home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN 
			DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	28/08/96 
Tajuk/Title  	: 	PADA MAJLIS PELANCARAN SKIM AMANAH 
			SAHAM WAWASAN 2020 



     1.  Pada  hari  ini,  kita akan menyaksikan  pelancaran
    satu lagi skim saham amanah, iaitu Skim Amanah Saham
    Wawasan 2020 atau  nama singkatannya Skim ASW  2020.
    Walaupun sehingga hari ini sudah banyak saham amanah
    dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan  Kerajaan-
    kerajaan  Negeri, Skim ASW 2020 ini  merupakan  satu
    skim yang istimewa kepada negara ini.
    
    2.    Kerajaan telah menubuhkan Permodalan  Nasional
    Berhad  sebagai  satu  alat terpenting  dalam  usaha
    untuk  menjayakan  Dasar Ekonomi Baru  (DEB),  iaitu
    dasar  yang  bertujuan  menghapuskan  kemiskinan  di
    kalangan semua kaum dan menghapuskan pengenalan atau
    identifikasi kaum dengan fungsi ekonomi.   Apa  yang
    didapati  sebelum DEB dilaksanakan ialah pertumbuhan
    ekonomi kaum-kaum tidaklah seimbang dan tidak pesat.
    Rakyat  Malaysia  terbahagi kepada  bumiputera  yang
    kegiatan ekonomi mereka terhad kepada bercucuk tanam
    dan   kerja-kerja  buruh  yang  mendapat  upah  yang
    rendah.  Hanya  segelintir daripada  mereka  bekerja
    dengan  Kerajaan  dan mendapat upah yang  sederhana.
    Bukan    bumiputera   pula   cergas   dalam   bidang
    perniagaan dan perusahaan dan kegiatan-kegiatan lain
    yang  biasanya memberi pendapatan yang lebih tinggi.
    Perbezaan  kegiatan  ekonomi ini merenggangkan  kaum
    bumiputera  daripada bukan bumiputera daripada  segi
    fizikal  dan  pendapatan.  Keadaan ini adalah  tidak
    sihat  dan dipercayai salah satu sebab rusuhan  kaum
    meletus pada 1969.
    
    3.    Sebaliknya didapati apabila saham dan  peluang
    perniagaan diberi kepada individu bumiputera, mereka
    sering  menjual balik hampir semuanya  kepada  bukan
    bumiputera.   Sebabnya  ialah  kerana  mereka  tidak
    mampu  membiayai pendahuluan atau tidak cekap  dalam
    mengurus  pelaburan  mereka.  Dengan  menjual  balik
    saham dan peluang perniagaan kepada bukan bumiputera
    maka matlamat mengimbangkan pemilikan punca kekayaan
    antara kaum terjejas dan tidak dapat dicapai.
    
    4.    Sebagai satu cara untuk mengekalkan  pemilikan
    bahagian-bahagian ekonomi yang diperuntukkan  kepada
    bumiputera, Kerajaan menubuhkan sebuah `unit  trust'
    atau   amanah  saham  yang  dinamakan  Amanah  Saham
    Nasional  (ASN) di bawah kelolaan PNB.   Modal  asas
    ASN  dipinjamkan oleh Kerajaan untuk membeli  saham-
    saham  dan bumiputera dapat membeli unit-unit  saham
    Amanah Saham Nasional ini tanpa memiliki modal  yang
    besar.  Dengan hanya RM10.00 sahaja pun mereka boleh
    memiliki 100 unit saham ASN.  Saham-saham ini  hanya
    boleh  dijual  balik kepada Amanah  Saham  Nasional.
    Dengan itu saham-saham yang diagih kepada bumiputera
    kekal  di  tangan institusi yang mewakili bumiputera
    dan   individu  bumiputera.   Ini  dapat  menjayakan
    matlamat DEB.
    
    5.    Kejayaan  Amanah  Saham Nasional  adalah  luar
    biasa.   Ia  merupakan unit trust yang  terbesar  di
    dunia  dengan  jumlah pemegang saham lebih  daripada
    empat juta dan nilai asas saham lebih daripada  RM20
    billion.   Sumbangannya terhadap Dasar Ekonomi  Baru
    amatlah  besar.  Demikianlah kejayaan  Amanah  Saham
    Nasional   sehingga  banyak  Kerajaan   asing   yang
    menghadapi masalah agihan kekayaan antara kaum  atau
    suku  kaum yang tidak seimbang telah mengkaji sistem
    Amanah  Saham Nasional ini sebagai satu  cara  untuk
    mengatasi masalah mereka.
    
    6.    Matlamat  Dasar  Ekonomi Baru  belum  tercapai
    sepenuhnya tetapi keadaan sekarang tidaklah  seburuk
    keadaan  semasa dasar tersebut dilancarkan lebih  25
    tahun  dahulu.  Bersama-sama dengan pendekatan  lain
    yang  dicipta oleh Kerajaan, keadaan tidak  seimbang
    antara   kaum  dalam  bidang  ekonomi  telah  banyak
    dikurangkan.    Demikianlah  hari  ini   sudah   ada
    individu  dan syarikat Bumiputera yang bukan  sahaja
    tidak  lagi menjual saham yang diperuntukkan  kepada
    mereka, tetapi mereka sekarang mampu membeli  saham-
    saham yang tidak dikhaskan kepada mereka, bahkan ada
    yang  mampu  membeli syarikat-syarikat  milik  bukan
    Bumiputera.   Hari  ini  ketidakseimbangan   ekonomi
    antara  kaum  di Malaysia tidak lagi ketara  seperti
    sebelum  Dasar Ekonomi Baru, walaupun belum tercapai
    peratusan  yang ditetapkan oleh Dasar Ekonomi  Baru.
    Di  masa yang sama kemiskinan di kalangan semua kaum
    sudah  dapat dikurangkan sehingga tinggal hanya  8.9
    peratus sahaja.
    
    7.    Generasi  yang terlibat dengan  keadaan  tidak
    seimbang  antara kaum sudah pun agak tua.   Sekarang
    generasi muda sudah mengambil alih dan mereka  tidak
    terpisah  mengikut kaum seperti generasi tahun  lima
    puluhan  atau enam puluhan.  Tidaklah wajar  keadaan
    dahulu  dibebankan ke atas generasi  muda  sekarang.
    Layanan  terhadap  generasi muda  daripada  berbagai
    kaum  tidak  seharusnya sama seperti  generasi  tua.
    Lagi  pun  generasi muda sekarang  lebih  rapat  dan
    mereka bergerak bersama dalam berbagai-bagai bidang.
    
    8.   Sekali lagi perlu ditekankan bahawa keadaan ini
    belum  menyeluruh. Masih terdapat perpisahan  antara
    kaum   yang  mencerminkan  keadaan  tidak   seimbang
    mereka.  Dengan itu kita belum lagi dapat menamatkan
    Dasar  Ekonomi Baru.  Apa yang kita dapat buat ialah
    memberi  layanan yang tidak terlalu  berbeza  antara
    belia daripada berbagai-bagai kaum.
    
    9.    Justeru  itu, Kerajaan telah bersetuju  supaya
    Permodalan  Nasional Berhad menubuh dan  menguruskan
    satu   lagi  saham  amanah  yang  dikhaskan   kepada
    generasi   muda  daripada  semua  kaum,   sama   ada
    Bumiputera atau bukan Bumiputera.  Generasi ini akan
    dewasa menjelang tahun 2020, iaitu tahun yang  telah
    kita  cadangkan Malaysia mencapai taraf negara maju,
    Insya-Allah.
    
    10.   Permodalan  Nasional Berhad dan  Amanah  Saham
    Nasional  terbukti  mampu memperbaiki  keadaan  yang
    tidak  sihat  yang  sering berlaku  dalam  mana-mana
    masyarakat.   Tidak  ada masyarakat  di  dunia  yang
    tidak  menghadapi ketidakadilan sosial dan  ekonomi.
    Oleh  itu  banyak  cara-cara, bahkan  ideologi  yang
    telah  dicipta untuk mengatasi masalah ketidakadilan
    dalam  masyarakat.  Komunisme dan Sosialisme  adalah
    antara pendekatan yang bertujuan mengimbangkan nasib
    semua anggota masyarakat.  `Affirmative Action' yang
    telah   dicuba  di  Amerika  Syarikat  juga   adalah
    bertujuan  mengatasi masalah yang sama.  Cukai-cukai
    juga dicipta supaya perbezaan antara yang miskin dan
    kaya  dapat dikurangkan.  Tetapi kebanyakan daripada
    pendekatan-pendekatan ini telah gagal atau  mencapai
    kejayaan yang tidak memuaskan.
    
    11.   Komunisme  dan Sosialisme bukan  sahaja  gagal
    mengimbangkan  nasib anggota masyarakat,  tetapi  ia
    menyebabkan  penindasan  yang  ketara  dan  akhirnya
    kemiskinan  bagi rakyat dan negara.   Demikian  juga
    dengan `affirmative action' di Amerika Syarikat.  Ia
    gagal   kerana  rakyat  yang  berada  tidak  sanggup
    membuat pengorbanan walaupun sedikit kononnya kerana
    sebarang   pengorbanan  oleh  mereka  adalah   tidak
    demokratik.   Demokrasi   dianggap   lebih   penting
    daripada usaha menghapuskan ketidakadilan yang nyata
    berlaku dalam masyarakat berkenaan.
    
    12.   Cukai-cukai  yang dikenakan kepada  yang  kaya
    untuk   menolong  yang  miskin  dapat   mengurangkan
    sedikit keadaan tidak seimbang dan tidak adil  dalam
    pembahagian  kekayaan dalam masyarakat.   Tetapi  di
    Malaysia  di  mana keadaan yang tidak  seimbang  ini
    bukan  semata-mata  antara  yang  miskin  dan  kaya,
    tetapi  antara kaum, cukai semata-mata  tidak  dapat
    mewujudkan   keadilan  sosial  dan   ekonomi   dalam
    masyarakat.   Oleh  itu  kita terpaksa  cipta  Dasar
    Ekonomi  Baru  sebagai  alat  dan  pendekatan   yang
    penting.
    
    13.  Keadaan yang terdapat sekarang dalam masyarakat
    berbilang  kaum  di Malaysia adalah lebih  adil  dan
    saksama daripada keadaan sebelumnya.  Dasar  Ekonomi
    Baru  jelas  lebih  berjaya daripada  Komunisme  dan
    Sosialisme, daripada `affirmative action' di Amerika
    Syarikat dan daripada sistem cukai pendapatan biasa.
    Sudah  tentu  orang  barat  yang  gagal  memperbaiki
    ketidakadilan sosial dan ekonomi dalam negara mereka
    tidak akan akui kenyataan ini.  Mereka akan memburuk-
    burukkan  Dasar Ekonomi Baru dan mengecamnya  kerana
    kononnya  tidak  adil dan tidak demokratik.   Mereka
    lebih rela melihat yang kaya menjadi lebih kaya  dan
    yang  miskin terus merana, terutama jika yang miskin
    ini  terdiri daripada kaum atau kumpulan ethnik yang
    lain yang mereka pandang hina kerana warna kulit dan
    sebagainya.
    
    14.   Kejayaan Dasar Ekonomi Baru lebih mengkagumkan
    kerana    ia    bukan   sahaja   dapat   memperbaiki
    ketidakadilan  ekonomi di antara  kaum  di  Malaysia
    tetapi  ia tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi  di
    negara  ini.  Sebenarnya pertumbuhan ekonomi  semasa
    Dasar   Ekonomi  Baru  dilaksanakan  dan  selepasnya
    mencatat  satu  rekod  dunia dengan  mencapai  lapan
    peratus   lebih  tiap-tiap  tahun.   Sementara   itu
    inflasi   tidak  melambung  naik  sepertimana   yang
    diramalkan oleh pakar-pakar ekonomi.
    
    15.    Penggunaan  saham  amanah  untuk  mengagihkan
    kekayaan   negara  secara  lebih  sama   rata   juga
    menyumbang  kepada  pembangunan  negara.    Daripada
    tabungan  wang  yang tinggi di Malaysia  yang  telah
    meningkat  kepada  lebih  daripada  30  peratus,  12
    peratus  adalah daripada saham-saham amanah.   Angka
    ini  sukar dicapai oleh negara-negara lain  termasuk
    yang maju.
    
    16.   Tabungan  yang  besar ini  mengurangkan  kesan
    defisit   dalam  imbangan  pembayaran  (balance   of
    payment  deficit)  yang dikatakan tinggi  di  negara
    ini. Deficit imbangan pembayaran ini menjadi masalah
    hanya jika tabungan adalah rendah.  Ia tidak menjadi
    masalah yang boleh meruntuhkan ekonomi negara kerana
    tabungan kita besar.  Ramalan kononnya Malaysia akan
    turut  menjadi  seperti Mexico adalah tidak  berasas
    sama  sekali  dan nyata tidak berlaku kepada  negara
    ini.   Pakar-pakar   Ekonomi   Barat   yang   dengan
    sombongnya  menyatakan  pentadbiran  ekonomi  negara
    kita  sebagai 'noddy nomics" sebenarnya  mendedahkan
    kejahilan mereka.  Mereka lupa bahawa negara  mereka
    berkali-kali menghadapi masalah ekonomi yang merosot
    kerana  Kerajaan  mereka  tidak  cekap.   Adakalanya
    mereka  bekerja  hanya tiga hari  seminggu  kononnya
    untuk memperbaiki ekonomi mereka.  Adalah lebih baik
    pakar-pakar  ekonomi Barat ini menumpukan  perhatian
    untuk   mengatasi  masalah  negara  mereka  daripada
    memberi  "gratuitous  comments  and  advice"  kepada
    orang  lain.   Seperti kata pepatah  Melayu  "Jangan
    jaga  tepi  kain  orang" atau dalam bahasa  Inggeris
    "Mind the edge of your own sarong", or Mind your own
    business.
    
    17.   Kita  tidak sombong dengan kejayaan  kita  dan
    kita  tidak  berkata tidak ada pelajaran yang  boleh
    kita  pelajari daripada negara-negara  lain.   Sebab
    itu  kita adakan `Look East Policy' dan kita  hantar
    rakyat  kita  untuk mempelajari dan memeriksa  cara-
    cara masalah ditangani oleh negara dan bangsa asing.
    Tetapi  pemilihan hendaklah dibuat oleh kita sendiri
    dan  bukan  dipaksa  ke atas kita  oleh  orang  yang
    angkuh  dan  sombong yang berpendapat  mereka  lebih
    tahu  bagaimana mentadbir negara kita daripada  kita
    sendiri.  Apakah mungkin Malaysia mencapai  kemajuan
    seperti  sekarang  jika  kita  masih  ditadbir  oleh
    penjajah?
    
    18.   Sementara kita tidak perlu sombong, kita perlu
    yakin  akan kebolehan kita terutama dalam  menangani
    masalah  negara  kita.  Permodalan Nasional  Berhad,
    Amanah  Saham  Nasional dan Amanah Saham  Bumiputera
    adalah  ciptaan kita dan kita boleh berbangga dengan
    kejayaan  pendekatan kita dalam menguruskan  keadaan
    tidak  seimbang dalam negara kita.   Dalam pada  itu
    kita   jangan   terlalu   terikat   dengan   sesuatu
    pendekatan walaupun ia berjaya.  Jika keadaan  sudah
    berubah  kita harus sanggup menukar pendekatan  kita
    supaya  sesuai  dengan  keadaan.  Sepertimana   bila
    berhadapan dengan masalah, kita tidak boleh teruskan
    dengan  cara  lama,  demikian juga  setelah  berjaya
    mengatasi  masalah,  kita perlu  menukar  pendekatan
    kita.   Lampu  di  malam  yang  gelap  gelita  boleh
    menyuluh jalan, tetapi lampu yang sama apabila sudah
    siang  dan  terang benderang tidak  dapat  memainkan
    peranan yang sama.  Namun demikian kita tidak  harus
    campakkan  lampu  penyuluh  kita  semasa  kita  guna
    penyuluh yang baru.
    
    19.   Oleh  kerana Dasar Ekonomi Baru dan Permodalan
    Nasional  Berhad  telah berjaya  kita  harus  berani
    mencipta  pendekatan  yang lain.   Kita  tidak  akan
    hapuskan  alat  yang begitu berkesan seperti  Amanah
    Saham  Nasional  dan Amanah Saham Bumiputera  tetapi
    sudah  tiba masanya kita cuba memperluaskan  sedikit
    liputan  sistem  saham  amanah  ini.   Sebab  itulah
    Kerajaan bersetuju supaya Permodalan Nasional Berhad
    menubuh dan menguruskan satu lagi saham amanah  yang
    terbuka  kepada  semua  kaum  tetapi  terhad  kepada
    generasi muda.  Ia bertujuan untuk merapatkan  semua
    kaum  menjelang 2020.  Keluarga Skim Amanah  Wawasan
    2020  akan mempunyai `stake' yang sama bukan  sahaja
    dalam   kejayaan  Skim  Amanah  tetapi  juga   dalam
    kestabilan  dan kemakmuran negara ini.   Perdagangan
    berjaya  bukan sahaja kerana kecekapan pengurusannya
    tetapi tertakluk kepada iklim persekitarannya.  Jika
    hari  ini  banyak syarikat di Malaysia  berjaya  dan
    mencapai keuntungan yang luar biasa, sebabnya  ialah
    kerana   iklim  perdagangan  di  Malaysia   membantu
    kejayaan  perdagangan.  Keluarga Skim  Amanah  harus
    sedar akan peranan penting yang dimainkan oleh iklim
    yang  tersebut  dan dengan itu menolong  mengekalkan
    iklim  ini.  Dengan itu lebih mungkin kita  mencapai
    Wawasan 2020.
    
    20.  Inilah sebabnya kita tubuhkan Skim Amanah Saham
    Wawasan  2020  atau Skim ASW 2020.   Dengan  harapan
    bahawa   Skim   ini   akan  berjaya,   saya   dengan
    sukacitanya melancarkan Skim ini dengan rasminya.

 
 



 
Google