Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 01/10/96
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN MENARA
KUALA LUMPUR
1. Saya ucapkan terima kasih kepada Menara Kuala
Lumpur Sdn. Bhd. kerana sudi menjemput saya untuk
merasmikan Menara Kuala Lumpur pada malam ini.
Menara ini menjadi lambang dan bukti bukan sahaja
terhadap pencapaian negara ini tetapi juga kejayaan
pendekatan yang digunakan oleh Kerajaan dalam
menangani soal pembangunan ekonomi negara.
Pendekatan yang dimaksudkan di sini ialah
penswastaan yang jelas dapat menolong kita
membangunkan negara dengan lebih cepat dari dahulu.
2. Pembangunan menara ini secara langsung adalah
hasil penswastaan Jabatan Telekom Malaysia. Tidak
mungkin menara ini dapat dibina jika Kerajaan masih
memiliki perkhidmatan telekomunikasi. Sebabnya
ialah semasa Kerajaan memonopoli perkhidmatan
telekomunikasi, kita terpaksa memperuntukkan lebih
daripada RM100 juta tiap-tiap tahun hanya untuk
membantu menyediakan perkhidmatan telekomunikasi.
Sudah tentu kita tidak mempunyai wang yang mencukupi
untuk membina menara ini yang kosnya hampir RM300
juta.
3. Tetapi setelah Jabatan Telekomunikasi
diswastakan bukan sahaja perkhidmatannya dapat
berkembang mengikut aliran teknologi yang bertukar
dengan cepatnya, tetapi ia juga dapat memperolehi
keuntungan yang cukup untuk membiayai segala
kemudahan yang baru dan memperuntukkan wang yang
cukup untuk membina menara ini.
4. Menara ini penting dalam usaha membekalkan
perkhidmatan telekomunikasi yang canggih. Memang
benar menara yang dibuat dengan batang besi `angle
iron' pun dapat memenuhi keperluan perkhidmatan
telekomunikasi. Tetapi menara-menara besi `angle
iron' tidak indah dan tidak dapat menjadi perhiasan
yang boleh dibanggakan bukan sahaja oleh penduduk
Kuala Lumpur tetapi juga rakyat negara ini. Sebagai
satu bangsa yang sudah mencapai satu tahap kemajuan
yang tinggi kita tidak lagi hanya perlu kepada
kemudahan tetapi kita juga perlu memenuhi selera
yang lebih halus berkenaan dengan kecantikan
pemandangan. Kita ingin kepada suatu mercu tanda
yang memenuhi selera ini dan juga yang boleh
dibanggakan. Manusia tidak hidup untuk makan
sahaja. Ada perkara-perkara lain yang menjadi
keperluan hidup setelah tuntutan kelaparan dipenuhi.
Dan kita sudah sampai ke peringkat yang lebih
daripada hanya memuaskan keperluan kita yang
pertama. Sebab itulah kita ingin membersih dan
mempercantikkan ibu kota dan bandar-bandar kita yang
lain dengan tanam-tanaman dan lanskap. Bangunan
kita juga tidak hanya dikehendaki menyediakan ruang
yang berguna semata-mata tetapi hendaklah juga
cantik mata memandang, iaitu jika kita mampu. Kita
akan rosak hanya jika kita tuntut juga walaupun
tidak mampu.
5. Sebab itu menara telekomunikasi ini dikehendaki
lebih berguna dan lebih cantik daripada hanya menara
telekomunikasi besi `angle iron'. Ia juga dapat
memberi peluang kepada orang ramai melihat ibu kota
dari sudut yang tinggi - sesuatu yang amat diminati
oleh semua orang.
6. Sebagai seorang yang telah melawat hampir semua
negara di dunia, saya berpendapat menara ini ialah
yang tercantik sekali yang pernah dibina hingga
kini. Ada orang lain yang cuba menghina selera kita
dengan berkata ianya ternampak seperti `rattle'
permainan kanak-kanak. Komen ini hanya membuktikan
iri hati mereka dan kita tidak perlu endah kepada
komen seperti ini. Hakikatnya ialah kita mampu
mendirikan menara ini dan kita mempunyai persepsi
seni bangunan yang menghasilkan bangunan yang lebih
indah daripada menara-menara telekomunikasi di
negara-negara maju.
7. Walaupun Telekom Malaysia yang mempunyai saham
yang terbesar tetapi pihak-pihak lain juga mempunyai
saham. Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Nik
Mohammed bin Nik Mahmud yang menjadi arkitek bagi
menara ini. Sesuatu yang menarik mengenai menara
ini ialah kubah di pintu masuk ke lobinya dihiasi
dengan kepingan cermin mozek. Kubah ini dibuat oleh
artis dan pekerja dari Isfahan, Iran. Saya percaya
tidak ada hiasan yang seperti ini terdapat di mana-
mana bangunan di Malaysia atau di Asia Timur,
walaupun penggunaan `glass mosaic' terdapat dalam
bangunan-bangunan di beberapa negara Asia. Saya
ucapkan terima kasih kepada bandaraya Isfahan yang
meminjamkan pekerjanya kepada kita.
8. Saya harap wargakota dan warganegara kita yang
melawat menara ini akan menghargainya dengan menjaga
kecantikan dan kebersihan bangunan ini. Menara ini
adalah milik kita rakyat Malaysia dan kita semua
harus memeliharanya. Saya juga ucapkan tahniah
kepada Telekom Malaysia dan Menara Kuala Lumpur Sdn.
Bhd. kerana berjaya menguruskan pembangunan dan
penyelenggaraan menara ini dengan baik.
9. Dengan harapan kita semua akan menjadikan
menara ini sebagai simbol keupayaan dan kesenian
kita dan kita terus berusaha membangunkan negara ini
seperti kita bangunkan menara ini, saya dengan
sukacita dan penuh kesyukuran kepada Allah Subhanahu
wa Ta'ala merasmikan Menara Kuala Lumpur.
|