Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PELABUHAN KELANG
Tarikh/Date : 10/09/96
Tajuk/Title : MAJLIS PEMBUKAAN RASMI WESTPORT
PELABUHAN KELANG
1. Terlebih dahulu, saya ucapkan terima kasih
kepada Kelang Multi Terminal Sdn. Bhd. kerana sudi
menjemput saya untuk merasmikan Westport yang
terletak di Pulau Indah, Pelabuhan Kelang pada hari
ini.
2. Pelabuhan Kelang yang dahulu dikenal sebagai
Port Swettenham telah dibangunkan oleh British
sebagai pelabuhan kecil tempatan atau domestik
dengan tujuan menjadi `feeder port' kepada Pelabuhan
Singapura. Ini adalah sejajar dengan strategi
British yang bertujuan menjadikan Singapura sebagai
pelabuhan utama di rantau ini dan juga sebagai
benteng pertahanan empayar British di Timur Jauh.
Demikianlah pegangan mereka kepada strategi ini
sehingga mereka sanggup meroboh Kota Melaka untuk
menghapuskan saingan.
3. Sekarang kita sudah merdeka dan Singapura tidak
lagi menjadi sebahagian dari Malaysia. Tentulah
tidak munasabah jika kita kekalkan strategi dan
dasar British tersebut. Tetapi untuk menukar
strategi yang usang ini bukanlah mudah. Kemudahan
yang terdapat di Pelabuhan Kelang di waktu negara
mencapai kemerdekaan adalah tidak lengkap.
Pengurusannya juga lemah. Dan buat beberapa lama
Kerajaan Malaysia tidak memberi tumpuan kepada
penyelenggaran pelabuhan sebagai satu aktiviti
komersil yang bertaraf nasional. Sebaliknya ia
dianggap sebagai satu `public service' atau
kemudahan awam yang perlu dibiayai dan dibantu oleh
Kerajaan. Lebih besar dan lebih aktif Pelabuhan
Kelang, lebih banyaklah peruntukan untuknya yang
perlu disediakan oleh Kerajaan. Oleh sebab itu
pembesaran Pelabuhan Kelang tidak diutamakan dan
tidak ada galakan untuk menggunakannya.
4. Walaupun North Kelang Port dibina, tetapi tidak
ada tumpuan dan promosi supaya dagangan Malaysia
disalurkan melaluinya. Ia masih dianggap sebagai
pembantu `Coastal Trade' dan terus menjadi `feeder
port'. Kapal-kapal besar yang berkhidmat antara
Eropah, Amerika dan Timur Jauh tidak menggunakan
pelabuhan utara Port Kelang. Dengan itu kebanyakan
daripada barangan Malaysia dieksport melalui
pelabuhan di negara lain.
5. Satu daripada kesan tidak adanya `international
port' yang besar di Malaysia ialah defisit dalam
akaun perkhidmatan. Tidak ada cara untuk
mengurangkan defisit ini selagi Malaysia tidak
mempunyai pelabuhan yang dapat menarik kapal-kapal
besar. Pertumbuhan dagangan Malaysia hanya
menambahkan defisit dalam akaun perkhidmatan ini
sehingga seolah-olah defisit ini tidak mungkin
diatasi pada bila-bila masa pun.
6. Di masa ini defisit dagangan kita telah melarat
kepada dagangan barangan. Defisit ini telah
bertambah dan memburukkan lagi imbangan perdagangan
kita.
7. Berhadapan dengan masalah defisit ini, kita
tidak lagi boleh membiarkan ia berterusan. Untuk
defisit dagangan barangan beberapa tindakan telah
diambil. Tetapi untuk defisit dalam akaun
perkhidmatan atau `service account', satu-satunya
keadaan yang perlu dibetulkan ialah penggunaan
pelabuhan kebangsaan. Kita bukan sahaja perlu
menambah kemudahan pelabuhan kita, tetapi
penggunaannya hendaklah dianggap sebagai perkara
yang penting dalam pengurusan ekonomi negara.
8. Satu langkah yang penting ialah penswastaan.
Dengan ini dipercayai pemilik swasta akan menentukan
pengurusan akan menjadi lebih efisien demi menjamin
keuntungan bagi mereka. Ternampak jelas bahawa
strategi ini berjaya. Hari ini North Port dan West
Port, serta juga South Port Kelang adalah lebih
efisien dari dahulu.
9. Tindakan kedua ialah melengkapkan pelabuhan
kita dengan segala peralatan moden dan penggunaan
sistem maklumat yang mempercepatkan pengurusan
kapal dan barangan yang dipunggah di pelabuhan. Di
sini jabatan-jabatan Kerajaan seperti Jabatan Kastam
dan Imigresen perlu memberi kerjasama yang erat
supaya tidak terganggu urusan pelabuhan.
10. Pembesaran pelabuhan juga adalah penting.
Dalam usaha ini kita telah membina sebuah pelabuhan
baru, iaitu Westport, di Pulau Lumut yang sekarang
dinamakan Pulau Indah. Potensi Westport ini amat
besar. Akhirnya ia boleh mengadakan dermaga
sepanjang enam kilometer. Tidak syak lagi jika
pengurusannya cekap, Westport boleh menjadi antara
pelabuhan yang terbesar di Asia Tenggara.
11. Untuk membantu lagi perkhidmatan pelabuhan,
Kerajaan telah bersetuju menjadikan kawasan
pelabuhan sebagai kawasan bebas cukai. Ini perlu
memandangkan kita bersaing dengan pelabuhan lain
yang juga bebas cukai.
12. Dengan menjadikan kawasan Pelabuhan Kelang
kawasan bebas cukai, maka barangan yang dibawa ke
pelabuhan ini tidak perlu membayar cukai atau
diperiksa oleh kastam sehinggalah dibawa keluar dari
kawasan pelabuhan. Ini bermakna bahawa industri
bungkusan dan `processing' boleh diadakan dalam
kawasan pelabuhan dengan mengguna barangan atau
bahan yang dibawa dari negara-negara lain dan
dieksport semula tanpa diganggu atau dikenakan
cukai. Dengan ini banyak industri yang boleh
diadakan yang tidak melibatkan dagangan atau urusan
dalam Malaysia. Jika perlu kontena dihantar melalui
jalan ke negara lain, kontena boleh disediakan
supaya penyeludupan tidak berlaku.
13. Demikian juga barangan boleh dipungut dari
pelabuhan-pelabuhan negara berdekatan dan dikumpul
di Pelabuhan Kelang untuk dieksport. Proses yang
sama juga boleh dibuat dengan barangan dari Eropah,
Amerika dan Jepun yang dibawa ke Pelabuhan Kelang
dan kemudian dimuatkan ke dalam kapal kecil untuk
penghantaran ke pelabuhan-pelabuhan kecil di negara
berdekatan.
14. Dengan ini Pelabuhan Kelang bukan lagi menjadi
Pelabuhan Kebangsaan tetapi pelabuhan antarabangsa
atau apa yang dikenali sebagai `Entrepot Port'.
Sebagai pelabuhan antarabangsa pengurusan Pelabuhan
Kelang tidak boleh menunggu pengguna, baik dari
dalam negeri mahupun dari negara-negara asing.
Pengurusan Pelabuhan Kelang hendaklah memasarkan
perkhidmatannya secara agresif ke seluruh dunia,
terutama kepada pelabuhan-pelabuhan kecil di negara-
negara jiran.
15. Pemasaran secara positif ini sudah pun
menunjukkan hasil. Hari ini beberapa syarikat
perkapalan antarabangsa sudah mula menggunakan
Pelabuhan Kelang dengan menghantar kapal-kapal besar
mereka untuk membawa dan mengambil barangan secara
langsung. Untuk menjayakan lagi Pelabuhan Kelang di
kalangan syarikat-syarikat perkapalan antarabangsa,
maka usaha-usaha perlu dibuat oleh Pengurusan Port
Kelang serta agen-agen perkapalan dan syarikat-
syarikat pembuatan yang besar di Malaysia untuk
menggunakan Pelabuhan Kelang bagi eksport-import
mereka. Jika terdapat banyak barangan di Pelabuhan
Kelang, saya yakin lebih banyak kapal antarabangsa
akan berlabuh di Pelabuhan Kelang. Dengan ini
industri sampingan yang terlibat dengan penghantaran
dan pemasaran barangan akan berkembang maju di
Malaysia, terutama industri insuran. Jika industri
insuran dan urusan CIF dan FOB dibuat secara yang
boleh menguntungkan kita, iaitu CIF semasa eksport
dan FOB semasa import, kita mungkin dapat
mengurangkan defisit dalam akaun perkhidmatan kita.
16. Kerajaan akan memberi bantuan sepenuhnya kepada
pengusaha pelabuhan, `freight' dan insuran. Adalah
diharapkan sebahagian besar daripada dagangan negara
kita akan mengguna Pelabuhan Kelang untuk
penghantaran dan penerimaan kargo keluar dan masuk
ke negara kita. Kerajaan bersedia mendengar apa
juga rintihan dan masalah yang dihadapi oleh semua
yang terlibat dengan perkhidmatan pelabuhan dan
penghantaran. Semua jabatan dan kakitangan Kerajaan
adalah dikehendaki membantu usaha ini. Ini adalah
satu tugas nasional.
17. Hari ini kita rasmikan pembukaan Pelabuhan
Barat atau Westport. Pelabuhan ini telah lama
dirancang tetapi hanya baru-baru ini keutamaan
diberi kepadanya. Saya ucap terima kasih kepada
Kerajaan Selangor yang memberi kerjasama yang erat
dalam membangunkan pelabuhan ini. Tidak syak lagi
bahawa Selangor akan memperolehi banyak manfaat
dengan adanya Pelabuhan besar ini di Selangor.
Banyak negeri lain amat berminat untuk mendapat
pelabuhan tetapi kita terpaksa menasihat mereka
untuk tidak bersaing dengan Pelabuhan Kelang.
18. Westport telah pun memulakan perkhidmatannya
dan telah menunjuk kemajuan yang boleh dibanggakan.
Tetapi ia amat kecil berbanding dengan North Port.
Saya yakin bahawa dengan pengawasan yang baik
Westport akan dapat menandingi North Port.
Persaingan ini hendaklah secara sihat. Westport,
North Port dan South Port Kelang hendaklah
bekerjasama apabila perlu.
19. Persaingan adalah baik tetapi persaingan yang
tidak diasaskan kepada kewarasan perniagaan, yang
hanya tertumpu kepada kesetiaan dan ingin menang
adalah tidak sihat. Ingatlah semua bahagian
pelabuhan di Pelabuhan Kelang ini adalah sebahagian
dari Pelabuhan Kebangsaan Utama Negara. Yang perlu
diutamakan ialah negara dan bukan semata-mata
syarikat atau pelabuhan masing-masing. Mungkin
sukar bagi syarikat-syarikat masing-masing
mengorbankan keuntungan kerana ingin menjayakan
negara. Ini tidak dikehendaki. Yang dikehendaki
ialah penolakan sikap yang sanggup rugi hanya kerana
ingin menang atau kerana fanatik dengan syarikat
sendiri. Jika diadakan sedikit pengorbanan kerana
kewarasan pengorbanan itu, akhirnya semua pihak akan
untung, termasuklah syarikat masing-masing.
20. We are not asking you to sacrifice your company
in the national interest. We are asking you not to
be too fanatically loyal to your company to the
point of sacrificing profit in order to beat the
competition. If you give in once in a while to your
friendly competitor, in the long run it will benefit
you and it will benefit the nation. Whatever
benefits the nation gets must eventually benefit
you. Indeed the growth and profitability of Port
Kelang is the result of the growth and prosperity of
this country. A poor national economy cannot
support a big and sophisticated port.
21. Saya harap Westport atau Pelabuhan Pulau Indah
ini akan diurus dengan menyedari tentang peranannya
sebagai infrastruktur negara di samping memberi
penekanan kepada keuntungan.
22. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya
merasmikan pembukaan West Port ini.
|