Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MUKTAMAR, PUSAT ISLAM,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 04/06/96
Tajuk/Title : SEMPENA HARI PENGGUNA SEDUNIA 1996
DAN PELANCARAN PERTANDINGAN
KELUARGA HIDUP SELESA
Saya mengucapkan terima kasih kepada
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna kerana menjemput saya ke Majlis Perasmian
Hari Pengguna Sedunia 1996 dan melancarkan
pertandingan Keluarga Hidup Selesa.
2. Konsep kepenggunaan adalah satu konsep yang
dicipta oleh tokoh-tokoh tertentu dengan tujuan
melindungi pengguna daripada penipuan oleh pembekal,
sama ada pembekal khidmat atau barangan. Sebelum
adanya gerakan pengguna, pengguna hanya boleh
mengadu kepada pihak berkuasa apabila mereka berasa
tertipu. Selain daripada proses ini tidak mudah dan
mungkin memerlukan wang yang banyak, pihak yang
menerima aduan biasanya kurang memberi perhatian
ataupun bersimpati dengan pengguna.
3. Dengan adanya gerakan pengguna dan publisiti
berkenaan kegiatannya dan pendedahan yang dibuat
olehnya, hak pengguna lebih terpelihara. Penjual
atau pembekal tidak lagi boleh bersikap endah tak
endah apabila khidmat atau barangan yang dibekal
tidak menepati apa yang didakwa. Harga juga tidak
lagi boleh dinaikkan dengan sewenang-wenangnya.
Dengan itu keadaan ekonomi negara dan kos sara hidup
terkawal dan ekonomi negara lebih berdaya maju.
Akhirnya pembekal sendiri mendapat manfaat.
4. Pembekal khidmat atau barangan mendapat manfaat
kerana inflasi sifar atau inflasi yang rendah bukan
sahaja bermakna kos sara hidupnya rendah tetapi kos
pengeluaran atau buatan juga terus rendah.
Keuntungannya tidak terjejas bahkan penjualan
mungkin meningkat.
5. Tahun lepas saya telah menjelaskan bahawa
pengguna dan pembekal adalah orang yang sama;
pembekal sesuatu khidmat atau barangan tetap menjadi
pengguna banyak khidmat dan barangan yang lain.
Sepertimana sebagai pengguna dia tidak suka haknya
dicabul, iaitu barangan yang dibekal tidak menepati
`standard' atau harga yang dijanji, seperti itu
jugalah sebagai pembekal dia tidak boleh harap orang
lain sebagai pengguna barangan atau khidmatnya
berpuashati dengan bekalan yang tidak menepati
`standard'. Jika kita sebagai pengguna mempunyai
hak yang perlu dilindungi dan dihormati, kita harus
ingat akan hak ini apabila kita menjadi pembekal.
Kita tidak akan dihormati jika kita tidak
menghormati orang lain.
6. Hakikat asas ini perlu kita ingati sepanjang
masa. Terlalu ramai daripada kita hanya memikir
diri kita sebagai pengguna dengan tidak sedikit pun
sedar bahawa kita semua adalah pembekal.
7. Mungkin kita percaya kita tidak mengeluarkan
apa-apa untuk dijual kepada sesiapa. Mungkin secara
langsung tidak. Tetapi secara tidak langsung,
dengan kesan yang tidak sedikit, kita `menjual'
khidmat atau barangan sekurang-kurangnya kepada
majikan yang membayar upah kepada kita.
8. Kerani dalam pejabat Kerajaan menjual
khidmatnya kepada Kerajaan dan khidmat Kerajaan
kepada orang ramai. Jika ia tidak cergas dan cekap
dalam memproses atau menaip surat, kelewatan itu
mempunyai kesan kepada bekalan khidmat kepada
pengguna. Budak pejabat yang melambatkan
penghantaran surat pun boleh merugikan pelanggan
khidmat Kerajaan. Jika kerana ini Kerajaan menjadi
tidak efisien maka kos segala-galanya akan
meningkat.
9. Dalam syarikat pembekal khidmat atau barangan,
tiap seorang kakitangan menyumbang kepada kejayaan
membekal apa sahaja kepada pengguna. Daripada
kerani dan pemandu kereta hingga ke eksekutif
tertinggi, semuanya bertanggungjawab dalam membekal
keluaran syarikat. Kelewatan atau mutu yang rendah
barangan yang dihasilkan bermakna kos meningkat dan
pengguna tidak mendapat haknya. Kemajuan ekonomi
negara juga akan terjejas.
10. Jika kita dapat ingat sepanjang masa bahawa
kita semua adalah pembekal dan bertanggungjawab
kepada diri kita sendiri sebagai pengguna, maka hak
kita sebagai pengguna akan terpelihara sepanjang
masa. Jika hari ini pengguna berasa hak mereka tidak
diberi pertimbangan yang sewajarnya, sebabnya ialah
kerana kita hanya melihat diri kita sebagai pengguna
dan lupa akan tanggungjawab kita sebagai pembekal.
11. Pengguna dan gerakan pengguna memanglah baik
untuk memelihara kualiti khidmat dan barangan yang
dipasarkan. Tanpa gerakan pengguna khidmat dan
barangan akan jatuh mutunya dan harga akan
meningkat. Dengan itu bermacam-macam masalah akan
dihadapi oleh masyarakat dan negara.
12. Barangan yang bermutu rendah atau/dan harganya
yang tinggi tidak akan berdayasaing dalam pasaran,
baik di dalam mahupun di luar negeri. Untuk pasaran
dalam negeri Kerajaan akan diminta melindungi
barangan tempatan. Perlindungan oleh Kerajaan
sebenarnya bermakna memaksa pengguna tempatan
membayar harga yang lebih atau menerima kualiti yang
rendah. Dengan perkataan lain bukan Kerajaan yang
melindung pembekal tetapi pengguna yang melindung
pembekal dan memikul beban. Ini sudah tentu tidak
adil kepada pengguna.
13. Sebaliknya barangan yang kos pengeluarannya
mahal atau kualitinya rendah tidak dapat dieksport.
Dengan itu jumlah keluaran tidak tinggi dan tidak
dapat menolong mengurangkan kos pengeluaran. Sekali
lagi pengguna tempatan terpaksa menanggung beban.
14. Adakalanya barangan yang diimport meningkat
harganya. Keadaan ini sukar dikawal. Kita
mengimport barangan perlu seperti gula, tepong,
daging dan lain-lain. Di sini peranan pengguna
adalah terhad kerana pembekal adalah orang asing.
Hanya yang boleh kita lakukan ialah dengan berjimat
cermat dan mengurangkan penggunaan barangan ini. Di
mana mungkin, kita gunakan barangan gantian
tempatan. Demikian jugalah dengan barangan mewah
yang diimport. Pengguna harus kurangkan
penggunaannya untuk memaksa harga barangan import
ini akan dikurangkan dan kualiti akan diperbaiki.
15. Kesan kegiatan dan selera pengguna tidak
sedikit. Pembekal yang bijak perlu mengambilkira
selera dan pendapat pengguna jika mereka ingin
menempuh kejayaan. Demikian sebuah negara seperti
Malaysia yang bergantung kepada perdagangan untuk
pertumbuhan ekonomi perlu sentiasa mengambilkira
pandangan pengguna, iaitu negara-negara yang menjadi
pasaran bagi barangannya.
16. Sementara itu dalam Rancangan Malaysia Ke-7
aspek-aspek kepenggunaan yang ditekankan adalah
program peningkatan kesedaran dan perlindungan
pengguna serta perwujudan amalan perdagangan yang
sihat dan beretika. Bagi mewujudkan amalan
perdagangan yang sihat dan beretika strategi yang
ditentukan bagi Kementerian meliputi:-
a) Kawalan harga dan bekalan barang-barang
perlu;
b) Kempen kesedaran peniaga dan mewujudkan kod-kod
etika termasuk kod etika Pengarah Syarikat yang
dilancar baru-baru ini;
c) Memperkemas dan menguatkuasakan undang-undang
baru; dan
d) Memperkemas rekod-rekod perniagaan dan syarikat.
Kita sedar akan wujudnya peniaga dan ahli korporat
yang walaupun tidak ramai mencemar nama baik
golongan mereka dengan amalan-amalan yang tidak
sihat di pasaran, antaranya:-
a) Pengiklanan yang palsu atau yang
mengelirukan pengguna. Amalan ini tidak
terhad kepada barangan pengguna sahaja
tetapi turut melibatkan produk
perkhidmatan, pelancongan dan perumahan;
b) Pemasaran barangan yang tidak selamat
diguna;
c) Penipuan daripada segi sukatan, kandungan
dan keupayaan barangan atau perkhidmatan;
d) Wujudnya golongan yang sanggup melanggar
undang-undang negara dan mengamalkan
aktiviti yang tidak sihat seperti
penipuan, penyeludupan dan aktiviti-
aktiviti tidak bermoral.
17. Sekali lagi ingin saya tekankan bahawa walaupun
pengamal cara-cara yang tidak baik ini hanya sedikit
sahaja tetapi kesannya amat buruk kepada masyarakat
peniaga sendiri. Demikian penipuan yang dilakukan
oleh syarikat membawa bakal haji ke tanah suci
menyebabkan nama syarikat lain tidak lagi mendapat
kepercayaan bakal haji.
18. Kita berhasrat menjadi negara maju menjelang
tahun 2020. Negara maju tidak akan mempunyai apa-
apa makna jika nikmat dan kualiti hidup rakyat tidak
maju bersama. Seperti yang telah saya terangkan,
pendapatan rakyat yang meningkat tidak mempunyai apa-
apa erti jika daya beli mereka tidak meningkat. Dan
daya beli mereka tidak akan meningkat jika harga
khidmat dan barangan meningkat bersama-sama dengan
kenaikan pendapatan sama ada sebagai upah atau
keuntungan.
19. Banyak sebab yang menaikkan inflasi. Antaranya
ialah tabiat mengguna secara keterlaluan -
`conspicuous consumption'. Walaupun kita memiliki
wang yang banyak kita perlu berbelanja dengan bijak.
Kita perlu mengambilkira harga jualan yang
berpatutan. Adalah lebih baik kita membeli lebih
banyak jenis barangan atau khidmat yang berharga
yang berpatutan daripada membeli sesuatu barangan
tanpa mengambilkira harga semata-mata kerana kita
mampu membayar apa juga harga yang disebut. Walau
bagaimana tinggi pendapatan kita, adalah lebih baik
kita menabung daripada membeli apa sahaja tanpa
mengambilkira harga.
20. Sebaliknya jika kita mampu membeli lebih banyak
jenis barangan, termasuk barangan mewah yang
berharga berpatutan, kita tidak akan menyebabkan
inflasi. Dalam pada itu kita akan mengembangkan
kegiatan perniagaan dalam berbagai jenis barangan
atau khidmat dan ini akan menyumbang kepada aktiviti
dagangan yang mewujudkan peluang-peluang kerja dan
perniagaan.
21. Dengan perkataan lain jika kita mampu membeli
barangan mewah atau khidmat bermutu tinggi, asalkan
harga berpatutan, ia bukan pembaziran. Ia
sebenarnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi
negara dan menolong meningkatkan pendapatan peniaga
dan pekerja.
22. Demikian jika kita makan di gerai dan membayar
harga yang murah, kita menyumbang kepada inflasi
sifar. Tetapi ini tidak bermakna mereka yang mampu
makan di restoran dan membayar harga yang lebih
tinggi mengkhianati inflasi sifar. Sebabnya ialah
harga yang dibayar termasuk sewa kedai, gaji
pelayan, hawa dingin dan lain-lain lagi yang tidak
ditanggung oleh gerai tepi jalan.
23. Sebenarnya kita berharap peniaga dalam gerai
akan dapat memperbaiki cara perniagaannya sehingga
ia dapat berniaga dalam kedai berhawa dingin, dengan
kemudahan-kemudahan lain walaupun harga jualannya
akan meningkat. Di masa yang sama kita berharap
pelanggannya juga akan mendapat upahan atau
pendapatan yang bertambah yang akan membolehkannya
pergi ke restoran.
24. Akhirnya kita ingin melihat semua gerai diganti
dengan kedai yang lebih sempurna yang tidak kurang
kemajuan mereka kerana pendapatan semua rakyat
meningkat dan mampu meneruskan langganan mereka di
kedai-kedai yang lebih sempurna ini. Dengan ini
baharulah kita dapat mendakwa bahawa kualiti hidup
rakyat Malaysia sudah meningkat tetapi inflasi terus
rendah atau masih inflasi sifar.
25. Hasrat kita ialah untuk meningkatkan pendapatan
semua rakyat di semua peringkat supaya mereka boleh
menikmati barangan dan khidmat yang lebih
berkualiti. Bahawa barangan dan khidmat ini lebih
tinggi harga tidak bermakna inflasi kerana harga ini
termasuk kualiti yang lebih baik. Sebenarnya hari
ini pun kualiti hidup di Malaysia sudah meningkat.
26. Jika dahulu mereka yang berpendapatan rendah
cangkung di tepi jalan dan makanan dijual oleh
penjaja yang kandar jualannya, hari ini gerai yang
masih di tepi jalan mempunyai meja yang bertudung
kain dan kerusi plastik. Sudah tentu harga juga
sudah meningkat. Tetapi upah pekerja pun meningkat
sehingga bukan sahaja mampu makan dalam keadaan
lebih selesa, tetapi tempat tinggal yang disewa juga
lebih baik.
27. Di masa hadapan kita ingin melihat pemilik
gerai menggantikannya dengan rumah kedai yang
memerlukan harga jualan dinaikkan tetapi masih juga
mampu dibayar oleh pekerja yang mendapat upah yang
lebih tinggi. Tingginya upah ini adalah hasil
daripada peningkatan produktiviti pekerja, yang
sudah lebih cekap, mengeluarkan barangan atau
khidmat yang lebih berkualiti dan canggih. Dengan
perkataan lain kualiti hidup semua pihak sudah
meningkat dalam semua aspek.
28. Semakin lama semakin cekaplah rakyat Malaysia,
daripada buruh hingga ke eksekutif, dan semakin
tinggi pendapatan mereka. Dengan itu mereka semua
akan mampu membiayai kehidupan yang lebih selesa,
sehingga taraf hidup adalah sama dengan taraf hidup
di negara maju. Pada ketika itu akan tercapailah
taraf negara maju yang menjadi matlamat negara.
29. Percayalah kita boleh capai matlamat ini jika
kita sebagai pengguna tidak lupa akan kepentingan
dan hak pengguna semasa kita berperanan sebagai
pembekal. Peningkatan taraf hidup tidak bermakna
pertambahan pendapatan sahaja. Kualiti juga harus
meningkat dan untuk kualiti yang meningkat ini kita
harus sanggup membayar dengan harga yang berpatutan
dengan kualiti. Dengan ini inflasi tidak sebenarnya
meningkat kerana barangan dan khidmat lebih baik
dari dahulu semasa harganya murah.
30. Pengguna tidak tertipu jika kenaikan harga
disertai dengan peningkatan kualiti. Mustahil kita
akan menikmati kualiti yang lebih baik tanpa
kenaikan harga. Tetapi jika kualiti sama atau hasil
kerja kita adalah sama, kenaikan harga atau upah
bermakna inflasi. Kita tidak akan menikmati kualiti
hidup yang lebih baik walaupun perbelanjaan atau
upahan lebih tinggi. Inilah yang perlu ditentang
oleh pengguna.
31. Matlamat perjuangan pengguna hendaklah jelas.
Sasaran perlu dikenalpasti. Harga mestilah sejajar
dengan kualiti yang dijanji. Tidak ada perbezaan di
antara harga barangan atau khidmat yang kita bayar
dengan upah yang dibayar untuk kerja yang kita buat
atau yang kita janjikan. Upah di sini bukan hanya
bermakna bayaran kepada pekerja tetapi bayaran gaji
untuk eksekutif tertinggi juga adalah upah yang
perlu diambilkira. Jika eksekutif tidak menyumbang
apa-apa tambahan nilai kepada barangan atau khidmat
oleh majikannya, ini juga menekankan pengguna, dan
pengguna harus ambilkira.
32. Jika kita semua sedar dan faham akan kaitan
yang rapat di antara pengguna dan pembekal, dan
betapa kepentingan kita sebagai pengguna adalah sama
dengan tanggungjawab kita sebagai pembekal, maka
perjuangan pengguna akan lebih bermakna dan lebih
berhasil. Dalam pada itu daya saingan barangan dan
khidmat kita akan meningkat dan kita semua akan
mendapat banyak nikmat daripada perjuangan yang
mulia ini.
33. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
Hari Pengguna Sedunia dan melancarkan pertandingan
Keluarga Hidup Selesa.
|