Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PWTC,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 16/12/96
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN KEMPEN GALAKAN
TABUNGAN PERINGKAT NASIONAL
1. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada
Bank Negara kerana menjemput saya untuk melancarkan
kempen Galakan Tabung Peringkat Nasional pada hari
ini.
2. Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana ekonomi
Malaysia telah mencapai kemajuan yang pesat semenjak
kemerdekaan. Dalam tempoh lebih daripada tiga
dekad, sebahagian besar daripada kemajuan ekonomi
telah didorong oleh pelaburan swasta, termasuk
pelaburan asing. Walaupun kita terus menerima
pelaburan asing bagi membantu proses industrialisasi
Malaysia, kita harus ingat bahawa ianya bukan
sesuatu yang terjamin akan terus mengalir masuk
seperti yang kita alami sekarang. Negara yang
terlalu bergantung kepada modal asing bagi aktiviti
pelaburannya akan terdedah kepada kepentingan negara-
negara asing dan aliran ekonomi mereka dan kewangan
dunia. Sepertimana yang berlaku dalam ekonomi dunia
baru-baru ini, sentimen pelabur asing boleh berubah
berasaskan perkembangan yang tidak berkaitan dengan
perkembangan ekonomi tempatan. Walaupun kita akan
terus mengalu-alukan pelaburan asing ke Malaysia,
kita perlu bersedia untuk mengadakan kemampuan kita
sendiri yang lebih mudah ditentukan oleh kita.
3. Oleh itu, negara kita perlu memiliki dan
menguasai modal kita sendiri untuk menjamin
pembangunan ekonomi kita tidak mudah terjejas.
4. Kemajuan ekonomi kita adalah sebahagian
besarnya disebabkan oleh kadar pertumbuhan modal
yang tinggi, yang mana bergantung kepada kadar
tabungan. Malahan, faktor penting yang telah
membolehkan Malaysia mencapai kemakmuran pada hari
ini adalah kerana kadar tabungannya yang tinggi.
Kadar tinggi ini telah membolehkan Malaysia
membiayai pelaburan dalam negeri tanpa dibebani
hutang yang besar dari luar negeri. Walaupun
terdapat hubungan yang rapat di antara tabungan dan
pertumbuhan ekonomi, dan ini jelas terbukti di
beberapa buah negara Asia yang mempunyai kadar
tabungan yang tinggi, kita juga perlu sedar bahawa
tidak kurang pentingnya ialah kecekapan melabur
modal kita yang ditabungkan secara produktif.
5. Kadar tabungan yang tinggi di Malaysia
bergantung kepada beberapa faktor yang penting.
Kita faham bahawa inflasi menyebabkan nilai matawang
kita menurun. Dengan itu wang yang kita simpan akan
susut nilainya. Lebih tinggi inflasi lebih
banyaklah susutan nilai wang yang kita tabungkan.
Jika wang yang ditabung dilabur dan mendatangkan
keuntungan yang lebih daripada kadar inflasi, maka
baharulah tabungan memberi makna. Justeru itu,
adalah penting kadar inflasi kita tidak tinggi
sehingga melebihi pulangan daripada pelaburan.
Sudah tentu lebih rendah kadar inflasi lebih
berfaedahlah tabungan yang dibuat. Sebab itu
Kerajaan menggesa semua pihak supaya bekerjasama
untuk mengawal inflasi. Nilai tabungan kita tidak
akan merosot dan kita rugi semata-mata kerana kita
tidak membelanja segala pendapatan kita.
6. Sebahagian besar tabungan di Malaysia adalah
disebabkan simpanan wajib seperti caruman kepada
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau Employees
Provident Fund dan tabung-tabung lain. Ada juga
tabungan secara sukarela seperti menyimpan dengan
Tabung Haji. Semua simpanan ini dilabur dan
pendapatan daripada pelaburan menguntungkan
penabung. Tetapi pelaburan secara sukarela boleh
juga dibuat melalui simpanan dalam Bank Simpanan
Nasional dan tabung-tabung lain atau melalui
pelaburan dalam saham-saham amanah. Semua wang yang
terkumpul melalui apa juga jenis tabungan dapat
menaikkan modal untuk dilabur dalam kegiatan-
kegiatan perniagaan dan perusahaan yang menolong
membangunkan ekonomi negara kita.
7. Kesejahteraan hidup setiap rakyat mempunyai
kaitan yang rapat dengan ekonomi negara. Jika hari
ini kita semua dapat bekerja dan upah kita lebih
tinggi daripada upah dan peluang kerja di negara-
negara yang lain, sebabnya ialah kerana ekonomi
negara kita tumbuh dengan lebih pesat daripada
kebanyakan negara lain. Satu daripada sebabnya
ekonomi kita tumbuh dengan pesat ialah kerana modal
terkumpul negara kita tinggi dan dapat membiayai
pelaburan untuk infrastruktur, perdagangan dan
industri. Jika modal dalam negeri berkurangan maka
kita terpaksa berhutang dari negara asing. Dengan
itu sebahagian besar daripada pendapatan kita akan
diguna untuk membayar hutang luar dan ini akan
menghakis kewangan negara. Sekali lagi jelas betapa
pentingnya kita perlu menabung. Secara langsung
atau tidak langsung kita akan dapat keuntungan
daripada menabung sebahagian daripada pendapatan
kita.
8. Wang yang ditabung perlu dilabur. Jika kita
hanya menabung ada kemungkinan nilai wang yang kita
tidak belanja ini akan merosot, iaitu barangan yang
boleh dibeli dengan wang ini akan berkurangan
sepanjang masa. Ini adalah kerana, seperti saya
sebutkan tadi, inflasi biasanya menyerang ekonomi
negara. Lebih tinggi inflasi, lebih banyaklah
susutnya nilai wang yang disimpan. Sebaliknya jika
kita melabur dalam keadaan inflasi sifar maka
keuntungan yang didapati adalah yang tertinggi
mungkin. Jika ada pun inflasi, wang simpanan yang
dilabur masih dapat mendatangkan keuntungan,
melainkan jika inflasi terlalu tinggi.
Alhamdulillah, di Malaysia inflasi hampir tidak
pernah melebihi pulangan daripada pelaburan.
9. Walaupun wang yang ditabungkan perlu dilabur,
tetapi melabur bukanlah sesuatu yang boleh dibuat
dengan mudah. Jika silap melabur semua wang akan
hilang begitu sahaja. Terdapat ramai yang
kehilangan wang ganjaran pencen umpamanya, kerana
melabur secara tidak bijak.
10. Apabila sahaja kita diketahui memiliki wang,
akan adalah mereka yang membawa cadangan pelaburan
yang boleh melipatgandakan wang kita dalam sekelip
mata. Ramai juga orang yang terpelajar yang percaya
dengan cerita kononnya wang kertas sepuluh ringgit
boleh menjelma menjadi seribu ringgit apabila
sesuatu dibuat kepada wang itu. Dan mereka ini
mendapati semua wang yang ada pada mereka hilang.
Ada juga orang yang melabur berasaskan cerita bahawa
keuntungan yang amat besar boleh diperolehi dalam
sesuatu perniagaan. Mereka ini juga hilang semua
wang yang mereka labur. Sebenarnya keuntungan
daripada pelaburan biasanya sederhana, bahkan
mengambil masa untuk mendapat pulangan.
11. Untuk mengelak daripada ditipu adalah lebih
baik jika pelaburan dibuat melalui skim-skim amanah
saham yang diurus oleh profesional. Sudah banyak
skim amanah yang terbuka untuk kita melabur. Ada
yang diurus oleh institusi-institusi yang ditubuh
oleh Kerajaan dan ada juga skim amanah saham yang
diurus oleh pihak swasta. Pulangan daripada
pelaburan dalam amanah saham memang tidak besar
tetapi biasanya ia selamat dan lebih baik daripada
hanya disimpan dalam bank sebagai simpanan tetap.
Pulangan daripada pelaburan dalam skim-skim amanah
saham yang diurus oleh PNB amatlah tinggi dan mereka
yang layak hendaklah melabur dalam skim-skim ini.
Ada juga skim amanah yang diurus oleh Kerajaan-
kerajaan Negeri yang turut memberi pulangan yang
baik.
12. Jika mereka tidak ingin melabur dengan amanah
saham, adalah lebih baik mereka menyimpan wang dalam
bank biasa atau Bank Simpanan Nasional daripada
menyimpan di rumah atau disembunyi di tempat-tempat
tertentu. Sudah ramai yang kehilangan semua wang
tabungan yang disimpan di rumah kerana berbagai-
bagai sebab.
13. Pelaburan juga boleh dibuat melalui insuran dan
skim takaful. Pelaburan seperti ini adalah seperti
menyediakan payung untuk waktu hujan. Ia boleh
menolong kita semasa kecemasan di samping menjadi
wang simpanan kita.
14. Selamat dan bahagia seseorang bergantung kepada
apa yang diamal olehnya. Orang yang berjimat-cermat
lebih selamat daripada tekanan nasib yang buruk yang
mungkin menyerangnya pada bila-bila masa. Tidak ada
siapa yang bebas daripada masalah sepanjang
kehidupannya. Jika ia bersedia maka apa juga
tekanan malapetaka akan dapat dikurangkan sedikit
sebanyak jika pun tidak sepenuhnya. Menabung adalah
satu jalan yang baik untuk menangkis gejala-gejala
yang merintangi hayat seseorang.
15. Demikian juga dengan sebuah negara. Jika
rakyat negara berkenaan sedia menabung dan berjimat-
cermat, maka negara akan turut lebih terselamat.
Wang simpanan rakyat dalam bank atau saham amanah
atau insuran dan takaful akan menjadi modal pinjaman
yang baik oleh Kerajaan atau swasta tanpa meminjam
dari luar yang mana ia tentu akan menyebabkan
pengaliran keluar wang negara. Dalam keadaan kita
mengalami imbangan bayaran import yang melebihi
hasil daripada eksport, pengaliran wang kerana
pinjaman dari luar akan memburukkan lagi imbangan
bayaran kita. Jika kedudukan kewangan kita masih
kukuh walaupun bayaran import melebihi eksport,
sebabnya ialah kerana tabungan kita adalah sihat.
Selagi tabungan kita tinggi selama itulah kita akan
dapat menangkis krisis kewangan yang mungkin melanda
negara kita.
16. Memandang kepada keuntungan bagi diri sendiri
jika kita menabung dan sumbangan kita secara tidak
langsung kepada kesihatan ekonomi negara, maka
amatlah penting kita memupuk budaya menabung. Untuk
menabung kita perlu berjimat-cermat, iaitu kita
mengurus perbelanjaan kita dengan bijak dengan tidak
menghabiskan semua pendapatan kita tanpa menyimpan
sebahagian daripadanya. Walaupun kita hanya
menyimpan satu sen, ia akan mendatangkan manfaat
kepada kita kerana ia merupakan satu tabiat yang
baik. Jika kita dapat menyimpan satu sen kerana
pendapatan kita rendah, maka apabila pendapatan kita
meningkat tabiat menyimpan akan mendorong kita
menyimpan lebih banyak.
17. Jika sudah menjadi tabiat kita menghabiskan
semua pendapatan kita dan lebih buruk lagi kita
membelanja lebih daripada pendapatan dengan
berhutang, maka walaupun pendapatan kita bertambah,
tambahan ini perlu diguna untuk membayar hutang dan
kemudian kita akan berhutang lagi, mungkin lebih
banyak lagi. Dengan itu kita akan menjadi
penghutang seumur hidup.
18. Orang yang mempunyai budaya menabung akan dapat
menyelamatkan dirinya apabila menghadapi kecemasan.
Apabila menabung menjadi satu tabiat maka apabila
pendapatan bertambah simpanan juga akan bertambah.
Dan ini dapat menolong mengatasi kebanyakan masalah
dan kemalangan yang menimpanya. Lebih banyak kita
menabung, dan lebih ramai rakyat menabung maka lebih
tinggilah pertumbuhan ekonomi negara. Dan dengan
pertumbuhan ekonomi negara yang baik kita juga akan
dapat banyak nikmat daripadanya. Sesungguhnya kita
hidup selesa, berpeluang bekerja atau berniaga
adalah kerana ekonomi negara kita maju. Kita tidak
boleh pisah diri kita daripada ekonomi negara kita.
Maju kita adalah kerana kemajuan negara kita, dan
majunya negara kita adalah hasil usaha dan amalan-
amalan kita. Baik amalan dan tabiat kita, baiklah
negara kita.
19. Menabung adalah tabiat yang baik; baik bagi
kita dan baik juga bagi negara kita. Oleh itu
amalkanlah budaya menabung kerana hanya kebaikan
sahaja yang akan diperolehi daripadanya.
20. Kejayaan kempen ini bergantung kepada kerjasama
daripada semua rakyat Malaysia. Pada asasnya,
terdapat beberapa faktor yang akan memastikan
kejayaannya. Pembangunan infrastruktur kewangan
akan menyumbang kepada usaha menggalakkan orang
ramai menabung. Dengan menjadikan menabung selesa
dan menarik, dengan memperkenalkan produk dan skim-
skim baru, mengurangkan karenah dan halangan-
halangan lain, menabung akan menjadi satu pengalaman
yang seronok dan menarik.
21. Pihak Kerajaan memberi keutamaan kepada usaha
menggalakkan tabungan. Sikap ini digambarkan oleh
penubuhan Jawatankuasa Kabinet bagi menyelia dan
menyelaras pelaksanaan ke semua program dan projek
berkaitan dengan strategi galakan tabungan. Dalam
konteks yang lebih luas, pihak Kerajaan akan terus
melaksanakan dasar yang menjurus kepada pencapaian
kestabilan harga secara relatif, agar persekitaran
untuk menabung akan menjadi selesa supaya tidak
wujud kebimbangan bahawa inflasi akan menghakis
nilai benar tabungan di sepanjang masa. Pihak
Kerajaan, melalui pelbagai program, termasuk
penyebaran maklumat, akan meningkatkan kesedaran di
kalangan rakyat mengenai kepentingan menabung dan
kebaikan daripada tabiat perbelanjaan yang bijak.
22. Sektor perbankan tidak harus hanya memikirkan
tentang keuntungan semata-mata. Mereka juga
mempunyai tanggungjawab moral terhadap masyarakat.
Adalah juga menjadi kepentingan bank sendiri untuk
menggalakkan tabungan. Dengan berbuat demikian, ia
akan memastikan pertumbuhan ekonomi kita di masa
hadapan. Bagi tujuan ini, adalah perlu
infrastruktur kewangan ditingkatkan untuk mewujudkan
suasana yang selesa dan menarik bagi orang ramai
menabung. Institusi perbankan perlu meneliti
operasinya secara kritikal untuk mengkaji dan
mengenalpasti bidang yang boleh memantapkan usaha
menggerakkan tabungan. Justeru itu, adalah menjadi
kepentingan bank sendiri untuk memupuk penyimpan-
penyimpan kecil menabung sejak dari awal lagi, untuk
memastikan yang mereka akan terus menjadi pelanggan
bank di masa hadapan. Bank juga perlu sedar akan
faedah jangka panjang usaha-usaha memupuk budaya
menabung di kalangan generasi muda kita. Walaupun
jumlah tabungan mereka mungkin kecil, tabiat yang
dipupuk adalah baik untuk masa hadapan.
23. Memandangkan kepentingan maklumat di dalam
kempen ini, pihak media massa mempunyai peranan
penting untuk memastikan mesej tabungan disebarkan
kepada segenap lapisan masyarakat Malaysia. Saya
percaya bahawa media massa akan menunaikan
peranannya dengan memberi penekanan dan liputan yang
lebih luas terhadap pentingnya menabung, agar mesej
ini boleh disampaikan dengan berkekalan kepada
segenap lapisan masyarakat.
24. Kejayaan kempen ini dalam meningkatkan kadar
tabungan di Malaysia bergantung kepada kita semua.
Pihak Kerajaan, beriltizam untuk menetapkan hala
tuju dan menyediakan segala bantuan untuk mencapai
objektif tersebut. Walau bagaimanapun, kita
memerlukan kerjasama pihak institusi-institusi
kewangan, media massa dan sudah tentu seluruh warga
Malaysia untuk memastikan kejayaannya. Saya menyeru
semua rakyat Malaysia untuk mematuhi seruan kempen
untuk menabung supaya hari esok kita lebih selamat
dan bahagia.
25. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya
melancarkan Kempen Galakan Tabungan.
|