home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MERDEKA, PWTC, KUALA LUMPUR  
Tarikh/Date 	: 	10/10/96 
Tajuk/Title  	: 	DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 


   
        
    PEMIMPIN DAN KEPIMPINAN
      
    1.    Alhamdulillah, tahun ini genaplah  lima  puluh
    tahun  usia parti kita UMNO.  Lima puluh tahun dalam
    sejarah  manusia tidaklah lama.  Tetapi  lima  puluh
    tahun  bagi sebuah parti politik di Malaysia  adalah
    satu  usia yang panjang.  Kebanyakan daripada  parti
    politik  yang  ditubuhkan lima  puluh  tahun  dahulu
    sudah  tidak ada lagi.  Mereka sudah ditelan  zaman.
    Tetapi  UMNO  masih  ada,  masih  aktif  dan   masih
    berkuasa.  Sebab  itu  kita harus  insaf  dan  harus
    bersyukur.
    
    2.    Apakah UMNO akan terus berada lima puluh tahun
    lagi?   Insya-Allah, UMNO akan terus berada.  Tetapi
    mungkin  juga  UMNO akan ditelan  zaman.   Ada  atau
    tidak  adanya  UMNO lima puluh tahun  dari  sekarang
    banyak bergantung kepada kita, ahli-ahli UMNO.  Jika
    kita  bijak,  kita ikhlas, kita pegang kepada  agama
    dan  prinsip-prinsip  perjuangan  kita,  kita  cinta
    parti kita, bangsa kita dan negara kita, insya-Allah
     UMNO  mungkin  terus wujud.  Tetapi jika  kita  lupa
    daratan, jika kita menjadi angkuh dengan kuasa  yang
    kita  perolehi,  jika  kita tamak  dan  hanya  ingin
    melayan  nafsu  kita semata-mata, kemungkinan  besar
    ialah  UMNO akan termusnah dan luput dari muka  bumi
    ini.   Mungkin  belum pun genap lima   puluh   tahun
    lagi,   mungkin dalam jangka masa yang lebih pendek,
    mungkin  pada  pemilihan parti sekali lagi,  mungkin
    juga pada tahun ini, UMNO akan terhapus.
    
    3.    Segala-galanya ditentukan oleh Allah Subhanahu
    wa   Ta'ala.   Tetapi  Allah  Subhanahu  wa   Ta'ala
    menyuruh  kita berusaha sendiri sebelum mengharapkan
    pertolongan-Nya.    Tambatlah    unta    kita    dan
    berserahlah  kepada  Allah  Subhanahu   wa   Ta'ala.
    Jangan  salahkan takdir jika kita sengaja  melakukan
    apa   yang   dilarang   oleh   Tuhan.    Yang   cuba
    menyelamatkan  diri juga mungkin  tidak  terselamat,
    kerana   telah   ditakdirkan.   Tetapi   yang   cuba
     menyelamatkan diri lebih mungkin terselamat, dan itu
    juga   takdir.   Lebih  baiklah  kita  cuba.   Lebih
    baiklah kita tambat unta kita.
    
    PEMILIHAN PEMIMPIN MASIH DEMOKRATIK
    
    4.    Dalam  persidangan  ini kita  akan  mengadakan
    pemilihan  bagi  badan  yang tertinggi  sekali  yang
    mentadbir   dan  menguruskan  parti  kita.    Tetapi
    pemilihan   kali  ini  berbeza  daripada   pemilihan
    Majlis  Tertinggi  yang telah  diadakan  sejak  UMNO
    ditubuhkan.
    
    5.    Kali ini ramai yang mungkin berpendapat bahawa
    ia  kurang  demokratik.  Yang  pertama,  kita  telah
    putuskan  dalam  Mesyuarat Agung tahun  lalu  bahawa
    pertandingan  untuk  jawatan Presiden  dan  Timbalan
    Presiden tidak akan diadakan kali ini.  Kedua,  kita
    telah  mengharamkan  kempen dan mensyaratkan  bahawa
    calon-calon      bagi      jawatan-jawatan      yang
    dipertandingkan   mendaftarkan   nama   mereka    di
    ibupejabat, tanpa apa-apa deklarasi mengenai  agenda
     mereka jika dipilih.
    
    6.   Kemudian kita tentukan bahawa bahagian-bahagian
    tidak perlu menyatakan siapakah daripada calon-calon
    yang  telah mendaftar menjadi pilihan mereka.  Semua
    bahagian  dikehendaki mencalonkan semua  calon  yang
    telah mendaftar untuk semua jawatan.
    
    7.    Berbanding  dengan kebebasan dalam  pemilihan-
    pemilihan dahulu, tentulah ternampak pemilihan  kali
    ini  kurang  bebas.  Namun ia tidak boleh  dikatakan
    tidak demokratik.
    
    8.    Dahulu,  di  zaman Dato Onn  dan  Tunku  Abdul
    Rahman,  pemilihan Majlis Tertinggi  diadakan  tiap-
    tiap  tahun  tanpa apa-apa masalah.  Biasanya  tidak
    ada   rebutan   hangat  untuk  jawatan-jawatan   dan
    keahlian  dalam  Majlis  Tertinggi.   Walaupun  pada
    mulanya  di  zaman Dato Onn semua jawatan,  termasuk
    Setiausaha  Agung,  Ketua Penerangan  dan  Bendahari
    dipertandingkan, tetapi tidak ada masalah  berkenaan
    pemilihan  mereka.   Pilihan dibuat  secara  terbuka
     dengan  mengangkat tangan sahaja.  Pencalonan dibuat
    pada  masa  itu  juga.   Biasanya  pemegang  jawatan
    dipilih semula tanpa dicabar.
    
    9.     Apabila  Tunku  Abdul  Rahman  mengambilalih,
    pindaan  dibuat  kepada  Perlembagaan  UMNO   supaya
    Setiausaha  Agung,  Bendahari dan  Ketua  Penerangan
    dipilih oleh Yang di-Pertua.  Sebabnya ialah  kerana
    pegawai-pegawai ini perlu bekerja rapat dengan  Yang
    di- Pertua Parti.
    
    10.  Selain daripada itu, Yang di-Pertua juga diberi
    hak  melantik lima orang ahli Majlis Tertinggi  atas
    budi-bicaranya sendiri.  Ini adalah untuk menentukan
    orang  yang  tidak terpilih tetapi  dipercayai  oleh
    Yang  di-Pertua boleh menyumbang kepada  Parti  akan
    dapat  memainkan peranan dalam Parti.   Sudah  tentu
    hak-hak  ini  menjadikan Yang di-Pertua  lebih  kuat
    dalam Parti.
    11.  Semua pindaan kepada pemilihan Majlis Tertinggi
    ini  telah  dipersetujui  dalam  Perhimpunan  Agung.
    UMNO  sedar  pada ketika itu lagi bahawa  jika  UMNO
     mahu  diiktiraf sebagai mewakili orang Melayu  dalam
    rundingan  dengan  British,  gambaran  bahawa   UMNO
    adalah  bersatupadu dan pemimpinnya  disokong  penuh
    oleh  ahli-ahli  dan  orang  Melayu  amnya  mestilah
    ternampak  nyata.  Jika tidak, pihak  British  tidak
    akan  menghiraukan  UMNO dan orang  Melayu.   Mereka
    akan terus mengugut Raja-raja Melayu supaya menerima
    semua rancangan mereka.
    
    12.   Kejayaan  UMNO memang berasas kepada  anggapan
    bahawa UMNO adalah `solid' atau tumpat, dan apa juga
    pendirian  Yang  di-Pertua UMNO  tetap  mencerminkan
    pendirian  semua ahli UMNO.  Pihak British  akhirnya
    terpaksa   memberi   kemerdekaan kepada  Persekutuan
    Tanah  Melayu pada 1957, iaitu dua tahun lebih  awal
    kerana mengikut kehendak UMNO.
    
    13.  Amalan memilih Ahli-ahli Majlis Tertinggi tiap-
    tiap  tahun  diberhentikan selepas  peristiwa  1969.
    Apabila  politik  dibenarkan  semula,  UMNO  membuat
    keputusan   untuk   mengadakan   pemilihan    Majlis
     Tertinggi tiga tahun sekali.
    
    BUDAYA MELAYU LAMA KUATKAN UMNO
    
    14.   Budaya  politik  orang Melayu  berubah  secara
    beransur-ansur.     Sementara   jawatan    Presiden,
    Timbalan  Presiden,  Naib  Presiden  tidak   dicabar
    sehingga tahun 1972, jawatan Ketua Pemuda dan  Ketua
    Wanita mula dipertandingkan.
    
    15.   Kita  harus  bersyukur kerana budaya  merebut-
    rebut  tempat  dalam  parti tidak  ada  semasa  UMNO
    ditubuhkan  dan budaya ini tidak mewarnakan  politik
    UMNO    sehinggalah    selesai   perjuangan    untuk
    kemerdekaan.  Tunku  Abdul  Rahman  telah   dijemput
    dengan  rela hati oleh pemimpin-pemimpin  UMNO  yang
    tidak bersetuju dengan Dato Onn walaupun Tunku tidak
    terlibat secara langsung dengan UMNO sebelum menjadi
    Yang   di-Pertua.  Almarhum  tidak   meminta   untuk
    dicalonkan  dan tidak berkempen apabila  dicalonkan.
    Dato  Onn  pula tidak dikalahkan dalam pertandingan.
    Allahyarham     meletakkan     jawatannya     kerana
     pendiriannya  tidak  diterima  oleh  majoriti   ahli
    Majlis Tertinggi UMNO pada ketika itu.
    
    16.    Walaupun   pemergian  Dato  Onn   menyebabkan
    beberapa pemimpin tertinggi UMNO mengikutnya, tetapi
    UMNO  dapat  dipulih semula oleh Tunku Abdul  Rahman
    dengan disokong oleh Dato Abdul Razak, Sardon, Senu,
    Khir  Johari, Aziz Ishak dan tokoh-tokoh  UMNO  yang
    lain. Di masa yang sama mereka yang sejak awal  lagi
    tidak  bersetuju dengan Dato Onn, seperti Dr  Ismail
    dan  abangnya Sulaiman Abdul Rahman, mula  menyertai
    kepimpinan UMNO.
    
    17.   Barisan kepimpinan UMNO yang terbentuk setelah
    Dato  Onn  meninggalkan parti masih terdiri daripada
    orang  Melayu lama iaitu orang Melayu yang bersopan-
    santun dan berbudi bahasa, yang tidak ghairah  untuk
    merebut  jawatan.   Demikian juga  tokoh-tokoh  lain
    dalam  parti  tidak berminat untuk  merebut  jawatan
    dalam Majlis Tertinggi melainkan jika ada kekosongan
    dan  nama  mereka  dicadangkan.  Kerap  juga  mereka
     menolak pencalonan mereka.
    
    18.  Mungkin budaya berlemah-lembut ini tidak sesuai
    dengan  politik  dan menjadikan UMNO  tidak  agresif
    dalam  melawan penjajah seperti parti-parti  politik
    lain  di  Asia  Selatan, Asia Tenggara  dan  Afrika.
    Tetapi  dengan tidak ada cabaran terhadap kepimpinan
    UMNO,  UMNO  telah  menjadi kuat  dan  kepimpinannya
    mempunyai   kredibiliti.   Dengan  itu  UMNO   dapat
    memperjuangkan  kemerdekaan  dengan  jayanya.   Jika
    kepimpinan   'gentlemen'  seperti   Tunku   dicabar,
    kemungkinannya  ialah  British  akan  melaga-lagakan
    pihak-pihak tertentu dalam UMNO dan melewat-lewatkan
    proses kemerdekaan.
    
    19.   Walaupun  Tunku tidak dicabar tetapi  Almarhum
    tidak  bergantung semata-mata kepada sifat berlemah-
    lembut   orang  Melayu.   Selain  daripada   membuat
    perubahan berkenaan dengan jawatan-jawatan  tertentu
    dalam UMNO, Tunku juga menghapuskan UMNO Negeri  dan
    menggantikannya  dengan  Perhubungan  UMNO   Negeri.
     Dengan  itu  perwakilan ke Perhimpunan Agung  datang
    daripada   Bahagian-bahagian   dan   tidak   seperti
    sebelumnya  daripada UMNO Negeri  yang  sudah  tentu
    lebih kuat dan lantang daripada Bahagian UMNO.
    
    20.   Sepanjang kepimpinan Tunku, tidak ada  cabaran
    yang  serius  terhadapnya  walaupun  di  tahun-tahun
    akhir  kepimpinan beliau kedengaran pendapat  bahawa
    beliau  sudah terlalu lama menjadi Perdana  Menteri.
    Terdapat  juga pendapat bahawa mungkin  ada  baiknya
    jika  jawatan  Perdana Menteri  dipisahkan  daripada
    jawatan Yang di-Pertua UMNO.  Ada juga resolusi pada
    tahun-tahun  sebelum  pilihanraya  1969  supaya  Tun
    Razak   mengambilalih  kepimpinan  parti  dan   juga
    menjadi Perdana Menteri.
    
    21.   Cabaran  terhadap pucuk pimpinan  parti  tidak
    akan   mempunyai   apa-apa   kesan    selagi    yang
    mencabar tidak mempunyai taraf yang sama atau hampir
    sama  dengan  pemegang jawatan.  Cabaran  oleh  ahli
    biasa tidak ada makna dan tidak mungkin berjaya.
     
    22.   Mengikut  adat resam orang Melayu  yang  masih
    kekal   di  masa  itu,  adalah  kurang  sopan   bagi
    seseorang  yang  sedang berada  bersama  dalam  satu
    jawatankuasa,  bahkan  dalam satu  Kabinet  mencabar
    ketuanya.  Budaya Melayu lama tidak membenar sesiapa
    yang  setaraf  atau hampir setaraf dengan  Yang  di-
    Pertua  untuk  cuba merebut jawatan Yang  di-Pertua.
    Oleh  itu walaupun ada resolusi di peringkat bawahan
    supaya  Tun  Razak  mengambilalih  tempat  Yang  di-
    Pertua,  tetapi  Tun sendiri menolak  cadangan  ini.
    Dengan  ini  barisan kepimpinan  UMNO  tidak  pecah.
    Tetapi  ada  tanda-tanda yang  Tunku  sendiri  telah
    berasa  kurang  senang dengan Tun  Razak  dan  ingin
    melihat  seorang  tokoh lain  menduduki  tempat  Tun
    dalam Parti dan Kerajaan.  Namun Tunku tidak membuat
    apa-apa kerana menyingkir Tun Razak daripada jawatan
    Timbalan Yang di-Pertua dan Timbalan Perdana Menteri
    juga  merupakan  tindakan yang tidak  sesuai  dengan
     adat  resam  orang Melayu. Penyingkiran  Abdul  Aziz
    Ishak  tidak  sama  dengan keadaan  jika  Tun  Razak
    disingkir.
    
    KEMUNCULAN BUDAYA BARU DALAM UMNO
    
    23.   Budaya  Melayu lama melalui perubahan  sedikit
    demi  sedikit  sehinggalah peristiwa  1969  berlaku.
    Rusuhan pada bulan Mei tahun itu menjadi kejutan dan
    faktor  yang besar dalam mengubah sikap orang Melayu
    terhadap  pemimpin.  Tunku diselar sehingga Almarhum
    sendiri    berpendapat   bahawa    populariti    dan
    pengaruhnya  sudah luput.  Almarhum sendiri  membuat
    keputusan  untuk mengundur diri dan  memberi  tempat
    kepada Tun Razak.
    
    24.     Peralihan    kepimpinan    berlaku    tetapi
    pertandingan antara pemimpin tertinggi  masih  tidak
    ada.   Justeru  itu, barisan kepimpinan  UMNO  masih
    tidak  retak.  Keadaan hampir kembali kepada  budaya
    lama  sehinggalah Dato Hussein Onn sebagai  Presiden
    Parti  dicabar oleh ahli biasa, iaitu Haji  Suleiman
    Palestin.   Ini  bukanlah  cabaran yang  `credible',
     namun  ia  memecah tradisi UMNO.  Selepas  itu  agak
    mudah   jawatan  Naib  Presiden  dan  juga  Timbalan
    Presiden dipertandingkan.
    
    25.   Tradisi  akhirnya  hancur  apabila  buat  kali
    pertama   cabaran  yang  `credible'  untuk   jawatan
    Presiden  dibuat  pada tahun 1987  dan  pertandingan
    yang  sengit  diadakan.   Adat  resam,  sopan-santun
    Melayu  hapus  dengan pertandingan ini.   Buat  kali
    pertama  wang  diguna  secara meluas.   Kempen  yang
    diadakan tidak lagi terhad.  Tuduhan  terbuka   oleh
    calon  dan  penyokong yang memburukkan bukan  sahaja
    calon   tetapi  Parti  dan  Kerajaan   dibuat   yang
    melemahkan kedua-duanya.
    
    26.   Akhirnya masalah Parti dibawa ke mahkamah  dan
    Parti yang sedang memerintah diharamkan.  Pergelutan
    berlaku untuk menubuh parti yang memiliki nama UMNO.
    Pihak  yang  gagal tidak sanggup menerima  kenyataan
    dan terus menubuhkan sebuah parti lain untuk melawan
    parti  yang  jelas  mewarisi  UMNO.   Alhamdulillah,
     perasaan benci-membenci ini telah reda dan hari  ini
    ahli-ahli  parti yang ditubuhkan untuk melawan  UMNO
    akan  kembali  semula  kepada UMNO.   Bermaaf-maafan
    masih  menjadi sebahagian daripada adat resam  orang
    Melayu  dan  dengan itu perpecahan dapat  digantikan
    dengan  perpaduan.  Yang putus adalah benang,  bukan
    arang.    Kita   mengalu-alukan   kembalinya   rakan
    seperjuangan kita ke pangkuan UMNO supaya kita dapat
    bersama-sama memperjuangkan nasib kaum bangsa  kita,
    insya-Allah.
    
    27.   Walaupun yang terputus sudah disambung  semula
    tetapi   kesan  rebutan  jawatan  ini  menghancurkan
    secara  langsung  budaya Melayu  lama.   Dalam  UMNO
    pertandingan  untuk  apa  juga  jawatan  tidak  lagi
    beradab sekarang. Apa juga cara, termasuk penggunaan
    wang  secara  besar-besaran, digunakan  walaupun  di
    peringkat  Cawangan dan Bahagian.  Tidak  syak  lagi
    bahawa  perpaduan dalam Parti tidak akan kekal  jika
    rebutan  seperti ini berlaku.  Pisang mungkin  tidak
     berbuah dua kali. Tetapi parti politik bukan pisang.
    
    28.   Permusuhan  politik di kalangan  orang  Melayu
    biasanya  berlanjutan ke dalam bidang  sosial  juga.
    Demikian  sejak awal lagi orang UMNO dan  PAS  tidak
    boleh  berkawan walaupun di luar parti.  PAS membawa
    budaya ini ke tahap yang keterlaluan.  Mereka  paksa
    ahli-ahli  dan  penyokong-penyokong mereka  berpisah
    sama  sekali  dengan ahli-ahli UMNO sehingga  mereka
    tidak boleh menghadiri majlis perkahwinan atau  apa-
    apa  kenduri  yang  diadakan oleh ahli  UMNO,  tidak
    boleh  berkahwin dengan anak ahli UMNO, tidak  boleh
    sembahyang  bersama-sama ahli-ahli  UMNO  dan  tidak
    boleh dikebumikan di kubur yang sama.
    
    29.  Budaya ini sedikit sebanyak terdapat juga dalam
    UMNO  sehingga jika ada pertandingan untuk  jawatan,
    permusuhan  secara kekal berlaku.   Segala  tindakan
    untuk  melemahkan pemenang akan diambil  oleh  pihak
    yang  kalah  dan sebaliknya.  Perpaduan dalam  parti
     hancur.   Dengan  ini  tiap-tiap  pertandingan  akan
    menyebabkan  pihak  yang menang mempunyai  penyokong
    yang  semakin merosot bilangannya.  Jika proses  ini
    diteruskan UMNO akan mempunyai keahlian yang semakin
    kecil.
    
    30.   Kita percaya ini tidak berlaku kerana bilangan
    ahli UMNO bertambah sepanjang masa.  Tetapi tambahan
    ini adalah kerana ahli baru.  Ahli yang lama semakin
    merosot bilangan mereka kerana yang kalah kecewa dan
    mengasingkan diri daripada UMNO.  Mereka yang dahulu
    mendapat   tempat   dan   jawatan   dalam   Kerajaan
    sekalipun, apabila sahaja kalah, akan `bersara'  dan
    tidak  aktif  lagi.   Hanya  beberapa  kerat  sahaja
    daripada  veteran-veteran ini yang terus  aktif  dan
    sanggup menyokong pengganti mereka.
    
    31.   Perubahan  budaya UMNO dan  orang  Melayu  ini
    perlu  diakui  oleh  Parti dan  usaha  dibuat  untuk
    menanganinya.  Bukanlah semua daripada budaya Melayu
    baru  ini  tidak  baik.  Sebenarnya banyak  daripada
     pertukaran  adat resam dan sopan-santun  Melayu  ini
    membawa  kebaikan.  Tetapi bahawa mereka tidak  lagi
    segan  untuk  menonjolkan diri dan bersaing  mungkin
    boleh membawa kepada perpecahan kepimpinan Parti dan
    UMNO.  Lainlah dalam bidang perniagaan, dimana  kita
    mesti  sanggup  bersaing  secara  terbuka,  menyusun
    strategi   untuk   menang,  bagi   mewujudkan   ahli
    perniagaan  dan pengusaha Melayu yang berwibawa  dan
    berjaya.   Kerana  yakin akan kebolehan  diri,  kita
    lebih  mungkin  berjaya membentuk satu  bangsa  yang
    dihormati  oleh  bangsa-bangsa  lain,  bukan  kerana
    keangkuhan bangsa tetapi kerana kejayaan yang  jelas
    dicapai oleh kita.
    
    32.   Tetapi  'self-confidence', kepercayaan  kepada
    kebolehan   diri,  tidak  boleh  dibenar  menjadikan
    seseorang  itu  `over-confident'  atau  angkuh   dan
    sombong  kerana terlalu percaya kepada diri sendiri.
    Bahayanya  `over-confidence' ialah apabila  mengejar
    kejayaan bagi diri, kesan terhadap pihak lain dilupa
     dan  diketepikan.   Demikian dalam  bidang  politik,
    seseorang  tokoh  mungkin berjaya sehingga  mendapat
    jawatan  tertentu, tetapi parti mungkin akan  hancur
    kerana  cara  kempen yang dilakukan  olehnya.   Jika
    logik  ini  diteruskan kita akan  mendapat  pemimpin
    yang  cekap berkempen yang akan memimpin parti  yang
    semakin   kecil.   Akhirnya  akan  tinggal  pemimpin
    sahaja tetapi tidak ada orang yang hendak dipimpin.
    
    33.   Ini  bukan satu ramalan yang keterlaluan.   Di
    sesetengah  negara  kerap berlaku  perpecahan  dalam
    parti politik tiap kali pemilihan pemimpin diadakan.
    Dan akhirnya bilangan parti bertambah dan permusuhan
    antara   mereka   menjadi   lebih   utama   daripada
    penyelesaian  masalah negara.  Di negara  kita  juga
    perpisahan   di   antara  UMNO   dengan   Dato   Onn
    menyebabkan   parti-parti  IMP  dan   Parti   Negara
    ditubuhkan, sementara pertandingan pada  tahun  1987
    menyebabkan   parti  Semangat  46  pula  ditubuhkan.
     Alhamdulillah, majoriti orang Melayu menyokong  UMNO
    (Baru)  dan  keadaan dapat dipulihkan.  Apakah  akan
    jadi jika parti masing-masing mendapat sokongan yang
    sama banyak?  Tentulah parti lawan yang akan menang.
    
    LARANGAN KEMPEN UNTUK SELAMATKAN UMNO
    
    34.   Tetapi  kita  tidak  boleh  membiarkan  sahaja
    budaya   Melayu  ini  berubah  tanpa  kita   membuat

     perubahan  dalam cara kita berpolitik supaya  budaya
    baru  ini  tidak menghancurkan kita.   Sebab  itulah
    dalam pemilihan pemimpin kali ini kita telah membuat
    beberapa  perubahan.  Dengan persetujuan Perhimpunan
    Perwakilan   tahun  lepas,  jawatan   Presiden   dan
    Timbalan  Presiden  tidak dipertandingkan.   Mungkin
    ada   anggapan  bahawa  ini  adalah  cara  kedua-dua
    pemimpin  ini menyelamatkan diri.  Tetapi  keputusan
    ini   dibuat  secara  spontan,  tanpa  kempen   oleh
    sesiapa.   Jika  saya tidak salah, niat  kita  ialah
    untuk  mengelak daripada kempen dan pergelutan  yang
    akan  memecah-belahkan Parti  seperti  yang  berlaku
    dalam tahun 1987.
    
    35.     Penyokong-penyokong   calon   tidak   begitu
    mengambil  berat  akan  nasib  buruk  Parti.    Bagi
    kebanyakan  daripada  mereka,  pertandingan   antara
    pemimpin  yang  memegang jawatan  Kerajaan  bermakna
    peluang;  peluang untuk mengekalkan  jawatan  mereka
    jika  `incumbent' menang atau peluang untuk mendapat
     jawatan    jika   pencabar   menang.    Tidak    ada
    pertandingan bermakna tidak ada peluang.  Tidak  ada
    pertandingan sengit bermakna kurang balasan budi.
    
    36.   Generasi  muda  akan mewarisi  parti.   Tetapi
    biarlah  parti  yang  akan diwarisi  ini  kukuh  dan
    selamat.   Tidak  ada  gunanya mewarisi  parti  yang
    lumpuh  dan  tidak  bermaya.  Seperti  kata  pepatah
    Melayu, "menang jadi arang, kalah jadi abu".
    
    37.   Dengan tidak adanya pertandingan bagi Presiden
    dan  Timbalan Presiden demokrasi dalam parti mungkin
    tercemar  sedikit, tetapi kita akan  lebih  selamat.
    Ingatlah  demokrasi adalah untuk kebaikan parti  dan
    bukan  parti  diadakan  untuk demokrasi.   Demokrasi
    tanpa parti yang berwibawa tidak bermakna.
    
    38.   Larangan  terhadap berkempen  menjadi  penting
    kerana  cara-cara yang tidak sihat  digunakan  dalam
    kempen.   Dahulu,  semasa UMNO mengadakan  pemilihan
    Majlis  Tertinggi tiap-tiap tahun tidak ada  masalah
     yang  menimpa  parti.   Sebabnya  ialah  calon-calon
    tidak  berkempen.   Mereka bergantung  kepada  rekod
    mereka  dalam parti atau dalam Dewan-dewan  Undangan
    tertentu.  Sudah  tentu jika mereka menjadi  Menteri
    prestasi  mereka ternampak jelas dan mudah  dinilai.
    Tetapi harus diingat bukan semua yang dilakukan oleh
    Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar atau  Ahli
    Dewan dalam menjalankan tugas akan menjadikan mereka
    popular.  Yang penting ialah ahli-ahli dapat menilai
    sendiri  prestasi  calon-calon  tanpa  kempen   yang
    sengaja memburukkan imej atau mendewa-dewakan calon.
    
    39.   Yang  harus diingat juga ialah sebelum  mereka
    mendapat  tempat  sebagai Ahli-ahli Yang  Berhormat,
    prestasi  mereka di peringkat negeri, atau bahagian,
    atau  cawangan hendaklah baik dan menarik perhatian.
    Dengan perkataan lain, proses mendapat tempat  dalam
    parti  bermula  di peringkat bawahan.  Kadang-kadang
    ianya  mengambil  masa yang lama  sebelum  ketokohan
     seseorang  itu  dikenali dan  diiktiraf.   Hari  ini
    ramai  yang  ingin `lompat katak', entah dari  mana,
    untuk menduduki tempat tertinggi dalam parti secepat
    mungkin.
    
    40.   Jika  tidak ada kempen ada pihak yang mendakwa
    kononnya   teraniayalah   orang   tertentu    kerana
    kebolehannya tidak dapat ditonjolkan.   Tetapi  jika
    ada  kempen pun ada yang akan menjadi mangsa  kerana
    mereka  tidak  berupaya  berkempen  sedangkan   yang
    kurang  berbakat  mampu menggunakan taktik  tertentu
    yang boleh menonjolkan diri mereka.  Sebenarnya yang
    cekap  dan  mampu berkempen dengan cara  yang  tidak
    sihat  mungkin  terdiri daripada  orang  yang  tidak
    sesuai  untuk memimpin parti.  Kemungkinannya  ialah
    dengan  cara  kempen  sekarang,  orang  yang   tidak
    mempunyai  prinsip  dan  suka  sogok  akan  memimpin
    parti.   Parti tetap akan hancur jika orang  seperti
    ini   memimpin  parti  sehingga  ke  peringkat  yang
    tertinggi.   Parti UMNO akan dipimpin oleh  perasuah
     yang  membeli jawatan dan bukan mendudukinya  kerana
    kebolehan  yang diperlukan oleh Parti dan  Kerajaan.
    Malaysia yang dipimpin oleh pemimpin yang korup akan
    merosot  prestasinya  dan  mustahil  Malaysia  boleh
    menjadi  negara  yang berjaya. Kita  akan  dipandang
    hina oleh orang lain.
    
    41.   Jika kita melarang kempen dan membuat beberapa
    peraturan untuk pemilihan kali ini, tujuannya  ialah
    untuk  menyelamatkan parti.  Yang penting dan  utama
    ialah  Parti,  bukan  individu  tertentu.   Individu
    boleh  dikecewakan  tetapi Parti perlu  selamat  dan
    berwibawa  selama yang mungkin.  Mereka yang  kecewa
    harus  ingat bahawa jika ada kempen pun, kemungkinan
    mereka   kecewa  ada  juga.   Daripada  segi  Parti,
    kekecewaan beberapa tokoh tidak dapat dielakkan sama
    ada  kempen  dibenar atau tidak dibenarkan.   Tetapi
    tanpa kempen, kerosakan kerana ada calon yang kecewa
    tidaklah seburuk kerosakan kerana kempen yang  buruk
    dan sengit yang boleh memecah-belahkan Parti.
     
    42.   Kekecewaan  di kalangan calon  adalah  perkara
    biasa apabila pertandingan diadakan.  Tentu ada yang
    akan  kalah.   Mustahil rebutan untuk  satu  jawatan
    oleh  lebih  daripada seorang tidak akan menyebabkan
    ada  yang  kalah.  Jika kita kalah dan kita  sanggup
    menerimanya,  maka terselamatlah Parti.   Jika  kita
    tidak  sanggup menerima kekalahan maka adalah  lebih
    baik  kita  tidak  bertanding.  Yang  penting  dalam
    pertandingan  ialah semua pihak menerima  keputusan.
    Sepertimana kita mahu pihak yang kalah menerima kita
    yang   menang,  kita  juga,  apabila  kalah,   mesti
    menerima yang menang.
    
    43.  Jika kita miliki budaya pertandingan, kita akan
    sanggup  menerima  apa  sahaja  keputusan.   Selesai
    pertandingan maka kita mesti rapatkan semula barisan
    kita  dan kita hadapi cabaran parti lawan.   Seperti
    yang  saya  katakan tadi yang penting  ialah  parti,
    bukan   individu  tertentu.   Parti  tanpa  individu
     tertentu  akan  dapat  berpolitik  secara  berkesan,
    individu  tanpa  parti akan menjadi suara  kecil  di
    hutan belantara.
    
    44.   Walaupun tidak ada kempen, tokoh  yang  betul-
    betul   baik   tetap  akan  menarik  perhatian   dan
    sokongan.  Sedikit  demi sedikit  ketokohannya  akan
    diakui dan ia akan naik ke atas dan mungkin akhirnya
    menjawat  jawatan yang tertinggi sekali.  Ini  bukan
    mustahil  kerana pemimpin-pemimpin UMNO yang  dahulu
    tidak  berkempen, tetapi dapat menjadi pemimpin  dan
    memegang jawatan-jawatan tinggi dalam Kerajaan.
    
    45.   Saya sedar adanya kemarahan di kalangan calon-
    calon  dan  ahli-ahli kerana tidak puas hati  dengan
    tindakan  mengharamkan secara langsung kempen  dalam
    pemilihan  ahli Majlis Tertinggi kali  ini.   Macam-
    macam sekatan telah diadakan sehinggakan tidak siapa
    pun  kononnya  dapat bergerak.  Saya kata  kononnya,
    kerana umum mengetahui ada yang bergerak.  Kita tahu
    siapa  di antara calon-calon yang aktif, menggunakan
     nama   saya  dan  nama  Timbalan  Presiden,   bahkan
    menghulurkan wang.  Kemenangan mereka tidak menjamin
    tindakan  tidak akan diambil kemudian  apabila  kita
    mempunyai bukti yang cukup.  Dan wakil-wakil yang ke
    sana  ke  sini untuk meminta itu dan ini, juga  akan
    diambil  tindakan disiplin walaupun pemilihan  sudah
    selesai.
    
    UMNO GERAKAN REFORMASI YANG BERKESAN
    
    46.   Tindakan  luarbiasa ini  diambil  kerana  UMNO
    terlalu  penting  bagi orang Melayu  dan  Bumiputera
    lain.   UMNO bukan sahaja parti politik yang memberi
    peluang  kepada orang tertentu mendapat jawatan  dan
    tempat  yang tinggi dalam Negara.  UMNO  juga  bukan
    semata-mata    bertujuan   untuk   memerintah    dan
    membangunkan negara ini.  UMNO adalah lebih daripada
    semua itu.  UMNO adalah suatu gerakan reformasi atau
    gerakan  pembaharuan  bangsa Melayu  dan  Bumiputera
    yang  lebih  mampu  dan berkesan daripada  mana-mana
    gerakan  reformasi yang lain.  Sama  ada  kita  akan
     dapat menebus maruah kita atau tidak, menjadi bangsa
    yang  dihormati  dan dipandang tinggi  oleh  bangsa-
    bangsa  lain  di dunia atau tidak, dan menjadi  satu
    daripada  bangsa maju atau tidak, bergantung  kepada
    reformasi  budaya  yang telah dan akan  dibawa  oleh
    UMNO.   Jika UMNO gagal membawa reformasi  ini  maka
    bangsa  kita, Melayu terutamanya bersama  Bumiputera
    lain  akan  kembali dihina dan diperhambakan.   Saya
    yakin tidak ada seorang pun daripada ahli UMNO  yang
    ingin  kita  kembali  kepada  keadaan  orang  Melayu
    semasa dijajah dahulu.  Bahkan kita tidak pun  ingin
    melihat  kita  kembali kepada keadaan  kita  sebelum
    1969  di  waktu  mana kemerdekaan kita  agak  kosong
    kerana kita masih menjadi bangsa yang mundur,  tidak
    berilmu  dan  tidak  berjaya dalam  apa  bidang  pun
    selain daripada politik.
    
    47.   Keadaan  orang Melayu dan Bumiputera  lain  di
    waktu ini sudah berubah.  Tidak ada siapa lagi  yang
    menyoal  kemampuan kita mentadbir  dan  membangunkan
     negara kita.  Kita dapat buktikan bahawa pentadbiran
    kita   bukan   sahaja  jauh  lebih   baik   daripada
    pentadbiran  penjajah  dahulu  tetapi   lebih   baik
    daripada kebanyakan negara lain termasuk negara maju
    sekarang.  Bangsa yang kononnya tidak faham ekonomi,
    perniagaan  dan perusahaan, kini bukan sahaja  dapat
    membangunkan  ekonomi  negara dengan  begitu  tinggi
    tetapi dapat menjadi contoh dalam pengurusan ekonomi
    kepada   negara-negara   lain.    Bumiputera    yang
    dikatakan  tidak  tahu  berniaga,  yang  cuma  mampu
    menjadi `Ali' dalam perkongsian `Ali Baba', hari ini
    memiliki dan mengurus firma-firma canggih yang  maju
    jaya,   bermodal   berbilion  ringgit   dan   meraih
    keuntungan   yang   setanding   dengan   firma-firma
    antarabangsa.    Mereka  mampu   membeli   syarikat-
    syarikat  milik bukan Bumiputera bahkan milik  orang
    asing  di  luar  negara. Dalam bidang perbankan  dan
    telekomunikasi,  bidang  penerbangan  dan   industri
     motor,   Melayu   dan  Bumiputera   setanding   atau
    mendahului  kaum-kaum lain di Malaysia.  Dan  banyak
    lagi   kejayaan   yang  dicapai  oleh   Melayu   dan
    Bumiputera  kerana reformasi budaya yang  diusahakan
    oleh Kerajaan pimpinan UMNO dan UMNO sendiri.
    
    48.   Namun  prestasi  negara, prestasi  Melayu  dan
    Bumiputera belum lagi sampai ke puncaknya.  Ia belum
    sampai  kepada  tahap yang boleh menjamin  ia  dapat
    dikekalkan  tanpa diawasi dan dipelihara  oleh  UMNO
    dan  Kerajaan pimpinan UMNO.  Kita belum betul-betul
    maju.  Kita  sedang melalui proses  kemajuan.   Kita
    masih  rapuh. Jika digoncang, kita akan retak, pecah
    dan  jatuh berkecai.  Banyak lagi yang perlu  dibuat
    terutama  dalam  pembentukan budaya dan  sifat-sifat
    yang  mampu  menangkis  dan menahan  serangan.   Dan
    tanggungjawab   ini   mesti   dipikul   oleh   UMNO.
    Reformasi   yang  perlu  dibawa  mesti  dibawa   dan
    diusahakan  oleh  UMNO.   Tamadun  Melayu/Bumiputera
     baru  mesti dibentuk dan dijayakan oleh UMNO.  Parti
    dan  kumpulan-kumpulan lain bukan sahaja tidak mampu
    berbuat  demikian tetapi mereka mungkin  menyebabkan
    segala  yang telah dicapai dikembalikan kepada  yang
    asal,  mundur dan lemah. Jangan kita fikir ini tidak
    mungkin.   Kita boleh lihat bagaimana banyak  negara
    yang  dahulunya maju telah merosot kerana pertukaran
    pemerintahan kepada yang tidak berkemampuan.
    
    49.   Sesuatu  bangsa itu tidak berjaya  atau  gagal
    kerana   kumpulan  etniknya.   Orang  Eropah   bukan
    berjaya  kerana  mereka orang  kulit  putih  Eropah.
    Orang  Jepun,  Korea dan China bukan berjaya  kerana
    mereka  daripada  kumpulan etnik  Mongol.   Demikian
    juga  orang  berkulit sawo matang bukan  lemah  atau
    kuat kerana mereka daripada orang yang berkulit sawo
    matang.  Dalam semua kumpulan etnik ada yang berjaya
    dan  ada  yang gagal.  Kemungkinan untuk gagal  atau
    kemampuan untuk berjaya ada pada sesiapa sahaja.
     
    50.   Yang menentukan berjaya atau tidaknya  sesuatu
    bangsa  itu  ialah budaya bangsa itu - iaitu  jumlah
    nilai-nilai  yang  dipercayai, dipegang  dan  diamal
    oleh  bangsa  itu.  Jika kombinasi  nilai-nilai  ini
    sesuai  untuk kejayaan maka berjayalah  bangsa  itu;
    jika tidak, gagal dan mundurlah bangsa itu.  Tamadun
    yang  terkenal  dalam sejarah manusia  adalah  hasil
    budaya yang sesuai dengan pembentukan dan pencapaian
    tamadun berkenaan.
    
    UMNO MENGUBAH BUDAYA MELAYU
    
    51.  Jika pada hari ini kita telah mencapai kemajuan
    sedikit sebanyak, ia bukan sahaja kerana dasar-dasar
    Kerajaan   tetapi  yang  utamanya  kerana  perubahan
    budaya  Melayu dan Bumiputera lain yang dibawa  oleh
    UMNO.  Sebelum  adanya  UMNO, orang  Melayu  sanggup
    dihina   dan  dijajah.   UMNOlah  yang  mempengaruhi
    pemikiran orang Melayu sehingga mereka berani bangun
    menentang  penjajah  yang  mereka  telah  pertuankan
    dahulu.
    
    52.   UMNOlah  yang  menyemaikan kepercayaan  bahawa
     orang  Melayu  mampu mentadbir negara  sendiri  yang
    merdeka.   Di  waktu parti-parti  Melayu  yang  lain
    tidak  yakin  orang  Melayu boleh memerintah  negara
    sendiri,  UMNO yakin dan dapat menyakinkan  majoriti
    orang Melayu mengenai kemampuan mereka.
    
    53.    Selepas   merdeka,  timbul  masalah   mengisi
    kemerdekaan.     Pemerintahan    penjajah     dahulu
    menganggap   tugas  pentadbiran  ialah   semata-mata
    menguatkuasakan  undang-undang.   Kerajaan  pimpinan
    UMNO menganggap pentadbiran sebagai alat pembangunan
    negara  dan  rakyat.  Pendapat dan  pendekatan  UMNO
    mengenai  konsep Kerajaan adalah ciptaannya  sendiri
    dan jauh lebih bermakna dan lebih baik daripada yang
    dibawa oleh penjajah.
    
    54.  Hasilnya bangsa yang dahulu hanya boleh menanam
    padi  dan menoreh getah, sekarang boleh mengeluarkan
    barangan  canggih  dalam kilang-kilang  yang  moden.
    Daripada   bangsa  petani  muncul  bangsa  industri,
    dengan  nilai-nilai  hidup yang  berbeza  dan  lebih
     sesuai  dengan  pembangunan  negara  dan  persaingan
    dengan bangsa-bangsa lain.
    
    55.   Melayu  dan  Bumiputera di zaman  industri  di
    Malaysia  tidak sama dengan Melayu di zaman Malaysia
    sebagai  negara  pertanian.  Budaya  mereka  berubah
    secara  radikal.   Tidak semua perubahan  ini  baik.
    Tetapi  jika budaya petani Melayu dikekalkan,  tidak
    mungkin perindustrian akan berjaya dan bangsa Melayu
    terkenal seperti sekarang.
    
    56.   UMNO telah memainkan peranan dalam pembentukan
    budaya   Melayu/Bumiputera  ini  dengan   mengadakan
    pelbagai  kursus,  seminar, kajian  dan  beribu-ribu
    ucapan.   Buku  `Revolusi Mental'  dikeluarkan  oleh
    UMNO  dalam  usahanya untuk membimbing orang  Melayu
    supaya dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dari
    desa  ke  bandar, daripada petani ke pekerja kilang,
    dari  zaman  kais  pagi makan pagi dan  kais  petang
    makan petang kepada zaman pendapatan yang tetap  dan
    perbelanjaan yang terancang.
     
    57.   Mungkin ramai daripada kita tidak  sedar  akan
    reformasi  budaya yang diusahakan oleh  UMNO  secara
    langsung  atau  tidak langsung.   Tetapi  hakikatnya
    ialah  UMNO  telah mengubah budaya orang Melayu  dan
    membentuk  budaya  baru untuk  mereka.   Dan  budaya
    inilah  yang  menolong  menjayakan,  walaupun  tidak
    sepenuhnya, Dasar Ekonomi Baru.
    MEMBENTUK BUDAYA HADAPI ZAMAN MAKLUMAT
    
    58.   Tetapi budaya yang sesuai dengan Dasar Ekonomi
    Baru  belum  tentu dapat menjayakan  kita  di  Zaman
    Maklumat  yang sudah tiba.  Walaupun maklumat  boleh
    meningkatkan  kebolehan kita dalam pelbagai  bidang,
    ia juga boleh merosak dan melemahkan kita.
    
    59.   Hari  ini  kita menghadapi masalah  keruntuhan
    akhlak  dan  gejala  seperti  penyalahgunaan  dadah,
    bohsia,  mendera  anak dan membuang  anak.   Sedikit
    sebanyak   ia  berpunca  daripada  kemewahan   hasil
    perindustrian  dan  penghijrahan  dari  kampung   ke
    bandar.    Budaya  kampung  berbeza  dengan   budaya
     bandar. Di kampung kita tidak jauh daripada keluarga
    dan sahabat handai.  Kita tidak bebas membuat sesuka
    hati kita.  Kita tahu malu.
    
    60.   Di  bandar  kita hidup dalam  masyarakat  yang
    tidak  kenal  siapa.  Yang menjadi kawan  dan  rakan
    ialah  mereka  yang sebaya dengan kita.   Minat  dan
    nafsu adalah sama.  Apa yang dibuat oleh kita dibuat
    juga  oleh  rakan  kita.   Jika  kita  salah,  salah
    jugalah  mereka.  Jika mereka salah,  salah  jugalah
    kita.  Dengan itu kita tidak lagi berasa  malu  atau
    segan-silu  jika bersalah.  Apa sahaja  yang  hendak
    kita lakukan, kita lakukan.
    
    61.  Ternampak jelas yang ramai anak muda kita tidak
    dapat  menangani kebebasan yang meluas  ini.   Agama
    yang   diajar  lebih  menekankan  rupa  bentuk  yang
    dikatakan  Islam  dan bukan nilai-nilai  Islam  yang
    mulia.   Soal titik bengik diutamakan, tidak perkara
    yang  berat.   Justeru itu, walaupun pada  permukaan
    pegangan  kepada agama ternampak lebih kuat sekarang
     tetapi   sebenarnya  kefahaman  agama  dan  pegangan
    kepadanya  amat lemah.  Hakikatnya ialah  kebanyakan
    daripada  mereka  yang  terjebak  dengan  dadah  dan
    perbuatan-perbuatan  curang terdiri  daripada  anak-
    anak  kita  yang beragama Islam.  Tentu ada  sesuatu
    yang  tidak kena dalam didikan akhlak yang dikatakan
    berasas  kepada agama.  Agama tidak  salah.   Tetapi
    kita tahu apa yang diajar kepada kita ialah tafsiran
    dan pandangan orang tertentu.  Sebab itu orang Islam
    terbahagi    kepada   berbagai-bagai   mazhab    dan
    kepercayaan,   termasuk   yang   jelas   salah   dan
    bertentangan  dengan  Islam  yang  sebenar.   Kerana
    kesalahan   tafsiran   yang  mempunyai   kepentingan
    tertentu,  agama  yang sepatutnya  menjadi  benteng,
    sudah tidak lagi melindungi kita.
    
    62.   Kerajaan  telah cuba untuk membentuk  peribadi
    yang  mampu menangani masalah hidup di bandar dengan
    kemewahannya   melalui  program  rakan   muda   yang
     termasuk  juga  amalan  dan  ajaran  agama.   Tetapi
    ternyata kemajuan setakat ini menunjukkan kita belum
    dapat  menangani  masalah ini dengan  baik.   Apakah
    kita  dapat  membentuk generasi yang  kian  terdedah
    kepada  maklumat  dan nilai-nilai hidup  yang  boleh
    merosakkan  lagi budaya mereka, menggantikan  tempat
    kita?
    
    63.    Kita  tidak  dapat  menyisihkan  bangsa  kita
    daripada  dunia luar.  Mahu tidak mahu kita terdedah
    kepada  budaya  asing yang ghairah dengan  seks  dan
    keganasan.  Terpesong oleh nafsu, ilmu yang  berguna
    dalam    zaman   maklumat   tidak   dituntut   untuk
    mendatangkan  faedah  bagi  kita.   Sebaliknya  kita
    asyik dengan melayan nafsu.
    
    64.  Akhirnya kita akan tergelungsur ke belakang dan
    kembali  kepada  status  kita  sebagai  bangsa  yang
    dihina dan dijajah.
    
    65.   Semua  ini tidak akan berlaku atau tidak  akan
    menjadi  terlalu  berat jika kita berjaya  membentuk
    budaya   yang  boleh  mempertahankan  kita  daripada
     gejala-gejala buruk zaman maklumat.  Untuk ini  kita
    perlu kepada kepimpinan yang gagah dan bersih.   Dan
    kepimpinan ini mesti datang daripada UMNO.
    
    66.   Kualiti kepimpinan dalam UMNO akan  menentukan
    jaya  atau  tidaknya bangsa kita di zaman  maklumat.
    Kerana UMNO bukan sahaja perlu berpolitik, UMNO juga
    perlu  menerajui reformasi budaya supaya  kita  akan
    dapat  mempertahankan  diri  kita  daripada  dirasuk
    `syaitan'  yang  akan datang bersama dengan  ledakan
    maklumat   dan  kemewahan.   `Syaitan'  ini   dengan
    `syaitan' yang merasuk semasa kemiskinan, yang boleh
    membawa kepada kekufuran, sama sahaja.  Justeru itu,
    kita   tidak   dapat  mencari  perlindungan   dengan
    mengekalkan kemiskinan dan melindungi diri  daripada
    maklumat zaman ini.  Melarikan diri daripada masalah
    bukan caranya untuk menangani masalah.  Bangsa  yang
    bertamadun perlu menghadapi dan mengatasi masalah.
    
    KESAN PILIH PEMIMPIN YANG RASUAH
    
     67.   Apakah jenis pemimpin yang diperlukan?   Sudah
    tentu  bukan pemimpin yang tidak bermoral, perasuah,
    pemimpin  yang lebih mengutamakan kedudukan daripada
    kehormatan dan kejayaan bangsa, agama dan negara.
    
    68.   Memang biasa terjadi pemimpin yang bersih  pun
    tergoda oleh duit ringgit apabila mendapat kuasa dan
    peluang.
    
    69.    Tetapi  mereka  yang  awal-awal  lagi   sudah
    menunjukkan  sifat-sifat yang buruk,  yang  menyogok
    untuk  mendapatkan  tempat, yang  tidak  segan-segan
    menyalahgunakan   kuasa  dan  peluang   untuk   diri
    sendiri,  sudah tentu mereka ini akan lebih  sanggup
    disogok   apabila   mendapat  tempat   dan   menjadi
    pemimpin.  Pemimpin  yang  telah  menghulurkan  wang
    untuk  mendapatkan sokongan sudah tentu  tidak  akan
    teragak-agak  menerima wang sogokan untuk  menyokong
    atau  meluluskan  sesuatu.  Pemimpin  perasuah  akan
    mendirikan Kerajaan perasuah.
    
    70.   Sebagai  Perdana  Menteri  atau  Menteri  atau
     pemegang  jawatan-jawatan  tertentu  dalam  Kerajaan
    Persekutuan  atau Kerajaan Negeri, pendapatan  hanya
    cukup untuk hidup sederhana.
    
    71.   Oleh  itu jika mereka menggunakan  wang  dalam
    kempen,  mereka  perlu mendapatkan wang  yang  tidak
    halal  atau  mengeluarkan lesen, AP, saham,  memberi
    tender  atau kontrak dan sebagainya kepada penyokong
    mereka.   Mungkin  mereka  yang  dapat  atau   harap
    mendapat  sesuatu  akan menyanjung  tinggi  pemegang
    jawatan-jawatan tertentu dalam Kerajaan  yang  tidak
    bermoral  ini.   Ada  antara  ahli-ahli  UMNO   yang
    berpendapat bahawa apa gunanya kuasa jika  ia  tidak
    boleh  digunakan untuk menolong kawan atau  keluarga
    atau  ahli parti dan penyokong.  Kepada mereka ianya
    tidak   salah.   Kepada  mereka  ianya  hanya  untuk
    membalas   budi.    Dahulu  kita  sokong,   sekarang
    patutlah  kita  terima balasan yang  setimpal,  pada
    pandangan  mereka.  Lagipun yang diberi bukan  milik
     Menteri,   tetapi   milik  Kerajaan.    Kuasa   yang
    tertakluk   kepada  aturan-peraturan  bukan   kuasa.
    Kuasa  bermakna hak membuat apa sahaja yang disukai.
    Jika  hanya  boleh  diguna  mengikut  peraturan  itu
    bukanlah kuasa, kata mereka.
    
    72.   Tetapi percayalah sama ada membalas budi  atau
    tidak,   penyalahgunaan  kuasa   dan   rasuah   akan
    menghancurkan  parti  kita,  menghancurkan   bangsa,
    agama  dan  negara kita.  Sebabnya ialah  bagi  tiap
    seorang  yang  dibalas  budi  ada  sepuluh,  seratus
    bahkan seribu yang tidak dapat apa-apa.  Mereka  ini
    akan  kecewa dan akan menolak parti apabila  masanya
    tiba  untuk  memilih wakil ke Dewan-dewan  Undangan.
    Apa gunanya menjadi pemimpin parti yang kalah?
    
    73.   Dan  pemimpin-pemimpin yang korup  tidak  akan
    berhenti  setakat membalas budi orang yang  menolong
    mereka  sahaja.   Lambat-laun  mereka  akan  menjual
    pengaruh  dan kuasa mereka untuk memperkayakan  diri
     sendiri.  Akan  ada  agen mereka yang perlu dibayar.
    Untuk  mendapat kebenaran atau kelulusan, permohonan
    akan sengaja dilambat-lambatkan sehingga disogok.
    
    74.  Pada mulanya sogokan dibuat secara tersembunyi.
    Kakitangan  Kerajaan  yang  lain  yang  sedar   akan
    kecurangan yang sedang berlaku akan mengugut  supaya
    mereka  juga  disogok.  Akhirnya yang  berkuasa  dan
    yang  tidak  berkuasa, tetapi tahu  akan  kecurangan
    pihak  yang  berkuasa,  akan turut  terlibat  dengan
    rasuah.  Oleh  kerana  semua terlibat  masing-masing
    tidak  akan  berasa malu lagi.  Semua akan  menerima
    sogokan.   Semua  akan  melindungi  amalan   rasuah.
    Rasuah  menjadi amalan terbuka.  Dan  budaya  rasuah
    ini mungkin akan menular ke seluruh masyarakat.
    
    75.   Jika  ini berlaku, maka semua urusan  Kerajaan
    tidak akan berjalan dengan licin dan semua kos  akan
    meningkat.  Tidak ada sesuatu yang akan dikecualikan
    daripada  rasuah.   Lesen, AP,  kelulusan,  semuanya
     memerlukan  sogokan.  Urusan dengan swasta,  seperti
    dengan bank, turut memerlukan bayaran tertentu untuk
    mereka yang meluluskan.
    
    76.   Rasuah tidak ada hadnya.  Semakin lama semakin
    banyak  yang  dituntut  oleh  semakin  ramai  pihak.
    Akhirnya  pelabur  akan lari,  peluang  kerja  tidak
    bertambah,  bahkan merosot, kemiskinan  merebak  dan
    ekonomi  tidak  dapat  tumbuh.  Segala-galanya  akan
    tertangguh dan lambat.
    
    77.  Negara yang menerima amalan rasuah sebagai satu
    budaya  tidak  mungkin  maju.   Pemimpin  UMNO  yang
    perasuah  akan menjual dirinya kepada  sesiapa  yang
    menawar  lebih dan akan dibeli oleh orang  tertentu.
    Dasar-dasar   Kerajaan,  terutama   yang   berkaitan
    kepentingan  Melayu dan Bumiputera akan diketepikan.
    Ingatlah  bahawa  kemampuan  Melayu  dan  Bumiputera
    menyogok tidak sekuat orang lain.
    
    78.   Jika ini berlaku pembangunan orang Melayu  dan
    Bumiputera  tidak  lagi  dapat  diusahakan.   Mereka
     daripada  kalangan Bumiputera yang mendapat  apa-apa
    daripada  Kerajaan  akan terdiri  daripada  pengamal
    rasuah yang tidak mungkin mempunyai kecekapan.   Dan
    mereka  ini akan menjual segala yang mereka perolehi
    dengan  serta merta untuk kaya cepat.   Mereka  akan
    membelanja habis secepat mungkin dengan harapan akan
    mendapat peluang lagi.
    
    79.   Seluruh masyarakat Melayu dan Bumiputera  lain
    akan  runtuh.   Bangsa  akan  runtuh.   Negara  akan
    kembali   menjadi  miskin,  kucar-kacir  dan   tidak
    stabil.  Harapan  bangsa Melayu dan Bumiputera  lain
    untuk menjadi bangsa yang maju akan hancur berkecai.
    Orang  asing akan ketawa, terutama mereka yang sudah
    pun   mendakwa  berkali-kali  bahawa  orang   Melayu
    sebagai  orang  Islam tidak mungkin  bangun  menjadi
    bangsa  yang  maju  dan berjaya.  Dan  semuanya  ini
    kerana  pemilihan calon yang korup  untuk  menerajui
    parti UMNO.
    
    80.   Inilah  `scenario'  yang  boleh  berlaku  jika
     amalan  rasuah  yang bermula dengan rebutan  jawatan
    dalam parti yang tidak dibanteras.
    
    81.   Sementara itu apa akan jadi kepada UMNO?  Hari
    ini  kita  sudah lihat bagaimana kos pemilihan  ahli
    Majlis Tertinggi sudah meningkat.  Ia bermula dengan
    sebuah negeri menempatkan wakil ke Perhimpunan Agung
    di  hotel  terkemuka.  Kemudian  negeri-negeri  lain
    terpaksa   turut.    Kemudian  taraf   hotel   untuk
    perwakilan  terpaksa dinaikkan kepada lima  bintang,
    tidak  boleh kurang daripada itu jika ingin mendapat
    sokongan.
    
    82.    Semua  belanja  para  perwakilan   dan   juga
    pemerhati   ditanggung  kononnya  oleh   Perhubungan
    Negeri.   Dari  mana  datangnya  wang  yang   begitu
    banyak?    Mungkin  derma  kepada   parti.    Tetapi
    bolehkah  wang  parti digunakan untuk  mempopularkan
    orang tertentu?
    
    83.   Kemudian  calon-calon mula menyogok  wang  dan
    hadiah   kepada  para  wakil.   Perlumbaan  diadakan
    antara  calon-calon dan sogokan meningkat  nilainya.
     Kini  proses  menyogok dimula lebih  awal.   Setahun
    atau   lebih  sebelum  pemilihan  diadakan,  sogokan
    dimulakan.  Bukan  prestasi  kerja  atau   kebolehan
    seseorang  itu yang dijadikan asas pemilihan.   Yang
    menentukan sokongan ialah nilai rasuah yang  sanggup
    dihulur.
    
    84.   Di  peringkat  ini, wakil  pula  mula  menawar
    sokongan kepada calon jika dihadiahkan sesuatu.  Dan
    calon  terpaksa  belanja  lebih  lagi.   Yang  mampu
    kerana  kejayaan Dasar Ekonomi Baru menghulur  lebih
    banyak  kepada wakil.  Tetapi undi itu  sulit.   Dan
    wakil yang sama meminta pula sogokan daripada calon-
    calon  lain.  Dan mewahlah si wakil  kerana  disogok
    dengan   wang   oleh  semua  calon.   Bukan   sahaja
    perjalanan  wakil-wakil ke  Kuala  Lumpur  dan  sewa
    bilik  hotel lima bintang ditanggung, bahkan lawatan
    ke  luar  negeri  diatur atau  dijanjikan.   Mulanya
    hanya  melintas sempadan, tetapi hari ini  rombongan
    ke  Eropah  dan  Amerika juga perlu  dibiayai  untuk
     menjamin  kesetiaan.   Kerana wakil  ke  Perhimpunan
    Agung   mendapat  banyak  faedah  maka  pertandingan
    memilih  wakil  menjadi  sengit.   Calon  wakil   ke
    Perhimpunan  Agung  mula  menyogok  wakil-wakil   ke
    bahagian.  Kemudian yang menang perlu berusaha untuk
    mendapat   balik  modal.   Mereka  meminta   sesuatu
    daripada calon Majlis Tertinggi jika sokongan mereka
    dikehendaki.
    
    85.   Dari  mana  datangnya semua wang  ini?   Sudah
    tentu  pendapatan  biasa tidak  mencukupi.   Mungkin
    penyokong  lain yang kaya membantu.   Tetapi  apakah
    bantuan  ini  percuma?  Tidakkah ia  juga  merupakan
    rasuah?
    
    86.   Akibat daripada semua ini ialah pemimpin  yang
    curang  dan perasuah akan memimpin UMNO dan  menjadi
    pemimpin Kerajaan.  Apakah dapat kita percaya kepada
    pemimpin  seperti  ini?  Apakah  mereka  tidak  akan
    menjual   kita,   ahli-ahli  UMNO,   orang   Melayu,
    Bumiputera  dan juga negara?  Apakah bezanya  mereka
     sebagai  pemimpin UMNO dengan penagih  dadah?   Bila
    sudah  ketagih  maruah diri dan maruah  bangsa  akan
    dijual kepada sesiapa sahaja.
    
    87.   Memang sukar untuk kita menggambarkan  sesuatu
    yang belum berlaku.  Tetapi percayalah apa yang saya
    cuba  gambarkan ini boleh berlaku.  Sedikit sebanyak
    ia  sudah  pun  berlaku.  Kuasa Kerajaan  telah  pun
    digunakan untuk membeli sokongan.
    
    88.   Untuk  memajukan  sesuatu  bangsa  dan  negara
    tidaklah  mudah.  Ia memerlukan masa dan usaha  yang
    bersungguh-sungguh.    Tetapi  untuk   menghancurkan
    sesuatu  bangsa dan negara amat mudah  sekali.   Dan
    tidak   ada   cara   yang   lebih   berkesan   untuk
    menghancurkan negara daripada memilih pemimpin  yang
    curang  dan perasuah.  Pemimpin, sama ada raja  atau
    presiden  atau diktator, adalah orangnya yang  telah
    menghancurkan  empayar-empayar yang  gemilang  dalam
    sejarah manusia.
    
    PROSES REFORMASI MELAYU BELUM SELESAI
     
    89.   Awal-awal lagi tadi saya telah tegaskan bahawa
    UMNO  bukan semata-mata parti politik, tetapi  ianya
    adalah  satu Gerakan Reformasi, Gerakan Pembaharuan.
    UMNO  telah mempelopori pertumbuhan budaya baru bagi
    orang   Melayu,   budaya  yang  telah   mendatangkan
    kemajuan  yang  banyak.  Daripada satu  bangsa  yang
    dijajah,  kita  sudah menjadi bangsa yang  disanjung
    tinggi dan dicontohi oleh bangsa-bangsa lain.
    
    90.    Tetapi  proses  Reformasi  orang  Melayu  dan
    Bumiputera  lain  belum selesai.  Banyak  lagi  yang
    perlu   kita   lakukan,  banyak  yang   telah   kita
    kenalpasti dan kita rancang.  Tetapi semua ini tidak
    akan  dapat  dilaksanakan jika kita tidak  mempunyai
    pemimpin yang jujur dan ikhlas bukan untuk hari  ini
    sahaja  tetapi untuk masa depan kita.   Budaya  yang
    telah  kita  bentuk  sekarang belum  dapat  menjamin
    kualiti  pemimpin-pemimpin kita.  Budaya  kita  hari
    ini belum mampu menegakkan Tamadun Melayu Baru.
     
    91.   Kita perlu kepada pengekalan kuasa UMNO  dalam
    Kerajaan  untuk  pembentukan budaya  dan  mendirikan
    tamadun baru yang kita idamkan ini.  Yang telah kita
    lakukan  hingga kini hanyalah memupuk  budaya  biasa
    yang  berasas kepada nilai-nilai biasa.  Kita  semua
    tahu  dan  kenal  nilai-nilai ini  -  nilai  seperti
    ketertiban, disiplin, rajin, jujur dan ikhlas,  adil
    dan  lain-lain yang ditafsirkan sebagai nilai  mulia
    yang  universal.  Dan secara kasar kita  telah  cuba
    mengamalkan nilai-nilai ini dengan sedikit  sebanyak
    kejayaan.  Tetapi ia belum mencukupi.
    
    92.    Budaya,  bahkan  nilai-nilai  yang  dikatakan
    universal  sesuatu  bangsa  berbeza  dengan  bangsa-
    bangsa   yang  lain  kerana  falsafah  dan  tafsiran
    berkenaan butiran terperinci dalam nilai-nilai  yang
    mulia   ini.  Demikian  ketertiban  sesuatu   bangsa
    berbeza  dengan ketertiban bangsa-bangsa lain.   Ada
    bangsa yang mengganggap menghormati orang tua,  kaum
     keluarga  dan  pemimpin adalah  sebahagian  daripada
    ketertiban,  tetapi  ada yang menganggap  semua  ini
    kolot  dan  tidak  menjadikan  budaya  mereka  lebih
    tinggi.     Dengan   itu   institusi   kekeluargaan,
    keagamaan,  nikah  kahwin kekal  dalam  satu  bangsa
    tetapi  hancur dalam bangsa lain. Namun kedua-duanya
    menganggap   dan   mendakwa   mereka   tertib    dan
    bertamadun.
    
    93.   Konsep kebersihan dan kecantikan juga  berbeza
    di  antara  satu budaya dan budaya yang lain.   Bagi
    satu,  tidak kotor bermakna bersih, bagi  yang  lain
    tidak  mengotor baru dianggap bersih.  Yang  pertama
    mengotor dan kemudian mengharap pihak tertentu  akan
    membersihkannya.   Bagi yang satu  lagi  pembersihan
    tidak   perlu   kerana  pengotoran   tidak   dibuat.
    Demikian  juga dengan kecantikan.  Apa yang dianggap
    cantik bagi satu bangsa, dianggap tidak cantik  bagi
    bangsa-bangsa  lain.  Yang nyata  ialah  bersih  dan
    cantik mempunyai tafsiran yang berbeza-beza.
     
    94.   Ada  bangsa  yang cekap memasak  makanan  yang
    lazat.   Bangsa lain pula tidak hanya ingin  makanan
    yang   lazat  tetapi  hidangan,  hiasan,   cara-cara
    memakan juga perlu cantik dan tertib sebelum makanan
    dianggap  sempurna.   Yang mana  satukah  yang  akan
    menjadi budaya kita, asas tamadun kita?
    
    95.  Seni sesetengah bangsa begitu halus tetapi seni
    yang  sama bagi bangsa lain amat kasar.  Ada  bangsa
    yang   mengutamakan  kualiti  dan  ada  bangsa  yang
    mengutamakan harga yang murah.  Ada bangsa yang cuba
    menghapuskan semua kecacatan hasil kerja mereka  dan
    mengejar kesempurnaan atau 'perfection'.  Ada bangsa
    yang  tidak  begitu mengambilkira sedikit  kecacatan
    dalam  kerja  mereka dan ada pula  yang  berpendapat
    bahawa  oleh kerana hanya Allah Subhanahu wa  Ta'ala
    sahaja  yang bersih daripada segala kecacatan,  maka
    mereka  tidak harus cuba mengelak daripada kecacatan
    dalam  hasil kerja mereka.  Bahkan ada yang  sengaja
     mencacatkan  kerja  mereka untuk  membuktikan  Tuhan
    sahaja  yang  tidak cacat.  Sikap  ini  adalah  satu
    keangkuhan   kerana   walau   bagaimanapun   manusia
    berusaha,   hasil  kerjanya  tidak  mungkin   bersih
    daripada  kecacatan.   Jika diperiksa  dengan  halus
    sudah  tentu kecacatan akan dikesan walau  bagaimana
    cekap  sekalipun  seseorang  itu.   Oleh  itu  tidak
    perlulah kita sengaja mencacatkan hasil kerja  kita.
    Kita tidak mungkin bersih daripada kecacatan seperti
    Tuhan.   Namun jika kita mengejar kesempurnaan  maka
    kualiti  hasil  kerja kita menjadi  lebih  baik  dan
    berharga.   Bangsa yang mengejar kesempurnaan  tetap
    lebih    berjaya   daripada   bangsa   yang    tidak
    mengutamakannya.  Yang mana satukah yang  kita  akan
    pilih untuk menjadi sebahagian daripada budaya kita?
    
    96.   Demikian juga dengan keadilan.  Sepatutnya apa
    yang  dianggap adil dalam masyarakat manusia  adalah
    sama.   Tetapi sebenarnya ia tidak sama.   Apa  yang
     dianggap  adil  bagi satu masyarakat dianggap  tidak
    adil  oleh  masyarakat lain.  Bahkan apa  yang  adil
    bagi  masyarakat pada satu zaman dianggap tidak adil
    oleh masyarakat di zaman lain.
    
    97.   Dalam  masyarakat manusia, jaya atau  tidaknya
    sesuatu  masyarakat banyak bergantung kepada  konsep
    keadilan dan cara-cara pengadilan yang dipegang  dan
    diamalkan oleh masyarakat berkenaan.
    
    98.  Kesempurnaan keadilan Islam pun terdedah kepada
    tafsiran  yang  berbeza-beza.   Semua  orang   Islam
    mendakwa  mereka  berpegang kepada  keadilan  Islam,
    tetapi  amalan mereka tidak sama.  Ada yang  gantung
    musuh tanpa perbicaraan atas nama Islam.  Sebaliknya
    ada  yang menuntut keadilan yang seadil-adilnya juga
    atas nama Islam.
    
    99.  Kerana perbezaan-perbezaan yang disebut di sini
    dan   perbezaan-perbezaan  lain  maka  tamadun  yang
    didiri  dan pencapaiannya berbeza antara satu dengan
    yang  lain.  Tamadun Islam terbentuk pada  abad-abad
     permulaan  perkembangan Islam.  Selepas itu  tamadun
    Islam merosot sehinggalah ia menjadi begitu daif  di
    zaman  ini.   Apakah  konsep  keadilan  dalam  Islam
    sekarang  tidak  memainkan peranan dalam  melemahkan
    tamadun Islam?
    
    100.  Semua  yang saya sebutkan ini dan banyak  lagi
    yang  tidak dapat saya sebutkan adalah butiran halus
    yang perlu dipertimbang dan dijadikan sebagai budaya
    bangsa  kita.  Dengan memilih butiran-butiran  halus
    yang boleh menjadikan budaya kita budaya yang sesuai
    dengan  kemajuan  dan  kejayaan  yang  tinggi,  maka
    pencapaian  kita juga akan istimewa.  Dengan  budaya
    ini  kita akan dapat membangunkan kesenian, keilmuan
    dan  kecekapan yang istimewa bagi kita.  Pembangunan
    mental  dan  fizikal, pencapaian dalam bidang  ilmu,
    seni,  pembangunan  ekonomi,  sosial,  politik   dan
    bentuk-bentuk bangunan serta kemajuan kejuruteraan -
    semua      ini     akan     mencerminkan     tamadun
    Melayu/Bumiputera  baru, tamadun yang  istimewa  dan
     dikaitkan dengan bangsa Melayu dan agama Islam juga.
    
    101.  Inilah  Reformasi yang hendak diusahakan  oleh
    UMNO  untuk  menyusuli  reformasi  yang  UMNO  telah
    jayakan sehingga kini.  Sudah tentu banyak lagi yang
    perlu  dikaji, dihalusi, disemak dan dipupuk sebelum
    budaya  baru orang Melayu dan Bumiputera lain  dapat
    menjelma,       sebelum      terbentuk       Tamadun
    Melayu/Bumiputera   dan  Islam   Abad   ke-21   yang
    diiktiraf dan disegani.
    
    PEMIMPIN YANG DIPERLUKAN OLEH UMNO
    
    102.  Semua ini perlu diusahakan oleh UMNO.   Tetapi
    ia  hanya boleh diusahakan jika kita mempunyai  UMNO
    yang   dipimpin   oleh  pemimpin  yang   berkaliber,
    berkualiti,  bersih daripada rasuah dan  kepentingan
    diri.  Pemimpin  UMNO mesti terdiri  daripada  orang
    yang  komited kepada perjuangan Reformasi yang telah
    diterokai,  yang  sanggup mengorbankan  diri  kerana
    sayang  kepada  bangsa, agama dan negara.   Pemimpin
    UMNO mestilah terdiri daripada orang yang berkualiti
     tinggi  yang menerajui Kerajaan buat beberapa  dekad
    lagi,  kerana pembentukan tamadun Melayu  Baru  akan
    memerlukan masa yang panjang.
    
    103.  Kita  mungkin berfikir tidak ada perbezaan  di
    antara  satu  pemimpin dengan  pemimpin  yang  lain.
    Yang   mana  juga  yang  kita  pilih,  tidak  banyak
    perubahan  yang akan berlaku.  Kemajuan  tetap  akan
    tercapai  walau  siapa  pun yang  menjadi  pemimpin.
    Pendapat ini salah.  Jangan kita fikir siapa  sahaja
    boleh    mengalahkan   Malayan    Union,    mencapai
    kemerdekaan  atau  membangunkan  rakyat  desa.    Di
    negara-negara  lain  kerana  pemimpin   yang   salah
    dipilih,  negara  yang  maju  menjadi  mundur.   Dan
    apabila  yang sesuai dipilih, negara mundur  menjadi
    maju.   Tidakkah  pengalaman kita di  Malaysia  juga
    demikian?   Jika  kena pilihan kita,  kemajuan  yang
    tidak  kita  sangkakan boleh berlaku.   Di  kalangan
    calon  yang bertanding ada yang akan menjadi pilihan
     kita  yang  kena  pada tempatnya.  Tetapi  ada  yang
    hanya  akan merosakkan masa depan kita.  Jika mereka
    ini  yang  dipilih maka sudah tentu kita tidak  akan
    dapat   membangunkan  budaya  yang   cemerlang   dan
    membentuk   tamadun  Melayu  dan  Islam  yang   kita
    harapkan.
    
    TOLAK PEMIMPIN RASUAH
    
    104.   Sebagai  orang  Melayu,  sebagai  Bumiputera,
    sebagai  pencinta  bangsa, agama  dan  negara,  saya
    menyeru  para perwakilan supaya menolak semua  calon
    yang   telah  menghulurkan  rasuah  dalam  apa  juga
    bentuk,  termasuk mereka yang berkempen  setelah  ia
    dilarang. Tolak dan tumbangkan mereka sebelum mereka
    menumbangkan  parti kita yang tercinta ini,  sebelum
    mereka  menggagalkan  gerakan  reformasi  kita  yang
    bermatlamat   mewujudkan  Tamadun  Melayu/Bumiputera
    Baru.   Tolak mereka semua.  Jangan kira kawan  atau
    rakan.   Kesetiaan kepada kawan yang tidak  bermoral
    akan  menghancurkan  perjuangan bangsa  dan  negara.
     Sampaikan  kepada  mereka mesej yang  jelas  -  UMNO
    tidak mempunyai tempat bagi pemimpin yang rasuah.
    
    105.  Singkirkan  mereka kerana  bangsa,  agama  dan
    negara,  kerana masa depan kita.  Tidak  akan  rugi,
    tidak  akan lemah parti kita jika mereka yang  korup
    tidak ada di kalangan pemimpin parti kita bahkan  di
    dalam  parti  kita.   Sebaliknya kita  akan  menjadi
    lebih  kuat  dan  kita akan dapat menguruskan  parti
    kita,   perjuangan  kita  dengan  baik  dan   dengan
    jayanya, insya-Allah.
    
    106.  Perjuangan bangsa kita belum  selesai.   Masih
    banyak   yang   perlu   diperjuangkan,   diusahakan,
    sebelum  kita  dapat  menjadi bangsa yang maju  yang
    dihormati  oleh dunia.  Kita mempunyai bakat.   Kita
    mempunyai kebolehan.  Dan kita boleh, insya-Allah.
    
    107.   Tanda-tanda   sudah  ada   yang   menunjukkan
    kemampuan   kita   untuk  mencapai   matlamat   yang
    ditujukan.   Jangan gadai masa depan  kita.   Jangan
     gadai budaya dan tamadun baru yang akan kita bentuk,
    hanya kerana sedikit keuntungan di hari ini.
    
    108.  Saya sedih kerana terpaksa mendedahkan  pekong
    di dada sendiri dan membuat rayuan ini.  Tetapi saya
    percaya   benar-benar  akan  malapetaka  yang   akan
    menimpa  kita  jika kita tidak menolak  mereka  yang
    menyogok kita.
    
    109.  Sayanglah  Parti, sayanglah bangsa,  sayanglah
    agama dan sayanglah negara.  Saya berdoa semua  yang
    akan  mengundi  pada hari ini mengundi  dengan  hati
    yang  bersih  dengan mengingati Allah  Subhanahu  wa
    Ta'ala.  Insya-Allah  dengan berbuat  demikian  akan
    terpeliharalah  kita, akan terselamatlah  perjuangan
    kita   untuk   bangsa,  agama  dan   negara,   untuk
    menegakkan tamadun Melayu dan Islam Abad ke-21.  Dan
    akan tertebuslah maruah bangsa.

 
 



 
Google