Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 01/06/96
Tajuk/Title : MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT
PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN
SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN
BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
Dengan penuh hormat dan takzim-Nya pihak
Kerajaan, pegawai, kakitangan dan seluruh rakyat
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuanku
sempena ulangtahun Keputeraan rasmi Tuanku pada hari
ini. Rakyat sekalian berdoa ke hadrat Allah
Subhanahu wa Ta'ala semoga dilanjutkan usia serta
dilimpahkan rahmat-Nya ke atas Tuanku dan Raja
Permaisuri Agong Tuanku Najihah dan semoga Tuanku
berdua berada di dalam keadaan sihat sejahtera dan
penuh kedaulatan.
2. Syukur Alhamdullilah, negara berada dalam
keadaan aman dan tenteram dengan rakyat berbilang
kaum hidup berharmoni tanpa menghadapi sebarang
pertelingkahan yang boleh menjejaskan perpaduan dan
kestabilan negara. Persefahaman dan sikap toleransi
antara kaum yang ditunjuk semasa Pilihanraya 1995
masih kekal. Jika dahulu syarikat-syarikat milik
masing-masing kaum dianggotai oleh kaum itu sahaja,
sekarang syarikat-syarikat ini tidak lagi terasing
kerana pemilikan oleh kaum tertentu. Banyak
syarikat dimiliki bersama oleh semua kaum dan
dianggotai oleh pengarah dan pekerja yang juga
terdiri daripada berbagai-bagai kaum. Penyertaan
mereka adalah secara benar dan tidak lagi berbentuk
Ali-Baba.
3. Kemampuan Bumiputera juga sudah meningkat baik
daripada segi profesional mahupun daripada segi
kewangan. Pada hari ini juga terdapat syarikat-
syarikat yang dahulu dimiliki oleh bukan Bumiputera,
sekarang sudah dibeli dan diurus oleh Bumiputera.
Namun masih ramai Bumiputera yang telah menjual
kepentingan mereka dalam syarikat-syarikat kepada
bukan Bumiputera.
4. Penyertaan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi
juga meningkat dengan pesat hasil daripada panduan
dan kemudahan kewangan yang disediakan oleh
Kerajaan. Melalui Perbadanan Usahawan Nasional
Berhad (PUNB) dan sistem francais, semakin ramai
Bumiputera didapati bergerak dalam bidang industri
kecil dan sederhana. Sementara itu, penswastaan
agensi dan syarikat milik Kerajaan telah terus
berjaya melibatkan Bumiputera dalam perniagaan dan
perusahaan yang lebih besar.
5. Demikianlah perkembangan penyertaan Bumiputera
dalam bidang ekonomi sehingga hari ini ramai
daripada mereka mampu melabur dan bergerak di negara-
negara asing termasuk di Eropah, Amerika Utara dan
Selatan. Aliran ini diperhatikan akan berterusan dan
usaha untuk menghapuskan identifikasi kaum dengan
jenis pekerjaan, Insya Allah, akan berjaya.
6. Kerajaan akan terus berusaha untuk
mengembangkan penggunaan bahasa Kebangsaan oleh
semua kaum di negara ini. Adalah didapati ramai
penuntut bukan Melayu yang amat fasih bertutur dalam
bahasa Malaysia bahkan menulis pantun dan rencana
dalam bahasa tersebut. Dengan tekanan supaya bahasa
Kebangsaan dikuasai dan diguna oleh semua kaum di
Malaysia, adalah dipercayai kedudukannya tidak akan
terancam dan ia tetap akan menjadi bahasa perpaduan
rakyat Malaysia.
7. Di masa yang sama Kerajaan sedang menggalakkan
penguasaan bahasa Inggeris terutama untuk
peningkatan ilmu. Matlamat negara untuk mengguna
sains dan teknologi yang canggih memaksa kita
menguasai dengan baik bahasa Inggeris. Ini adalah
kerana ilmu sains dan teknologi yang baru sedang
berkembang secara mendadak dan kita terlalu
kekurangan ahli-ahli sains dan dengan itu tidak
sempat untuk mengalih bahasa semua ilmu untuk
dipelajari oleh penuntut kita. Adalah dikhuatiri
jika kita tidak bersungguh-sungguh menguasai bahasa
Inggeris, pembangunan bangsa kita akan tergendala.
Beberapa bangsa Timur yang lebih maju daripada kita
juga terpaksa mensyaratkan kakitangan syarikat-
syarikat gergasi mereka, terutama yang terlibat
dengan teknologi maklumat dan multimedia mempelajari
bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa Inggeris oleh
mereka tidak mengurangkan identiti bangsa atau
bahasa mereka.
8. Sebenarnya kemajuan penggunaan bahasa
Kebangsaan bergantung kepada kemajuan orang yang
bertutur dalam bahasa Kebangsaan. Jika orang yang
berbahasa Kebangsaan sebagai bahasa ibunda adalah
orang yang mundur maka akan merosotlah prestasi
bahasa Kebangsaan. Memandang akan hakikat ini,
usaha untuk memajukan bangsa yang menggunakan bahasa
Kebangsaan sebagai bahasa ibunda amatlah penting.
Jika untuk memajukan bangsa maka bahasa asing,
khususnya bahasa Inggeris perlu dikuasai, maka
penguasaan bahasa Inggeris akan diperluaskan di
kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini hendaklah
dijadikan sebagai sebahagian daripada perjuangan
mendaulatkan bahasa Kebangsaan. Slogan kita
sekarang ialah maju bangsa, majulah bahasa.
9. Tahun ini Kerajaan telah melancarkan Rancangan
Malaysia Ketujuh. Rancangan ini memperkenalkan
strategi baru dalam pembangunan negara. Oleh kerana
rancangan-rancangan yang terdahulu begitu berjaya
sehingga negara kekurangan tenaga pekerja, Rancangan
Malaysia Ketujuh menumpu kepada perindustrian
berteknologi dan bermodal tinggi yang keluarannya
adalah untuk pasaran dunia. Hingga kini syarikat-
syarikat asing yang banyak menyumbang kepada
dagangan antarabangsa Malaysia. Sekarang syarikat-
syarikat tempatan akan digalakkan untuk mengeluar
barangan dengan jenama Malaysia untuk dieksport ke
pasaran dunia. Dengan cara ini hasil eksport akan
didapati sepenuhnya oleh negara.
10. Adalah dipercayai bahawa pertumbuhan ekonomi di
bawah Rancangan Malaysia Ketujuh akan terus melebihi
7 peratus setahun. Dengan kerjasama semua pihak,
Insya Allah negara akan dapat mencapai matlamat
Rancangan Malaysia Ketujuh dan menyumbang kepada
pencapaian Wawasan 2020.
11. Kerajaan dan ahli-ahli Jemaah Menteri sukalah
memberi jaminan bahawa mereka akan terus berusaha
memberi sokongan dan bantuan kepada Tuanku berdua
dalam menjalankan tugas-tugas Tuanku sebagai Yang di-
Pertuan Agong dan Tuanku Najihah sebagai Raja
Permaisuri Agong sepertimana yang termaktub di dalam
Perlembagaan dan selaras dengan prinsip sistem Raja
Berperlembagaan.
12. Sempena dengan hari yang berbahagia ini yang
penuh dengan adat istiadat, Kerajaan, pegawai dan
kakitangan Perkhidmatan Awam dan rakyat, dengan
hormat dan penuh takzim-Nya menyampaikan ikrar taat
setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku
sebagai Raja yang memerintah dan juga kepada Raja
Permaisuri Agong.
|