home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MENARA PGRM, KUALA LUMPUR  
Tarikh/Date 	: 	05/10/96 
Tajuk/Title  	: 	DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN 
			PERWAKILAN KE-25 PARTI GERAKAN 
			RAKYAT MALAYSIA 


    
    1.   Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden Parti
    Gerakan  Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik dan  ahli-ahli
    Jawatankuasa Kerja Parti kerana menjemput saya untuk
    merasmikan Mesyuarat Agung Parti Gerakan yang  ke-25
    pada  hari ini.  Penghormatan yang diberikan  kepada
    saya  ini mencerminkan semangat kerjasama rapat yang
    wujud dalam Barisan Nasional.  Kadangkala orang luar
    berasa  hairan bagaimana parti-parti yang  bergabung
    dalam  Barisan Nasional yang mewakili berbagai-bagai
    kaum  dan  kepentingan  boleh  bekerjasama.   Inilah
    keunikan sistem politik kita yang hanya kita  sahaja
    yang  dapat  memahami dan menghargainya.  Sebenarnya
    semangat  kerjasama di kalangan parti-parti komponen
    BN  inilah  yang telah menjadi teras utama  kekuatan
    dan kejayaan Barisan Nasional.
    
    2.    Bahawa  BN  telah dapat bertahan  begitu  lama
    ialah  kerana  konsep yang didokong  oleh  BN  jelas
    menguntungkan penduduk dan negara dan dapat diterima
     oleh  majoriti  rakyat.  BN mengutamakan  kerjasama,
    kesederhanaan atau `moderation', persamaan  (equity)
    dan  tolak-ansur.   Setiap parti dalam  BN  sentiasa
    bekerjasama  rapat  dan sedia  bertolak-ansur  dalam
    menangani   sesuatu  isu  atau  masalah.   Pemimpin-
    pemimpinnya terdiri daripada mereka yang  sederhana,
    tidak  ekstrim dan semua parti dalam BN, tidak  kira
    kecil  atau  besar, mempunyai suara yang sama  dalam
    Majlis Tertinggi BN.
    
    3.    Dengan  lebih mementingkan kepentingan  negara
    daripada  kepentingan  mana-mana  kaum  atau  parti,
    banyak  masalah telah dapat diatasi.  Inilah  antara
    kelebihan  rakyat berbilang kaum di Malaysia,  iaitu
    kesanggupan meletak kepentingan negara lebih  tinggi
    daripada kepentingan-kepentingan lain.
    
    4.    Kita  tahu bahawa dalam negara yang  mempunyai
    penduduk  daripada  satu kaum  pun  terdapat  banyak
    masalah kerana ideologi atau kefahaman tentang dasar
    dan  cara  mentadbir  atau kerana  kesetiaan  kepada
     kelas   atau  pemimpin,  apatah  lagi  negara   yang
    penduduknya  terdiri  daripada berbagai-bagai  kaum,
    agama,  bahasa  dan budaya.  Dalam negara  berbilang
    kaum  sudah  tentulah  kepentingan-kepentingan  kaum
    yang  ditokok dengan agama, bahasa dan  budaya  akan
    menggugat  perpaduan dan kestabilan.  Kita bersyukur
    bahawa  di  Malaysia ini tidak berlaku kerana  semua
    kaum  sedia  mengenepikan kepentingan  kaum  masing-
    masing demi mengutamakan kepentingan bangsa Malaysia
    dan  negara  Malaysia.  Rakyat sedar  bahawa  dengan
    mengutamakan kepentingan negara, matlamat yang lebih
    besar,  iaitu keharmonian kaum dan kestabilan negara
    boleh  tercapai.  Rakyat sedar bahawa  hanya  negara
    yang  stabil  di  mana rakyat berbilang  kaum  hidup
    dalam harmoni sahaja yang dapat membangun, maju  dan
    makmur.   Adalah  lebih  baik  mendapat   sebahagian
    daripada nikmat negara yang makmur daripada mendapat
    100 peratus daripada negara yang kucar-kacir, miskin
     dan merosot sepanjang masa.
    
    5.    Pada  hari ini Malaysia bukan sahaja mengalami
    kestabilan politik, bahkan pertumbuhan ekonomi  yang
    tinggi.   Pertumbuhan  yang  pesat  ini  membolehkan
    rakyat  Malaysia menikmati taraf hidup  yang  tinggi
    kerana terdapat banyak peluang bekerja dan berniaga.
    Demikianlah  jayanya  ekonomi  negara  ini  sehingga
    peluang  kerja  dan  peluang berniaga  lebih  banyak
    daripada  bilangan  pekerja  dan  kemampuan  peniaga
    kita.  Tidak banyak negara membangun yang lain  yang
    diserang dengan masalah kejayaan seperti Malaysia.
    
    6.   Dengan mengutamakan kepentingan negara tidaklah
    bermakna bahawa kepentingan kaum diketepikan  begitu
    sahaja.  Ahli-ahli parti komponen BN tetap mempunyai
    saluran   untuk  menyuarakan  masalah-masalah   yang
    dihadapi oleh kaum mereka.  Kita tidak menyekat mana-
    mana  kaum  yang  hendak menyuarakan masalah-masalah
    atau  rasa  tidak  puas hati mereka.   Mereka  tetap
     boleh  menyuarakan rasa tidak puas hati  mereka  dan
    membangkitkan masalah kaum mereka di Parlimen, Dewan
    Undangan  Negeri  dan Persidangan  Perwakilan  parti
    masing-masing.   Tetapi kita sentiasa  mengambilkira
    sensitiviti kaum-kaum lain.
    
    7.    Pemimpin-pemimpin parti  komponen  BN  seperti
    Datuk  Seri Dr. Lim Keng Yaik, Dato' Seri  Dr.  Ling
    Liong  Sik  dan Dato' Seri S. Samy Vellu juga  turut
    menyuarakan masalah-masalah dan rasa tidak puas hati
    yang  dikemukakan oleh ahli-ahli parti masing-masing
    dalam mesyuarat Kabinet dan Majlis Tertinggi Barisan
    Nasional.  Kami pemimpin-pemimpin dalam Kerajaan dan
    Majlis   Tertinggi  BN  sama-sama   berbincang   dan
    mengkaji masalah-masalah yang dihadapi oleh berbagai-
    bagai  kaum  di  negara  ini.  Kami  berterus-terang
    dalam  menyuarakan pendapat kami.  Mana-mana perkara
    yang  difikirkan munasabah dan tidak sensitif kepada
    mana-mana  kaum  kita  pertimbangkan  dan  bersetuju
     melaksanakannya.  Tetapi akhirnya kepentingan negara
    mesti melebihi kepentingan-kepentingan lain.
    
    8.    Sebenarnya bukanlah mudah untuk memenuhi semua
    kehendak  mana-mana kaum.  Tetapi  pemimpin-pemimpin
    Kerajaan  dan  BN terpaksa pragmatik  dan  rasional.
    Kami  terpaksa  melihat isu-isu  perkauman  daripada
    perspektif  yang lebih luas.  Jika kepentingan  kaum
    itu  tidak  menjejaskan kepentingan  negara  isu-isu
    yang   dibawa  kepada  pemimpin-pemimpin   BN   akan
    dipertimbangkan.  Biasanya terdapat semangat  tolak-
    ansur  dan  kompromi dalam mengatasi masalah-masalah
    kaum.    Kita  cuba  mengelak  daripada  menimbulkan
    perkara-perkara  yang  sensitif   `in   the   open'.
    Bayangkan  keadaan  yang akan wujud  jika  tiap-tiap
    kaum  membuat tuntutan yang bersifat perkauman tanpa
    mengambilkira sensitiviti kaum lain.  Keadaan  huru-
    hara mungkin tercetus.  Namun kita tidak "sweep  the
    problems  under  the carpet".  Tetapi  setelah  kita
     memutuskan  sesuatu  semua  pihak  dalam  BN   perlu
    mematuhinya.   Begitu juga dengan  dasar-dasar  yang
    telah  kita persetujui.  Tidak harus ada pihak dalam
    BN  yang patut tidak menyokongnya.  Ini penting demi
    menentukan BN berkesan dan berwibawa sebagai  sebuah
    parti politik.
    
    9.    Memanglah mudah bagi mana-mana pemimpin  untuk
    menjadi  popular dengan hanya membangkitkan perkara-
    perkara  yang bersifat perkauman.  Tetapi  pemimpin-
    pemimpin   seperti   ini  yang  hanya   mementingkan
    kepentingan peribadi tidak kekal lama.  Mereka tidak
    memikirkan implikasi dan kesan yang lebih luas  yang
    mereka    timbulkan,    seperti   ancaman   terhadap
    keharmonian kaum dan kestabilan negara.  Jika  huru-
    hara  tercetus dalam negara kita kecekapan  berniaga
    tidak akan mendatang apa-apa keuntungan.
    
    10.   Kita  bernasib baik kerana mempunyai pemimpin-
    pemimpin  dalam Kerajaan dan Barisan  Nasional  yang
    pragmatik,   rasional,  sederhana,  tidak   ekstrim,
     bertanggungjawab    dan    sentiasa     mementingkan
    kepentingan  negara.  Tunku Abdul  Rahman,  Tun  Tan
    Cheng  Lock,  Tun Sambanthan, Tun Abdul  Razak,  Tun
    Hussein   Onn,  Tun  Tan  Siew  Sin  dan   Tan   Sri
    Manikavasagam  adalah antara bekas pemimpin-pemimpin
    negara  ini  yang  mempunyai sifat-sifat  kepimpinan
    yang  senang  diterima oleh rakyat  berbilang  kaum.
    Mereka  adalah contoh yang baik untuk  diikuti  oleh
    rakyat  Malaysia yang ingin menjadi pemimpin  negara
    ini.  Saya yakin jika rakyat terus memilih pemimpin-
    pemimpin   yang  pragmatik,  rasional,   `moderate',
    bertanggungjawab dan meletak kepentingan  negara  di
    atas  segala-galanya, negara kita akan terus stabil,
    maju dan makmur.
    
    11.   Semasa  saya merasmikan Persidangan Perwakilan
    Parti   Gerakan   tahun  lalu  kita  baharu   sahaja
    merayakan  kemenangan cemerlang BN dalam pilihanraya
    umum  1995.  Walaupun pilihanraya umum  akan  datang
    masih  jauh  lagi  ini  tidak  bermakna  parti-parti
     komponen  BN  tidak berfungsi dan dengan  itu  boleh
    `relax' sahaja. Mungkin bagi sesetengah orang, parti
    ditubuhkan   untuk   bertanding  dalam   pilihanraya
    sahaja.   Bagi  BN  parti  tidak  ditubuhkan   untuk
    pilihanraya sahaja.  Matlamat kita adalah lebih luas
    daripada   itu,  iaitu  untuk  membawa  pembangunan,
    kemajuan,  kemakmuran dan kestabilan  kepada  negara
    dan   rakyat.   BN  adalah  parti  yang   berkhidmat
    sepanjang masa.
    
    12.   Oleh itu, banyak yang boleh kita lakukan.   Di
    samping  mengukuhkan  kedudukan  parti,  parti-parti
    komponen   boleh   membantu  Kerajaan   meningkatkan
    kesedaran  dan  kefahaman rakyat, terutama  anggota-
    anggota   parti,  tentang  pentingnya  projek-projek
    tertentu  dan  dasar-dasar Kerajaan seperti  melawan
    inflasi dan sebagainya.
    
    13.   Seperti  yang kita sedia maklum,  hasrat  kita
    untuk menjadi negara maju menjelang 2020 bukan  lagi
    merupakan  satu mimpi atau khayalan.  Proses  kearah
     itu  sedang berjalan dengan baik dan kita yakin kita
    akan berjaya dengan cita-cita kita itu, Insya-Allah.
    Yang  penting  ialah rakyat hendaklah terus  memberi
    sokongan  dan kerjasama kepada Kerajaan  di  samping
    terus berusaha dengan gigih.  Di sinilah parti-parti
    komponen BN boleh memainkan peranan mereka.   Parti-
    parti komponen BN boleh menerangkan usaha-usaha yang
    dijalankan  oleh  Kerajaan dan peranan-peranan  yang
    perlu  dimainkan  oleh  rakyat seperti  meningkatkan
    kecekapan, produktiviti dan kemahiran.
    
    14.   Negara  juga  sedang memberi  perhatian  berat
    kepada industri  teknologi maklumat, termasuk multi-
    media.  Dalam `information age' di mana `information
    is power' kita tidak boleh mengenepikan perkembangan
    terbaru yang sedang berlaku di hadapan kita.   Dalam
    zaman  di  mana  siapa  yang memiliki  maklumat  dan
    menganalisanya dengan pantas akan memiliki kelebihan
    atau  `advantage'  dalam apa juga  bidang,  terutama
     pelaburan,   kita  tidak  boleh  menjadi   pemerhati
    sahaja.  Kita juga perlu sama melibatkan  diri  jika
    kita tidak mahu ditinggalkan zaman.
    
    15.   Itulah sebabnya kita telah menubuhkan  Koridor
    Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC)
    untuk  menarik  syarikat-syarikat  multi-media   dan
    teknologi  maklumat  mendirikan industri  mereka  di
    situ.
    
    
    16.  Usaha kita untuk menjayakan MSC ini adalah satu
    usaha  yang  besar  yang memerlukan  sokongan  semua
    golongan  rakyat.   Ianya adalah antara  usaha-usaha
    kita  untuk  menentukan negara kita akan terus  maju
    sehingga menjadi negara yang maju.
    
    17.   Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab kita
    dalam  BN  menentukan rakyat benar-benar faham  akan
    usaha-usaha  yang sedang dijalankan  oleh  Kerajaan.
    Dengan penerangan dan penjelasan yang betul daripada
    kita,   rakyat   akan  lebih  memahami   usaha-usaha
    Kerajaan  dan dengan itu akan memberi kerjasama  dan
     sokongan sepenuhnya.  Dengan cara ini kita juga akan
    mematah  sebarang  cubaan oleh pihak-pihak  tertentu
    untuk  mempengaruhi rakyat supaya menentang  projek-
    projek dan dasar-dasar Kerajaan.
    
    18.   Sebagai sebuah parti komponen BN yang penting,
    Gerakan telah turut sama memainkan peranan utama dan
    menyumbang  kepada  kemajuan dan kestabilan  negara.
    Barisan  Nasional telah membuktikan bahawa ia  bukan
    sahaja  berupaya dan mampu memerintah negara  dengan
    cekap  dan  berkesan  tetapi juga  dengan  adil  dan
    saksama.   Bahawa  Malaysia kini  stabil,  maju  dan
    makmur  adalah  kerana  konsep  yang  didokong  oleh
    Barisan Nasional adalah sesuai dan menepati citarasa
    dan keperluan semua kaum.
    
    19.   Dengan  harapan ahli-ahli Gerakan  akan  terus
    menyumbang ke arah mengukuhkan lagi Barisan Nasional
    demi perpaduan, kemajuan dan kestabilan negara, saya
    dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Perwakilan
    Parti Gerakan Rakyat Malaysia yang ke-25.

 
 



 
Google