home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT SAINS NEGARA,KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 29/11/96 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PUSAT SAINS NEGARA 1. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar kerana menjemput saya dan isteri untuk hadir di majlis ini dan seterusnya merasmikan Pusat Sains Negara pada hari ini. 2. Saya ingin mengambil peluang ini untuk membicara berkenaan dengan ilmu sains. Di Zaman Gelap atau `the Dark Ages' di Eropah, ilmu sains dianggap merbahaya dan bertentangan dengan agama Kristian. Sebabnya ialah kerana sains dipercayai menyoal kuasa Tuhan dengan mendedahkan kononnya segala rahsia alam yang dicipta oleh Tuhan. Dengan terbongkarnya rahsia kejadian alam dan isi kandungannya maka akan hilanglah kepercayaan manusia kepada Tuhan dan kuasanya. 3. Padri-padri Kristian pada Zaman Gelap mengecap ahli-ahli sains sebagai pengamal ilmu syaitan dan mereka sering diburu, diseksa dan kadang-kadang dibakar hidup-hidup. 4. Sebaliknya di zaman itu dalam masyarakat Islam penyelidikan berkenaan dengan alam semulajadi dan berbagai-bagai jenis penyakit tidak dihalang. Ilmu ini tidak dikenal sebagai sains tetapi sebaliknya sebagai ilmu alam dan kejadiannya. Sebenarnya Al- Quran menyuruh orang Islam memerhatikan kejadian bukit-bukau dan alam sekeliling serta juga binatang dan tumbuh-tumbuhan supaya kita sedar tentang kebesaran dan kuasa Tuhan. Dengan itu ramailah alim ulama Islam yang mencipta ilmu pelayaran dan gerakan bintang-bintang dan bulan, menjadi pakar penyakit manusia dan mencipta ubatnya dan pakar dalam ilmu pembedahan dan penyembuhan sakit tubuh badan manusia. Demikian juga mereka mempelajari berkenaan dengan tumbuh-tumbuhan, pertanian dan kejuruteraan berkaitan dengan penyaluran air dari bukit-bukau, untuk menyuburkan tanaman biji-bijian dan buah- buahan. Di mana sahaja Islam berkembang, maka terbangunlah kawasan kediaman orang Islam lengkap dengan tanaman-tanaman dan taman-taman bunga yang indah serta juga industri logam dan lain-lain. Sehingga ke hari ini hasil ilmu-ilmu mereka masih berguna untuk kesejahteraan manusia. 5. Melihat kejayaan masyarakat Islam orang Eropah mula mengejar ilmu-ilmu sains yang diterokai oleh pakar-pakar Islam. Mereka berhijrah ke Al-Andalus atau Sepanyol dan ke Baghdad untuk mempelajari dan mengalih bahasa segala ilmu yang ada pada orang Islam. Ilmu-ilmu ini dipanggil `sains' oleh orang Barat. 6. Sementara itu, alim-ulama Islam mula meragukan ilmu-ilmu dan kegiatan penyelidikan dalam bidang- bidang tertentu oleh cendekiawan Islam. Mereka menegaskan bahawa hanya ilmu yang berkaitan dengan agama sahaja yang harus dipelajari. Yang lain tidak boleh dianggap sebagai ilmu. Oleh itu, dalam masa yang tidak lama orang Islam kehilangan kepakaran dalam pelbagai ilmu yang tergolong dalam bidang sains. Segala hasil penyelidikan oleh pakar-pakar Islam hilang dari dunia Islam dan menjelma kemudian sebagai ilmu dari Barat. Nama cerdik pandai Islam ditukar sehingga mereka tidak lagi dikenali sebagai orang Islam. Demikian Ibn Sina dipanggil Avicenna, Ibn Rushdi menjadi Averroes dan seterusnya. 7. Hari ini apabila orang Islam mengejar ilmu sains, mereka terpaksa mempelajarinya daripada orang Barat kerana penguasaan ilmu ini sudah tidak ada pada orang Islam lagi. Mereka percaya bahawa sains adalah ilmu orang bukan Islam. Dengan itu minat untuk mempelajari sains juga berkurangan. Akhirnya mereka terpaksa bergantung kepada orang bukan Islam untuk mendapat hasil daripada penguasaan ilmu sains, termasuk ilmu ubat-ubatan, senjata pertahanan dan alat-alat komunikasi dan maklumat. Kelemahan orang Islam dan negara mereka hari ini adalah akibat kelemahan pengetahuan sains di kalangan mereka. 8. Kerajaan Malaysia ingin memperbetulkan keadaan ini. Kita ingin melihat bukan sahaja perkembangan ilmu yang berkaitan dengan sains, tetapi juga pembetulan salah anggapan terhadap sains dan penyelidikan dalam bidang ini. Pendek kata kita bukan sahaja ingin mempelajari ilmu sains tetapi pendekatan dalam bidang penyelidikan sains. 9. Sebenarnya lebih mendalam pengetahuan kita dalam ilmu sains lebih kuat iman kita. Ini ialah kerana sains hanya mampu menjawab bagaimana sesuatu reaksi itu berlaku tetapi tidak dapat menjawab mengapa ia berlaku begitu. Demikian sains menjelaskan bahawa air ada satu kompaun dua atom hidrogen dengan satu atom oksigen. Tetapi kenapa kombinasi ini menjadi air tidak dapat dijawab oleh mana-mana ahli sains melainkan jawapannya ialah kehendak Tuhan. Kuasa Tuhanlah yang menentukan segala-galanya. Maka benarlah Allah Maha Besar dan Maha Berkuasa. 10. Perkembangan sains di Barat setelah mereka menguasai ilmu sains yang diterokai oleh orang Islam adalah juga kerana mereka tidak terlalu merahsiakan ilmu sains yang mereka terokai. Apabila mereka menjumpai sesuatu hasil penyelidikan, mereka akan menyiarkan segala-galanya melalui majalah atau jernal profesion mereka. Hak ciptaan mereka dilindungi melalui undang-undang tetapi ilmu berkenaan boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja. Dengan itu, pihak lain dapat menyusul penyelidikan atau menggunakannya secara praktikal untuk mengeluar barangan tertentu. 11. Budaya Timur tidak memudahkan perkembangan ilmu kerana pencipta atau penyelidik biasanya merahsiakan ilmu yang dicipta atau diterokai. Kerap kali ilmu ciptaan atau hasil penyelidikan akan hilang kerana kematian penyelidik. Tidak ada rekod lengkap yang disimpan untuk generasi yang berikutnya. Dengan itu, maka ilmu tidak dapat tumbuh dan berkembang di Timur sepertimana di Barat. 12. Kenyataan-kenyataan ini berkenaan dengan sains dan kemajuannya perlu diketahui dan difahami oleh masyarakat Malaysia. Jika kita ingin mengejar kemajuan dan ingin bersaing dengan jayanya dengan bangsa-bangsa maju di Barat kita bukan sahaja perlu menguasai ilmu-ilmu tertentu terutamanya sains, tetapi kita juga perlu dan mesti menerap budaya ilmuan dan kajiselidik yang terdapat di Barat. Merahsiakan ilmu kita supaya kita seorang sahaja yang akan dapat manfaat dan keuntungan daripadanya adalah amalan yang perlu digugur dengan segera. Tabiat mencatat setiap langkah yang diambil dan setiap hasil yang didapati daripada langkah berkenaan mestilah dipupuk. Hanya dengan cara ini sahaja baharulah sesuatu dapat diulangi untuk mendapat hasil yang sama. Ingatan manusia adalah lemah dan tidak boleh diharap sama sekali. Tetapi catatan serta-merta akan segala-gala yang dilakukan bukan sahaja akan memudahkan kaji selidik tetapi akan dapat disusuli oleh orang lain jika sesuatu berlaku kepada penyelidik. 13. Kita mungkin bosan mendengar berkenaan dengan sains dan teknologi. Tetapi percayalah, negara kita tidak akan dapat dibangun dan maruah bangsa kita, bahkan agama kita tidak akan dapat ditebus selagi kita tidak dapat menguasai ilmu sains dan kecekapan teknologi semasa. Hanya mereka yang ingin dihina dan ditindas oleh orang lain, bahkan oleh musuh sahaja, yang akan mengabaikan sains dan teknologi atau menidakkan peranan ilmu-ilmu ini dalam membangunkan kita, negara kita dan agama kita. 14. Tujuan Kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk Pusat Sains ini bukanlah semata-mata untuk menjadi pusat hiburan ataupun produk pelancongan. Tujuan utama Kerajaan ialah untuk menyedarkan rakyat, terutama Melayu dan Bumiputera lain, akan kuasa sains dan teknologi dan peranan yang dimainkan oleh kedua-dua ini dalam kehidupan harian kita. Kita juga ingin membuktikan bahawa sains dan teknologi bukan suatu misteri, suatu yang ajaib, suatu perkara luar biasa yang hanya boleh difahami oleh orang yang berotak geliga sahaja. Sebenarnya sains dan teknologi adalah ilmu dan cara yang mudah yang boleh dipelajari dan dikuasai oleh sesiapa sahaja. Yang diperlukan bukanlah kepandaian luar biasa tetapi kesanggupan menolak kepercayaan dan keaslian pengetahuan lama yang kolot dan membuka akal fikiran kepada kemungkinan-kemungkinan yang dahulu dianggap luar biasa, bahkan mustahil. Apakah kita sangka kita dapat melihat sesuatu yang dilindungi dengan tembok yang tebal? Tetapi kita tahu hari ini kita bukan sahaja dapat melihat apa yang berlaku dalam bilik yang berada di sebalik sana dunia, bahkan kita dapat melihat peristiwa itu semasa ia berlaku iaitu `in real time'. Jika kita bermula dengan berkata perkara itu mustahil, maka kita tidak akan berusaha mencari teknologi yang akan membolehkannya. Tetapi jika kita berhati terbuka dan percaya kuasa Tuhan adalah lebih besar daripada yang dipercayai oleh kita, maka yang mustahil boleh dijadikan perkara biasa. Demikian setelah kita dapat melihat apa yang berlaku di sebelah sana dunia, kita pula boleh berinteraksi dengan apa yang sedang berlaku secara langsung. Dengan itu apakah akan ada lagi orang tertentu di kalangan kita yang akan berkata bahawa pendaratan manusia di atas bulan adalah cerita dongeng yang dicipta oleh musuh- musuh Islam? 14. Saya harap Pusat Sains ini dapat menyediakan contoh-contoh dan pameran-pameran yang menarik dan mudah difahami oleh pelawat kecil dan besar, tua dan muda dan yang terdidik dalam bidang sains atau yang tidak berilmu sama sekali. 15. Saya harap Pusat Sains ini akan menolong menjayakan usaha negara untuk menjadikan rakyat Malaysia yang celek sains dan teknologi, yang faham akan pendekatan dan falsafah keilmuan sains dan teknologi dan yang akan berhati terbuka dalam penggunaan maklumat daripada sains dan teknologi untuk kehidupan seharian. 16. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pusat Sains Negara. |