home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	RTM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	09/02/97 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 



    Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
   Allahu Akbar
   Allahu Akbar
   Allahu Akbar
   Walillahilhamd

   Tuan-tuan dan Puan-puan, Muslimin dan Muslimat sekalian,

   1.  Pada  Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini,  kita  umat
   Islam  akan  berkumpul di masjid-masjid dan  tempat-tempat
   lain  untuk bersembahyang raya dan bertakbir.   Kita  akan
   laungkan  kebesaran  Allah dengan mengulangi  berkali-kali
   bahawa  "Allah  Maha Besar, Allah Maha Besar,  Allah  Maha
   Besar",   disusuli  dengan  "Kepada  Allah   juga   segala
   pujian".

   2.  Inilah  pengakuan kita kerana inilah asas  kepercayaan
   kita,  bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala yang  kita  sembah
   ialah  Yang  Maha  Besar.  Dan segala  puji-pujian  adalah
   untuk-Nya.

   3.  Sesungguhnya  segala-gala  yang  kita  nikmati  adalah
   kurniaan-Nya.   Walaupun kadang-kadang  ditimpakan  keatas
   kita  malapetaka seperti kehilangan nyawa  dan  hartabenda
   disebabkan banjir,  kemalangan di jalanraya dan  lain-lain
   kecelakaan  yang berlaku sepanjang masa, namun  peristiwa-
   peristiwa  ini  tetap  mempunyai  hikmatnya.   Ia   adalah
   amaran  dan  pengajaran  bagi kita.   Tidak  akan  berlaku
   malapetaka   ini  jika  kita  tidak  sendiri   mencarinya.
   Kitalah yang memilih untuk mendiri rumah di tebing dan  di
   dalam  sungai,  sedangkan kita tahu tempat  itu  merbahaya
   jika  berlaku  banjir.  Kitalah yang memandu di  jalanraya
   secara  gopoh,  tidak  bertimbangrasa  dan  tidak  tertib.
   Justeru  itu, setelah diberi amaran kadang-kadang berkali-
   kali,  haruslah  kita mengambil tindakan  mengelak,  tidak
   tinggal  di  tebing sungai, tidak memandu tanpa tatasusila
   jalan  raya  dan  tidak  sengaja mendedahkan  diri  kepada
   bahaya  lain.   Jika kita tidak endah kepada amaran-amaran
   ini maka lambat-laun malapetaka akan menimpa kita lagi.

   4.   Dan   janganlah   kita  mudah   berkata   ini   sudah
   ditakdirkan.  Jika kita menjaga keselamatan diri kita  dan
   dengan  itu  kita  terselamat, itu juga  takdir.   Kadang-
   kadang  kita seolah-olah suka menyalahkan Tuhan  sedangkan
   yang  salah  adalah kita.  Ingatlah segala yang  baik  itu
   datang  daripada  Allah Subhanahu wa  Ta'ala,  yang  buruk
   adalah  daripada  kita  sendiri.  Nasib  buruk  yang  kita
   alami adalah kerana kesalahan kita.

   5.   Sebenarnya  di  negara  ini  segala  kurniaan   Tuhan
   adalah  baik-baik  belaka.  Malaysia  adalah  negara  yang
   tanahnya  subur,  dengan hujan yang  menghijaukan  seluruh
   negara,  air  dan makanan yang tidak pernah  tidak  cukup,
   iklim  yang sederhana dan tidak diserang oleh ribut taufan
   dan  gempa  bumi yang dahsyat.  Terpulanglah  kepada  kita
   untuk  mencapai hidup yang bahagia dengan segala  kurniaan
   Tuhan  ini.  Sebenarnya beban kita di negara tercinta  ini
   amatlah  ringan.  Kita dapat hidup selesa  dengan  sedikit
   usaha   sahaja.   Dan  jika  kita  rajin  dan  berdisiplin
   sedikit, kita dapat menjadi kaya dan bahagia.

   6.   Sepatutnya  kita  di  Malaysia  tidak  terlalu  mudah
   mengeluh.  Sudah  tentu kita tidak harus sengaja  mengada-
   adakan   masalah.   Rakyat  Malaysia  jauh   lebih   bebas
   bersuara,   bergerak  dan  menjalankan   urusan   peribadi
   daripada  rakyat  kebanyakan negara  lain.   Kita  selamat
   kerana  dilindungi  oleh pasukan keselamatan.   Tidak  ada
   peristiwa  anggota keselamatan memukul dan menyepak  orang
   atau   menggari  kaki-tangan  orang  yang  dituduh  dengan
   rantai  seperti  yang  berlaku di negara-negara  tertentu.
   Tidak  ada anggota keselamatan yang menembak orang  secara
   buta-tuli   kerana   melepaskan   geram.    Hanya    dalam
   menjalankan  tugas,  mereka  tegas  dan  mungkin  terkasar
   sedikit.

   7.   Tetapi  apakah  kerana  ini  kita  harus  memburukkan
   orang  yang  menjaga keselamatan kita ini?   Apakah  harus
   kita  memburukkan  imej negara dengan  bekerjasama  dengan
   orang  asing  untuk  menghina negara sendiri?   Sebenarnya
   tidak  akan  berlaku sesuatu kepada kita jika  kita  tidak
   ingkar  dan  menolak nasihat.  Janganlah  mudah  terpedaya
   oleh  orang asing yang tidak sedikit pun berniat baik atau
   menolong membangunkan negara kita.

   8.  Hari  ini kebanyakan negara Islam menghadapi  masalah.
   Pemerintahan   mereka  lemah,  ekonomi   mereka   merosot,
   politik  mereka kucar-kacir dan kerap juga rusuhan berlaku
   dengan  orang  Islam  menyerang dan membunuh  orang  Islam
   lain  kononnya  kerana  memperjuangkan  Islam.   Ada  yang
   membunuh  orang  Islam  secara  terancang  sempena   bulan
   Ramadan.   Dan  semasa  melakukan  keganasan  ini   mereka
   melaungkan   nama  Allah,  seolah-olah  perbuatan   mereka
   disuruh oleh Allah.

   9.  Apakah  benar  mereka ini melakukan  keganasan  kerana
   Allah,  kerana  mempertahankan agama Islam?   Agama  tidak
   boleh  dipisahkan  daripada politik orang  Islam.   Tetapi
   apakah  huru-hara sebahagian daripada politik  Islam  yang
   dimaksudkan?  Tidakkah  usaha  ke  arah  persaudaraan  dan
   keamanan  antara  orang Islam lebih tepat  dengan  politik
   Islam yang patut dikaitkan dengan agama?

   10. Orang  Islam disuruh dengan tegas dan jelas,  berkali-
   kali  supaya  bersaudara dengan orang Islam  lain,  bahkan
   berbaik-baik  dengan orang yang bukan  Islam  jika  mereka
   tidak  bermusuh  dengan  orang Islam,  jika  mereka  ingin
   berdamai  dengan  orang Islam.  Yang  tidak  disukai  oleh
   agama   Islam,   yang  kedatangan  agama   Islam   berjaya
   menghapuskan,  ialah permusuhan secara  berkekalan  antara
   kelompok-kelompok   atau  kabilah-kabilah   yang   terlalu
   taksub   dengan  kumpulan  mereka  atau  pemimpin  mereka.
   Kelompok-kelompok    inilah   yang   dikatakan    kumpulan
   assabiah,   kerana  terlalu  taksub  dengan  puak   mereka
   sehingga  mereka  tidak boleh berbaik-baik,  turun-temurun
   walaupun  sebab  mereka  bermusuh  sudah  tiada  siapa  di
   antara  mereka  yang  tahu atau ingat  lagi.   Hanya  yang
   mereka  tahu  ialah mereka adalah daripada  kumpulan  yang
   bermusuh.   Dengan  itu perhubungan  antara  mereka  tidak
   boleh  dipulihkan selama-lamanya. Kedatangan Islam berjaya
   menghapuskan  kesetiaan  yang  keterlaluan   di   kalangan
   kumpulan-kumpulan  ini  buat  beberapa  abad.   Tetapi  ia
   telah muncul semula dalam dunia Islam.

   11. Demikian  di  zaman ini.  Sebabnya ada permusuhan  dan
   pemberontakan   dan   huru-hara  di  negara-negara   Islam
   sekarang    ialah   kerana   kedegilan   kumpulan-kumpulan
   assabiah  ini  sehingga penyelesaian  dan  keamanan  tidak
   dapat  dicapai sama sekali.  Kumpulan-kumpulan  ini  bukan
   didorong  oleh  kesetiaan  kepada  agama  tetapi  hanyalah
   untuk  merebut  kuasa  untuk diri  sendiri.   Oleh  kerana
   taksub  dengan kumpulan sendiri, banyak negara Islam  yang
   tidak dapat mendirikan pemerintahan yang berwibawa.

   12. Inilah  yang  menyebabkan negara  Islam  berada  dalam
   keadaan  kucar-kacir,  lemah  dan  terhina.   Inilah  yang
   menyebabkan  agama  Islam dipermainkan  oleh  orang  lain.
   Dan  semua  ini bukan kerana kehendak Allah  Subhanahu  wa
   Ta'ala.  Ia bukan telah ditakdir.  Ia adalah kerana  ramai
   orang  Islam  yang tamak tidak mahu menurut  ajaran  Islam
   yang   sebenar.    Mereka   sengaja   menyalahtafsir   dan
   menyalahgunakan  ajaran Islam.  Dan mereka  begitu  taksub
   dengan  kumpulan  sendiri  sehingga  tidak  mahu  menerima
   kebenaran,  terutama  pegangan  kepada  persaudaraan  yang
   dituntut oleh agama Islam.  Apa juga tafsiran yang  dibuat
   oleh  pemimpin  mereka, mereka terima tanpa soal  walaupun
   jelas  bertentangan dengan ajaran Islam.  Yang  diutamakan
   ialah   siapa  yang  mentafsir  dan  bukan  isi  kandungan
   tafsiran  berkenaan.   Dengan itu  permusuhan  berlaku  di
   antara mereka dengan orang Islam lain.

   13.  Jelaslah   malapetaka  yang   menimpa   orang   Islam
   didatangkan  oleh  mereka sendiri dan bukan  kerana  sudah
   ditakdirkan.  Sebenarnya mereka boleh  menyelamatkan  diri
   mereka  tetapi  mereka  sendiri yang  memilih  jalan  yang
   tidak  selamat,  jalan  yang  bertentangan  dengan  ajaran
   Islam.   Saya ulangi, benarlah segala yang baik itu datang
   daripada  Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala.   Yang  buruk  itu
   datang daripada kita sendiri.

   14. Mungkinkah  pada  Hari  Raya Aidilfitri  ini,  apabila
   kita   bertakbir   kita  dapat  renungkan   sedikit   akan
   perbuatan  kita  yang  menyebabkan  kita  menjadi   lemah,
   berpecah-belah  dan  dikuasai serta ditindas  oleh  musuh-
   musuh   kita.   Hari  Raya  dan  takbir  kita  akan  lebih
   bermakna  jika  ianya  menimbulkan  keinsafan  dalam  hati
   kita.

   15. Di  Malaysia kita bukan sahaja ada orang Islam  tetapi
   juga  orang  yang bukan beragama Islam.  Secara  kebetulan
   tahun  ini  Tahun  Baru Cina jatuh pada  hari  kita  masih
   berpuasa.    Sudah  menjadi  suatu  kebiasaan  bagi   kita
   mengunjungi  rakan  dan  kawan  semasa  perayaan   masing-
   masing.  Kunjungan kita bukanlah mempunyai apa-apa  maksud
   keagamaan.    Ia   hanyalah   untuk   mewujudkan   keadaan
   perhubungan   sosial  yang  baik  yang  menolong   membawa
   keamanan  dan  kesejahteraan kepada  negara  kita.  Dengan
   keamanan   ini   juga   kita  hidup  bahagia   dan   dapat
   mengamalkan  ajaran  dan ibadat agama kita  dalam  keadaan
   tidak terganggu. Sebaliknya kita tahu di negara-negara  di
   mana  usaha  menjalinkan hubungan  yang  baik  tidak  ada,
   permusuhan  sering berlaku, walaupun penduduknya  seagama.
   Dengan  itu  pengamalan  ibadat dan  cara  hidup  beragama
   terganggu.   Justeru itu, amatlah penting  kita  melakukan
   apa  yang telah mendatangkan banyak kebaikan kepada  kita.
   Saya  harap orang Islam di Malaysia tidak berhenti membuat
   kunjungan  keatas  rakan-rakan daripada kaum  Cina  semasa
   Tahun  Baru  Cina, bukan untuk makan-minum di  siang  hari
   semasa  kita berpuasa, tetapi semata-mata untuk menyumbang
   kepada iklim yang baik untuk negara kita.

   16. Kebaikan  perhubungan antara kaum-kaum yang  menganuti
   agama-agama  yang  berlainan  di  Malaysia  adalah   hasil
   kesederhanaan     semua    rakyat    Malaysia.      Kerana
   kesederhanaan  ini  negara kita bukan sahaja  aman  tetapi
   juga  makmur. Janganlah kita fikir keadaan ini akan  kekal
   dengan    sendirinya   tanpa   dipelihara    oleh    kita.
   Percayalah,  jika  kita lupa dan kita ikut  nafsu,  negara
   kita  juga akan dilanda huru-hara seperti yang kita  lihat
   di negara membangun yang lain.

   17.  Keamanan  dan  kemakmuran  hasil  kesederhanaan   ini
   berlaku  semasa  negara diperintah  oleh  sebuah  Kerajaan
   yang  rakan  dominannya  ialah  orang  Islam.   Ini  jelas
   menunjukkan  bahawa  orang Islam  mampu  mentadbir  sebuah
   negara  demokratik  dan moden secara  adil  dan  berkesan.
   Anggapan  bahawa  pemerintahan oleh  orang  Islam,  lebih-
   lebih  lagi  dalam  sebuah negara  berbilang  kaum,  tidak
   mungkin  adil dan berjaya jelas tidak benar.   Jika  orang
   Islam   benar-benar   ingin   memajukan   negara   mereka,
   mengembalikan  zaman  kegemilangan  mereka,  agama   Islam
   tidak  menjadi penghalang.  Sebenarnya jika  ajaran  Islam
   ditafsir  tanpa kepentingan politik tertentu dan  tafsiran
   ini  dijadikan  panduan,  tidak ada  sebab  kenapa  negara
   Islam  tidak  boleh  aman  dan maju  dan  mampu  menyaingi
   negara-negara  maju lain dalam apa juga  bidang,  termasuk
   sains dan teknologi dan keupayaan pertahanan seperti  yang
   dikehendaki oleh agama Islam.

   18.  Kita   boleh   berbangga  kerana  Malaysia,   dibawah
   pemerintahan yang majoritinya Islam, aman dan  maju  jaya.
   Rakyat  Malaysia  lebih mewah daripada  rakyat  kebanyakan
   negara  membangun  yang  lain.   Dan  kita  mungkin   akan
   mencapai  kemajuan yang lebih lagi sehinggalah kita  dapat
   menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

   19.  etapi  kita  telah jelaskan bahawa negara  maju  yang
   kita  maksudkan bukanlah seperti negara-negara  maju  yang
   ada  sekarang, yang walaupun maju tetapi sudah  kehilangan
   moral  dan  etika  hidup.  Negara maju  kita  tidak  perlu
   kepada pendapatan per kapita yang sama dengan negara  maju
   lain.  Negara  maju  yang kita idamkan ialah  negara  yang
   berkebolehan  yang sama dalam semua bidang  yang  penting,
   dengan  pendapatan  yang  memberi  kehidupan  yang  selesa
   kepada   semua   rakyat,   yang   tidak   dibeban   dengan
   kemiskinan, dan lebih penting lagi ialah dengan moral  dan
   etika serta pegangan kepada agama yang tinggi.

   20.  Malangnya  sementara  daripada  segi  kebolehan   dan
   ekonomi  kita  menunjukkan prestasi  yang  baik,  daripada
   segi  moral  dan etika, sudah ada tanda-tanda  yang  tidak
   sihat yang boleh meruntuhkan masyarakat kita.

   21. Dalam  masyarakat  Malaysia sekarang  terdapat  banyak
   keburukan  sosial, seperti jenayah juvana, lepak,  bohsia,
   membuang  anak,  mendera anak kadang-kadang  sampai  mati,
   pelacuran,  penyalahgunaan  dadah,  rasuah  dan  berbagai-
   bagai  jenis  penipuan, perceraian dan ibu  tunggal,  lari
   daripada  rumah,  tidak menghadiri sekolah  dan  penyakit-
   penyakit  sosial lain.  Walaupun dahulu juga ada  masalah-
   masalah  ini  tetapi ianya tidaklah begitu  ketara.   Jika
   peningkatan  bilangan  kes-kes  ini  adalah  sama   dengan
   peningkatan  bilangan penduduk, kita  boleh  juga  terima.
   Tetapi  yang  jelas  ialah masalah-masalah  ini  meningkat
   jauh lebih tinggi daripada peningkatan bilangan penduduk.

   22. Yang  lebih menyedih dan memalukan orang  Islam  ialah
   gejala-gejala buruk ini terdapat lebih banyak di  kalangan
   orang  Islam  daripada  orang  bukan  Islam.   Angka-angka
   kajian  yang diperolehi jelas menunjukkan bahawa  majoriti
   daripada  mereka  yang  terlibat  dengan  masalah   sosial
   terdiri  daripada  orang  Melayu  yang  semuanya  beragama
   Islam.

   23.  Mungkin   kita   akan  menyalahkan   kemewahan   yang
   terdapat  sekarang.  Tetapi yang mewah bukan orang  Melayu
   sahaja.  Kaum-kaum  lain juga mewah,  bahkan  lebih  mewah
   sekarang dari dahulu dan lebih ramai daripada mereka  yang
   mewah   berbanding  dengan  bilangan  Melayu  yang  mewah.
   Lagipun  kajian mendapati bahawa gejala-gejala  buruk  ini
   melibatkan  semua  lapisan orang Melayu daripada  golongan
   berpendapatan   rendah   sehinggalah   daripada   keluarga
   jutawan.

   24. Mungkin  juga kita salahkan peluang yang lebih  banyak
   sekarang  untuk  melakukan  perbuatan  yang  tidak   baik.
   Dadah  lebih mudah didapati, pertemuan lelaki-wanita lebih
   mudah  diadakan, tempat-tempat hiburan seperti kelab malam
   lebih  banyak,  penghijrahan ke  bandar  lebih  ramai  dan
   sebab-sebab  lain  lagi.  Tetapi  semua  ini  tidak  dapat
   menjawab  soal kenapa lebih ramai orang Melayu  dan  Islam
   yang  terlibat  dalam gejala-gejala buruk  daripada  orang
   bukan  Melayu.   Semua  kaum di Malaysia  terdedah  kepada
   gejala yang sama.

   25.  Kita   mungkin  malu  hendak  mengakui  ada   sesuatu
   kelemahan  pada  diri  kita yang  menyebabkan  kita  lebih
   mudah  terjebak dengan kegiatan-kegiatan yang  tidak  baik
   ini.    Tetapi  sama  ada  kita  akui  atau   tidak   umum
   mengetahui  bahawa kita yang beragama Islam  lebih  banyak
   terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang bukan sahaja  buruk
   dalam  pandangan  umum  tetapi  amat  bertentangan  dengan
   ajaran Islam.

   26. Dipandang  sekaligus masyarakat Islam  sekarang  lebih
   kuat  memegang kepada ajaran Islam.  Tetapi, jika  masalah
   yang   terdapat   dalam   masyarakat   Islam   diambilkira
   nampaknya  kita  lebih utamakan rupabentuk Islam  daripada
   amalan  ajaran yang sebenar.  Kita tentu tahu bahawa  rupa
   dalam  Islam  tidak sepenting pegangan kepada suruhan  dan
   larangan  yang  menjadi sebahagian daripada ajaran  Islam.
   Jika  kita  pegang betul-betul kepada ajaran  Islam  sudah
   tentu  ketahanan kita terhadap hasutan syaitan akan  lebih
   kuat  dan  berkesan.   Tetapi oleh  kerana  pegangan  kita
   terhad  kepada  rupabentuk dan tidak  mendalam  maka  kita
   mudah   ditewaskan  oleh  nafsu  kita  apabila  berhadapan
   dengan godaan syaitan.

   27. Bahawa  orang  bukan Islam di Malaysia  lebih  berjaya
   mempertahankan   diri  daripada  hasutan  nafsu   bermakna
   mereka  mempunyai sesuatu yang baik yang patut kita  tiru.
   Tetapi  sementara kita mudah meniru yang buruk dari Barat,
   umpamanya  mengamal budaya `punk', kita tidak  pula  mudah
   meniru   dedikasi   kepada  pelajaran   dan   kerja   yang
   ditunjukkan   oleh  rakyat  Malaysia  yang  bukan   Islam.
   Apakah salah dan bertentangan dengan agama kita jika  kita
   meniru  yang  baik yang dilakukan oleh orang bukan  Islam,
   sedangkan  kita  begitu mudah meniru  yang  buruk  sebagai
   sebahagian cara hidup mereka.

   28.  Pada  Hari  Raya  Aidilfitri  kita  patut  bergembira
   kerana kita telah menang dalam melawan nafsu.  Kita  boleh
   berseronok.   Tetapi di masa yang sama  kita  perlu  insaf
   dan  sedar  tentang  gejala buruk  yang  sedang  menyerang
   masyarakat  Islam di negara kita bahkan di seluruh  dunia.
   Dengan  keinsafan  dan kesedaran ini  mungkin  kita  dapat
   berusaha  untuk  menolong membanteras gejala-gejala  buruk
   dan membina masyarakat Islam yang mulia.

   29.  Kerajaan mempunyai  peranan  untuk  melawan  masalah-
   masalah  sosial  ini.   Ia memang tanggungjawab  Kerajaan.
   Tetapi  orang  ramai,  guru,  media  dan  ibu  bapa  perlu
   membantu   Kerajaan.   Janganlah  sesiapa   mempertahankan
   amalan-amalan yang buruk kerana apa-apa sebab.  Jika  kita
   bertanggungjawab  maka  kita  hendaklah  akui  bahawa  ada
   sesuatu  kepada  kita yang menyebabkan  kita  lebih  mudah
   ditewaskan  oleh  tekanan kehidupan  di  zaman  ini.   Apa
   dianya  kelemahan ini yang boleh kita kenalpasti?   Insya-
   Allah selepas itu kita mungkin boleh mengatasinya.

   30. Saya  berharap  kita  sama-sama  renung  perkara  ini.
   Dalam  kegembiraan  kerana Hari Raya dan kejayaan-kejayaan
   kita,  kita tidak harus lupa akan tanggungjawab kita semua
   melawan keruntuhan akhlak dalam masyarakat kita.

   31. Pada  hari yang mulia ini eloklah kita umat  Islam  di
   Malaysia  lupakan apa juga perselisihan faham antara  kita
   dan  kita  bermaaf-maafan  dan bersalam-salaman.   Cabaran
   yang  menghadapi kita jauh lebih besar.  Cabaran yang kita
   hadapi ialah membela maruah agama kita.

   32. Sempena  Hari  Raya Aidilfitri ini, saya,  isteri  dan
   keluarga memohon maaf zahir dan batin kepada semua  rakyat
   Malaysia  yang  beragama  Islam,  di  dalam  dan  di  luar
   negeri.

          Selamat Hari Raya Aidilfitri.

          Wabillahitaufik     walhidayah     wassalamualaikum
   warahmatullahi wabarakatuh.

  Allahu Akbar
  Allahu Akbar
  Allahu Akbar
  Walillahilhamd.

 
 



 
Google