home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR  
Tarikh/Date 	: 	21/10/96 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MALAM WARTAWAN MALAYSIA 1996  


     
    1.    Saya  ucapkan  terima  kasih  kepada  Institut
    Akhbar  Malaysia  kerana  menjemput  saya  hadir  di
    Majlis  Malam  Wartawan 1996 pada malam  ini.   Kali
    terakhir  saya hadir di Majlis Malam Wartawan  ialah
    pada  tahun  1990. Walaupun saya kerap ditemui  oleh
    wartawan,  saya gembira dapat bertemu dengan  begitu
    ramai  sekali wartawan Malaysia, termasuk  boss-boss
    mereka, pada malam ini.
    
    2.    Dunia  kewartawanan telah mengalami  perubahan
    pesat  dan  kebanyakan perubahan ini  telah  memberi
    faedah  kepada industri media tempatan.   Penggunaan
    komputer  menggantikan typewriter  dan  penghantaran
    berita   dengan   pantas   melalui   telefon    yang
    di`connect'  ke `personal computer' dan  tidak  lagi
    melalui  telex  atau  fax adalah antara  pembaharuan
    dalam  industri media kita.  Kini dengan  kemunculan
    teknologi  maklumat  yang  lebih  canggih,  termasuk
    Internet,  peranan yang dimainkan  oleh  akhbar  dan
     wartawan   sudah   pasti  menjadi  lebih   mencabar.
    Sepertimana  di  masa yang lepas saya  yakin  akhbar
    tempatan  akan  terus berjaya membuat pengubahsuaian
    yang perlu bagi menghadapi cabaran-cabaran dalam era
    tekonologi maklumat ini.
    
    3.    Kita semua tahu bahawa akhbar mempunyai kuasa.
    Ungkapan bahawa `the pen is mightier than the sword'
    masih  benar di zaman ini, bahkan lebih dari  dahulu
    kerana dahulu ramai yang buta huruf dan tidak  mudah
    dipengaruhi oleh apa yang ditulis.  Tetapi hari  ini
    maklumat dan pandangan melalui berbagai-bagai  media
    menembusi setiap keluarga dan individu dengan  lebih
    berkesan.   Tiada siapa yang dapat membebaskan  diri
    daripada  apa yang ditulis dengan pen elektronik  24
    jam sehari.  Dengan itu, kuasa media sekarang adalah
    lebih besar dan lebih menyeluruh.
    
    4.    Sebagai  sebuah demokrasi kita ingin  mengamal
    kebebasan  berucap  dan kebebasan  persuratkhabaran.
    Untuk  ini kita perlu kepada masyarakat yang  ideal,
     yang tahu mengawal diri, yang sentiasa mengamal yang
    ma'aruf dan menolak yang mungkar.  Tetapi masyarakat
    yang  ideal tidak terdapat di mana-mana dalam dunia.
    Sebab  itu  semua  masyarakat perlu  kepada  undang-
    undang  yang  sedikit  sebanyak  menyekat  kebebasan
    anggotanya.
    
    5.    Tujuan undang-undang ialah supaya mereka  yang
    melakukan    sesuatu   yang   mengancam   kestabilan
    masyarakat akan didera dengan hukum-hukum  tertentu.
    Bermacam-macam   hukuman  dicipta  oleh   masyarakat
    manusia yang difikirkan setimpal dengan jenayah yang
    dilakukan.   Ada yang ringan seperti  amaran  sahaja
    dan  ada  yang berat seperti hukuman bunuh.   Tetapi
    masyarakat  manusia  tidak  pernah  bebas   daripada
    jenayah  kerana  adanya undang-undang  dan  hukuman.
    Walaupun  hukuman bunuh wujud bagi jenayah tertentu,
    masih   ada   juga  anggota  masyarakat  yang   akan
    melakukan  jenayah yang jika didapati bersalah  akan
    dikenakan hukuman ini.
     
    6.    Mungkin  kita  berkata bahawa  hukuman-hukuman
    tertentu tidak berkesan kerana ia tidak menghentikan
    jenayah berkenaan daripada dilakukan juga oleh orang
    tertentu.   Tetapi  hukuman  bukan  sahaja  diadakan
    sebagai  `deterrent'  untuk mengingatkan  masyarakat
    supaya  tidak melakukan jenayah berkenaan.   Hukuman
    juga   bertujuan   mendera  mereka  yang   melakukan
    jenayah. Justeru itu, sama ada hukuman berkesan atau
    tidak   terhadap  perlakuan  jenayah  oleh  manusia,
    hukuman masih perlu dikenakan.
    
    7.    Masyarakat  liberal di  Barat  amat  berbangga
    dengan   konsep-konsep   dan  prinsip-prinsip   yang
    dipegang  oleh  mereka.   Antara  konsep  ini  ialah
    kebebasan  atau `freedom'.  Mereka begitu  berbangga
    dengan kebebasan yang mereka amalkan sehingga mereka
    tidak nampak sekatan-sekatan dan pencabulan terhadap
    kebebasan  yang  mereka lakukan  sendiri.   Demikian
    semasa mereka mendakwa akan hak manusia untuk  hidup
     bebas,  mereka  masih menakluk jajahan  dan  wilayah
    kaum   bangsa   lain  yang  mereka   tidak   memberi
    kebebasan.  Demikian juga di negara mereka  sendiri,
    selepas  mereka mengharamkan simpanan hamba,  mereka
    buat  beberapa lama, masih secara langsung dan tidak
    langsung  menafikan kebebasan rakyat mereka daripada
    keturunan hamba.
    
    8.   Hari ini mereka mendewa-dewakan kebebasan surat
    khabar  mereka, tetapi ada tanda-tanda bahawa  tiada
    siapa  dalam  masyarakat mereka senang  hati  dengan
    kebebasan  ini.  Sebabnya ialah surat khabar  mereka
    kerap menyalahgunakan kebebasan ini untuk menjayakan
    perniagaan   mereka.   Sementara  masyarakat   Barat
    begitu  mengawal  barangan lain  yang  dijual  dalam
    pasaran,  sehingga jika tercacat  sedikit  pun  maka
    pengeluar  boleh disaman dan dikenakan hukuman  yang
    berat,  tetapi kecacatan laporan akhbar  yang  boleh
    menekan jiwa atau memburukkan nasib seseorang  tidak
    dianggap salah.
     
    9.    Baru-baru  ini  akhbar menceritakan  bagaimana
    seorang  `princess' yang terkenal berkelakuan  buruk
    semasa   bersama  dengan  kawannya,  lengkap  dengan
    gambar-gambar.   Siapa  yang  biasa  menjadi  mangsa
    tentu  tahu  bagaimana sakitnya laporan seperti  ini
    kepada  dirinya.   Tetapi akhirnya didapati  laporan
    itu tidak berasas.  Tidak ada apa-apa yang dikenakan
    kepada akhbar berkenaan kerana walaupun perkara  ini
    boleh dibawa ke mahkamah, proses perbicaraan terbuka
    akan lebih menekan mangsa daripada yang dituduh.
    
    10.   Hari  ini  kita terpaksa menghadapi  kebebasan
    Internet.    Sementara   Internet   amat    berguna,
    umpamanya  dengan  kemudahan  menyampaikan   laporan
    dengan  serta-merta,  tetapi  Internet  juga   boleh
    digunakan  untuk menyebar tulisan dan  gambar  lucah
    kepada  bukan sahaja orang dewasa tetapi juga kanak-
    kanak.
    
    11.   Orang  yang kerdil dapat menggunakan  Internet
    untuk  melepaskan  perasaan  `frust'  mereka  dengan
     mencaci   dan  memaki-hamun  atau  memburuk-burukkan
    orang  lain secara yang boleh merosakkan perhubungan
    baik di antara pihak-pihak tertentu.
    
    12.    Penapisan  berita  dalam  negara  tidak  lagi
    berkesan kerana di zaman maklumat ini sempadan tidak
    menghalang  penyebaran maklumat.  Jika  tidak  dapat
    dibuat  di  dalam negeri, mereka menyebar dari  luar
    negeri.   Dengan  itu  media  dalam  negeri   berasa
    terancam  dan  ingin mengawal kebebasan  yang  sama,
    iaitu  supaya  mereka boleh bersaing  dengan  berita
    dari luar.  Apakah ini wajar?
    
    13.   Di  kalangan pemikir liberal  di  Barat  sudah
    timbul   perasaan  takut  akan  kesan   `Information
    Technology'.    Mereka  juga  sedar  bahawa   banyak
    penyalahgunaan boleh berlaku yang tetap akan membawa
    bencana  kepada masyarakat manusia.   Tetapi  mereka
    ini  bukan daripada kalangan pemilik media.   Mereka
    terdiri daripada saintis-saintis dan ahli fikir.
    
    14.   Maklumat  adalah  penting  dan  perlu  disebar
     secara  meluas.   Tetapi  maklumat  tidak  selalunya
    benar.   Ada  maklumat  yang  sengaja  dicipta   dan
    disebar   untuk  tujuan  tertentu,  termasuk   untuk
    merosakkan  masyarakat tertentu.   Di  zaman  perang
    senjata  biasa  boleh  digunakan  untuk  memusnahkan
    musuh.   Tetapi di waktu aman, senjata  biasa  tidak
    boleh  digunakan.   Di waktu aman  senjata  maklumat
    (misinformation)   tidak   kurang   kesannya   dalam
    menghancurkan  musuh.  Kita sedang  melihat  senjata
    ini    digunakan   dengan   begitu   meluas   dengan
    perkembangan `Information Technology'.
    
    15.  Para wartawan negara kita sedar akan semua ini.
    Walaupun  pengaruh wartawan tempatan sudah dicairkan
    sedikit oleh pengaruh berita dari luar negara, namun
    peranan  wartawan  tempatan  masih  besar.    Apakah
    mereka   hanya  akan  mengikut  arus  dan  sama-sama
    mengutamakan  pendapatan daripada  perusahaan  surat
    khabar  atau  apakah mereka akan lebih  mengutamakan
     kepentingan  negara walaupun akan  terjejas  sedikit
    kelarisan   berita  mereka?  --  sama-samalah   kita
    renungkan.
    
    16.  Negara ini masih muda, masih rapuh.  Kita perlu
    lebih  berhati-hati.  Keghairahan  dengan  kebebasan
    tetap   akan   membinasakan  kita   lebih   daripada
    pembinasaan negara yang sudah dewasa.
    
    17.   Ramai  juga daripada kita yang ghairah  dengan
    aneka  jenis  kebebasan.   Kita  tidak  nafi  bahawa
    manusia  harus  bebas, tetapi semua kebebasan  mesti
    ada  hadnya.   Sebab  itu semua  masyarakat  manusia
    memerlukan undang-undang yang sudah tentu menghadkan
    kebebasan.   Apakah kita di negara  ini  harus  malu
    kerana   undang-undang   yang   menyekat   kebebasan
    diperlukan?  Apakah kita harus malu kerana di negara
    kita     kononnya    tidak    terdapat     kebebasan
    persuratkhabaran?   Apakah  kita  perlu  `apologise'
    kepada  orang  lain  sepanjang masa,  kerana  berasa
    tersalah?   Tidakkah  mungkin kita  yang  betul  dan
     mereka yang salah?
    
    18.   Usaha  sedang  dibuat oleh  kuasa-kuasa  besar
    untuk  menyamakan atau `standardise' segala-galanya.
    Kelainan  dan  perbezaan  tidak  akan  dibenar  oleh
    mereka.   Dalam  usaha ini mereka tidak  segan-segan
    mengguna kuasa dan memaksa pihak lain untuk menerima
    `standard'  yang mereka telah ciptakan.   Penggunaan
    kekerasan  ini  dalam  apa  juga  bentuk  sebenarnya
    adalah  penindasan, satu sekatan terhadap  kebebasan
    yang  mereka  laungkan.  Tetapi  kita  kadang-kadang
    tidak nampak hipokrisi dan `double-standard' mereka.
    Dan   kita  turut  serta  hanya  kerana  kepentingan
    tertentu   kita  secocok  dengan  kehendak   mereka.
    Dengan itu kita menghalalkan kecurangan mereka.
    
    19.   Wartawan  tentulah orang yang berfikir.   Oleh
    itu  mereka harus merenung perkara-perkara ini  yang
    muncul   di   zaman  maklumat.   Pengaruh   wartawan
    tempatan  perlu diguna untuk kebaikan  kita.   Kuasa
    pen  masih  ada.  Di zaman keamanan kuasa pen  lebih
     besar  daripada  senjata perang.   Jika  kita  ingin
    bangunkan  negara  kita, jika  kita  ingin  bersaing
    dengan negara-negara maju, kita harus tentukan sikap
    kita  yang  tersendiri dalam apa  juga  usaha  kita,
    termasuklah    sikap    kita   terhadap    kebebasan
    persuratkhabaran.
    
    20.   Kita  ingin melihat apakah kita mampu  berbuat
    demikian.
    
    21.   Sekali  lagi saya ucapkan terima kasih  kepada
    Institut Akhbar Malaysia kerana menjemput saya untuk
    menghadiri majlis makan malam ini.

   

 
 



 
Google