Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM)
Tarikh/Date : 31/12/96
Tajuk/Title : SEMPENA TAHUN BARU 1997
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
1. Syukur Alhamdulillah, walaupun ribut kencang
yang meragut lebih seratus nyawa dan menyebabkan
kehilangan harta benda menimpa Sabah Khamis lalu,
namun tahun 1996 yang tamat pada hari ini adalah
satu tahun yang pada keseluruhannya bersejarah bagi
negara kita. Keamanan dan kestabilan negara
berterusan sepanjang tahun 1996 dan ekonomi negara
juga turut mencapai pertumbuhan yang tinggi iaitu
lebih daripada lapan peratus. Di masa yang sama
inflasi terkawal pada paras yang rendah. Rakyat
yang ingin bekerja tetap berpeluang mendapat kerja
dengan pendapatan yang agak tinggi.
2. Pada tahun 1996 juga kita telah melancarkan
Rancangan Malaysia Ketujuh dan satu projek yang
canggih iaitu Koridor Raya Multimedia. Pelan Induk
Perindustrian yang kedua diumumkan pada bulan
November 1996.
3. Suatu peristiwa yang boleh semua rakyat
berbangga ialah pelancaran Measat II, sebuah lagi
satelit canggih untuk komunikasi dan penyiaran.
Pemilikan dan pelancaran satelit ini di Kourou,
Guiana Perancis, menandakan kemampuan dan
kecanggihan syarikat milik rakyat Malaysia.
4. Bidang industri pembuatan tempatan mengambil
satu langkah yang penting apabila motosikal nasional
Kriss dikeluarkan dan mendapat sambutan yang baik.
Sementara Perodua melancarkan van Rusa, Proton pula
telah berjaya membeli syarikat `sports car' British
yang terkenal - iaitu Lotus Cars. Baru-baru ini
PROTON telah mencipta sejarah dengan jumlah
pengeluaran keretanya sebanyak satu juta. Pada
tahun 1996 juga buat kali pertama seorang anak watan
kita dilantik sebagai Presiden, Perhimpunan Agung
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
5. Pertumbuhan ekonomi pada paras lebih daripada
lapan peratus bagi tahun 1996 telah meningkatkan
pendapatan per kapita kepada 4,457 dollar Amerika
iaitu bersamaan dengan Ringgit Malaysia 11,118
seorang. Jika dihitung mengikut peningkatan kuasa
membeli pula, pendapatan per kapita kita adalah sama
dengan kuasa beli 12,508 dollar Amerika di Amerika
Syarikat. Ini adalah kerana kos sara hidup di
Malaysia jauh lebih rendah. Dengan perkataan lain
walaupun upah bagi rakyat Malaysia agak rendah
berbanding dengan upah kerja rakyat Amerika untuk
kerja yang sama, tetapi barangan yang boleh dibeli
oleh rakyat Malaysia tidaklah terlalu kurang
berbanding dengan yang boleh dibeli oleh rakyat
Amerika atau rakyat negara-negara maju yang lain.
Tetapi kos pengeluaran barangan kita tetap rendah
kerana upah dan kos lain yang juga rendah. Dengan
itu, barangan kita dapat terus bersaing di pasaran
dunia. Inilah strategi kita bagi memajukan ekonomi
negara.
6. Tahun 1996 nampaknya begitu baik bagi Malaysia
dan rakyatnya. Banyak kemajuan yang telah dicapai.
7. Kita patut bersyukur dengan kejayaan dan
pencapaian negara kita. Namun kejayaan tidak harus
menjadikan kita leka, angkuh dan lupa daratan.
Sebaliknya kejayaan ini hendaklah menguatkan lagi
semangat dan iltizam kita untuk berusaha dengan
lebih gigih kerana hanya dengan usaha yang lebih
kuat sahaja baharulah dapat kita menentukan negara
terus berjaya. Kejayaan yang berterusan ini perlu
kerana kita berminat untuk menjadi negara maju
menjelang tahun 2020 dan tahun 2020 hanyalah 24
tahun lagi.
8. Kerajaan adalah komited untuk terus membawa
kemajuan dan kemakmuran yang lebih besar kepada
negara di samping menjamin negara akan terus stabil
dan aman. Komitmen Kerajaan ini dapat dilihat
daripada berbagai-bagai rancangan dan projek yang
telah dirangka dan dilaksanakan untuk negara seperti
yang telah disebutkan tadi, iaitu Rancangan Malayia
Ketujuh, Pelan Induk Perindustrian Kedua dan Koridor
Raya Multimedia. Jika berjayalah pelan-pelan ini
maka bukan sahaja negara akan menjadi lebih maju
tetapi semua rakyat akan turut menikmati kehidupan
yang lebih selesa dan berkualiti.
9. Tetapi dalam sebuah negara demokratik yang
mengamalkan ekonomi bebas atau ekonomi pasaran,
Kerajaan semata-mata tidak akan dapat melaksanakan
rancangan atau dasar tanpa penyertaan dan usaha oleh
rakyat. Aman atau tidak negara ini bergantung
kepada rakyat. Ternampak bahawa sekarang ini seolah-
olah ada rakyat yang tidak senang dengan keamanan di
negara kita. Mereka sengaja cuba membuat sesuatu
bagi memaksa pasukan keselamatan negara mengambil
tindakan terhadap mereka. Apabila Kerajaan terpaksa
bertindak di bawah undang-undang maka dapatlah
mereka mengecam negara ini sebagai tidak demokratik
kononnya. Dan rakan-rakan mereka di luar negara pun
akan gembira kerana memang pun mereka ingin mencari
sebab untuk memburukkan negara kita. Orang yang
sengaja bersubahat dengan orang asing untuk
menggugat kestabilan politik dan keamanan di negara
kita nampaknya kurang bersyukur dengan nikmat yang
mereka terima di negara ini. Ini tentulah jelas
kerana kita tidak nampak apakah hasil yang positif
daripada tindakan mereka. Apakah mungkin matlamat
mereka kononnya untuk memelihara hak asasi manusia
di negara asing akan tercapai? Yang jelas ialah
mereka akan memburukkan hubungan kita dengan negara
sahabat dan memalit lumpur di muka kita sendiri.
10. Apakah negara kita ini tidak prihatin akan hak
asasi manusia? Tidakkah kita menghantar pasukan
keselamatan kita ke beberapa negara termasuk Somalia
dan Bosnia? Tidakkah kita dengan lantang mengecam
pencabulan hak asasi manusia oleh kuasa-kuasa besar?
Di manakah jaguh-jaguh yang ingin bela nasib manusia
asing ini semasa Malaysia mempertahankan hak asasi
manusia di merata pelusuk dunia?
11. Janganlah kita jadikan nasib malang orang lain
untuk bersandiwara. Ada banyak lagi perjuangan yang
serius yang perlu kita perjuangkan tanpa sengaja
mengumpan pasukan keselamatan untuk bertindak dan
menjadikan negara ini sasaran kutukan oleh pihak
tertentu.
12. Alhamdulillah, majoriti rakyat ingin hidup
aman dan ingin bekerja dan berusaha untuk
kesejahteraan hidup mereka. Jika ada sesuatu yang
perlu diperjuangkan, gunalah saluran yang sedia ada.
Insya-Allah, pihak lain termasuk Kerajaan akan
bersedia untuk menyertai semua perjuangan yang
mulia. Jika tidak ada, marilah kita semua tumpukan
kepada pembangunan negara kita. Jika kita sudah
jadi negara yang maju dan kukuh, kita hanya perlu
bisik dan pihak lain akan mengambil berat bisikan
kita.
13. Sementara itu marilah kita tumpukan kepada
penguasaan ilmu dan teknologi yang canggih untuk
melancarkan negara kita ke era Teknologi Maklumat.
Kita telah banyak berjaya dalam usaha menjadikan
negara kita negara industri pembuatan. Tetapi hari
ini kita memasuki zaman IT, zaman `information
technology', zaman pekerja berpengetahuan atau
`knowledge worker'. Apakah dapat kita menguasai
maklumat baru dan cara kerja yang tidak lagi
memerlukan tenaga dan keringat, tetapi sebaliknya
memerlukan pengetahuan? Apakah kita mampu atau
tidak?
14. Kerajaan telah bersiap sedia dengan penubuhan
`National Information Technology Council' atau
Majlis Kebangsaan Teknologi Maklumat. Majlis ini
bertujuan untuk memberi panduan kepada semua pihak,
Kerajaan, swasta dan orang ramai akan arus
perkembangan teknologi canggih yang perlu
diperalatkan oleh rakyat dan negara.
15. Satu daripada rancangan yang dibuat oleh Majlis
Kebangsaan Teknologi Maklumat ialah menubuhkan
Koridor Raya Multimedia, iaitu satu kawasan seluas
15 kilometer kali 50 kilometer dari Pusat Bandar
Kuala Lumpur hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa
Sepang. Dalam koridor ini akan dibangunkan Bandar
Putrajaya dan `Bandar Cyber' yang akan dilengkapi
dengan segala infrastruktur komunikasi supaya segala
urusan boleh dibuat melalui multimedia, iaitu suara,
gambar, data dan semua maklumat lain. Dengan itu
kegunaan surat-menyurat dan wang tunai akan dapat
dikurangkan. Sebaliknya, segala urusan hidup
seharian, pentadbiran Kerajaan dan urusniaga dapat
dibuat melalui komputer. Demikian juga industri
akan menggunakan komputer yang boleh menghubungi
seluruh dunia.
16. Inilah corak kehidupan yang akan diperkenalkan
mula-mula di Koridor Raya Multimedia dan kemudian ke
seluruh negara. Ini bermakna cara hidup kita akan
bertukar. Sama ada kita dapat menyesuaikan diri
dengan cara baru ini; sama ada kita akan perolehi
kebaikan atau tidak, terpulang kepada kita. Tetapi
percayalah, kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan.
Zaman maklumat akan memaksa kita mengubah cara hidup
dan cara bekerja kita. Lebih awal kita sesuaikan
diri kita, lebih cepat kita pelajari ilmu-ilmu baru
ini, lebih baiklah masa depan kita.
17. Kita tahu bahawa hari ini kita kekurangan
pekerja dan kita terpaksa bergantung kepada pekerja
asing. Keadaan ini tidak sihat bagi kita. Ia
menyekat peningkatan pendapatan kita. Selagi kita
terus dengan teknologi lama, selama itulah kita akan
ketinggalan sepertimana dahulu kita ketinggalan
kerana kita terus dengan menanam padi dan menoreh
getah. Hendak tidak hendak, kita perlu memasuki
alam teknologi maklumat.
18. Kerajaan sedar masalah yang akan dihadapi oleh
pekerja Malaysia. Tetapi jika kita sanggup
mempelajari dengan bersungguh-sungguh, kita akan
dapat menguasai teknologi baru ini. Kerajaan telah
menubuhkan banyak universiti dan institusi
pendidikan yang baru. Semua institusi ini akan
mengadakan kursus dalam bidang teknologi maklumat
dan aplikasinya. Tempat kerja juga akan menyediakan
peluang latihan bagi pekerja-pekerja yang berminat.
Tidak syak lagi bahawa jika kita berjaya menguasai
teknologi baru ini maka pendapatan kita juga akan
turut meningkat. Sudah tentu ekonomi negara juga
akan dapat tumbuh dengan pesat.
19. Sebenarnya ilmu baru ini bukanlah terlalu sukar
dikuasai. Seperti biasa, tahap pengetahuan yang
diperlukan bergantung kepada jenis-jenis kerja.
Yang mudah akan memerlukan pengetahuan yang rendah
dan yang canggih akan memerlukan pengetahuan yang
tinggi. Antara rakyat Malaysia memang ada yang
mampu menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan. Yang
diperlukan hanyalah kesanggupan untuk mempelajari
dan menguasai ilmu-ilmu ini.
20. Sebenarnya, ramai rakyat Malaysia daripada
semua kaum yang sudah pun dapat menguasai ilmu-ilmu
ini sehingga mereka mendahului ramai rakyat negara
maju. Oleh itu, tidak ada sebab mengapa rakyat
Malaysia yang lain tidak boleh menguasai ilmu yang
sama ke peringkat yang diperlukan. Yakinlah kepada
kebolehan diri sendiri. Insya-Allah kita akan
berjaya.
21. Dalam kita menuju ke arah zaman maklumat dan
kemajuan yang diharapkan, kita tidak boleh lupa akan
pentingnya negara kita terus aman dan stabil.
Perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum mestilah
diteruskan. Dasar-dasar negara yang menitikberatkan
agihan kekayaan ekonomi secara sama rata, keadilan
serta pegangan kepada nilai-nilai murni mestilah
dijayakan dengan kerjasama semua pihak.
22. Dengan menghurai zaman teknologi maklumat dan
apa yang sedang kita rancang untuk menangani
perubahan-perubahan ini, apakah kita sudah lupa akan
kemiskinan yang masih ada di kalangan kita? Untuk
menjawab soalan ini kita patut bertanya apakah
semasa kita ghairah dengan membina bangunan pencakar
langit dan menara, lebuhraya ekspres, bandar mewah
dan lain-lain, kita pernah mengurangkan usaha kita
untuk membasmi kemiskinan? Tidakkah kita berjaya
mengurangkan kemiskinan daripada lebih 40 peratus
kepada 15 peratus? Tidakkah kita wujudkan peluang
kerja begitu banyak sehingga kita terpaksa menerima
pekerja asing? Bolehkah kita tunggu sehingga
kemiskinan hapus sama sekali sebelum kita
mengindahkan bandar-bandar kita, membersihkan
longkang-longkang dan menanam pokok-pokok bunga?
23. Justeru itu apakah kita perlu tunggu hingga
kemiskinan dihapuskan sama sekali sebelum kita
gunakan peluang zaman maklumat untuk membangunkan
lagi negara kita, melegakan kesesakan lalulintas di
Kuala Lumpur dengan memindah pusat pentadbiran,
membina lapangan terbang baru dan lebuh raya? Kita
bukan membina patung untuk memperingati diri kita,
bahkan kita tidak pun menamakan tempat-tempat
tertentu dengan nama pemimpin tertentu.
24. Kita harus fikir tentang perkara-perkara ini
sebelum kita membenarkan diri kita dipengaruhi oleh
mereka yang ingin menonjolkan keperihatinan mereka
dengan memainkan isu-isu kemiskinan yang sedikit
yang masih ada di kalangan kita.
25. Selaras dengan semangat Tahun Baru, marilah
kita semua mempertingkatkan semangat dan azam untuk
berusaha dengan lebih gigih lagi bagi membawa negara
ke mercu kejayaan yang lebih tinggi. Insya-Allah
dengan usaha yang lebih gigih dan kerjasama daripada
semua lapisan rakyat, Malaysia dan rakyatnya akan
mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun
hadapan dan seterusnya.
26. Akhir kata saya ucapkan Selamat Menyambut Tahun
Baru 1997 kepada semua rakyat Malaysia. Semoga
tahun 1997 akan merupakan satu lagi tahun yang
cemerlang bagi negara yang kita cintai ini dan
kebahagiaan bagi kita semua.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|