Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MENARA PGRM, JALAN PUDU ULU,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 03/09/96
Tajuk/Title : MERASMIKAN MESYUARAT AGUNG PARTI
PROGRESIF PENDUDUK MALAYSIA
(PPP)(BARU)
1. Saya mengucapkan terima kasih kepada Parti
Progresif Penduduk Malaysia atau PPP (Baru) kerana
sudi menjemput saya untuk merasmikan mesyuarat
agungnya hari ini. Sesungguhnya jemputan ini amat
besar ertinya kepada saya bukan kerana saya selaku
Pengerusi Barisan Nasional ataupun Perdana Menteri
tetapi kerana kepercayaan tinggi yang diletakkan
kepada perikatan parti kita atau `alliance' dalam
Barisan Nasional.
2. Barisan Nasional yang dulu kita kenali sebagai
`Perikatan' kini sudah semakin matang dan bertambah
kuat dari sehari ke sehari. Tiga anggota
komponennya yang menjadi parti pengasas kepada
penubuhan `Perikatan' iaitu UMNO, MCA dan MIC,
masing-masing sudahpun berusia kira-kira setengah
abad. Usia ketiga-tiga parti komponen ini adalah
lebih tua daripada usia negara kita yang baru
menyambut ulangtahun kemerdekaannya yang ke 39
tahun.
3. Betapa ketiga-tiga parti politik ini yang jelas
mewakili kaum masing-masing, iaitu Melayu, Cina dan
India, dapat wujud bersama dan bekerjasama dalam
politik berbilang kaum dan dengan itu dapat
membangun dan memajukan negara sehingga hari ini
adalah sesuatu yang menakjubkan. Ketiga-tiga parti
politik ini yang sudah dapat bekerjasama dari sejak
1952 lagi adalah satu testimoni rakyat negara ini
dapat bersatu dalam kepelbagaian rupa kulit, asal
keturunan, bahasa, budaya dan agama. Mereka bersama-
sama dapat berdepan dan mengharungi segala macam
halangan, cabaran dan dugaan dalam membangunkan
negara kita dengan jayanya.
4. Kewibawaan yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga
parti politik kaum ini sejak sebelum merdeka dan
selepas itu, telah menarik minat parti-parti politik
lain untuk menyertai `Perikatan'. Dasar
bermesyuarah dan saling faham memahami antara satu
sama lain serta hormat menghormati dalam perikatan
itu begitu menyenangkan parti-parti yang
menganggotai `Perikatan'. Masing-masing merasakan
yang ianya diberi dan mempunyai tempat dalam
perikatan tanpa mengira samada partinya besar
ataupun kecil. Semua anggota diberikan kedudukan
dan taraf yang sama daripada segi layanan dan
pandangan mereka. Inilah keistimewaan Barisan
Nasional.
5. `Perikatan' semakin lama semakin popular dan
diminati oleh parti-parti politik yang lama atau
baru. Parti politik yang pernah menjadi pembangkang
kuat kepada `Perikatan' atau `Barisan Nasional' dulu
turut menjadi anggota komponen. Yang baru
ditubuhkan juga ingin menyertai barisan kita. Yang
serpih dan berpecah-belah dulu pun ingin bersama dan
bersatu kembali di bawah naungan Barisan Nasional.
6. Parti-parti politik dari negeri-negeri lain
seperti Sabah dan Sarawak turut menyertai Barisan
Nasional kerana kepercayaan mereka terhadap Barisan
Nasional yang mampu memberi keadilan kepada semua
rakyat tanpa mengira di mana mereka berada daripada
segi pembangunan. Perikatan ini lama-kelamaan
semakin membesar dan kemudian dikenali sebagai
`Barisan Nasional'. Ia berkembang sesuai dengan
pertambahan keanggotaannya dan berubah mengikut
peredaran masa.
7. Inilah Barisan Nasional yang ada sekarang,
semakin berkembang, mantap dan maju. Kekuatannya
adalah kerana dokongan setiap anggota komponennya
dan kepercayaan yang diletakkan kepada prinsip dan
asas perjuangan Barisan Nasional. Keunikannya ialah
kebebasan diberikan kepada semua anggota komponen
untuk menyuarakan pendapat atau pandangan mereka
terhadap sesuatu agenda, isu atau masalah. Mereka
bebas melahirkan sokongan atau bangkangan mereka
terhadap apa-apa perkara yang dibangkitkan dalam
mesyuarat-mesyuarat tertinggi Barisan Nasional.
Hanya yang dikehendaki ialah semua anggota Barisan
Nasional merapatkan barisan dan mempertahan apa yang
telah dipersetujui bersama.
8. Jika terdapat percanggahan pendapat yang ketara
di kalangan anggota komponen, satu konsensus akan
dicari untuk menyelesaikan masalah itu. Barisan
Nasional mengamalkan demokrasi tulen. Jika
konsensus tidak dapat dicapai maka suara majoriti
dijadikan pendirian Barisan Nasional. Namun suara
majoriti tetap mengambilkira pendapat anggota
Barisan Nasional.
9. Cara ini dapat mengelakkan masalah-masalah
dalaman atau yang melibatkan anggota komponen secara
langsung atau yang boleh menjejaskan kedudukan
mereka sebagai parti politik, daripada diselesaikan
di luar Barisan Nasional. Justeru itu, anggota-
anggota komponen Barisan Nasional tidak kelihatan
bercakaran atau saling tuduh menuduh di khalayak
ramai apabila mereka mempunyai pendapat yang berbeza
dalam apa juga perkara.
10. Perkara ini kerap berlaku di kalangan parti-
parti pembangkang yang sering menggunakan media
untuk menghentam sesama mereka. Baru-baru ini kita
lihat bagaimana satu perikatan pembangkang saling
tuduh-menuduh dan kecam-mengecam di antara satu sama
lain hingga berlaku perpecahan. Mereka mendedahkan
keburukan diri masing-masing, seperti kata orang
Inggeris "washing dirty linens in public".
11. Inilah yang kita tidak mahu lihat berlaku
kepada Barisan Nasional. Kita tidak mahu kerana ada
sebuah parti komponen tidak puashati tentang sesuatu
perkara atau tidak bersetuju dengan pendapat
majoriti, ia pergi ke khalayak ramai yang tidak ada
hubungan kait dengannya untuk menyatakan
pendiriannya dan cuba mendapatkan sokongan atau
simpati. Tindakan sedemikian bukan sahaja akan
menjejaskan imej baik Barisan Nasional sebagai
tunggak Kerajaan bahkan akan merosakkan perpaduan
kita.
12. Penyelesaian atau perbincangan apa-apa masalah
yang melibatkan keluarga anggota komponen secara
dalaman akan dapat menghalang orang luar daripada
terseret masuk atau campur tangan dalam urusan
Barisan Nasional. Sudah banyak perkara yang menjadi
`duri' dalam hubungan kita telah diselesaikan dengan
baik tanpa perlu kita heboh kepada dunia luar. Soal
bahasa, hak bumiputera, hak bukan bumiputera, agama
dan politik yang sering menjadi bahan sensitif kaum-
kaum di negara ini selalu dibincangkan dalam suasana
yang penuh persefahaman dalam Barisan Nasional.
13. Pendekatan ini membawa kepada kestabilan
politik yang membolehkan negara kita bangun dengan
pesat. Daripada pembangunan yang pesat ini kita
semua mendapat faedah. Sebaliknya jika kestabilan
politik tidak ada, pembangunan tidak akan dihasilkan
dan siapa pun, termasuk yang menuntut hak tidak akan
mendapat apa-apa. Adalah lebih menguntungkan jika
kita dapat sebahagian daripada hasil kejayaan yang
tinggi daripada kita mendapat 100 peratus daripada
kegagalan negara. `Twenty percent of a successful
enterprise is better than 100 percent of one that
fails.'
14. Saya berpendapat bahawa mana-mana parti yang
menjadi anggota komponen Barisan Nasional sudah
tentu memahami konsep atau falsafah perjuangan
Barisan Nasional, iaitu kita bergerak atau bertindak
secara berpasukan, as a `team'. Jika konsep atau
falsafah ini tidak boleh diterima, eloklah jangan
menyertai Barisan Nasional.
15. Oleh yang demikian, adalah menjadi
tanggungjawab setiap parti komponen Barisan Nasional
dan ahli-ahli parti mereka menjaga nama baik ikatan
dan perpaduan anggota parti kita. Kita hendaklah
sentiasa bertindak `in unison' dalam menangani apa-
apa masalah atau dalam membuat apa-apa keputusan.
16. Saya gembira mendapati Parti Progresif Penduduk
Malaysia atau PPP (Baru) semakin berkembang maju.
PPP (Baru) ternyata menjalankan tanggungjawabnya
dengan berkesan sebagai salah sebuah parti komponen
Barisan Nasional yang prihatin terhadap masalah-
masalah rakyat.
17. Dengan kesedaran bahawa keutuhan Barisan
Nasional bergantung pada kebijaksanaan, ketaatan,
disiplin dan wawasan setiap anggota parti komponen
dan ahli-ahlinya, saya dengan ini merasmikan
mesyuarat agung Parti Progresif Penduduk Malaysia.
|