Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SRI PENTAS, BANDAR UTAMA, PETALING,
SELANGOR DARUL EHSAN
Tarikh/Date : 22/10/96
Tajuk/Title : PELANCARAN PUSAT OPERASI TV3
1. Saya ucapkan terima masih kepada Sistem
Televisyen Malaysia Berhad kerana menjemput saya
untuk melancarkan Pusat Operasi TV3 pada hari ini.
Dengan berpindahnya operasi TV3 ke Sri Pentas,
Bandar Utama, TV3 kini beroperasi dari sebuah
bangunan yang lebih besar dan selesa.
2. Sejak mula beroperasi pada 1 Jun 1984 sebagai
stesen TV swasta yang pertama di negara ini, TV3
telah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan.
Bermula dengan liputan di sekitar Lembah Klang,
siaran TV3 kini boleh dinikmati di lebih 93 peratus
daripada kawasan-kawasan di seluruh tanah air. Dan
oleh kerana TV3 menggunakan satelit Palapa milik
Indonesia untuk menghantar siarannya ke Sabah dan
Sarawak, siarannya juga boleh dinikmati di wilayah-
wilayah yang termasuk dalam 'footprint' satelit itu.
Ini bermakna siaran TV3 boleh dinikmati di negara-
negara di seluruh rantau ini hingga ke Hong Kong dan
utara Australia. Ini dengan sendirinya menjadikan
TV3 sebuah saluran TV serantau.
3. Sejarah dan perkembangan TV3 adalah sungguh
membanggakan kerana ia lahir tanpa penglibatan
seorang pun pakar perunding asing walaupun pada
ketika itu negara tidak mempunyai begitu ramai
tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan penyiaran
televisyen. Ini adalah bukti bahawa 12 tahun yang
lalu pun kita sudah mampu berdikari dalam bidang-
bidang tertentu dan tidak memerlukan kepakaran
asing. Dan ini juga membuktikan bahawa pada waktu
itu anak-anak tempatan sudah berjaya menguasai
teknologi pembinaan stesen televisyen.
4. Kini kemampuan TV3 sudah mendapat pengiktirafan
negara-negara luar. Baru-baru ini TV3 dipelawa
untuk mendirikan secara usahasama sebuah stesen TV
swasta yang pertama di Ghana, Afrika. Saya
dimaklumkan bahawa rundingan dan kajian-kajian
mengenai pembinaan stesen TV itu sudah selesai dan
kerja-kerja awal sudah dimulakan.
5. Seperkara lagi yang boleh dibanggakan ialah
kejayaan Sistem Televisyen Malaysia Berhad mencatat
keuntungan pada tahun pertama ia beroperasi dan
seterusnya disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur
pada tahun 1988.
6. Selain berjaya menjadi satu `household name'
dalam masa yang singkat, TV3 juga terkenal kerana
kreativitinya serta pembaharuan-pembaharuan yang
diperkenalkan ke dalam dunia televisyen negara ini.
Daripada sebuah saluran yang berasaskan program-
program hiburan, TV3 berani mengubah kedudukannya
untuk menjadi saluran TV yang berteraskan berita dan
maklumat. Ini dilakukan antara lain dengan
memperkenalkan slot-slot `newsflash' yang dikenali
sebagai Berita Terkini serta program-program berita
satu jam. Usaha ini sememangnya membawa risiko
kerana penonton yang sudah biasa disajikan dengan
program berita selama 30 minit mungkin belum dapat
menerima buletin berita yang lebih panjang. Namun
begitu usaha ini ternyata berhasil dan diterima oleh
penonton. Saya diberitahu Buletin Utama TV3 terus
mendahului saluran-saluran lain dengan mencatat
`ratings' yang tinggi. Selain kandungannya yang
padat dan liputan beritanya yang lebih menyeluruh,
kejayaan Buletin Utama juga adalah hasil
persembahannya yang pantas, baik dan menarik yang
menyebabkan ia tidak membosankan.
7. Kejayaan TV3 merangkul 'ratings' yang tinggi
adalah bukti bahawa rakyat tidak menolak program-
program yang berasaskan berita dan maklumat.
Langkah ini adalah baik kerana ia secara langsung
memberi sumbangan terhadap usaha untuk menjadikan
masyarakat negara ini kaya maklumat supaya dapat
bersaing dengan negara-negara lain yang lebih maju.
Dalam era maklumat atau 'information age' sekarang,
masyarakat atau negara yang miskin atau daif
maklumat akan terus ketinggalan dalam persaingan
global.
8. Penekanan kepada aspek berita dan maklumat oleh
TV3 amatlah sesuai dengan kepentingan negara kita.
Biasanya stesen TV mencari jalan mudah untuk menjadi
popular dengan menyiarkan program-program yang
berunsur seks dan keganasan. Pengiklan juga suka
dengan program-program seperti ini kerana bilangan
penonton biasanya tinggi. Tetapi kesan terhadap
masyarakat kita amatlah buruk dan merugikan. Saya
harap stesen-stesen TV tidak mengambil jalan yang
mudah ini, sebaliknya mengutamakan penyiaran program-
program yang menunjukkan bahawa mereka adalah
`corporate citizen' yang bertanggungjawab.
9. Kita sekarang berada dalam zaman ledakan
maklumat yang menjelma kerana alat-alat komunikasi
yang semakin canggih. Dahulu Kerajaan dapat mengawal
siaran radio dan televisyen melalui pemilikan stesen
oleh Kerajaan. Kemudian lesen dikeluarkan kepada
stesen siaran swasta yang mana lesen ini boleh
ditarik balik jika syarat-syarat tertentu tidak
dipatuhi. Hari ini siaran dari negara asing boleh
diterima oleh siapa sahaja dengan menggunakan alat
yang mudah diperolehi dan dengan harga yang murah.
Dan siaran ini boleh diterima melalui bermacam-macam
alat termasuk telefon dan komputer yang digunakan
untuk keperluan harian. Siaran-siaran ini boleh
pula dipindahkan kepada tape, `disc' bahkan dicetak
terus dari `signal' yang diterima melalui telefon
dan komputer. Demikian juga pelanggan boleh
menerima apa sahaja program yang disukai pada bila-
bila masa sahaja melalui sistem `video-on-demand'.
10. Apa yang sedang berlaku ialah kemajuan
teknologi komunikasi berjalan terlalu pantas untuk
Kerajaan mengadakan undang-undang atau dasar atau
jentera untuk menanganinya. Kawalan oleh Kerajaan
tidak penting jika maklumat yang berguna sahaja yang
disalurkan melalui alat-alat telekomunikasi ini.
Malangnya bermacam-macam propaganda, ajaran sesat,
ideologi asing dan bahan-bahan lucah juga diedarkan
melalui alat canggih ini. Nafsu manusia
diperalatkan untuk menghasilkan untung yang banyak.
Keadaannya tidak berbeza daripada dadah yang diedar
untuk mendapat keuntungan besar, tanpa mengambilkira
keburukan kesannya.
11. Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk
menghalang penyebaran perkara-perkara yang tidak
diingini ini. Kita akan cuba menggunakan undang-
undang dan teknologi tertentu untuk menapis bahan-
bahan yang buruk yang disalurkan melalui alat
telekomunikasi. Tetapi seperti juga dengan dadah,
yang ditolak kerana kesedaran oleh majoriti orang
ramai mengenai bahayanya, maklumat yang tidak
diingini ini hanya boleh ditolak jika rakyat sendiri
tahu dan sedar akan keburukan dan bahayanya maklumat
yang tidak diingini. Dengan perkataan lain,
penapisan terhadap maklumat perlu dibuat oleh
pengguna sistem telekomunikasi sendiri. Mereka
harus tahu apa yang baik bagi mereka dan apakah yang
perlu ditolak kerana kesan buruk dan bahayanya
maklumat tersebut kepada mereka dan masyarakat
amnya.
12. Memandang kepada masalah yang saya sebutkan
ini, seluruh masyarakat perlu sedar dan bertindak
serentak. Stesen-stesen siaran TV dan radio di
Malaysia yang akan mempunyai beratus saluran sedikit
masa lagi perlu memainkan peranan yang utama dalam
usaha membanteras gejala yang buruk yang akan kita
hadapi. Mereka bukan sahaja harus menapis program
dan bahan-bahan yang disiarkan oleh mereka, tetapi
mereka juga harus berusaha memilih program-program
yang dapat membentuk akhlak yang baik di samping
memberi hiburan. Mereka yang akan menapis hendaklah
terdiri daripada orang yang terpilih kerana mereka
ini harus membuat `value judgement' yang penting
semasa mereka memilih dan menapis program. Kita
tidak perlu fanatik yang menolak segala-galanya,
tetapi kita juga tidak perlu orang yang terlalu
liberal atau tidak bertanggungjawab menjadi penapis
di stesen-stesen siaran kita.
13. TV3 adalah `pioneer' atau peneroka dalam bidang
televisyen swasta. Saya harap TV3 akan cuba menjadi
contoh badan korporat dan penyebar maklumat yang
bertanggungjawab. Saya yakin tidak siapa pun yang
akan rugi jika kita tidak ghairah berlumba untuk
mendapatkan penonton atau pendengar sehingga sanggup
meruntuhkan masyarakat dan negara kita. Jika semua
stesen siaran kita bertanggungjawab dan sederhana,
tidak siapa yang akan rugi, baik stesen, baik
Kerajaan mahu pun masyarakat dan negara. Sama ada
zaman maklumat akan menguntungkan kita atau
menghancurkan kita bergantung kepada kita.
14. Saya ucapkan tahniah kepada TV3 yang jelas
mencapai banyak kemajuan sejak ianya dilancarkan dan
dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
pelancaran Pusat Operasi TV3.
|