home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KUANTAN, PAHANG Tarikh/Date : 17/03/97 Tajuk/Title : PEMBUKAAN W.R. GRACE PACKAGING (MALAYSIA) SDN. BHD 1. Saya ucapkan terima kasih kepada W.R. Grace & Company kerana menjemput saya untuk merasmikan pembukaan syarikat W.R. Grace Packaging (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Syarikat W.R. Grace Specialty Chemicals (Malaysia) Sdn. Bhd. pada hari ini. Malaysia gembira dengan langkah syarikat yang mempunyai pengkhususan di bidang pembungkusan dan kimia membuat pelaburan yang bermodal intensif serta berteknologi tinggi di Malaysia. Ini membuktikan keyakinan syarikat dengan iklim pelaburan Malaysia dan negeri Pahang khususnya. 2. Malaysia mengalu-alukan usahasama perniagaan yang berorientasikan eksport dan teknoloji tinggi seperti ini kerana ia dapat membantu meletakkan Malaysia dipeta dunia sebagai pengeluar dan pengeksport keluaran pengilangan yang canggih dan bertaraf antarabangsa. 3. Pelaburan yang dibuat oleh W.R. Grace ini adalah selaras dengan penekanan Malaysia supaya sektor perkilangan mengeluarkan barangan berteknologi tinggi untuk menampung keperluan pasaran dunia. Pada masa ini, industri kimia dan keluaran kimia adalah antara sektor eksport yang utama di Malaysia dan industri ini dijangka akan memberi kesan penting kepada ekonomi di masa akan datang. Nilai output industri ini, tidak termasuk keluaran petroliam dan gas asli, dianggarkan sebanyak RM11.6 bilion dalam tahun 1995, manakala eksport kimia dan keluaran kimia (termasuk barangan plastik) pula adalah sebanyak RM5.7 bilion. Sektor ini mencatatkan kadar pertumbuhan eksport purata sebanyak 33.9 peratus berbanding dengan kadar pertumbuhan eksport purata barangan perkilangan sebanyak 25.8 peratus dalam jangkamasa lima tahun iaitu dari tahun 1991-1995. 4. Di sektor kimia dan keluaran kimia di Malaysia, industri barangan plastik dibentuk (fabricated plastic products) adalah salah satu daripada sektor yang paling dinamik. Dalam tahun 1996, nilai penjualan industri ini dianggarkan sebanyak RM5.5 bilion di mana 30 peratus adalah di dalam sektor pembungkusan. Sungguhpun pertumbuhan industri plastik agak meningkat, tetapi penggunaan per kapitanya masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju. Justeru itu, masih terdapat banyak lagi potensi dalam sektor pembungkusan ini yang mana dijangka akan terus berkembang selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan penduduk negara ini yang semakin mewah. 5. Saya difahamkan bahawa `specialised shrink film' yang dikeluarkan oleh W.R. Grace di sini bukan hanya untuk sektor makanan sahaja tetapi juga untuk sektor bukan makanan dan sebahagian besarnya dieksport ke pasaran Asia-Pasifik. Saya gembira W.R Grace sedar akan potensi pertumbuhan plastik yang dinamik di rantau ini dan telah memilih Malaysia sebagai salah satu daripada lokasi global untuk operasi keluaran pembungkusan dan keluaran silika `speciality' ini. Saya percaya ini akan menguntungkan syarikat-syarikat multinasional yang lain yang akan mengikut visi jangka panjang dan orientasi global syarikat W.R.Grace untuk mencari peluang-peluang yang baik di negara ini yang mempunyai pertumbuhan ekonomi yang dinamik bagi memperluaskan perniagaan mereka. 6. Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada kehadiran pelaburan langsung asing (FDI) di dalam sektor perkilangan. Amerika Syarikat adalah antara pelabur utama di sektor perkilangan di Malaysia. Sehingga 1996, terdapat 528 projek daripada Amerika Syarikat dan pelaburan sebanyak RM15.0 bilion telah diluluskan di sektor perkilangan ini. Dalam tahun 1996 sahaja, pelaburan yang diluluskan dari Amerika Syarikat telah meningkat 60.6 peratus iaitu daripada RM 1.8 bilion pada tahun 1995 kepada RM2.9 bilion pada tahun 1996. Walau bagaimanapun pelaburan dari Amerika Syarikat tertumpu kepada industri elektrikal dan elektronik, kimia dan keluaran kimia, keluaran getah, keluaran petroliam, makanan dan peralatan pengangkutan. 7. Memandangkan sektor perkilangan kini semakin penting dan akan memainkan peranan yang lebih besar, maka industri kimia dan keluaran kimia akan terus dibangunkan dengan pesat sebagai kelompok rantaian antarabangsa di dalam tempoh 10 tahun akan datang di bawah Pelan Induk Perindustrian Kedua (PIP2), sejajar dengan strategi Malaysia yang berorientasikan global. Selaras dengan Strategi Perkilangan Berganda, industri ini akan digalakkan untuk beralih kepada aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, berorientasikan hiliran dan awalan supaya aktiviti dan keluarannya lebih meluas. Di bawah PIP2, sektor polimer juga dijangka beralih kepada pembangunan keluaran dan aktiviti `high- end' dan yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi. 8. W.R Grace dikenali sebagai antara syarikat-syarikat awal yang membuat pembaharuan untuk keluaran, proses dan aplikasi baru dan mempunyai keupayaan teknikal dan pemasaran untuk mengembangkan perniagaan mereka secara global. Justeru itu, Malaysia mengalu-alukan syarikat ini untuk membesar dan mempelbagaikan operasi mereka di bidang keluaran pembungkusan fleksibel, sistem dan aplikasinya dan keluaran dan sistem bahan silika berprestasi tinggi. 9. Saya difahamkan bahawa W.R.Grace juga merupakan pembekal utama dunia untuk `refinery and polyolefin catalysts', `specialty polymer' dan barangan rawatan perubatan seperti cecair dialisis. Bidang ini mewakili bidang `high-end' sektor kimia dan keluaran perubatan yang mana Malaysia berhasrat untuk membangunkannya di masa hadapan. Oleh yang demikian, saya berharap W.R.Grace akan menimbang untuk meluaskan pelaburannya di Malaysia di masa akan datang. Dalam masa jangka pendek terdekat, saya berharap mereka akan membesar dan pelbagaikan operasi awal mereka di Malaysia sama seperti syarikat-syarikat Amerika yang sedia ada, yang besar dan sederhana besar, yang yakin bahawa operasi di Malaysia amat menguntungkan dan oleh itu telah menambahkan operasi pengilangan mereka di negara ini termasuk menempatkan aktiviti pemasaran dan R&D mereka. 10. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan kedua-dua kilang W.R. Grace, iaitu W.R. Grace Packaging (Malaysia) Sdn. Bhd. dan W.R. Grace Specialty Chemicals (Malaysia) Sdn. Bhd. |