi  rakyat  jarang mengutamakan  penubuhan
    Kerajaan    yang    baik.     Sebaliknya    pengundi
    mengutamakan  apa yang mereka, atau  kawasan  mereka
    akan  dapat daripada Kerajaan.  Bahkan kadang-kadang
    rakyat  mengugut tidak akan mengundi  sesuatu  calon
    jika  ianya tidak berjanji akan membekalkan sesuatu,
    sama ada jalan atau masjid, atau sekolah.  Soal sama
    ada  Kerajaan mampu membekal atau projek-projek  ini
    betul-betul diperlukan tidak diambilkira.

    35.   Tetapi  ugutan ini tidak terhad kepada  projek
    yang  mungkin berguna.  Kadang-kadang individu  atau
    kumpulan meminta sesuatu bagi diri sendiri.   Bahkan
    ada  kalanya  mereka membayangkan keperluan  bantuan
    kewangan dan `material' bagi diri sendiri.  Demikian
    juga pekerja parti pun tidak semuanya bekerja kerana
    perjuangan tetapi kerana upahan.

    36.  Dalam keadaan ini masing-masing yang bertanding
    tidak mempunyai banyak pilihan.  Benar kadang-kadang
    yang  menawar  ialah calon sendiri.  Pengundi  boleh
    menolak.   Tetapi  pengundi  sebagai  manusia  biasa
    sukar  mempertahankan kehormatan diri.  Lagipun  ada
    perasaan  bahawa  jika tawaran tidak  diterima  maka
    orang  lain akan menerimanya.  Oleh itu apa salahnya
    jika  diterima.  Oleh sebab ini juga  calon  menawar
    sesuatu untuk mendapat sokongan.

    37.   Proses  memperniagakan  undi  menjadi  semakin
    buruk   dengan  berlalunya  masa.   Akhirnya   bukan
    pembentukan Kerajaan yang baik yang menjadi  tujuan.
    Pemilihan menjadi temasya dan peluang untuk mendapat
    sesuatu  daripada  orang  yang  menawar  diri  untuk
    dipilih. Sudah tentu yang dipilih tidak lagi terdiri
    daripada  orang yang layak dipilih dan  menganggotai
    Kerajaan. Sebaliknya yang dipilih ialah mereka  yang
    begitu  tidak berprinsip sehingga sanggup  menghulur
    rasuah.  Apakah Kerajaan yang dianggotai oleh  orang
    yang  terpalit  dengan korupsi boleh  jadi  Kerajaan
    yang baik?

    38.  Sementara demokrasi sering menggalak korupsi di
    kalangan   rakyat  dan  pemimpin,  ia   juga   kerap
    menyebabkan  ahli  politik menyalahgunakan  sentimen
    dan kejahilan pengundi dalam bidang-bidang tertentu.

    39.   Demikian  oleh  kerana orang  Melayu  memegang
    begitu   kuat  kepada  agama  Islam,  ada  ahli-ahli
    politik   dalam   demokrasi  menggunakan   kebebasan
    politik  dan  kebebasan bersuara untuk memperalatkan
    agama dalam usaha mereka mendapat sokongan.

    40.  Di zaman kolonial British, tidak ada demokrasi.
    Ramai  orang  Melayu  melanggar  hukum-hukum  Islam.
    Masjid  biasanya  kosong.  Tok-Tok  Guru  dan  orang
    agama tidak mengecam perbuatan melanggar hukum-hukum
    agama.   Sudah  tentu  mereka tidak  berusaha  untuk
    memisahkan  orang  Melayu yang  berani  mengenepikan
    hukum Allah daripada orang Melayu lain.  Dengan  itu
    perpecahan tidak berlaku di kalangan orang Melayu.

    41.   Demikian juga majoriti tokoh-tokoh agama tidak
    menentang British kerana menyebabkan kelemahan agama
    di  kalangan  orang Melayu.  Yang menentang  British
    ialah guru-guru sekolah Melayu dan para intelek yang
    kebanyakannya berpendidikan bukan agama.  Sebaliknya
    sejak  negara  merdeka pegangan kepada  agama  Islam
    oleh   semua  orang  Melayu  lebih  kuat.   Kerajaan
    Malaysia  yang  merdeka  memberi  penekanan   kepada
    didikan  agama secara menyeluruh di sekolah-sekolah.
    Di  masa  yang  sama masjid dan surau dibiayai  oleh
    Kerajaan, yang mana di zaman British keadaan  adalah
    sebaliknya.  Sudah  tentu  sembahyang  berjemaah  di
    masjid-masjid lebih ramai sehingga masjid diperbesar
    dan  ditambah  sepanjang masa.  Sepatutnya  golongan
    ulama   menyokong  penuh  Kerajaan   Malaysia   yang
    merdeka.

    42.  Tetapi apabila sahaja pilihanraya ala demokrasi
    diperkenalkan maka sebahagian daripada  tokoh  agama
    telah    memisahkan     diri     daripada    gerakan
    nasionalisma  untuk  meraih peluang daripada  sistem
    demokrasi.  Mereka  berpendapat bahawa  agama  boleh
    diperalatkan  untuk  mendapat  sokongan  bagi   diri
    mereka.

    43.   Pada  mulanya mereka berpegang kepada landasan
    agama   yang  benar.   Tetapi  mereka  kalah  dengan
    teruknya  pada  tahun  1955.  Menjelang  pilihanraya
    1959  mereka  mula  membuat  tafsiran-tafsiran   dan
    mengguna  pendekatan-pendekatan yang salah  di  sisi
    agama  Islam demi menakut dan mempengaruhi  pengundi
    supaya   menyokong  mereka.   Sejak  itu   larangan-
    larangan agama diketepikan dan apa sahaja yang boleh
    mempengaruhi    pengundi,    walaupun    menyebabkan
    kehilangan akidah dan kesesatan, telah digunakan.

    44.   Akibatnya  ialah  perpecahan  yang  ketara  di
    kalangan  orang  Melayu,  satu-satunya  bangsa  yang
    mengaitkan   anutan  agama  Islam  bagi   menentukan
    bangsanya.   Hari  ini  orang Melayu  yang  semuanya
    dahulu   daripada  Ahli  Sunnah  Wal  Jamaah  mazhab
    Shafii,     berpecah     dua    kerana     demokrasi
    disalahgunakan. Perpecahan ini begitu buruk sehingga
    ahli-ahli parti politik tertentu memulaukan kenduri,
    perkahwinan dan jenazah.  Mayat penyokong parti lain
    tidak  dibenar dikebumikan di kubur parti  tertentu.
    Sembahyang berjemaah dibuat berasingan dengan  imam-
    imam  yang berlainan.  Dalam pada itu pula bermacam-
    macam  ajaran disebar dengan bebas yang  menyebabkan
    lebih  banyak  perpecahan, kesesatan dan  kehilangan
    akidah. Pembendungan kegiatan ini tidak boleh dibuat
    kerana bertentangan dengan amalan demokrasi.

    45.   Demikianlah kesan demokrasi terhadap agama dan
    bangsa, khususnya bangsa Melayu.

    46.   Di  sesetengah negara Barat ideologi memainkan
    peranan.  Ideologi Barat berasas kepada kelas, iaitu
    sama ada miskin atau kaya, pekerja atau majikan.  Di
    zaman    dahulu   memanglah   majikan,   terutamanya
    pengusaha,  menindas  dengan  kejam  kaum   pekerja.
    Ideologi  yang  dibentuk mengumpulkan  puak  majikan
    dalam satu golongan dan pekerja dalam golongan lain.
    Maka  terbentuklah Parti Konservatif dan Parti Buruh
    di  Britain untuk mengekalkan permusuhan  di  antara
    golongan atasan dengan golongan bawahan, kaya dengan
    miskin,  majikan  dengan pekerja.  Di  negara-negara
    Barat  yang lain Parti Komunis dan Sosialis  ditubuh
    untuk  merebut kuasa daripada puak-puak kanan, iaitu
    yang  ingin  mengekalkan kuasa  raja,  hartawan  dan
    orang atasan.

    47.   Perjuangan politik golongan-golongan ini bukan
    berasaskan    kepada   kebaikan    atau    kelayakan
    memerintah.  Kepercayaan  masing-masing  ialah  jika
    mereka  memerintah  mereka akan  dapat  mengutamakan
    kepentingan   mereka.   Sama  ada  kepentingan   ini
    secocok  dengan  kepentingan  negara  tidak   diberi
    pertimbangan.

    48.   Sementara  perjuangan menghapuskan  penindasan
    terhadap  puak pekerja adalah baik dan adil,  tetapi
    ketidakadilan   yang  dilakukan  oleh   pemerintahan
    pekerja ke atas majikan dan hartawan juga tidak baik
    dan secocok dengan demokrasi dan kepentingan negara.

    49.   Ringkasnya apabila politik demokrasi diasaskan
    kepada  ideologi, akhirnya bukan demokrasi, keadilan
    dan   kebaikan   negara   yang   diutamakan   tetapi
    keterlaluan  ideologi yang dijunjung  oleh  pengamal
    ideologi.   Sebab  itu  walaupun  pekerja  di  Barat
    mendapat  upahan  yang tinggi sehingga  taraf  hidup
    mereka  sama dengan orang kaya di negara  membangun,
    angka   pengangguran  juga  meningkat  dan  prestasi
    ekonomi  mereka  merosot  sehingga  dagangan  mereka
    tidak   lagi  dapat  bersaing  dengan  negara-negara
    Timur.  Benar  penganggur di  negara  maju  mendapat
    elaun  yang lebih besar daripada pekerja  di  negara
    membangun,  tetapi  dalam keadaan  ekonomi  merosot,
    Kerajaan  tidak  mempunyai  wang  yang  cukup  untuk
    membiayai  bilangan penganggur yang kian  meningkat.
    Dengan   itu,   hutang  Kerajaan  meningkat   tinggi
    sehingga  melemahkan lagi ekonomi  negara.   Apabila
    sampai   di   tahap  ini  pemulihan  ekonomi   sukar
    dilakukan.

    50.   Hari ini semua negara demokrasi mirip sosialis
    di   Barat  mengalami  kemerosotan  ekonomi   dengan
    bilangan pekerja yang menganggur mencapai angka yang
    amat  tinggi.  Sudah tentu apa yang didakwa  sebagai
    `Socialist  Republics', iaitu  negara  komunis  yang
    dikatakan   dikuasai   sepenuhnya   oleh    pekerja,
    mengalami  kemerosotan  ekonomi  yang  lebih  teruk,
    dengan  nasib  pekerja menjadi lebih buruk  daripada
    pekerja   di   negara-negara  kapitalis.    Daripada
    menjadi  hamba majikan persendirian, pekerja menjadi
    hamba  pemerintah yang kerapkali lebih menindas  dan
    lebih kejam.

    51.    Masyarakat  manusia  perlu  bertimbang   rasa
    terhadap  pihak-pihak  di kalangan  anggotanya  yang
    tidak  bernasib  baik.   Usaha  perlu  dibuat  untuk
    memperbaiki  nasib mereka supaya mereka  juga  dapat
    mengecapi pada tahap berpatutan nikmat yang terdapat
    dalam  masyarakat.   Tetapi  manusia  bermasyarakat,
    iaitu   manusia  yang  tidak  dapat  hidup   tunggal
    keseorangan,   perlu   menerima   sedikit   sebanyak
    perbezaan  antara yang memimpin dan  yang  mengikut,
    yang  kaya dengan yang miskin.  Tidak mungkin  dalam
    suatu  masyarakat,  semua anggota  menjadi  pemimpin
    atau  menjadi  kaya.  Dan tidak mungkin  juga  semua
    anggota menjadi pengikut, kerana mustahil boleh  ada
    pengikut tanpa pemimpin.

    52.    Demikian   pemerintahan  oleh  pekerja   yang
    merupakan  majoriti daripada rakyat, walaupun  boleh
    ditafsirkan   sebagai   demokratik,    tidak    juga
    mendatangkan  kebaikan dan keadilan walaupun  kepada
    pekerja.

    53.   Memang  benar di zaman dahulu pemimpin  sering
    menindas  dengan  kejamnya  rakyat  biasa.    Tetapi
    melalui  pegangan  kepada agama  dan  penguatkuasaan
    undang-undang, penindasan secara langsung tidak lagi
    dihalalkan.  Satu prinsip yang terbaik ialah undang-
    undang   tidak   membezakan  antara   pemimpin   dan
    pengikut,  tidak menghiraukan pangkat, darjat,  kaya
    dan  miskin, lelaki dan perempuan dan asas-asas lain
    yang  membeza  dan mengasingkan di antara  golongan-
    golongan yang terdapat dalam masyarakat.

    54.  Dengan penerimaan prinsip persamaan ini, undang-
    undang   yang  sebenarnya  memerintah  dan  bukannya
    individu tertentu yang memerintah.  Di zaman  feudal
    ada  kalanya yang raja dikatakan berada lebih tinggi
    daripada  undang-undang atau `above the  law'.Tetapi
    baik undang-undang agama, baik undang-undang ciptaan
    manusia,  tidak  lagi membeza di antara  rakyat  dan
    raja, miskin dan kaya.

    55.   Sungguhpun mengagungkan prinsip `rule of  law'
    atau  pemerintahan berasaskan undang-undang  amatlah
    adil  dalam pandangan masyarakat manusia, `law' atau
    undang-undang  boleh  dipengaruhi  oleh  budaya  dan
    tamadun masyarakat masing-masing.  Demikian di zaman
    dahulu   undang-undang  sengaja  membezakan   antara
    anggota  masyarakat mengikut budaya dan pendapat  di
    zaman berkenaan.

    56.   Dahulu anggota masyarakat yang berhak mengundi
    hanyalah   lelaki   yang  memiliki   harta   sahaja.
    Kemudian  setelah  beberapa  lama,  syarat  memiliki
    harta  digugur  tetapi  wanita  masih  tidak  berhak
    mengundi.    Hanya  selepas  Perang  Dunia   Pertama
    baharulah  negara-negara Barat, yang begitu  sombong
    dengan  demokrasi mereka, memberi hak kepada  wanita
    mengundi.   Tetapi perbezaan masih ada  antara  umur
    pengundi,  ada yang tetapkan umur 21 tahun,  ada  18
    tahun.   Walau apa juga sebabnya perbezaan  hak  ini
    dihalalkan  oleh  undang-undang,  hakikatnya   ialah
    undang-undang  boleh dipengaruhi oleh  pendapat  dan
    budaya masyarakat berkenaan.

    57.   Dapatlah kita lihat bahawa `the Rule  of  Law'
    tidak  semestinya  adil sepanjang  masa.   Apa  yang
    dianggap  adil pada satu zaman boleh dianggap  tidak
    adil  pada zaman yang lain.  Apa yang dianggap  adil
    oleh  sesuatu masyarakat boleh dianggap  zalim  oleh
    masyarakat lain.  Walaupun konsep keadilan dikatakan
    `universal',  iaitu sama bagi semua  manusia  tetapi
    tafsiran dan taksiran tentang sesuatu perkara  boleh
    berbeza.

    58.   Tamadun  manusia tidak beku.   Jika  ia  tidak
    berubah  dengan zaman yang berlalu,  ia  tetap  akan
    jadi  lapuk.  Tamadun manusia mempunyai kaitan  yang
    rapat dengan budaya, iaitu dengan jumlah nilai-nilai
    hidup   yang  diterima  oleh  masyarakat  berkenaan.
    Pencapaian    dan   kemajuan   masyarakat    manusia
    bergantung  kepada  sistem nilai yang  diterimapakai
    oleh  sesuatu  masyarakat.   Dengan  pengalaman  dan
    pengetahuan  yang dikumpul sepanjang  sejarah,  maka
    biasanya  tamadun manusia menjadi lebih baik  dengan
    pengaliran zaman.

    59.    Masyarakat  yang  bertamadun   tinggi   ialah
    masyarakat yang lebih tersusun dan tertib.   Susunan
    dan  ketertiban ini ditentukan oleh penerimaan  adat
    pada  mulanya.  Adat sebenarnya adalah undang-undang
    yang  tidak  tertulis.   Apabila  kebolehan  menulis
    dicipta  maka sebahagian daripada adat  dicatat  dan
    menjadi  undang-undang yang  tertulis.   Dengan  ini
    hukum-hakam  menjadi  lebih  tepat  dan  tidak  lagi
    banyak bergantung kepada ingatan, pegangan, perasaan
    dan tafsiran adat oleh mereka yang menghukum.

    60.   Tetapi  undang-undang yang tertulis  tertakluk
    kepada  tamadun,  iaitu nilai hidup masyarakat  pada
    sesuatu  masa.  Seperti yang disebutkan tadi tamadun
    dan  nilai  hidup  tidak statis.  Oleh  itu  undang-
    undang  untuk  satu  zaman bagi  sesuatu  masyarakat
    berbeza daripada undang-undang bagi masyarakat  yang
    sama  di  zaman  yang lain.  Demikianlah  berbezanya
    undang-undang sesuatu masyarakat sehingga  apa  yang
    dianggap  adil  bagi satu zaman boleh dianggap  amat
    zalim di zaman yang lain.

    61.   Di  Britain, umpamanya, dua ratus tahun dahulu
    pekerja  lombong dianggap lebih kurang  sama  dengan
    hamba abdi.  Mereka dipaksa bekerja sehingga 15  jam
    sehari mengorek arang batu daripada dalam perut bumi
    sambil baring dalam air yang kotor dan sejuk sebagai
    ais  kerana  terowong di bawah tanah begitu  sempit.
    Pekerja  wanita dan kanak-kanak terpaksa  merangkak,
    mengheret  dan  menjunjung bakul  yang  penuh  sarat
    dengan arang batu sepanjang terowong dan naik tangga
    yang tinggi ke permukaan bumi.

    62.  Mereka menghidu habuk arang batu sehingga paru-
    paru  mereka menjadi hitam; menyebabkan mereka mudah
    mendapat  penyakit  paru-paru.   Hayat  mereka  amat
    pendek.

    63.   Namun  upahan  mereka begitu  rendah  sehingga
    mereka  tidak  dapat  membeli  makanan  yang   cukup
    ataupun   tempat   kediaman  yang  berpatutan   bagi
    manusia. Majikan berhak mendera mereka dengan deraan
    yang amat berat jika mereka didapati membuat sesuatu
    yang   dianggap  salah.   Dan  mereka  tidak   boleh
    membebaskan  diri  mereka  daripada  majikan  mereka
    kerana   undang-undang  tidak   membenarkan   mereka
    meninggalkan kerja sesuka hati mereka.

    64.   Keadaan  rakyat yang miskin  yang  lain  tidak
    lebih   baik   daripada  pekerja  lombong.    Petani
    terpaksa  bekerja  untuk  tuan  tanah  yang  terdiri
    daripada  golongan  bangsawan dan  hartawan.   Semua
    hasil  kerja mereka dianggap sebagai hak tuan  punya
    tanah.  Demikian  juga mereka yang  bekerja  sebagai
    buruh kasar.

    65.   Undang-undang yang dikuatkuasakan amat  berat.
    Hukum  bunuh dikenakan ke atas pencuri hanya  kerana
    mencuri  seekor kambing.  Kanak-kanak belasan  tahun
    pun  dihukum  gantung.   Kesalahan  yang  kecil  pun
    dikenakan hukuman penjara dan penjara masa itu buruk
    seperti  kandang babi.  Kerap kali setelah dipenjara
    pihak  yang  berkuasa melupakan  sahaja  akan  nasib
    banduan.

    66.    Demikianlah  kezaliman  yang  terdapat  dalam
    msyarakat   Eropah  hanya  dua  abad  dahulu.    Dan
    kezaliman  ini  dihalalkan oleh undang-undang  zaman
    itu.   `The rule of law' jelas sekali zalim.   Tidak
    hairanlah jika akhirnya mereka memberontak, membunuh
    raja  dan  pembesar-pembesar mereka  dan  mendirikan
    republik.  Pekerja menubuh kesatuan-kesatuan sekerja
    yang  mengugut majikan dan masyarakat melalui  mogok
    dan  tindakan-tindakan  perusahaan  lain.   Ideologi
    seperti   Komunisma  dan  Sosialisma  dicipta   yang
    diasaskan kononnya kepada perjuangan untuk  keadilan
    bagi pekerja dan golongan yang miskin.

    67.   Di  bawah  pemerintahan parti pekerja  seperti
    Parti  Buruh  atau Parti Sosialis/Komunis  pemikiran
    masyarakat  berubah sehingga tidak ada apa-apa  yang
    dilakukan  oleh  golongan pekerja atau  miskin  yang
    boleh dianggap salah.  Daripada budaya yang membenar
    penindasan   yang  amat  kejam   ke  atas   golongan
    pekerja,    budaya  masyarakat  di  Barat   terbalik
    sehingga yang miskin dan pekerja mesti dimaafkan dan
    yang kaya mesti dianggap bersalah sepanjang masa.

    68.  Keterlaluan dalam apa juga perkara tidak pernah
    membawa   keadilan   atau   kebaikan.    Keterlaluan
    menghapuskan nilai-nilai yang mulia.  Demikian dalam
    proses  pengambilan alih kuasa oleh  kaum  buruh  di
    Russia,  bukan  sahaja  Raja dan  semua  keluarganya
    dibunuh, tetapi semua pembesar, peniaga dan hartawan
    dibunuh.   Beratus ribu dibunuh dengan  kejam  tanpa
    pembunuh   menerima  apa-apa  hukum  balas.    Harta
    semuanya  diambilalih  oleh  Kerajaan  Pekerja  yang
    berideologi Komunis, kononnya untuk kepentingan kaum
    yang  miskin dan pekerja.  Akhirnya apa yang berlaku
    ialah  semua  rakyat dipaksa bekerja  untuk  negara,
    iaitu  Pemerintah,  dan  mereka  beralih  sebenarnya
    daripada   menjadi   hamba  majikan   kepada   hamba
    Kerajaan.  Hanya  beberapa  orang  sahaja   daripada
    mereka  yang menguasai Pemerintahan dan hidup mewah.
    Keadilan bagi pekerja tidak juga tercapai.

    69.   Keadaan di negara sosialis lebih baik  sedikit
    tetapi   pemerintahan  secara  sosialis  menyebabkan
    ekonomi negara merosot, kerana Kerajaan tidak pandai
    menjayakan   perniagaan  yang   dimilik   negarakan,
    sementara   perbelanjaan  untuk   kebajikan   rakyat
    meningkat  sepanjang masa.  Oleh  kerana  tidak  ada
    siapa  yang kaya, banyak barangan hilang pasarannya.
    Umpamanya  di negara sosialis tidak ada  ramai  yang
    mampu memiliki kereta dan industri ini serta peluang
    kerja  tidak dapat diadakan.  Dengan ini  pemerintah
    tidak  mendapat keuntungan dan tidak dapat  memungut
    cukai  kenderaan  dan pendapatan.  Jika  ada  negara
    sosialis  yang  penduduknya  hidup  mewah,  sebabnya
    ialah  kerana  dapat menjual barangan mereka  kepada
    negara bukan sosialis yang mewah.

    70.   Pendapat  bahawa  jika  semua  punca  kekayaan
    dimiliki  oleh  negara  maka semua  keuntungan  akan
    diperolehi oleh negara, dan dengan itu boleh  diagih
    secara  sama rata kepada semua rakyat sepintas  lalu
    mempunyai   unsur   keadilan.    Tetapi   sebenarnya
    kekayaan  bukan datang semata-mata kerana pemilikan.
    Kekayaan  datang  daripada  kecekapan  mengurus  dan
    memperdagangkan barangan yang dimilik.

    71.   Demikian memiliki tanah yang kaya dengan logam
    emas  tidak  bermakna apa-apa sehinggalah  emas  itu
    dapat  dikeluarkan  dan dijual.   Untuk  tujuan  ini
    pembeli  yang  mampu  perlu  ada.   Jika  tidak  ada
    pembeli  maka emas yang dikeluarkan tidak  mempunyai
    nilai.  Dalam  negara yang rakyat  semuanya  pekerja
    bergaji  rendah, tidak akan ada pembeli yang   mampu
    membayar harga yang tinggi.  Jika pemerintah menjadi
    pembeli  tunggal maka tidak akan ada saingan  antara
    pembeli  yang boleh menentukan harga.   Sudah  tentu
    harga   tidak   akan  meningkat.   Jika   pemerintah
    memiliki  semua  punca  kekayaan,  tidak  akan   ada
    pasaran di mana persaingan dan penentuan harga dapat
    dibuat.   Hanya  yang akan berlaku ialah  pemindahan
    apa yang dimiliki oleh satu agensi pemerintah kepada
    agensi  yang lain.  Oleh kerana semua agensi  adalah
    milik  pemerintahan, keuntungan tidak  perlu  kerana
    akhirnya keuntungan oleh agensi yang menjual  adalah
    sama  dengan kerugian agensi yang membeli.  Daripada
    segi pemerintahan tidak ada untung dan rugi daripada
    transaksi antara agensi-agensinya.  Dengan itu lebih
    baik  barangan dipindah dari satu agensi  ke  agensi
    yang lain tanpa sebarang bayaran.

    72.   Bagi  negara  Komunis yang mengamalkan  sistem
    ini,  pemindahan seperti ini tidak menjadi  masalah.
    Tetapi  harga sesuatu dalam bentuk wang tidak  dapat
    ditentukan.

    73.   Oleh kerana mekanisma pasaran untuk menentukan
    harga  tidak  ada,  penilaian  tentang  mahal  murah
    sesuatu  barangan  atau khidmat tidak  dapat  dibuat
    dengan  tepat.  Demikian negara Komunis tidak  dapat
    menentukan   harga   barangan   keluarannya    untuk
    dipasarkan  ke  dunia  luar.   Bagi  barangan   asli
    seperti  minyak petrol harga di pasaran dunia  boleh
    digunakan.  Tetapi  bagi  barangan  canggih  seperti
    pesawat  terbang  nilainya  tidak  dapat  ditentukan
    dengan tepat, kerana tidak ada pesawat buatan negara
    asing yang 100 peratus serupa.

    74.   Oleh sebab inilah maka sistem ekonomi  Komunis
    gagal  dan  akhirnya terpaksa diganti dengan  sistem
    ekonomi  pasaran.  Malangnya sistem ekonomi  pasaran
    tidak mungkin dijayakan semata-mata kerana ia adalah
    satu  sistem  yang mampu berjaya.  Untuk  menjayakan
    sistem  ini kefahaman, kecekapan mengurus, kehadiran
    pengusaha  bebas dan modal persendirian  perlu  ada.
    Bekas  negara  Komunis tidak ada  pengurus,  pemodal
    atau  pengusaha  bebas.  Oleh sebab  itu  kebanyakan
    negara  Komunis  yang  cuba sistem  ekonomi  pasaran
    bebas gagal.

    75.   Jika  ada negara Komunis dahulu yang maju  dan
    kaya  sebabnya ialah kerana adanya pasaran  di  luar
    sistem Komunis.  Jika seluruh dunia menjadi Komunis,
    maka  eksport barangan untuk mendapat tukaran  asing
    tidak mungkin dibuat.  Hanya yang dapat dibuat ialah
    pertukaran barangan.  Inilah yang berlaku dalam blok
    Komunis  yang  menyebabkan  semua  penduduk   negara
    Komunis miskin berterusan.

    76.   Adanya  orang  miskin  dan  orang  kaya  dalam
    sesuatu   masyarakat  tidak  bermakna  ketidakadilan
    berlaku. Ketidakadilan berlaku hanya jika yang  kaya
    terlalu kaya dan yang miskin terlalu miskin sehingga
    tidak   dapat   hidup  sempurna.   Dalam   demokrasi
    biasanya yang kaya dikenakan cukai yang tinggi  yang
    digunakan  untuk membantu yang miskin.   Dengan  itu
    ketidakseimbangan     dalam     masyarakat     dapat
    dikurangkan.   Tanpa  ada yang  kaya  yang  membayar
    cukai,  yang miskin tidak dapat ditolong.   Demikian
    apabila  yang  miskin merampas harta yang  kaya  dan
    mereka  tidak  tahu  menggunakan  harta  itu   untuk
    menambah kekayaan, mereka akan rugi akhirnya.

    77.   Tetapi masyarakat manusia biasanya berpendapat
    bahawa  yang miskin tidak mungkin bersalah  walaupun
    jelas  tindakan  mereka tidak  adil  dan  merosakkan
    keadaan masyarakat.  Demikian jika orang yang miskin
    memasuki  tanah  milik pemerintah atau  milik  orang
    yang   berada,  perbuatan  ini  dipertahankan   oleh
    masyarakat  sebagai  tidak  salah.   Tindakan  untuk
    mengeluarkan  mereka  dan  mengambil   balik   tanah
    dianggap tidak adil. Jika pampasan dibayar sekalipun
    dan   mereka  masih  enggan  keluar  daripada  tanah
    berkenaan, simpati masyarakat terhadap mereka  masih
    kekal.  Pejuang-pejuang keadilan akan mempertahankan
    golongan  yang miskin atau yang dianggap miskin  ini
    tanpa mengambilkira adil tidak adil, baik tidak baik
    perbuatan mereka.

    78.   Demikian juga pengadilan antara majikan dengan
    pekerja.   Di zaman majikan sering menindas pekerja,
    memanglah adil pekerja menggunakan senjata  tindakan
    perusahaan untuk menjayakan tuntutan mereka.  Tetapi
    setelah  mendapat  layanan yang adil  dan  baik  dan
    dilindungi pula oleh undang-undang, senjata tindakan
    perusahaan  terus diguna untuk memaksa bukan  sahaja
    majikan  tetapi  juga negara untuk melayan  tuntutan
    pekerja.

    79.    Akibat  daripada  ini  bukan  sahaja   banyak
    perniagaan  mengalami kerugian dan terpaksa  ditutup
    tetapi  ekonomi negara juga turut merosot.  Barangan
    keluaran negara-negara ini tidak lagi dapat bersaing
    di pasaran, baik dalam negara mahupun antarabangsa.

    80.    Apabila   ini  berlaku  pemerintah   terpaksa
    melindungi pasaran negara melalui cukai dan sekatan-
    sekatan bukan cukai, iaitu memaksa pengguna tempatan
    memikul  kos  yang tinggi.  Tetapi di pasaran  dunia
    lindungan  sukar  dibuat.   Maka  kesatuan   sekerja
    negara   maju  ini  cuba  mengurangkan  daya   saing
    barangan  daripada  negara  asing,  terutama  negara
    membangun,    dengan   menghasut   kesatuan-kesatuan
    sekerja   di   negara  berkenaan  supaya   mengambil
    tindakan  perusahaan untuk menaikkan upahan  mereka.
    Jika   upahan  dan  kemudahan-kemudahan  lain  untuk
    pekerja   negara  membangun  dinaikkan,   maka   kos
    keluaran  akan  meningkat sehinggalah  harga  jualan
    tidak  lagi  berbeza  dengan harga  jualan  barangan
    daripada  negara  maju.  Industri  negara  membangun
    akan  rugi  dan pekerjanya akan menganggur.   Dengan
    itu  penganggur negara maju akan bekerja semula  dan
    menikmati hidup mewah seperti dahulu.

    81.   Pendapat bahawa yang miskin juga boleh berlaku
    tidak adil tidak mudah disuarakan.  Masyarakat  umum
    masih    ingin    menyamakan    kemiskinan    dengan
    penganiayaan  dan  kekayaan dengan  penindasan  atau
    penipuan.

    82.    Keadilan  tidak  akan  tercapai  selagi   ada
    anggapan  bahawa kesalahan yang sama oleh dua  pihak
    yang berlainan tidak boleh diberi hukuman yang sama.
    Dahulu  majikan dan orang yang berada diberi hukuman
    yang ringan sementara yang miskin hukuman yang berat
    walaupun   jenayah  yang  dilakukan   adalah   sama.
    Sekarang  keadaan  terbalik.   Kesalahan  si  miskin
    dimaafkan  tetapi  jika yang kaya membuat  kesalahan
    yang sama hukuman yang berat dikenakan.

    83.    Memanglah   perkara-perkara   tertentu   yang
    mempengaruhi   sesuatu   tindakan   jenayah    perlu
    diambilkira   semasa  menjatuhkan  hukuman,   tetapi
    hukuman   yang  berat  sebelah  semata-mata   kerana
    kekayaan   atau  kemiskinan  tidak  boleh   dianggap
    sebagai adil.

    84.   Pemerintahan demokrasi lebih  terancam  semasa
    pelaksanaan  keadilan  kerana dalam  mana-mana  juga
    masyarakat manusia, bilangan yang miskin lebih ramai
    daripada  yang  kaya.  Jika suara ramai  semata-mata
    yang  menentukan siapa memerintah, maka sudah  tentu
    keadilan sukar dicapai oleh demokrasi.

    85.    Tetapi  masalahnya  bukan  sahaja   berkenaan
    pentadbiran   keadilan,  pemerintahan   yang   hanya
    mengutamakan sokongan ramai iaitu Kerajaan Populist,
    tetap  akan merosakkan negara.  Inilah yang  berlaku
    di Eropah semasa Kerajaan-kerajaan Buruh memerintah.
    Kerajaan  memiliknegarakan  semua  perusahaan  besar
    yang     dianggap     untung.     Tetapi     setelah
    dimiliknegarakan  pengurusan yang  tidak  cekap  dan
    keengganan    pekerja   bekerja   kuat   menyebabkan
    perusahaan  gagal  dan  rugi.  Akhirnya  ramai  yang
    menganggur.   Tetapi negara `welfare'  ala  sosialis
    menjamin  yang tidak bekerja pun akan dibayar  gaji.
    Ini  boleh  dibuat semasa bilangan  yang  menganggur
    tidak  ramai dan cukai korporat dan cukai pendapatan
    tinggi  jumlahnya.  Tetapi apabila  yang  menganggur
    terlalu ramai, kebanyakan perniagaan rugi dan  cukai
    merosot,   bagaimanakah  dapat   Kerajaan   membayar
    `unemployment benefit'?

    86.    Dalam   sesebuah  masyarakat  semua   anggota
    memainkan  peranan.  Kaya atau miskin, majikan  atau
    pekerja, semua ada peranan masing-masing. Tidak  ada
    sesiapa  yang  boleh mendakwa bahawa  segala-galanya
    adalah hasil usaha mereka sahaja.

    87.   Demikian  tanpa pelaburan  oleh  peniaga  atau
    pengusaha, pekerja tidak boleh menghasilkan  apa-apa
    barangan  atau  khidmat.  Sebaliknya tanpa  pekerja,
    pelaburan oleh peniaga atau pengusaha tidak  mungkin
    mendatangkan  apa-apa hasil.  Dalam pada  itu  tanpa
    pemerintahan  yang cekap, perniagaan dan  perusahaan
    tidak dapat diadakan dengan sempurna dan pelabur dan
    pekerja tidak boleh menghasilkan apa-apa.

    88.   Jika  hakikat ini diakui maka apa  juga  hasil
    kegiatan  ekonomi  dalam sesebuah  negara  hendaklah
    dibahagi-bahagikan  antara  ketiga-tiga  pihak  ini.
    Tidak  ada  satu  pihak yang begitu  utama  sehingga
    berhak  menidakkan bahagian pihak yang lain.  Tetapi
    agihan mestilah saksama dan adil.

    89.   Demikian pada satu zaman di Britain umpamanya,
    pemerintahan berpendapat keuntungan yang  berlebihan
    adalah  hak  kerajaan.  Dengan itu cukai 95  peratus
    dikenakan  ke atas keuntungan yang ditakrif  sebagai
    berlebihan.   Ini   telah   menghapuskan   keinginan
    pengusaha melabur lebih daripada paras yang  membawa
    keuntungan  yang  tidak terkena cukai  yang  tinggi.
    Dengan  itu  pelaburan merosot  dan  ekonomi  negara
    terjejas.

    90.   Keuntungan  yang besar perlu dikenakan  cukai,
    tetapi  ia hendaklah tidak keterlaluan.  Orang  yang
    kaya perlu membayar cukai yang lebih untuk membiayai
    keperluan negara.  Tetapi jika cukai ke atas  mereka
    terlalu  tinggi  sehingga  hampir  tidak  ada   lagi
    keuntungan  bagi  mereka, maka kemampuan  dan  minat
    mereka   untuk  menambah  kekayaan  akan   terhapus.
    Dengan  itu  Kerajaan tidak akan  mendapat  tambahan
    cukai.

    91.  Upah untuk pekerja juga perlu meningkat sejajar
    dengan  kemajuan ekonomi negara.  Tetapi peningkatan
    hendaklah  diringi dengan peningkatan  hasil  kerja.
    Mungkin hasil kerja meningkat kerana pelaburan  oleh
    majikan   ditambah   untuk   teknologi   baru   atau
    penggunaan  cara  pengeluaran  yang  lebih  efisien.
    Tetapi    sepertimana   sumbangan   pekerja   kepada
    pertambahan  keuntungan  akan  dinikmati  juga  oleh
    majikan,  sumbangan majikan kepada peningkatan  daya
    keluaran  dan keuntungan harus dinikmati  juga  oleh
    pekerja.

    92.   Kerajaan  juga berhak ke atas keuntungan  yang
    diperolehi  kerana  Kerajaan yang  menentukan  iklim
    ekonomi   dan  Kerajaan  juga  dipertanggungjawabkan
    untuk  menyediakan  kemudahan-kemudahan  awam  untuk
    semua, miskin dan kaya.

    93.    Pemerintahan  demokratik  tidak  bertentangan
    dengan  Islam.   Pemimpin memang pun  dipilih  dalam
    Islam.    Demikian   Nabi  wafat   tanpa   menamakan
    gantinya.  Saidina Abu Bakar kemudian  dipilih  oleh
    para sahabat sebagai Khalifah.  Sekembalinya Saidina
    Abu Bakar, Saidina Omar dipilih mengikut proses yang
    sama.   Demikian  jugalah dengan Saidina  Osman  dan
    Saidina Ali.

    94.  Selepas dipilih Saidina Abu Bakar terang-terang
    mengakui  bahawa  ia tidak lebih  daripada  sahabat-
    sahabat  yang  lain, dan, jika ia melakukan  sesuatu
    yang  salah, ia boleh ditegur atau dipisah  daripada
    jawatannya.   Sudah tentu pemisahannya  akan  dibuat
    melalui  proses  yang sama, iaitu musyawarah  antara
    para sahabat, iaitu cara yang cukup demokratik.

    95.    Amalan  menurunkan  kuasa  memerintah  kepada
    keluarga bermula dalam pemerintahan Muawiyyah.  Yang
    jelas  ialah  dalam  Islam hanya  Nabi  sahaja  yang
    ditunjuk  oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.  Khalifah-
    khalifah  al-Rasyidin  yang lainnya  dipilih  secara
    demokratik.

    96.    Sistem   demokrasi   sesuai   dengan   sistem
    pemerintahan Islam.  Tetapi manusia lemah dan  tidak
    patuh  kepada  sistem,  baik Islam  baik  demokrasi.
    Sebab  itu  apa juga sistem yang dipilih  tentu  ada
    kelemahan dan kegagalan.

    97.   Demokrasi yang kita amalkan di Malaysia  tidak
    sama  dengan  demokrasi ala Barat.  Demokrasi  Barat
    juga   tidak   sempurna,  bahkan   mempunyai   unsur
    kezaliman dan gagal mendatangkan hasil yang terbaik.
    Tetapi  seperti yang disebut awal tadi, Barat  sudah
    menjadikan  demokrasi  sebagai  suatu  agama,   sama
    seperti  ideologi  komunis  dijadikan  oleh   mereka
    sebagai agama.  Kerana taksub dengan demokrasi,  apa
    sahaja  yang dibuat atas nama demokrasi tidak  boleh
    dianggap cacat walaupun jelas hasilnya buruk.

    98.   Demokrasi Malaysia bukanlah agama.  Kita sedar
    akan  kebaikan sistem demokrasi tetapi tidak terlalu
    taksub dengannya sehingga menerima tanpa soal  semua
    yang  dibuat  dengan nama demokrasi.   Kita  sanggup
    menegur dan menerima teguran terhadap demokrasi yang
    kita amalkan.

    99.   Kita tidak akan lupa bahawa yang penting ialah
    kebaikan  rakyat dan negara.  Demokrasi bukan  untuk
    demokrasi  tetapi  untuk rakyat  dan  negara.   Jika
    rakyat  dan  negara memperolehi kebaikan  maka  kita
    akan terima amalan-amalan yang dikatakan demokratik.
    Jika   rakyat   dan  negara  memperolehi   keburukan
    daripada  satu-satu amalan yang dikatakan demokratik
    kita  akan utamakan kebaikan untuk negara dan rakyat
    dan mengenepikan soal demokratik atau tidak.

    100.  Demikian tunjuk perasaan yang keterlaluan  dan
    mogok  sepanjang masa yang dianggap demokratik  oleh
    puak  liberal tetapi boleh membinasakan ekonomi  dan
    kestabilan   politik  sehingga  rakyat  merana   dan
    Kerajaan  ditumbang dan disusuli dengan  nasib  yang
    sama  bagi  Kerajaan  yang  mengganti,  maka  tunjuk
    perasaan  yang  keterlaluan  dan  mogok  umum  perlu
    dihentikan  melalui  kuasa yang ada  pada  Kerajaan.
    Jika   rakyat  tidak  puas  hati  dengan   ketegasan
    Kerajaan  maka  rakyat  berhak menjatuhkan  Kerajaan
    melalui pilihanraya apabila ianya diadakan.  Senjata
    mogok  seluruh negara dan tunjuk perasaan yang tidak
    berhenti-henti bukanlah senjata untuk memelihara hak
    sesiapa.   Ia  adalah senjata politik puak  minoriti
    dan  ia harus diguna hanya jika Kerajaan jelas  amat
    zalim  dan tidak mahu mengadakan pilihanraya setelah
    masanya  tiba.  Pada ketika itu bukan  sahaja  cara-
    cara  yang  demokratik  yang patut  digerak,  rakyat
    perlu memberontak untuk menjatuhkan Kerajaan.

    101.   Demokrasi  tidak  sempurna  seratus  peratus.
    Terdapat  banyak kecacatan dalam demokrasi.   Tetapi
    berbanding  dengan  sistem-sistem pemerintahan  yang
    lain,  ia  adalah  yang terbaik sekali  yang  pernah
    dicipta   oleh   manusia,  terutama   untuk   negara
    berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

    102.   Justeru  itu,  kita  perlu  kekalkan   sistem
    demokrasi  di  negara  kita.  Jika  majoriti  rakyat
    faham akan had dan kelemahan-kelemahan tertentu yang
    terdapat  dalam  demokrasi,  Insya-Allah,  amalannya
    tidak  akan  membawa kerosakan.   Sebaliknya  amalan
    cara   demokrasi   yang  pragmatik   boleh   membawa
    kebaikan,  sepertimana kita telah  memperlihatkannya
    di negara ini.

    103.  Saya mengulas sistem demokrasi kerana  setelah
    sekian  lama kita mengamalkannya kita menjadi  lebih
    arif  akan  makna dan hikmat demokrasi.  Setelah  50
    tahun  UMNO  mengamalkan demokrasi dalam  parti  dan
    dalam  Kerajaan,  masanya  sudah  tiba  untuk   kita
    menganalisa sistem ini dan mengenali baik  buruknya.
    Konvensyen ini tidak kerugian jika demokrasi dibahas
    dan  dibincangkan  kerana  mudah-mudahan  kita  akan
    menjadi  lebih matang dan kita akan kenal yang  mana
    intan  dan yang mana kaca yang terdapat dalam sistem
    pemerintahan ini.

 

 



 
Google