home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PWTC, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	02/04/97 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA 
			ULANGTAHUN PENERBANGAN 
			MALAYSIA KE-50 



   1.     Saya   ucapkan   terima   kasih   kepada   Syarikat
  Penerbangan  Malaysia  atau  MAS,  kerana  menjemput  saya
  untuk  menghadiri  majlis jamuan malam sempena  pelancaran
  rasmi sambutan Ulangtahun ke-50 Penerbangan Malaysia.
  
  2.    Perayaan ulangtahun ini begitu bermakna sekali  bagi
  saya  kerana  seperti rakyat Malaysia  yang  lebih  kurang
  sama tua dengan saya, saya telah saksikan pertumbuhan  dan
  perubahan  yang  berlaku kepada syarikat penerbangan  kita
  ini   sejak  ianya  dilahirkan.   Tepat  50  tahun   lalu,
  syarikat  pelopornya, Malayan Airways  Limited  atau  MAL,
  telah  mencipta  sejarah  apabila ia  membuat  penerbangan
  sulungnya   dengan  menggunakan  pesawat  jenis   Airspeed
  Consul.  Syarikat  ini  beroperasi  sehinggalah  Singapura
  terpisah dari Malaysia.
  
  3.     Selepas  pemisahan  Singapura,  MAL  telah  disusun
  semula   menjadi  MSA  atau  Malaysia-Singapore  Airlines.
  Kemudian  daripada itu terdapat perbezaan pendapat  antara
  Malaysia  dan  Singapura tentang peranan  MSA.   Sementara
  Singapura  ingin  terbang ke Eropah, Malaysia  berpendapat
  MSA  sepatutnya  tumpu semata-mata kepada destinasi  dalam
  negara  sahaja,  dengan  hanya  beberapa  penerbangan   ke
  Bangkok  dan  Hong  Kong.  Kita anggap  kita  tidak  layak
  bersaing   dengan  syarikat  penerbangan  Eropah   seperti
  British Overseas Airways Corporation dan lain-lain.   Kita
  tidak  mempunyai  cita-cita besar  dan  kita  tidak  yakin
  bahawa  negara  kita  mampu  mencabar  jaguh-jaguh  dunia,
  lebih-lebih lagi dari Eropah.
  
  4.    Dengan  pendirian ini kita bukan sahaja  berpendapat
  kita  harus  membahagikan MSA kepada negara masing-masing,
  tetapi  segala  hak mendarat di negara  asing  yang  telah
  diperolehi   digugurkan  oleh  kita  dan   diberi   kepada
  Singapura.    Dengan  itu  apabila  kemudian   kita   cuba
  mendapat  hak pendaratan untuk MAS secara berasingan  kita
  diberitahu  hak  itu  sudah  pun  diberi  kepada  Malaysia
  tetapi  dipindah  dengan persetujuan  kita  sendiri  untuk
  penerbangan negara lain.
  
  5.      Buat   beberapa   tahun   selepas   MAS   ditubuh,
  penerbangannya  terhad kepada laluan dalam negeri  sahaja.
  Tetapi,  Alhamdulillah,  pengurusan  MAS  akhirnya   sedar
  bahawa  kita berhak dan sepatutnya terbang ke  Eropah  dan
  destinasi-destinasi lain.  Dengan itu  bermulalah  sejarah
  MAS   sebagai   sebuah   penerbangan   antarabangsa   atau
  `international airline' yang sebenar.
  
  6.    Sejarah ini tidak patut dilupai oleh kita kerana  ia
  menjadi  pengajaran yang besar bagi kita  semua  dan  bagi
  pengurusan  MAS sendiri.  Kita bukan berangan-angan  untuk
  menjadi  besar sedangkan kita tidak mampu.  Sebenarnya  ia
  bukan  angan-angan  dan  kita  bukan  tidak  mampu.   Kita
  berhak  dan  kita  mampu, tetapi  sama  ada  kita  berjaya
  menebus  kesilapan  kita atau tidak  bergantunglah  kepada
  pelajaran yang kita perolehi daripada sejarah kita.
  
  7.    Malaysia  mempunyai strategi yang  tersendiri  untuk
  pembangunan   ekonominya  dan  persaingan  dengan   negara
  asing. Strategi kita diasaskan kepada pengawalan kos  sara
  hidup  supaya  pendapatan  kita  yang  rendah  tidak  akan
  menyebabkan  taraf  hidup yang rendah.   Kawalan  kos  dan
  harga barangan dan khidmat menentukan kos sara hidup  kita
  lebih  rendah  dari negara maju.  Hasil  daripada  kawalan
  harga   dan  pengawasan  terhadap  inflasi,  satu  ringgit
  Malaysia  boleh membeli hampir sama banyak  barangan  atau
  khidmat  di Malaysia seperti satu dolar Amerika di Amerika
  Syarikat.  Mengikut angka statistik, sementara  pendapatan
  per   kapita  kita  mengikut  nilai  tukaran   wang   atau
  `exchange  rate' ialah Dollar Amerika $4,200  tetapi  dari
  segi  daya beli di Malaysia pendapatan ini bernilai Dollar
  Amerika  $10,000. Dengan ini walaupun gaji atau pendapatan
  kita  rendah  tetapi  kuasa beli kita ialah  dua  setengah
  kali  lebih  tinggi  daripada kuasa beli  pendapatan  yang
  sama  di  negara  maju lain, atau lebih  jelas  lagi  gaji
  RM10,000  di  Malaysia  adalah  sama  dengan  RM25,000  di
  Amerika  Syarikat.  Secara langsung kos  pengeluaran  kita
  dapat  dikawal di paras yang rendah tanpa merugikan rakyat
  Malaysia dan daya saingan kita pula dapat dipertahankan.
  
  8.     Tetapi  dengan  pendapatan  yang  rendah  ini  maka
  barangan  dari luar negeri atau kos berada di luar  negeri
  menjadi  tinggi.  Ini boleh diatasi dengan membayar  elaun
  luar  negeri yang sejajar dengan kos sara hidup di  negara
  berkenaan.   Inilah  yang dibuat bagi kakitangan  kedutaan
  kita.
  
  9.    Oleh  kerana kos kita rendah maka kita sudah menjadi
  negara  pengeksport yang ke-17 terbesar di dunia.   Dengan
  itu   juga  kita  menjadi  maju  hingga  tidak  ada   yang
  menganggur.     Syarikat-syarikat    Malaysia     mendapat
  keuntungan  yang  baik dan keuntungan ini harus  dinikmati
  oleh   syarikat  dan  kakitangannya  secara   adil   tanpa
  menjejaskan  kos  sara  hidup  dan  meningkatkan  inflasi.
  Keuntungan  yang  lebih  selain  daripada  diagih   antara
  pekerja  dan  pemegang saham syarikat hendaklah  digunakan
  untuk   melabur  terutama  untuk  pembesaran   perniagaan.
  Dengan  ini perusahaan-perusahaan Malaysia boleh  membesar
  sehingga  dapat  menyaingi syarikat-syarikat  antarabangsa
  di  dunia. Tetapi janganlah kita lupa bahawa kejayaan kita
  bergantung  kepada  kawalan kos dan  inflasi.   Jika  kita
  menaikkan  kos  dan inflasi kita melalui  apa  juga  cara,
  maka  bukan sahaja daya beli atau `purchasing power'  kita
  akan   turun  tetapi  kita  akan  `kiss  goodbye'   kepada
  kemewahan kita.
  
  10.   Keuntungan  MAS tidaklah seberapa berbanding  dengan
  pelaburan  yang  besar yang telah dibuat dan  nilai  harta
  yang   rendah  oleh  Kerajaan  semasa  penswastaan   untuk
  menolong  MAS.  Jika Kerajaan menjual MAS dengan kos  aset
  yang  sebenar, MAS tidak mungkin untung bahkan  akan  rugi
  sepanjang  masa.  Keuntungan MAS adalah rendah  berbanding
  dengan   keuntungan  syarikat-syarikat  penerbangan   yang
  bersaing  dengannya.  Perkara ini harus  diambilkira  oleh
  semua pihak kerana jika kita tidak mempedulikan kos,  kita
  akan  mengalami  kerugian dan prestasi MAS  akan  merosot,
  iaitu  rancangan MAS untuk membesar mungkin menjadi angan-
  angan Mat Jenin sahaja.
  
  11.    Alhamdulillah,   setakat  ini   MAS   masih   dapat
  diselenggara  dengan jayanya.  Dalam industri  penerbangan
  tidak  ada  banyak `competitive advantage'.  Pesawat  yang
  digunakan  oleh  semua  syarikat penerbangan  adalah  sama
  sahaja.   Demikian  juga  lapangan  terbang.   Hanya  yang
  berlainan  ialah  khidmat atau `service' yang  diberi  dan
  kos   khidmat  ini.   Justeru  itu,  jadual  dan   layanan
  terhadap  pelanggan  menjadi  penting  dan  kita   percaya
  kakitangan MAS di semua peringkat sedar akan perkara  ini.
  Kita  bernasib  baik kerana di Asia tradisi khidmat  masih
  ada.   Di  Barat  memberi  khidmat  dianggap  hina  kerana
  pelanggan  tidak lebih tinggi daripada kita.  Mereka  sama
  sahaja.   Yang  mereka  lupa  ialah  ada  masanya   mereka
  menjadi pelanggan dan ketika itu mereka mahu khidmat  yang
  tidak  menghina  mereka.  Baru-baru ini MAS  dianugerahkan
  gelaran  `The Best Business Airline in Asia'  oleh  sebuah
  majalah  kembara  perniagaan di United  Kingdom  dua  kali
  berturut-turut.   Ini  merupakan  satu  bukti  MAS   mampu
  mencapai  tahap yang tinggi daripada segi perkhidmatannya.
  Kita rasa megah kerana anugerah ini.
  
  12.   Seperti juga dengan kerja-kerja lain, kepuasan  hati
  tidak   boleh   ditentukan  oleh  pendapatan  semata-mata.
  Kepuasan  hati  datang  daripada `job  satisfaction'  atau
  kepuasan  kerja,  bahawa khidmat  yang  kita  beri  adalah
  sesuatu  yang  boleh kita banggakan, yang  mencermin  diri
  kita.   Jika kerana khidmat kita ini maka sedikit sebanyak
  kita  menolong  menebus maruah dan kehormatan  bangsa  dan
  negara,  maka ini sepatutnya memberi kepuasan  yang  lebih
  kepada  hati  kita, meralatkan sumbangan yang  kita  beri.
  Hanya   pekerja   asing  atau  `mercenary'   sahaja   yang
  mengutamakan  pendapatan.   Namun  `mercenary'  pun  ingin
  mencapai `pride in the quality of his work'.
  
  13.   Jika kita semua pegang kepada kenyataan ini,  insya-
  Allah  MAS  dan negara akan berjaya.  Saya percaya  inilah
  sifat  yang  ada  pada semua pekerja  MAS;  semua  pekerja
  termasuk  pengarah,  pengurus, kakitangan  profesional  di
  semua  peringkat  dan  yang bukan profesional  dan  mereka
  yang  menjadi  pembekal khidmat dan barangan  kepada  MAS.
  MAS  adalah syarikat kebangsaan negara dan menjadi lambang
  negara  di  seluruh dunia.  "We cannot afford to  see  MAS
  fail,   or   even   become  less   successful   than   our
  competitors."
  
  14.   MAS berkembang dan lebih aktif sejak dipindah  milik
  kepada  swasta yang diketuai oleh Tan Sri Tajuddin  Ramli.
  Tujuan  Kerajaan memindah milik kepada swasta ialah kerana
  kepercayaan  kita bahawa pengurusan oleh  pelabur  sendiri
  adalah  lebih  baik daripada pengurusan  oleh  orang  yang
  tidak  mempunyai risiko peribadi dalam prestasi  syarikat.
  Tidaklah  dapat  dinafikan bahawa  sejak  saham  MAS  yang
  terbesar  dipindah  kepada Tan Sri  Tajuddin,  pertumbuhan
  MAS   telah  melonjak  dengan  pesatnya.   Demikian   juga
  perancangan  masa  depan  MAS lebih  bercita-cita  tinggi.
  Sudah tentu ini memerlukan banyak perubahan daripada  segi
  tanggungjawab, bidang tugas dan cara bekerja.  Tidak  akan
  berkesan  peralihan dan pemulihan jika tugas dan kebiasaan
  lama dipertahan dan dikekalkan.
  
  15.   Sepertimana  kita tentu maklum,  pertumbuhan  negara
  kita   meningkat  dengan  pesatnya  beberapa  tahun   yang
  kemudian  ini.   Ini  berlaku kerana  usaha  dibuat  untuk
  memulih  pentadbiran  negara  dan  memperkenalkan   banyak
  perubahan  yang  radikal.  Semua perubahan ini  memerlukan
  penyesuaian tanggungjawab, disiplin dan pendekatan  kepada
  kerja  dan  tugas  yang berbeza dan  baru  daripada  semua
  kakitangan  Kerajaan  yang tetap  dan  yang  dipilih  lima
  tahun  sekali.  Alhamdulillah dengan penerimaan  perubahan
  ini  maka tercapailah cita-cita negara untuk menjadi lebih
  efisien, maju dan dihormati.
  
  16.    Demikian  juga  dengan  MAS.   Saya  percaya  semua
  kakitangan MAS termasuk pengarah, pengurusan dan  pegawai-
  pegawai  tinggi  dan rendah sedar akan keperluan  menerima
  perubahan-perubahan  dan kesan-kesan kepada  diri  sendiri
  kerana  perubahan  ini.  Dengan ini saya  yakin  MAS  akan
  maju  dengan  lebih  pesat  dan  akan  menjadi  kebanggaan
  negara.
  
  17.   Pada  tahun ini MAS akan memula setengah  abad  yang
  kedua  baginya.  Peluang dan potensi untuk MAS  berkembang
  dan   menjadi  satu  daripada  syarikat  penerbangan  yang
  terbesar  di  dunia  memang cerah.   Tetapi  peluang  akan
  tinggal  peluang  jika  kita tidak tahu  atau  tidak  mahu
  menggunakannya.   Saya yakin kecekapan  ada  kepada  semua
  anggota  MAS.   Hanya yang diperlukan ialah  dedikasi  dan
  `pride  in  your  own  organisation' dan  keinginan  untuk
  menjayakannya.   Kejayaan organisasi sendiri  tidak  dapat
  tidak  akan  memberi keuntungan secara  langsung  akhirnya
  kepada  diri kita.  Sebaliknya jika organisasi kita  gagal
  kerana  apa  juga  sebab maka secara  langsung  juga  kita
  tetap  akan  rugi.  Bagi MAS bukan sahaja  MAS  akan  rugi
  tetapi negara juga akan rugi dan malu.
  
  18.   Oleh  itu,  sempena Ulangtahun Penerbangan  Malaysia
  yang  ke-50, sukacita saya mengambil kesempatan ini  untuk
  menyeru   semua   kakitangan  Penerbangan  Malaysia   agar
  berusaha   sungguh-sungguh   untuk   menjadikan   syarikat
  penerbangan  kebangsaan kita ini sebagai aset negara  yang
  paling  membanggakan  dan dihargai.  Saya  meminta  supaya
  kakitangan   Penerbangan   Malaysia   sama-sama   berusaha
  menjayakan  aspirasi  pengasas syarikat  dan  mereka  yang
  menerokai industri penerbangan Malaysia.  Kuatkanlah  azam
  dan  daya tenaga serta gunakanlah peluang-peluang yang ada
  dengan  sebaik  mungkin.  Saya pasti tuan-tuan  dan  puan-
  puan  akan  mencapai  kejayaan yang  kemudian  akan  turut
  dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.
  
  19.   Selamat  merayakan ulangtahun yang ke-50 Penerbangan
  Malaysia.

 
 



 
Google