Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BANDAR BARU BANGI, SELANGOR
Tarikh/Date : 17/08/96
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PUSAT KEMAJUAN
TEKNOLOGI OLEOKIMIA (AOTC)
1. Terlebih dahulu, saya ucapkan terima kasih
kepada Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit
Malaysia (PORIM) kerana sudi menjemput saya untuk
merasmikan Pusat Kemajuan Teknologi Oleokimia PORIM
pada hari ini. Saya difahamkan bahawa Pusat
Kemajuan Teknologi Oleokimia ini merupakan yang
pertama ditubuhkan di Malaysia, khusus untuk
menumpukan kajian serta penyelidikan dan pembangunan
(R&D) mengenai oleokimia. Oleh yang demikian,
tahniah kepada pihak PORIM kerana telah berusaha
membangunkan pusat oleokimia ini. Dengan adanya
kemudahan ini, PORIM akan dapat melaksanakan
tanggungjawab R&Dnya dengan lebih berkesan lagi bagi
mempercepatkan pembangunan industri oleokimia dan
memajukan lagi industri sawit Malaysia.
2. Aktiviti ekonomi negara ini sejak dulu lagi
berlandaskan kepada pertanian. Oleh itu fokus R&D
juga menitikberatkan kepada pengeluaran bahan-bahan
pertanian dan produktiviti pertanian dan tidak
banyak perhatian dan usaha ditumpukan ke arah aspek-
aspek lain yang berkaitan dengan pembangunan dan
pengeluaran barangan hiliran yang dapat dihasilkan
daripada bahan mentah pertanian.
3. Dalam hubungan ini adalah diperhatikan bahawa
industri sawit Malaysia telah berkembang sebagai
industri berasaskan pertanian yang terpenting di
negara ini. Kita boleh berbangga dengan pencapaian
cemerlang industri minyak sawit ini. Daripada segi
produktiviti, pengeluaran dan kualiti minyak sawit
Malaysia adalah di tempat yang nombor satu. Tetapi
dalam aspek pemprosesan barangan bagi menghasilkan
produk hiliran atau barangan siap, industri sawit
masih jauh ke belakang khususnya dalam sektor bukan
makanan. Sebagai perbandingan, 90 peratus
pengeluaran dan eksport minyak sawit adalah dalam
bentuk bahan makanan. Oleh itu sudah tiba masanya
ditingkatkan penggunaan minyak sawit dalam sektor
bukan makanan atau industri.
4. Pada masa ini aktiviti hiliran hanya tertumpu
kepada pengeluaran bahan oleokimia asas atau `basic
oleochemical' seperti fatty acid, methylester, fatty
alcohol dan glycerine. Kini terdapat 15 buah kilang
oleokimia yang mengeluarkan sebanyak 740,000 tan
metrik oleokimia asas. Saya difahamkan bahawa lebih
kurang 90 peratus daripada jumlah keluaran oleokimia
ini dieksport ke negara-negara maju seperti Amerika
Syarikat, Eropah Barat dan Jepun untuk pemprosesan
hiliran. Oleokimia asas ini selepas menjalani
prosesan hiliran diimport semula oleh Malaysia dalam
bentuk produk siap dengan harga yang berlipat ganda
lebih tinggi daripada oleokimia asas yang kita
eksport. Apa yang sebenarnya berlaku ialah aktiviti
pemprosesan hiliran ini dibuat di negara-negara
pengimport yang berjaya menjana serta menikmati
hasil nilai tokok produk berkenaan. Sudah sampai
masanya kita sendiri mengusahakan pengeluaran
barangan-barangan siap di dalam negara kita.
5. Dalam usaha negara mencapai hasrat menjadi
sebuah negara industri yang maju, adalah wajar
Malaysia bergerak cergas dalam bidang pembuatan
barangan hiliran dengan mewujudkan industri
berasaskan komoditi yang dikeluarkan dengan
banyaknya oleh negara ini. Dalam hubungan ini
industri minyak sawit menunjukkan potensi yang
sangat besar. Melalui pembabitan industri sawit
dalam aktiviti hiliran, bermakna kita akan dapat
mempertingkatkan hasil pendapatan negara daripada
komoditi eksport tradisional ini.
6. Bagi sebuah negara yang berada di ambang era
perindustrian, industri sawit perlu menumpukan
perhatian kepada pembangunan sektor pembuatan
barangan hiliran yang lebih menguntungkan. Ini akan
membolehkan Malaysia mengekalkan kedudukannya di
dalam memaksimumkan pendapatan negara daripada
industri sawit. Daya saingan kita tidak lagi
tertumpu kepada buruh murah kerana terdapat negara-
negara lain yang mampu muncul sebagai pengeluar
minyak sawit yang lebih kompetitif dari Malaysia
kerana kos buruh mereka rendah. Kita perlu
mengalihkan perhatian kita kepada pengeluaran produk
yang lebih menjimatkan penggunaan buruh serta
berteknologi tinggi. Saya yakin Malaysia mempunyai
keupayaan untuk mengubah corak industri sawit
daripada satu industri pertanian atau tradisional
yang berjaya ke tahap industri moden yang lebih
canggih.
7. Sesungguhnya potensi pembangunan industri
oleokimia sawit adalah tinggi. Skop pengeluaran
barangan daripada oleokimia amat luas. Bermacam
jenis barangan siap dapat dihasilkan daripada
oleokimia seperti bahan pencuci, kosmetik, pelincir,
aditif, plastik, bahan bakar, farmaseutikal, bahan
kimia untuk industri dan pertanian. Produk-produk
lain termasuk makanan haiwan, cat polimer, bahan
campuran makanan, alat pemangkin pemprosesan dan
sebagainya. Terdapat banyak lagi produk baru dan
canggih yang dicipta dari masa ke semasa hasil
daripada kegiatan R&D. Bahan-bahan ini merupakan
barangan strategik terutama dalam keadaan di mana
kita menghadapi kekurangan bahan petroleum pukal.
8. Apa yang paling menarik mengenai produk-produk
ini ialah pengunaannya tidak memberi kesan negatif
kepada alam sekitar oleh kerana ia berasaskan bahan
sayuran. Adalah dijangkakan bahawa produk-produk
ini akan digemari dan menjadi `trend' di kalangan
pengguna oleh kerana ia adalah `biodegradable and
environmentally friendly'. Oleokimia juga adalah
daripada bahan asli dan `renewable' yang tidak
begitu merugikan sesiapa yang mencintai alam ini.
9. Semasa kita mengembangkan ekonomi negara ini
melalui pengeksportan sumber, kita dikecam hebat
oleh setengah-setengah negara dan NGOs kononnya kita
memusnahkan alam sekitar. Setelah mereka musnahkan
hutan rimba mereka, maka mereka anggapkan hutan
tropika adalah warisan sejagat. Walaupun kita
katakan ladang getah dan kelapa sawit itu adalah
penanaman semula rimba, mereka dalihkan pula ladang-
ladang ini adalah `monocrop' yang tidak
mengembalikan hidupan liar ke kawasan itu. Mereka
tidak sedar betapa tebalnya rimbunan pokok-pokok
kecil di antara baris tanaman yang peladang-peladang
kita biarkan tumbuh, betapa banyaknya ayam hutan
yang berkeliaran di sana. Mereka tidak sedar betapa
banyaknya faedah dan manfaat yang telah dikecapi
oleh masyarakat dunia hasil daripada minyak sawit
kita. Mereka juga tidak sedar bahawa minyak sawit
telah memberi sumbangan yang amat bermakna kepada
bekalan minyak dan lemak dunia terutama kepada
negara-negara yang mengalami kekurangan minyak
makanan.
10. Mereka sangka kita tidak memahami benteng
pemasaran yang mereka tibarkan ke atas komoditi dari
negara kita. Selepas mereka gagal dengan benteng
nyata yang didalangkan oleh Persatuan Kacang Soya
Amerika ke atas minyak sawit dari negara kita,
mereka tibarkan benteng itu secara halus, melalui
warisan hutan tropika ke atas hasil balak dan
Analisis Kitaran Hidup atau Life Cycle Analysis
(LCA), ke atas oleokimia kita. Kita semua ketahui
bahawa ciri-ciri sekitaran (environmental features)
industri minyak sawit yang positif bukan hanya
terhad di ladang-ladang dan kilang-kilang, bahkan
beberapa kajian telah membuktikan bahawa produk-
produk berasaskan minyak sawit seperti oleokimia
adalah lebih `biodegradable' dibandingkan dengan
produk-produk berasaskan petrokimia. LCA ke atas
bahan oleokimia berasaskan minyak sawit adalah
didapati positif. Kajian LCA tersebut mampu
menunjukkan bahawa ianya adalah produk yang
`environmentally compatible' di samping mempunyai
kesan yang minimum ke atas alam sekitar.
11. Di samping itu secara diam-diam mereka bebankan
sungai-sungai dan tasik-tasik kita dengan detergen
berasaskan branched alkyl benzene sulphonate (BAS),
satu kimia yang susah musnah di dalam alam sekitar
dan sudah diharamkan penggunaannya di negara mereka.
Sisa BAS ini memberikan buih yang banyak dalam air.
Ia cantik diperhatikan dalam mesin basuh, tetapi
amat mencemarkan bila didapati terapung-apung dalam
sungai. Insya-Allah, tidak lama kita akan dapat
gantikan BAS ini dengan satu oleokimia `Made in
Malaysia'.
12. Peluang bagi kita membangunkan sebuah industri
oleokimia yang maju adalah cerah sekali oleh kerana
bahan mentah oleokimia terdapat dengan banyaknya dan
pasaran atau permintaan terhadap barangan daripada
oleokimia adalah luas. Sesungguhnya kita telah
mengenalpasti sektor oleokimia sebagai sektor yang
kian menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri
sawit negara pada masa akan datang. Ingin saya
jelaskan di sini bahawa industri ini telah diberikan
penekanan di bawah Pelan Induk Perindustrian Pertama
(IMP) dan akan terus diberikan tumpuan yang lebih
kuat di bawah IMP Kedua yang akan dilancarkan tidak
lama lagi. IMP Kedua yang berasaskan konsep
`clustering' boleh menggunakan sektor oleokimia
sebagai satu `cluster' yang memang sesuai untuk
menubuhkan satu pembangunan aktiviti-aktiviti ala
`Silicon Valley' yang terkenal itu. Dengan
tertubuhnya sektor industri oleokimia yang maju,
status minyak sawit bukan lagi akan dikenali sebagai
satu komoditi yang dibanding dengan minyak soya
sebagai minyak makanan tetapi sebagai bahan
oleokimia sepertimana petroleum dijadikan berbagai
jenis barangan pengguna. Kini Malaysia telah pun
muncul sebagai pengeluar oleokimia asas yang ketiga
besarnya di dunia dan merangkumi 20 peratus daripada
jumlah bekalan oleokimia dunia. Saya yakin bahawa
dengan adanya `competitive advantage' bagi Malaysia,
negara kita boleh muncul sebagai pusat pengeluaran
dan pembekalan oleokimia yang terbesar di dunia.
Inilah cabaran kepada PORIM dan usahawan-usahawan
Malaysia untuk memastikan sebahagian besar eksport
negara di masa hadapan adalah dalam bentuk barangan
siap berasaskan oleokimia. Saya percaya ini boleh
dicapai memandangkan kawasan Asia Pasifik semakin
maju dan mempunyai peluang pasaran yang baik.
13. Di sini letaknya peranan R&D untuk memperbaiki
mutu produk serta membangunkan teknologi-teknologi
baru. Pembangunan sektor oleokimia memerlukan
teknologi dan produk yang sesuai. Saya difahamkan
bahawa syarikat-syarikat oleokimia pada masa ini
banyak terdiri daripada syarikat multi nasional
(MNC) yang menempatkan operasi dan teknologi mereka
di Malaysia untuk mengambil faedah daripada berada
berdekatan dengan sumber bekalan bahan mentah
oleokimia. Syarikat-syarikat MNC ini beroperasi
dengan menubuhkan usahasama dengan syarikat-syarikat
tempatan. Pada asalnya, adalah dijangkakan bahawa
syarikat-syarikat usahasama ini akan membawa bersama
mereka kepakaran dan teknologi yang canggih ke
negara ini untuk menghasilkan pelbagai produk yang
bermutu. Syarikat-syarikat tersebut juga diharapkan
dapat memindahkan teknologi kepada pihak tempatan.
Nama-nama syarikat gergasi luar negeri yang tidak
lagi asing bagi kita yang terlibat dalam industri
oleokimia ini ialah seperti Procter and Gamble,
Henkel, Unilever, KAO, Mitsui & Co. Ltd., dan Akzo
and Pacific. Penglibatan syarikat-syarikat gergasi
tersebut ialah untuk mempastikan bahawa bekalan
produk oleokimia dari Malaysia ke negara-negara
mereka adalah terjamin. Kini pelaburan dalam
industri oleokimia telah mencapai RM1.5 billion,
yang mana syarikat asing mempunyai majoriti 54
peratus. Saya ingin juga melihat penglibatan dalam
sektor oleokimia ini bukan sahaja terhad kepada
syarikat-syarikat gergasi atau multi nasional,
tetapi juga meliputi pengusaha-pengusaha industri
kecil dan sederhana (SMI) di negara ini. Begitu
juga dengan teknologi yang digunakan. Pengusaha-
pengusaha tempatan ini harus menikmati hasil
penglibatan mereka dan seterusnya membangun sebagai
syarikat gergasi Malaysia dalam bidang ini.
14. Di samping itu, syarikat-syarikat perladangan
Malaysia yang kini telah menjadi `conglomerate'
seperti Sime Darby, FELDA, Golden Hope, KLK
hendaklah juga memainkan peranan yang aktif dalam
mempelopori pembangunan industri oleokimia di negara
ini. Apatah lagi sumber kewangan bagi R&D dibiayai
dengan bayaran ses industri minyak sawit, maka
adalah wajar pengusaha-pengusaha sektor ini yang
sudahpun terlibat dalam oleokimia memainkan peranan
yang lebih ketara ke arah mencapai hasrat menjadikan
Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport bahan-
bahan oleokimia yang terkemuka di dunia. Dalam
hubungan ini PORIM sudah bersedia untuk memberikan
sumbangan dengan tertubuhnya Pusat Kemajuan
Teknologi Oleokimia ini. Adalah diharapkan bahawa
Pusat Kemajuan Teknologi Oleokimia ini dapat
menjalankan kajian berbentuk gunaan bagi
mempercepatkan pembangunan industri berasaskan
oleokimia di negara ini dan meletakkan Malaysia
dalam peta dunia oleokimia.
15. Dengan harapan sedemikian, saya dengan
sukacitanya merasmikan Pusat Kemajuan Teknologi
Oleokimia.
|