home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : TOKYO, JEPUN Tarikh/Date : 26/03/97 Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM OLEH PERDANA MENTERI JEPUN, RYUTARO HASHIMOTO 1. Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan kepada saya, isteri saya dan juga delegasi Malaysia oleh Tuan Yang Terutama dan Kerajaan Jepun. Saya dan isteri juga merasa amat berbesar hati kerana diterima mengadap Maharaja dan Maharani Jepun pada pagi ini. Masih segar lagi dalam ingatan saya layanan dan sambutan mesra yang serupa daripada Kerajaan Jepun semasa lawatan saya yang pertama ke sini kira-kira 13 tahun yang lalu. Lawatan itu telah memberi inspirasi kepada saya untuk mengukuhkan Dasar Pandang ke Timur. Dasar itu telah banyak membantu dalam memperkukuhkan asas hubungan dua hala negara kita. 2. Tahun ini suasana adalah amat baik untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin rapat di antara Malaysia dan Jepun. Lawatan Tuan Yang Terutama ke Kuala Lumpur pada bulan Januari yang lepas adalah satu permulaan dan telah memberikan kesempatan kepada kita untuk bertukar-tukar pandangan secara berterus-terang mengenai berbagai-bagai isu yang berkaitan di dalam meningkatkan hubungan baik di antara kedua-dua negara kita. Hasilnya, bukan sahaja kita dapat mengenalpasti dan meneliti rintangan-rintangan yang boleh menjejaskan hubungan dua hala kita tetapi lebih penting kita telah bersetuju untuk mencari jalan untuk menangani masalah-masalah ini. 3. Hari ini kita telah dapat bertukar-tukar pendapat sama ada kita telah berjaya membuat kemajuan dalam isu- isu berkenaan. Bahawa kita telah berjumpa dan bermesyuarat di antara kita dan di antara pegawai-pegawai kanan kita menunjukkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk mewujudkan hubungan dua hala yang lebih rapat dan berkesan. Saya sesungguhnya berharap bahawa mekanisma yang kita telah wujudkan bagi perundingan dua hala akan dapat diteruskan dan membantu kita mencapai matlamat kita sebagai rakan demi untuk kemajuan. 4. Malaysia dan negara-negara lain di Asia tidak melihat Jepun hanya sebagai satu sumber pelaburan dan tempat pasaran untuk barangan kami. Pada kami, negara Jepun adalah lebih daripada itu. Malaysia terutamanya mendapat inspirasi daripada kejayaan dan pencapaian di negara Jepun. Sentimen kita terhadap Jepun adalah amat mendalam kerana hubungan kita begitu mesra dan berkait rapat dengan pembangunan semula dan kejayaan ekonomi Jepun. 5. Kebanyakan daripada kami, terutamanya mereka yang tergolong daripada generasi saya telah melihat bagaimana Jepun berjaya membangunkan semula ekonominya yang telah musnah akibat peperangan. Jepun banyak memberikan penumpuan kepada negara-negara membangun di Asia termasuk Malaysia sebagai pasaran utamanya. Negara-negara ini umumnya miskin dan negara-negara miskin dengan kuasa membeli yang lemah lazimnya tidak boleh menjadi pasaran yang baik. Sama ada kerana tiada pilihan atau satu keputusan ekonomi yang bijak, Jepun telah melabur dalam kemudahan pengeluaran dengan mengambil peluang atas kelebihan-kelebihan perbandingan termasuk kos pengeluaran yang rendah yang ditawarkan oleh negara-negara miskin itu. Apabila Jepun maju sehingga menjadi gergasi ekonomi dunia, negara-negara miskin ini secara perlahan-lahan juga turut menjadi makmur dan kini menjadi pasaran yang baik bagi barangan Jepun. 6. Tidak dapat diragukan bahawa pelaburan Jepun, kerjasama ekonomi dan bantuan yang diberikan kepada negara-negara miskin sebelum ini telah membantu negara- negara berkenaan memajukan infrastruktur sosio ekonomi mereka dan mencapai kemajuan ekonomi yang baik. Negara- negara ini sebaliknya kini membuka pasaran-pasaran mereka kepada Jepun dan telah membantu meningkat dan memajukan ekonomi Jepun. Malaysia adalah salah satu negara yang mendapat faedah daripada perkembangan ekonomi luar Jepun dan ia kini menikmati pelaburan Jepun yang besar serta menjadi pasaran yang terbuka luas bagi barangan dan perkhidmatan Jepun. 7. Kita kini berada tiga tahun lagi sebelum memasuki abad baru dan alaf baru. Kemajuan teknologi dan perkembangan ekonomi dunia yang pesat sekali memaksa kita untuk menilai dan membina semula perhubungan kita bagi mengeksploit potensi kerjasama ke tahap yang lebih tinggi. Jepun adalah rakan dagang dan pelabur asing yang terbesar di Malaysia. Jepun telah memainkan peranan yang penting dan banyak menyumbang kepada kemajuan ekonomi Malaysia. Saya berharap Jepun tidak sahaja akan meneruskan statusnya sebagai rakan dagang dan pelabur asing terbesar di Malaysia tetapi juga akan meningkatkan penglibatannya selaras dengan perubahan di Malaysia di mana penekanan kini dibuat terhadap pelaburan dalam sektor teknologi tinggi dan yang berintensifkan modal. Projek Koridor Raya Multimedia yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia adalah satu bidang di mana kami ingin mendapat penglibatan Jepun. 8. Saya adalah penyokong kuat dasar `memajukan jiran' (prosper thy neighbour). Sejarah perkembangan ekonomi rantau kita baru-baru ini jelas membuktikan kebijaksanaan falsafah ini. Oleh kerana komitmen kami terhadap semangat membantu orang lain inilah yang telah membawa rantau ini menjadi satu pusat pertumbuhan dunia dengan ekonominya yang cergas dan dinamik. Marilah kita terus memperkukuhkan kerjasama kita hingga menjadi satu rakan kongsi yang kuat demi untuk membawa kebaikan kedua-dua pihak. |