home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	SRI PERDANA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	08/01/97 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM UNTUK 
			MERAIKAN TYT RYUTARO HASHIMOTO 
			PERDANA MENTERI JEPUN 



  1.    Saya  ucapkan  selamat datang  dan  mengalu-alukan
  lawatan   Tuan   Yang   Terutama   dan   anggota-anggota
  rombongan  ke  Malaysia.   Lawatan  Tuan  Yang  Terutama
  adalah kena pada waktunya dan memberi peluang yang  baik
  bagi   Malaysia   dan   Jepun  untuk   berbincang   demi
  meningkatkan  lagi hubungan yang erat di  antara  kedua-
  dua negara.

  2.     Saya  mengambil  peluang  ini  untuk  mengucapkan
  tahniah  kepada  Tuan  Yang  Terutama  atas  perlantikan
  semula   Tuan  Yang  Terutama  sebagai  Perdana  Menteri
  Jepun.  Kami  mengikuti dengan penuh  minat  usaha-usaha
  yang   bersungguh-sungguh  oleh  Kerajaan  Jepun   untuk
  melaksanakan   reformasi   pentadbiran   dan    ekonomi.
  Pengalaman   kami  menunjukkan  bahawa   memang   banyak
  halangan   yang   akan   dihadapi   dalam   melaksanakan
  reformasi  pentadbiran.   Saya tidak  syak  bahawa  Tuan
  Yang Terutama akan berjaya dalam usaha ini.
  
  3.    Hubungan  Malaysia-Jepun  telah  berkembang  pesat
  sejak  Malaysia  mengadakan hubungan  diplomatik  dengan
  Jepun  kira-kira  empat  dekad  yang  lalu.   Saya  suka
  menyatakan bahawa dasar pragmatik sentiasa menjadi ciri-
  ciri  penting  dalam  hubungan antara  kedua-dua  negara
  kita.   Hasilnya      menguntungkan kedua-dua  pihak  --
  Jepun   sebagai   sumber  pelaburan,  Malaysia   sebagai
  pasaran  penting  dan sumber bahan-bahan  mentah  kepada
  Jepun.   Jepun  juga  telah  banyak  menyumbang   kepada
  kemajuan  perindustrian Malaysia  serta  kemakmuran  dan
  kemajuan  sosio-ekonomi negara ini.   Saya  harap  Jepun
  akan  terus  menjadi  rakan  pembangunan  Malaysia   dan
  membantu  kami  mencapai cita-cita untuk menjadi  negara
  maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.
  
  4.    Dalam bidang perdagangan dua hala, jumlahnya telah
  meningkat  lebih dua kali ganda daripada RM31.6  billion
  pada  1990  kepada RM76.5 billion pada 1995. Jepun  hari
  ini   adalah  rakan  dagang  terbesar  Malaysia   dengan
  jumlahnya  kira-kira 20 peratus daripada dagangan  dunia
  kami.   Jepun  juga  merupakan pasaran eksport  terbesar
  ketiga  Malaysia.   Walaupun imbangan perdagangan  lebih
  menguntungkan Jepun, saya berharap dengan adanya  proses
  liberalisasi  yang  sedang  berjalan  di  Jepun,  import
  barangan  Malaysia  ke Jepun akan meningkat  terutamanya
  barangan   perkilangan.   Syarikat-syarikat  Jepun   dan
  firma-firma   usahasama  di  Malaysia   hendaklah   juga
  digalakkan   supaya  menggunakan  lebih   banyak   bahan
  tempatan  untuk  produk  mereka  di  sini.   Dengan  ini
  adalah  diharapkan ia akan dapat membantu  mengimbangkan
  perdagangan di antara kedua-dua negara.
  
  5.    Pelaburan  Jepun di Malaysia terus  meningkat  dan
  pada  hari  ini Jepun adalah pelabur asing  terbesar  di
  Malaysia  dengan  pelaburan  modal  berkumpul  berjumlah
  RM25.3 billion bagi tempoh 1980 hingga Oktober 1996.
  
  6.    Malaysia kini sedang melalui perubahan yang  besar
  hasil   daripada  pertumbuhan  ekonominya  yang   pesat.
  Untuk  memperbaiki kehidupan rakyat, kita berhajat untuk
  meneruskan  pertumbuhan  ini.   Malaysia  baru-baru  ini
  melancarkan Pelan Induk Perindustrian Kedua, iaitu  satu
  pelan  untuk  memandu negara melangkah  ke  abad  ke-21.
  Malaysia   boleh  mendapat  manfaat  daripada   kemajuan
  ekonomi  dan  teknikal  Jepun  yang  lebih  tinggi   dan
  mengalu-alukan  kerjasama Jepun untuk mencapai  matlamat
  kami.   Pelaburan  Jepun  terutama  industri  kecil  dan
  sederhana  yang  mengeluarkan komponen sofistikated  dan
  berintensifkan  modal dan teknologi tinggi  amat  dialu-
  alukan  terutamanya  jika  diusahakan  secara  usahasama
  dengan  syarikat-syarikat  Malaysia.   Khususnya,   kami
  mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat IT Jepun  di
  dalam Koridor Raya Multimedia.
  
  7.    Satu  aspek penting dalam kerjasama Malaysia-Jepun
  ialah   dalam   bidang   pembangunan   sumber   manusia.
  Sokongan  Jepun  terhadap Dasar Pandang ke  Timur  telah
  membolehkan   kira-kira  5,000   pelajar   dan   pelatih
  Malaysia  belajar serta memperolehi kemahiran  praktikal
  di   institusi-institusi  Jepun.   Pelajar-pelajar   ini
  bukan   sahaja   menguntungkan  Malaysia   tetapi   juga
  syarikat-syarikat  Jepun  di  Malaysia  yang   mendapati
  mereka   adalah   pekerja   yang   berkebolehan.    Kami
  bercadang  untuk meneruskan Dasar Pandang ke  Timur  ini
  dan  berharap Jepun akan menyediakan lebih  banyak  lagi
  tempat  di universiti-universiti dan institusi-institusi
  latihannya.    Saya  suka  menyatakan  di  sini   bahawa
  walaupun  kami memandang ke Timur, kami hanya  mempunyai
  kira-kira  2,000 pelajar pada satu-satu masa  di  Jepun.
  Kami  mempunyai lebih daripada 60,000 pelajar di  negara
  Barat dan negara-negara lain sepanjang masa.
  
  8.    Dalam  hubungan  di  antara  Jepun  dan  Malaysia,
  sektor   swasta  telah  memainkan  peranan  yang  besar.
  Dialog-dialog  sering  diadakan  di  antara  mereka  dan
  mereka   telah  membantu  dalam  mengemukakan   perkara-
  perkara  yang  perlu  diambil perhatian  oleh  Kerajaan.
  Kami   berharap   kerjasama  di   antara   mereka   akan
  berterusan  dan mereka juga akan bekerjasama  di  antara
  satu   sama  lain  di  negara-negara  ketiga.   Sokongan
  Kerajaan   Jepun  dalam  usaha-usaha  ini  sudah   pasti
  memberi  faedah bukan sahaja kepada Jepun  dan  Malaysia
  tetapi juga kepada negara-negara ketiga yang berkenaan.
  
  9.     Akhir   kata,  sekali  lagi  saya  mengalu-alukan
  kedatangan   Tuan   Yang  Terutama  dan  anggota-anggota
  rombongan   ke  Malaysia.   Saya  berharap   Tuan   Yang
  Terutama  akan  berasa  gembira dan  mempunyai  kenangan
  manis  ketika  berada  di Kuala  Lumpur  dan  Tuan  Yang
  Terutama  akan  meluangkan masa untuk  melawat  Malaysia
  lagi.

 



 
Google