home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 17/08/96 Tajuk/Title : JAMUAN MAKAN MALAM MERAIKAN TYT PROFESSOR DR. NECMETTIN ERBAKAN, PERDANA MENTERI REPUBLIK TURKI 1. Saya mengucapkan Selamat Datang kepada Tuan Yang Terutama dan anggota-anggota rombongan Tuan Yang Terutama ke Malaysia. Saya memang menunggu untuk menerima lawatan Perdana Menteri Turki ke negara kami sejak lawatan rasmi saya ke Republik Turki hampir dua tahun lalu. Saya masih terkenang akan lawatan saya ke negara Turki yang cantik dan kemesraan yang ditunjukkan oleh rakyat Turki. Saya berharap Tuan Yang Terutama juga dapat menikmati kemesraan rakyat Malaysia. 2. Saya gembira Tuan Yang Terutama telah memilih Malaysia sebagai salah sebuah negara pertama dalam lawatan rasmi ke luar negeri sejak Tuan Yang Terutama dilantik sebagai Perdana Menteri Turki baru- baru ini. Sesungguhnya ini adalah amat istimewa kepada kami dan sudah tentu akan membuka jalan kepada perhubungan yang lebih erat di antara Malaysia dan Turki. Kehadiran ramai anggota kanan Kerajaan Turki dan pada pegawai, serta pemimpin di kalangan masyarakat perniagaan Turki di dalam rombongan Tuan Yang Terutama memberi peluang kepada kami untuk mengkaji semula dan mengembangkan kerjasama dalam pelbagai bidang di antara kedua-dua negara. 3. Hubungan dua hala di antara Malaysia dan Turki sememangnya sentiasa baik. Kita telah memupuk perhubungan persaudaraan antara umat Islam di negara kita. Dunia Islam terhutang banyak kepada Turki kerana mengekalkan kecemerlangan warisan Islam. Turki yang moden adalah sebahagian daripada dunia Islam. Sebagai sebahagian daripada dunia Islam, Malaysia berkongsi banyak perkara bersama dengan Turki dan kita boleh mengembangkan ini untuk kebaikan kita. Dalam beberapa tahun lalu pertukaran lawatan di peringkat tinggi telah mengukuhkan lagi hubungan kita dan telah meletakkan asas untuk meningkatkan lagi kerjasama. Ia telah memudahkan hubungan di antara pegawai-pegawai dan sektor swasta kita hingga membolehkan kedua-dua negara kita bekerjasama dengan meluas dalam pelbagai bidang. Saya suka menyatakan kerjasama ini meliputi pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan, pertahanan, pendidikan, pelancongan, kebudayaan dan bidang teknikal. 4. Walaupun kerjasama antara kedua-dua negara kita meliputi pelbagai bidang, saya percaya kita boleh melakukan lebih daripada itu untuk mencapai potensi sepenuhnya dalam hubungan kita. Ini jelas jika kita lihat pada angka perdagangan di antara Malaysia dan Turki yang begitu kecil daripada yang sepatutnya di antara dua negara yang begitu rapat hubungannya seperti kita. Semasa mesyuarat kita pagi ini, kita bersetuju untuk terus mengukuhkan hubungan kita terutama dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Saya yakin sektor swasta kita akan mengambil peluang ini untuk menjalin hubungan yang akan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan di antara Malaysia dan Turki. Sektor swasta Malaysia saya percaya akan mengambil peluang ini untuk menerokai keistimewaan kedudukan Turki sebagai pintu masuk ke Eropah dan Timur Tengah serta menjalin perkongsian yang boleh mengeksploit keistimewaan ini untuk faedah bersama. Pada masa yang sama, suka saya mempelawa sektor swasta Turki untuk menjadikan Malaysia sebagai batu loncatan untuk memasuki pasaran yang besar dan berkembang di Asia Tenggara. 5. Satu aspirasi bersama yang kedua-dua Malaysia dan Turki miliki ialah pencapaian tahap pembangunan ekonomi yang tinggi untuk kemajuan rakyat kita. Kedua-dua negara kita telah mencapai satu peringkat pembangunan, walaupun mungkin dalam bidang yang berbeza. Tidak dinafikan bahawa penguasaan terhadap teknologi adalah penting untuk pembangunan ekonomi. Dalam hubungan ini, kemajuan dalam bidang teknologi dalam beberapa tahun ini amatlah pantas. Negara- negara seperti kita perlu menerima innovasi-innovasi ini sebanyak mana yang boleh untuk memastikan kita tidak akan ketinggalan. Bagaimanapun, tugas ini tidak boleh dicapai dengan baik secara bersendirian. Malaysia percaya bahawa negara-negara harus bekerjasama dengan berkongsi pengalaman dan menyatukan kepakaran. Malaysia telah mengadakan perkongsian secara itu dengan negara-negara lain dan bersedia untuk berkongsi pengalaman kami dengan Turki. 6. Kerjasama di antara kedua-dua negara kita juga meliputi isu-isu antarabangsa di OIC dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, terutama Bosnia-Herzegovina. Tidak ada negara pada masa ini yang menjadi mangsa pencabulan hak manusia yang jelas seperti yang menimpa negara itu, tetapi penyerang-penyerang yang ganas dibiarkan selama empat tahun untuk meneruskan jenayah yang tidak dapat digambarkan ke atas rakyat negara itu. Kegagalan kuasa-kuasa besar dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mengambil tindakan tegas bagi memberhentikan tragedi itu telah memaksa negara-negara Islam untuk mengambil keputusan kolektif bagi membantu Bosnia-Herzegovina. Tindakan kita telah menghalang Bosnia-Herzegovina daripada kemusnahan. Kedua-dua Turki dan Malaysia telah bekerjasama dalam OIC dan forum-forum antarabangsa yang lain untuk menggesa masyarakat antarabangsa memastikan rakyat Bosnia diberikan hak kedaulatan mereka. Kedua-dua negara kita menyumbang pasukan tentera di bawah naungan UNPROFOR dan IFOR. 7. Malaysia memandang berat terhadap pendirian keras yang diambil oleh Perdana Menteri Israel dalam proses keamanan. Kelambatan dalam mengadakan rundingan dengan pihak Palestin, penolakan prinsip tanah untuk keamanan dan percubaan mewujudkan realiti baru melalui pembukaan kawasan-kawasan penduduk Yahudi, akan hanya meningkatkan ketegangan dan memperbaharui konfrantasi. Israel tidak harus mengenakan syarat-syarat baru yang boleh menghalang proses keamanan. 8. Lawatan Tuan Yang Terutama ke Malaysia menandakan satu kemajuan penting dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara kita. Kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih rapat lagi dengan Turki untuk meningkat dan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan dagangan kita serta bekerjasama dengan Tuan Yang Terutama dalam isu-isu yang menjadi perhatian kita bersama. |